FROM TURKEY WITH LOVE !
CATATAN DALAM PENERBANGAN
Perjalanan jauh memang berat dan menjemukan. Perjalanan yang saya lalui dari KL ke Istanbul ini pun memakan masa yang lama, 10 jam 25 minit dalam penerbangan. Semasa saya menulis catatan ini, pesawat MAS MH 30 ini telah terbang kira-kira 7 jam setengah, baki kira-kira 3 jam lagi sebelum mendarat di lapangan terbang Istanbul, insya’Allah.
Pesawat yang sepatutnya berlepas pada jam 12.30 tengah malam tadi, telah terlewat hampir sejam kerana pintu tempat meletak kargo di bahagian bawah pesawat tidak dapat ditutup rapat, sehingga terpaksa dibetulkan semula oleh jurutera, yang memakan masa hampir sejam. Sayangnya kapten pesawat hanya memberitahu para penumpang bahawa kelewatan ini adalah disebabkan oleh masalah “teknikal yang kecil”. Saya mendapat tahu tentang masalah teknikal ini dari pramugara pesawat, setelah saya bertanya kepadanya apakah sebenarnya masalah teknikal itu. Namun begitu, saya juga memahami etika penerbangan yang melarang kepten memberitahu penumpang tentang masalah teknikal ini.
Alhamdulillah, sepanjang perjalanan hingga kini, pesawat telah terbang dengan lancar, sekali-sekali saja saya merasa gegaran pesawat kerana udara yang kurang baik, tetapi di antara tidur dan jaga, saya termimpikan katil dan tilam yang empok di rumah dan tidur bertemankan orang kesayangan di sebelah, tetapi kini tidur berbantalkan besi keras dan “katil kecil” yang hanya muat untuk badan yang “bengkok” dan “kerekot” menyakitkan belakang dan tengkok. Inilah sebahagian dari “seksaan” perjalanan yang pernah diolahkan oleh Imam Syafi’e dalam syairnya.
Bagaimana pun semuanya ini tertebus dengan layanan baik keluarga pesawat, makanan dan minumannya, kemesraan dan keperihatinan mereka amat jelas, sehingga rasanya kerana itulah MAS telah banyak kali menjadi pilihan untuk menerima anugerah istimewa..
Ketika saya menulis catatan ini, waktu subuh baru saja masuk. Hal ini dikabarkan kepada saya oleh pramugara yang menunjukkan saya tempat sembahyang, yang juga telah tersedia sejadahnya mengadap kiblat di satu kawasan antara kelas ekonomi dan kelas perniagaan. Setahu saya pihak penerbangan MAS telah lama menyediakan kemudahan untuk bersolat di dalam pesawat, dan saya beranggapan bahawa kemudahan solat ini dengan sendirinya menunjukkan refleksi Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang komited kepada ajaran agama, seperti yang di jelmakan juga dalam Perlembagaan, dan dasar pemerintah dalam membangunkan Islam dalam segala aspek pembangunan negara, kehidupan berekonomi, pendidikan, sosial dan keluarga, media, politik, ibadat, akidah, syariah dan akhlaknya.
Banyak juga pesawat negara Islam lain yang rasanya tidak memberikan perhatian tentang tuntutan agama ini, iaitu menyediakan kemudahan tempat sembahyang kepada penumpangnya, sehingga para penumpang terpaksa bersolat di celah-celah tempat duduk.
Mungkin hal ini dirasakan tidak perlu oleh pihak berkuasa penerbangan negara Islam itu. Malah kita sering juga melihat kemudahan sembahyang ini hanya disediakan sekadarnya sahaja di lapangan terbang tertentu di negara-negara Islam yang tertentu, malah untuk mengambil wuduk pun ramai jemaah yang terpaksa menggunakan bilik air sebagai tempat berwuduk. Tetapi kita amat perihatin dengan hal ini.
Berbalik kepada pemergian saya ke Ankara ini, sebenarnya saya telah menghantar sebuah kertas penyelidikan tentang globalisasi dan kesan serta potensinya kepada negara-negara Islam serta para penyelidik Islam di universiti dalam negara Islam sendiri. Malah telah saya jelaskan juga minat para penyelidik bukan Islam di negara-negara Eropah, terutamanya ketika menerajui IKIM dulu dengan menganjurkan persidangan dan seminar secara bersama dengan negara-negara Barat, maka penyelidik bukan Islam itu telah menunjukkan minat yang tinggi untuk mengkaji dengan lebeh lanjut tentang perkembangan globalisasi dan kesannya kepada nilai-nilai moral dan etika yang kelihatannya agak negatif di dalam dunia Islam sendiri, sedangkan globalisasi bukanlah satu perkara yang asing dalam sejarah perkembangan Islam sendiri yang di bawa oleh Rasulullah SAW, seperti yang ditunjukkan oleh baginda ketika memetraikan perjanjian Madinah dengan orang bukan Islam, juga konsep kesejagatan agama Islam sendiri yang jelas tersebut di dalam al-Quran mengenai kejadian manusia yang berbagai-bagai puak, dengan kepelbagian bahasa dan warna kulit serta lain-lain elemen kesatuan umat manusia ini.
Oleh kerana pesawat sedang bersiap-siap untuk mendarat di lapangan terbang Istanbul, maka saya buat sementara ini hanya dapat mencongak-congakkan saja pokok persoalan mana yang hendak saya bentangkan nanti kerana masa yang diberikan kepada setiap pembentang hanya 20 minit sahaja.
Bagaimana pun, saya amat berharap akan mendapat respon dan pandangan yang bernas dari para peserta yang terdiri daripada para ahli akademik dan penyelidik dari timur dan barat itu. Manusia adalah merupakan makhlok Allah yang tertakluk kepada proses pembelajaran seumur hidup seperti yang diterangkan oleh baginda Rasulullah SAW, oleh itu saya rasa saya juga harus meneruskan pembelajaran ini.
Comments
Post a Comment