SALAM AIDIL FITRI


1 SYAWAL 1434
SELAMAT HARI RAYA 'AIDIL FITRI

Khamis 8  Ogos 2013 permulaan Syawal 1434. Kita merayakan Hari Raya Puasa pada hari ini setelah sebulan berpuasa. Mulai hari ini, hidup dan aktiviti kita kembali normal seperti biasa, sama seperti bulan-bulan ketika Ramadhan belum menjelma dahulu.

Bagaimana pun, sama ada kita sedari atau tidak, kita umat Melayu, sememangnya amat terpengaruh dengan amalan agama kita. Adat resam, budaya hidup dan tradisi serta kebanyakan tindakan dan kelakuan orang Melayu amat banyak mendapat kesan dari ajaran dan nilai agama kita.

Oleh itu, Melayu dengan Islam tidaklah boleh dipisahkan begitu mudah sekali, dan agak mustahil untuk melihat adat tradisi dan budaya Melayu yang menyimpang jauh dari ajaran Islam.

Al-Hamdulillah, umat Islam bersama-sama menikmati keamanan dan kesejahteraan  dengan kaum lain di negara kita, ramai yang sama-sama berbuka puasa, menjamu selera dengan hidangan makanan yang amat mewah, cuma buffet Ramadhan di hotel-hotel telah meningkat begitu ketara saban tahun, dan barang kali tidak ramai yang menyedarinya. Harga sekepala tahun ini telah meningkat dari tahun lalu, dan pada tahun hadapan mungkin akan meningkat lagi!

Ketika ramai umat Islam di seluruh dunia tidak tentu makan minumnya, berbuka dan bersahur dalam bulan Ramadhan tahun ini, kerana amat sibuk dengan konflik dan kerisis masing-masing, berdemonstrasi, bertembakan, atau melarikan diri mencari tempat yang selamat, kita di negara ini, alhamdulillah, asyik menjamu selera, beribadat dan bermesra sesama kita di mana-mana sahaja. 

Inilah yang saya katakan bahawa kita amat komited dengan nilai budaya dan akhlak Islam, walau pun terdapat konflik dalam masyarakat kita, tetapi tidak dirialisasikan dengan perbuatan ganas yang membahayakan nyawa dan keselamatan jiwa sendiri, kecuali oleh beberapa kerat manusia yang inginkan demikian, tetapi mereka ini pun berhenti rehat sekejap di dalam bulan puasa ini.

Harap selepas selesainya beribadat dalam bulan puasa dan kini sampai masanya merayakan kemenangan serta kejayaan kita melawan nafsu, maka angin-angin kekacauan yang telah bertiup kencang dalam masyarakat kita sebelum ini, tidak akan berulang lagi, Jangan hanya cuba bersabar dan menjadi rasional dalam bulan Ramadhan sahaja, tetapi hendaklah dihayati selepas bulan Ramadhan ini seterusnya. Kita mengetahui erti keamanan dan kesejahteraan, kemewahan dan keamanan, mengapa mencari kehancuran dan kemusnahan, kerisis dan kekacauan?

 Selamat Hari Raya. Mohon ambil yang jernih dan buangkan yang keruh.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....