HARI KELIMA PUASA

Puasa kadang2 tidak mengubah cara hidup dan adat negatif kita, Puasa yang mengajar bersabar nampaknya tidak mengubah cara kita memandu kenderaan umpamanya. Tidak menjadikan kita lebeh beradab terutamanya untuk memberikan tempat di dalam kenderaan awam kepada orang mengandung atau cacat. Malah dalam bulan puasa pun orang masih mencuri, memukul, dan berbagai2 perangai buruk yang dilakukan sesama sendiri.

Hal ini menunjukkan bahawa kita tidak pernah mencuba untuk mengubah dan mendidik diri kita supaya menjadi orang yang lebeh baik. Kita tidak mampu mengubah sikap dan perangai lama kita, oleh itu puasa yang diharapkan menjadi medan latihan untuk memperbaiki sifat jasmani dan rohani kita hanya memberikan rasa lapar dan dahaga saja seperti yang ditegaskan oleh baginda Rasulullah SAW bahawa "Banyak orang berpuasa yang tidak mendapat sesuatu apa pun dari puasanya kecuali lapar dan dahaga".

Ramadan yang seharusnya menjadi medan latihan setiap tahun, agar orang Islam mengubah sikap dan cara hidup, berakhlak mulia dan terpuji, nampaknya akan berlalu begitu saja tanpa memberi sebarang faedah yang baik untuk dihayati oleh umat Islam dalam kehidupannya.

Saya teringat juga akan kehakisan akhlak dan nilai moral anak2 kita sekarang ini yang sering berakhir dengan kejadian buruk dan meruntuhkan adab dan akhlak mereka, malahan melakukan maksiat dan dosa yang kecil dan besar. Hal ini agak menghairankan kerana selain dari pelajaran dan pendidikan agama dan moral di sekolah, terlalu banyak kursus dan perkhemahan diadakan dengan para penceramah yang terdiri dari ustaz ustazah, pakar motivasi dan sebagainya, malah ibu bapa pun sanggup membayar wang beratus2 ringgit setiap seorang anaknya untuk menghadiri perkhemahan dan kursus itu yang dianjurkan untuk memperbaiki iman, amalan dan akhlak anak2 muda.

Nmun hasilnya tak taulah kita sejauh manakah berjayanya. Wang telah banyak dibelanjakan oleh ibu bapa, tetapi perubahan yang diharapkan nampaknya amat sedikit. Saya teringat juga pada zaman dulu, ketika kita belum punya banyak ustaz ustazah, pakar motivasi dan seumpamanya, budak2 kampung saya nakalnya tidak menyakiti orang lain, dan tidak sampai parah seperti sekarang. Dalam bulan puasa ini umpamanya mereka yang muda2 itu hanya nakal kerana memukul gendang raya hingga pukul 2 - 3 pagi iaitu dengan tujuan untuk mengejut orang kampung bangun bersahur.

Pernah pada satu ketika, bapa saya, yang menjadi Penghulu mukim tempat kami tinggal, bangun kerana bunyi bising gendang raya di surau kami pada waktu tengah malam, lalu dia turun menuju ke surau dan mengherdik budak2 yang asyik memukul gendang raya itu, sehingga bertempiaran semuanya lari lintang pukang balik rumah. Pada masa itu Penghulu, Pak Imam dan Guru Besar ada kuasa menegur budak2 kampung, tanpa ada sesiapa yang berani membawanya ke mahkamah seperti sekarang.

Budak2 dulu habis nakal pun mungkin sekadar mencuri buah jambu Cina jiran kampung, atau kejar anjing Cina itu dengan batu, atau naik basikal sana sini tanpa tujuan. Mereka tak pernah kacau anak gadis orang, curi getah atau padi orang , apa lagi berlaku biadap terhadap orang2 tua, ibu bapa mereka, sedangkan mereka pada masa itu hanya belajar mukaddam baca juzu' 'Amma saja, dan tak pernah tahu pun khemah ibadat, kursus motivasi dan sebagainya.

Dalam bulan puasa ini nampaknya sikap pemandu kenderaan kita menjadi semakin ganas dan biadab. Potong sana sini, kiri kanan, berkejar2 memotong barisan (Q) tak tau nak bagi isyarat ke kiri atau ke kanan, bunyi hon sewenang2nya kerana menunjukkan hati marah, ikut belakang kita dekat sekali, macam nak sondol kereta kita dari belakang, duduk di lorong tengah saja ketika memandu di atas lebuh raya tiga lorong, seronok2 makan angin di lorong tengah. Ini pun termasuk dalam adab sopan, nilai akhlak dan akal budi yang seharusnya diberikan perhatian dan dihayati supaya menjadi tabiat dan adat individu dan kelompok manusia.

Memanglah zaman ini serba canggih. Manusia pun menjadi semakin pandai dan cerdik. Tetapi nilai moral dan akhlak sebenarnya sama saja macam dulu, dan ajaran agama pun samalah saja, tetapi pada hari ini kita mungkin mengambil amalan agama itu secara sambil lewa, dan disempitkan kepada fardu ain dan ibadat saja, sedangkan kelakuan kita sesama manusia, adab budi yang kita warisi dari nenek moyang kita itu tidak lagi sampai untuk dihayati dalam kehidupan moden ini.

Sebab itulah bulan puasa datang setiap tahun selagi dunia ini belum kiamat, dan segala pengajaran dari bulan Ramadan itu seharusnya dihayati sepenuhnya, bukan hanya sekadar berebut2 nak tunaikan sembahyang terawih, malah dalam berkejar2 untuk pergi kemasjid bagi menunaikan sembahyang terawih itu pun kita berlumba kereta dan potong memotong seperti orang berlumba di litar Sepang dalam F1,

Inikah hikmah dan rahsia Ramadan yang sepatutnya kita pelajari, sedangkan kita pada hari ini telah pun masuk 5 hari berpuasa!!

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....