ISU TEGUR MENEGUR
Oleh kerana Islam menggesa umatnya supaya berpadu dan bersatu, bermuafakat dan sentiasa bermusyawarah sesama mereka, maka Rasulullah SAW memberikan panduannya supaya sesiapa yang menyaksikan kemungkaran berlaku di tangan sesiapa pun di dalam masyarakatnya, hendaklah ada pihak yang mencuba untuk membetulkan hal itu, dengan tujuan menghentikan kemungkaran yang sedang berlaku. Cara memberikan teguran dan percubaan untuk membetulkan kesalahan itu boleh lah dilakukan melalui tangannya (perbuatan,kuasanya) perkataan dan pengucapan serta penulisan umpamanya, atau dengan bantahan atau mengingkari akan perbuatan yang salah itu hanya di dalam hatinya sahaja, bergantung kepada kemampuan pihak yang mahu membetulkan kemungkaran itu. Hal tegur menegur dan percubaan membetulkan sesuatu perbuatan salah inilah yang saya rasakan berlaku di dalam masyarakat Islam sekarang ini, yang amat sukar difahami oleh umat Islam sendiri tentang perlaksanaannya dan sikap serta falsafah tegur menegur itu...