ALLAH YARHAM AZIZAN DAN ALAM PENDIDIKAN


Azizan telah meninggal pada 26 September 2013 setelah berjuang melawan penyakitnya selama beberapa bulan dalam dua hospital, Pulau Pinang dan Alor Star.

Saya melawatnya ketika dia berada di hospital Pulau Pinang, tetapi hanya dapat melihatnya melalui cermin dari luar bileknya, kerana dia hanya baru dua tiga hari masuk hospital, tidak sedar dan amat keritikal. Pada petang hari itulah kedua-dua belah kakinya dipotong kerana jangkitan kuman.

Saya pergi melihatnya semula di hospital Pulau Pinang. Dia telah sedar, dan hanya mampu tersenyum melihat saya, tanpa berkata sesuatu.

Kali ketiga, saya pergi melawatnya di hospital Alor Star. Dia mampu tersenyum melihat saya, namun saya tidak mendengar suaranya, dan saya juga tidak mempu menahan kesedihan, lalu segera meminta izin dan meninggalkannya.

Lawatan saya di hospital Alor Star ini mengingatkan saya ke saat kesunyian dan keghaibannya tidak sedarkan diri  ketika saya melihatnya di hospital Pulau Pinang pada 7 Mei 2013, dan senyumannya yang mulai terukir di bibirnya ketika saya melihatnya kali kedua di hospital yang sama sebelum dia dibawa pulang ke hospital Alor Star.

Kini dia meninggalkan banyak kenangan kepada semua orang yang mengenalinya, dan saya mulai dapat mengimbas kembali kehidupan kami ketika bersama-sama belajar di Maahad Mahmud, atau Maktab Mahmud Alor Star dulu. Dia "junior" saya 4 atau 5 tahun di Maktab Mahmud.

Ketika bertemu akhir-akhir ini, sebelu terlantar di hospital, dia juga pernah mengingatkan kembali saat-saat manis ketika kami berada di Maahad, tinggal di pondok, makan tengah hari berlaukkan gulai Mak Jah, bergurukan Ustaz Noh yang suka berjenaka, Ustaz Saad yang bersuara garau, Syaikh Adnan yang lemah lembut, dan berbagai kenangan lain, termasuk pengetua Maahad, Shaikh Halim yang membawa kemodenan di sekolah Arab kami ini.

Kami sekali lagi bertemu di Mesir sebagai pelajar di Universiti Al-Azhar, termasuk pelajar-pelajar dari Kedah keluaran Maahad, Yusuf Ismail, Zainon Embun, Shaikh Abdul Razak, Fadhil Nor dan lain-lain.

Akhirnya kami berpisah buat sementara, kerana masing-masing meneruskan pengajian. Dia melanjutkan pelajaran ke UK dalam bidang undang-undang Islam di Kent University, dan saya ke St. Andrews Universiti melanjutkan pengajian saya di peringkat ijazah PhD.

Ketika saya kembali ke UKM semula, dia telah pun bertugas sebagai Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, dan sekali lagi kami bertemu.

Dia serius mengajar, suaranya nyaring, kadang-kadang pemanas dan amat kuat berhujah di dalam Mesyuarat Fakulti, termasuk ketika saya menjadi Dekan dan mempengurikan Mesyuarat Fakulti. Tetapi dalam menegakkan hujah dan pandangannya dengan suara yang tinggi dan kelihatan panas itu, sebenarnya dia amat banyak bergurau dan menggelikan hati dengan cerita-cerita lucunya, serta gelak ketawanya yang melembutkan semula hatinya dan cara percakapannya.

Itulah orangnya, Allah Yarham Azizan Abdul Razak yang saya kenali selama jangka masa yang agak lama itu, dengan kelucuan dan sikap seriusnya, tetapi ternyata bahawa dia adalah seorang yang amat komited terhadap pendidikan dan pelajaran, terutamanya ketika mengajar di UKM.

Dia pernah dipinjamkan ke Mindanau State Universiti, Filipina, dan ketika dia berada di sana dia pernah mengundang kami dari Fakulti Pengajian Islam, Riseap dan Perkim, untuk mengambil bahagian dalam Konggeres di sana anjuran Universiti tersebut.

Saya turut ke sana menghadiri Persidangan tersebut, dan ternyata bahawa dia mempunyai karier akademik dan kepimpinan yang berkualiti, kerana dia amat dihormati oleh kawan-kawan sekerjanya di dalam Universiti tersebut.

Ketika menyertai politik secara aktif, dia masih menghayati kehidupan berilmunya yang mantap, dan sentiasa mempunyai kualiti kepemimpinan yang mementingkan ilmu pengetahuan.

Ketika menjadi Menteri Besar Kedah, dia mempelawa saya menjadi anggota Lembaga Pengarah INSANIAH. Saya mengajaknya melupakan ideologi politik di dalam institusi akademik ini, dan dia menyebut kepada saya bahawa dia sememangnya tidak mencampur adukkan antara politik kepartian dengan program akademik Insaniah ini.

Dia menganjurkan beberapa kali persidangan antarabangsa di Langkawi dan mengundang Tun Mahathir sebagai pembicara Ucapan Utama, kemudian bergurau dan duduk bersama dengan Tun dalam persidangan akhbar serta minuman teh. Amat mesra sekali.

Sikapnya yang terbuka dan profesional dalam kerjaya politik dan pemimpin akademik, menjadikan Azizan sentiasa lahir sebagai seorang yang berilmu dan berakhlak, menghayati nilai-nilai Islam yang tinggi, disamping mengendalikan tugasnya dengan adil dan saksama.

Kematiannya disambut dengan rasa sedih dan dukacita oleh kawan dan lawan, iaitu kawan dan lawan dalam politik, tetapi mungkin keseluruhan kawan dan lawannya tidak merasa terguris dengan sebarang permusuhan, kerana sepanjang ingatan saya, dia tidak pernah bermusuh dengan orang secara peribadi, dan tidak mengecam batang tubuh orang lain secara melulu.

Ketika saya melawatnya, selama tiga kali, saya selalu mendoakan agar dia sembuh segera, kerana tanpa kaki, kita tidak merasa rugi sedikit jua pun, kerana pemikiran dan pengetahuannya tidak terjejas dengan kehilangan kakinya,

Tetapi Allah SWT lebih berkuasa, dan Allah sentiasa mentakdirkan sesuatu yang terbaik bagi hamba-Nya, maka Tan Sri Azizan, dipanggil-Nya terlebih dahulu, kembali kepada-Nya dengan aman dan damai.

Semoha Allah mencucurkan rahmat-Nya ke atas ruh arwah Ustaz Azizan...AL-FATEHAH...

Innalillah wa inna ilaihi raji'un.


Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....