GENERASI PELARIAN PERANG




KEMUSNAHAN GENERASI MUSLIM AKIBAT PEPERANGAN

Generasi Muslim pada hari ini menjadi pelarian perang, akibat dari meletusnya peperangan di negara-negara Islam, sama ada peperangan saudara yang berlaku di sesetengah negara Arab dan Afrika Utara, serangan dari kuasa luar yang juga berlaku di sesetengah negara tersebut, malah kelahiran kumpulan-kumpulan militen yang mengganas di negara-negara Islam juga dengan berbagai-bagai nama yang menjadi lambang keganasan dan terkenal di merata-rata dunia.

Satu umat dan sebuah negara akan hancur dan musnah dengan musnahnya satu atau dua generasi umat itu, sama ada dengan pembunuhan, peperangan dan sebagainya. Dan umat Islam sekarang sedang menghadapi zaman kemusnahan ini dengan bertambahnya jumlah generasi baru yang terpaksa lari menyelamatkan diri mereka dari kekejaman perang di negara sendiri, iaitu dengan menjadi pelarian perang, yang angkanya sekarang ini telah melampaui jutaan orang dari negara-negara Timur Tengah sahaja.

Pelarian perang yang bertindak meninggalkan negara mereka, dari Iraq, Syria, Libya, Palestin, dan sekarang Yaman, merupakan generasi muda yang terbengkalai bidang pendidikannya. Mereka terpaksa menjadi pelarian perang kerana menyelamatkan nyawa mereka, dan dalam proses ini mereka tidak mengetahui di manakah sekolah, kolej atau universiti mereka. Tidak kisah lagi tentang pelajaran, buku, guru apa lagi ilmu yang seharusnya mereka pelajari, seperti pelajar-pelajar lain di dalam negara yang aman dan damai.

Pendidikan bagi mereka merupakan satu perkara yang lepas, tidak sepenting nyawa dan kesejahteraan mereka serta keluarga mereka. Mereka akan melarikan diri ke dalam khemah-khemah pelarian, tanpa sekolah dan institusi pendidikan, tanpa guru dan pensyarah, malah bagi mereka keperluannya ialah menyelamatkan nyawa, mendapat perlindungan dari hujan dan panas, mendapat makanan ala kadar untuk menyambung kehidupan, malah amat bahagia sekali sekiranya dapat berdampingan dengan ibu bapa dan adik beradik mereka.

Maka dalam keadaan inilah, umat Islam akan mensia-siakan kehidupan generasi muda mereka, dan mungkin bukan hanya satu generasi sahaja, kerana masa pelarian mereka hingga kini telah bertahun-tahun berlalu. Peperangan di Iraq bermula sejak lebih sepuluh tahun yang lalu. Syria lebih empat tahun, Palestin sepanjang hayat mereka, Yaman bertahun-tahun juga mengalami peperangan saudara, demikian juga di negara-negara lain lagi di Timur Tengah dan Afrika Utara.

Umat Islam akan terus menerus mengurbankan usia dan jangka hayat generasi muda mereka menjadi pelarian perang, tinggal di rantau orang tanpa pendidikan untuk mencari ilmu pengetahuan sebagai bekalan bagi membina umat ini dan membangunkan tamadun mereka.

Hasrat umat Islam untuk membentuk generasi yang berilmu, beriman, berhikmah dan bertamaddun seperti yang di doakan oleh Nabi Ibrahim di dalam surah Al-Baqarah ayat 129 akan musnah begitu sahaja tanpa dapat di realisasikan untuk kekuatan, kesejahteraan dan peradaban umat ini pada masa yang akan datang.

Kita yang sedang berada di dalam sudut dunia yang agak aman tenteram ini, haruslah berhati-hati menjaga keamanan kita, kerana sebuah negara akan jatuh ke kancah kemusnahan sekiranya keadaan di dalam negara itu tidak mengalami ketenteraman dan kesetabilan di dalam bidang sosial, ekonomi dan politiknya, maka ancaman ketidak setabilan itulah yang sedang mengancam negara kita kini.

Keadaan negara yang tidak setabil akan mengakibatkan ancaman dan cabaran yang amat besar kepada kesejahteraan hidup kita, berkeluarga, berjiran, termasuk bekerjasama dalam membina negara dan bangsa kita, malah dalam membangunkan pendidikan yang baik, nilai-nilai kehidupan yang murni, pembinaan ilmu dan hikmah serta pembangunan tamadun sendiri sebagai satu umat dan bangsa, semuanya akan musnah dan hancur dengan keadaan negara yang tidak tenteram serta tidak setabil.

Kita haruslah mempelajari banyak perkara dari tragedi yang menimpa umat kita, kemusnahan negara dan bangsa yang melanda saudara-saudara seagama kita, dan kemusnahan serta penderitaan yang di alami oleh mereka dalam segala aspek kehidupan mereka.

Kita juga haruslah sedar bahawa pada masa kini banyak negara yang sedang mengalami kehancuran, dan negara yang masih aman akan diusahakan oleh musuh-musuh mereka untuk di ganggu gugat kesetabilannya. Apabila sebuah negara itu tidak setabil, atau sebuah rantau berjaya di ganggu kesetabilannya, maka amat mudah sekali negara itu di jajah dengan berbagai-bagai bentuk penjajahan yang mengancam kedaulatan, keamanan, kesejahteraan, tradisi dan budaya serta agama umat itu. Berhati-hatilah.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....