PROTES BAH. 3

Hari ini kita membaca dalam akhbar dan menonton TV tentang protes terbaru yang berlaku di negara kita sendiri oleh para pelajar Universiti, yang berkumpul di UPSI, dengan dakwaan bahawa polis melakukan kekerasan kepada mereka.

Yang menariknya ialah pandangan dan komen tentang peristiwa itu, iaitu satu pihak menyokong bahawa polis melakukan kekerasan, dan satu pihak mengatakan bahawa polis tidak bertindak kasar atau kejam.

Timbalan Menteri Pengajian Timggi yang meminta semua pihak menyiasat dahulu sama ada polis bertindak kasar atau tidak telah dikeritik dan dihentam kononnya hal ini adalah permainan biasa UMNO, sedangkan sebelum ini apabila orang yang sama iaitu Timbalan Menteri ini bercakap supaya pihak Universiti bersikap terbuka dan lembut kepada mahasiswa yang membantah AUKU, maka dia telah disanjung.

Mufti Perlis pun turut mengkeritik Polis dengan kenyataannya bahawa polis seharusnya lebeh bijak bertindak.

Jadi nampaknya hanya tingal Polis sahaja yang terpaksa mempertahankan diri dan tindakan mereka yang dikatakan kejam itu dengan menafikan segala kenyataan yang menuduh mereka kejam dan kasar.

Maka dalam hal ini kita nampaknya masih mengamalkan sikap hitam puteh, iaitu kalau tidak hitam, maka warnanya ialah puteh, kalau pembangkang nak membuat teguran maka tegurannya ialah untuk menjatuhkan nama baik polis dan menyokong pelajar yang membuat protes itu, sebaliknya pihak lain pula akan berusaha mempertahankan polis secara yang tergesa2.

Dalam apa2 kejadian pun, terutamanya antara otoriti dengan pihak lain, umpamanya pihak polis mahukan perhimpunan diadakan dengan mendapatkan permit dulu, maka hal ini tidak di pedulikan, termasuk oleh para pelajar Universiti yang bakal menjadi pemimpin dan ketua masyarakat pada masa yang akan datang.

Tindakan memusuhi dan membantah otoriti dan agensi atau institusi Kerajaan yang sedang memerintah sekarang ini semuanya merupakan gerakan politik, untuk menjatuhkan kredibiliti Kerajaan, dan semuanya harus dipolitikkan secara partisan. Kalau bertukar kerajaan pun, maka sepatutnya otoriti dan agensi kerajaan haruslah dipatuhi, dan kalau perlu bertindak membantah dan memprotes pun, maka tindakan itu haruslah dilakukan secara bijaksana dan beretika.

Para pelajar sebagai penuntut ilmu dan bakal sarjana seharusnya bertindak dengan adil dan berhikmah. Isu dalam tangan sekarang ialah isu yang masih dalam perbincangan dan proses, iaitu AUKU sedang dalam peringkat pertimbangan untuk di pinda.

Kalau ramai yang mahu bersikap berkecuali dalam hal ini saya rasa keadaan tidaklah menjadi amat kusut dan mengelirukan orang awam, terutamanya orang2 yang tidak tahu berpolitik secara kepartian, seperti para ulamak, intelektual, pemimpin masyarakt dan sebagainya, maka merekalah yang sepatutnya tampil menjadi orang tengah dan mencari jalan damai, membetulkan semua pihak yang bertelagah, bukan bertindak berat sebelah dengan mempolitikkan hal ini.

Masyarakat seharusnya bersabar dahului sebelum manjatuhkan hukuman, sama ada polis kejam, atau pelajar itu yang melampau. Masyarakat boleh menapis segala berita atau hasutan, malah fitnah yang sering menjadi permainan orang ramai pada masa kini, terutamanya menjelang PRU ke-13 yang semakin hampir, sehingga masyarakat kita tidak lagi dapat menilai yang baik dan buruk, malah bertindak amat jauh dari nilai etika dan akhlak yang sebenarnya.

Oleh itu protes, pemberontakan dan sebagainya biarlah berlaku dihadapan kita, tetapi kita yang mendengar, membaca dan menonton, janganlah segera mengambil kesimpulan sesuai dengan selera politik kepartian, atau taksub dengan pendirian yang sememangnya negatif.

Malah kita tunggulah penyiasatan sebenarnya yang akan dijalankan, dan dalam hal ini semua orang haruslah bersikap rasional dan berhikmah. Itulah saja harapan kita sebagai masyarakat yang bertamadun, beragama dan berakhlak kepada semua warga negara kita, tidak kira latar belakang kaum, agama, budaya dan ideologi kepartian mereka.


Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....