Thursday, February 19, 2015

PERSIDANGAN: MEMERANGI KEGANASAN



RABITAH AL 'ALAM AL ISLAMI


Akhirnya Pertubuhan Lega Islam Sedunia (Al-Rabitah) yang beribu pejabat di Makkah Al Mukarramah telah mengambil keputusan untuk menganjurkan satu persidangan antarabangsa tentang memerangi keganasan.

Persidangan itu akan diadakan di ibu pejabatnya di Makkah pada 3 - 5 Jamadil Awwal ((22 - 24 Februari 2015) dengan dihadiri oleh semua wakil Lega tersebut dari seluruh dunia.

Saya menghadirinya sebagai salah seorang wakil dari Malaysia, juga atas sifat saya sebagai anggota Majlis Tertinggi Masjid Sedunia di bawah Lega ini.

Pada tahun lalu, Lega ini menganjurkan juga satu persidangan lain dalam peringkat yang sama, iaitu dengan tema yang membicarakan tajuk Kesepaduan dan Kesatuan Ummah.

Pengisian Persidangan amat baik. Ilmiah, berhikmah dan luas sekali skop perbicaraannya, dengan beberapa personaliti akademik, ulamak dan pendakwah dunia Islam.

Dari segi inputnya, amat banyak bahan yang di kemukakan. Pengisian dari ajaran Al-Quran dan Hadith, semuanya memfokuskan kepada tajuk perbincangan, iaitu kesepaduan dan kesatuan Ummah.

Persidangan tahun ini juga saya menjangkakan bahawa para pembicara dan peserta akan membincangkan isu keganasan, ekstrimisme dan radikalisme secara meluas dan menyeluruh. Tentunya akan terdengar lagi hasil kajian dari sumber-sumber utama syariah, akhlak, dan tamaddun Islam akan di perkatakan dengan cara yang amat komprehensif sekali.

Pembicaraan menyerlahkan ufuk pemikiran sarwajagat atau world view dan tasawwur al-Islami yang holistik, dan yang konkrit mempersembahkan idea pembicaraan yang bersifat Islamik dan bersandarkan kepada asas-asas tamaddun dan peradaban Islam yang amat mendalam.

Saya menjangkakan bahawa dalam Persidangan kali ini banyak isu semasa yang akan dibicarakan termasuk isu perpecahan umat Islam di negara-negara Islam sendiri, pertumpahan darah yang amat sangat, peperangan saudara yang mengakibatkan ribuah dan jutaan pelarian perang, kemusnahan infra struktur negara yang terlibat dan ketidak setabilan ummah serta ekonomi dan sosial negara dan dunia Islam sendiri.

Hal ini tentunya akan berlarutan kepada pembicaraan tentang kelahiran kelompok dan golongan ekstremis dan ganas, ISIS, Boko Haram, Jihadis dan sebagainya yang telah menyebabkan kemusnahan dan kerosakan nilai-nilai kemanusiaan, keruntuhan tamadun dan akhlak, pembunuhan dan pertumpahan darah yang begitu banyak sekali, di tambah pula dengan keganasan Israel sendiri yang amat banyak sekali mengorbankan nyawa ummah yang tidak berdosa serta berusaha menjatuhkan imej dan nama baik Islam itu sendiri.

Seorang "tokoh" yang akan disentuh tentunya Abu Bakar al-Baghdadi yang memahkotakan dirinya sebagai Ketua negara Islam Iraq dan Lebanon yang menjadi simbol dan perjuangan jihadis di kawasan Asia Barat sejak 2013 lagi.

Membicarakn gerakan radikal dan militan amat menarik dan semua peserta mungkin mempunyai pentafsiran dan analisisnya sendiri. Kupasan dan komen amat banyak, dan segala persoalan tentang "Apa" dan "Siapa" mungkin terjawab dengan baik, tetapi isu penyelesaian dan "problem solving" mungkin agak sukar di perolehi jawapannya. Malah untuk mengetahui dan mendapatkan maklumat tentang tajuk perbincangan mungkin amat mudah, sehingga semua orang akan tahu dan maklum, namun masalah perlaksanaan dan penyelesaian masalahnya itu lah yang agak sukar sekali di bicarakan.

Kita, umat Islam, banyak mengetahui dan sedar akan ajaran dan pengisian Islam, akidah, syariah dan akhlaknya, Iman, Islam dan ihsannya, mengetahui perintah dan larangan Allah dan Rasul-Nya, menghafal ayat-ayat dan teks hadis yang banyak tentang dosa pahala, jihad dan perang, keamanan dan perdamaian, kesatuan dan kekuatan ummah, tetapi mengetahui dan mendalami ilmu itu adalah satu perkara, namun melaksanakan dan mempraktiknya itulah yang sukar.

Orang Islam mudah mengetahui dan mendapatkan ilmu atas kertas dan teorinya, tetapi ramai umat Islam yang mengetahui dan mendalami ajaran Islam, namun tidak mahu mengamalkannya.

Sebab itulah Allah berfirman "
"Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu berkata-kata sesuatu yang tidak kamu lakukan, amat besarlah dosanya di sisi Allahg, bahawa kamu berkata sesuatu yang tidak kamu lakukan.....

Apa-apa pun, saya amat memandang ke hadapan dengan penuh harapan untuk menimba ilmu dari Persidangan yang tersebut...insya' Allah. 


Friday, February 13, 2015

KEMBALINYA SEORANG TOKOH


PERGINYA TOK GURU NIK AZIZ

Saya menjadi KP IKIM dari tahun 1992 hingga 2002. Dalam tempoh yang tersebut MB Kelantan Tuan Guru Datuk Haji Nik Aziz pernah mempelawa IKIM untuk menjadi penganjur seminar kebangsaan tentang kewangan Islam di Kota Bharu dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan. 

Seminar tersebut telah di adakan di ibu kota Kelantan dan di hadiri oleh ADUN dan MP yang di jemput khas oleh MB. Allah Yarham sendiri menghadiri dan mengikuti semua perbincangan di dalam Seminar tersebut.

Semenjak waktu yang tersebutlah saya dan Tok Guru menjadi teman yang agak rapat, terutamanya apa bila saya berkahwin dengan orang Kelantan dalam tahun 2008 dan sering juga bertemu beliau ketika saya berkunjung ke Kelantan, iaitu ketika menghadiri majlis perkahwinan keluarga Isteri dan perjumpaan Hari Raya dan sebagainya. Beliau masih dapat mengecam wajah saya dan mengingati segala sesuatu mengenai Seminar bersama yang kami anjurkan itu, meskipun masanya telah berlalu agak lama.

Kalau beliau duduk di dalam satu majlis, selalunya kerusi di sekeliling beliau kosong kerana tetamu yang datang agak malu, atau hormat, atau kerana sebab-sebab lain lagi yang tidak saya ketahui, enggan duduk bersebelahan dengannya. Sayalah yang sering duduk di sebelahnya. Tetapi kami tidak pernah berbicara tentang politik kepartian atau aktiviti politik beliau.

Kini sekurang-kurangnya satu peristiwa itu sahaja sudah cukup menyentuh hati dan perasaan saya ketika mendengar berita bahawa beliau telah pun kembali ka rahmatullah, menyahut panggilan Allah SWT yang maha kuasa, walau pun sebenarnya saya pernah juga melawatnya di Hospital USM akhir-akhir ini, sama sehari dengan lawatan yang dibuat oleh saudara Dato Dr Harun Din, kawan rapat saya, tetapi kami hanya berselisih jalan, hanya dapat melihat di dalam buku catatan pelawat sahaja.

Usaha arwah amat besar dalam menyebarkan ilmu agama, mengajar sehingga ke saat-saat akhir hayatnya, menasihati dan membimbing sesama Islam di mana-mana sahaja dengan penjelmaan watak dan ilmunya yang tinggi.

Namun arwah sebagai seorang ilmuan dan alim, adalah juga seorang ketua parti dan ketua Negeri, maka komen-komen dan fikiran yang dikeluarkannya sering tidak dapat dibezakan oleh orang yang mendengarnya. Bukan hanya ucapan atau kenyataannya, tetapi dalam beberapa hal terdapat juga tindakannya yang di salah ertikan oleh orang awam, sehingga ketokohannya sering di persoalkan oleh orang ramai, tanpa melihatnya dari perspektif ilmu, politik atau peribadi.

Inilah sebenarnya kenyataan yang harus di hadapi apa bila seorang alim menyertai parti politik yang kita warisi dari sistem penjajahan, iaitu politik yang terbuka, dan parti politik yang pada umumnya berlandaskan dasar dan nilai-nilai demokrasi Barat.

Hal yang sama juga berlaku ketika seorang ahli akademik menyertai politik begitu. Namanya akan tercemar sekiranya dia tidak berhati-hati mengeluarkan kenyataan dari aspek politik, malah kadang-kadang terheret juga ke dalam politik taksub dan partisan yang melampau.

Bagaimana pun Arwah Tok Guru Nik Aziz sering juga bersandarkan kepada dalil dan nas Al-Quran dan Hadis ketika beliau mengeluarkan hujah-hujah politiknya. 

Namun kini beliau telah pergi buat selama-lamanya, maka kita seharusnya lebih bersikap ikhlas dan ihsan kepada ruhnya, ambillah segala-segalanya sebagai satu amal jariah Allah Yarham, dan Allah akan sentiasa memberikan ganjaran kepadanya.

Janganlah disebut atau diungkitkan lagi segala perbezaan individu beliau, ketokohanya tidak dapat ditandingi dengan mudah, dan  kehilangannya sukar dicari ganti,

Inna Lillah Wa Inna Ilaihi Raji'un
Al Fatehah.  

Sunday, February 8, 2015

Majlis Agama Islam Negeri- Negeri Perlu Selaraskan .....






Bubarkan Perkahwinan Sebelum Menganut Islam


Demikianlah keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan yang disiarkan oleh media pada hari ini dan mendapat sanjungan banyak pihak sebagai satu jalan bagi menyelesaikan masalah yang timbul selama ini di negara kita sehingga terbawa-bawa ke dalam mahkamah.
Memang dari segi konsep cadangan ini nampaknya merupakan satu penyelesaian yang baik, tetapi dari segi kesatuan dasar yang seharusnya mencerminkan kesepaduan umat Islam di negeri-negeri di Malaysia adalah agak menyimpang dari ruh kesatuan Islam dan kesepakatan ummah kita, apa lagi yang melambangkan imej Islam yang merupakan agama Persekutuan di dalam Perlembagaan kita.
Saya berpendapat bahawa satu langkah penyelarasan dan korordinasi di antara semua Majlis Agama Islam Negeri haruslah di usahakan agar kesatuan pemikiran dan pendirian yang sama oleh semua negeri dapat diperolehi sebagai satu suara pihak berkuasa agama keseluruhannya di negara kita.
Keputusan seperti ini sebenarnya mungkin membuka ruang yang lebih luas kepada perselisihan faham dan pendirian di antara Majlis-Majlis Agama Islam Negeri di negara kita kerana dari awalnya tidak di perolehi kata sepakat dan pendirian bersama yang berasaskan hukum dan amalan agama kita, yang mungkin  melibatkan fatwa atau prinsip dan dasar Islam yang tertentu.
Negara kita mempunyai badan-badan tertinggi dalam menyelaraskan isu-isu hal ehwal Islam seperti Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Fatwa Kebangsaan. MKI di pengerusikan oleh YAB Perdana Menteri dan dianggotai oleh wakil-wakil negeri. Majlis Fatwa Kebangsaan pula dianggotai oleh semua Mufti negeri. Maka badan ini haruslah terlibat dalam menggubal satu peraturan dan keputusan yang melibatkan pengurusan serta perlaksanaan hal ehwal Islam seluruhnya di negara ini sebagai satu langkah strategik bersama di antara agensa-agensi agama Islam di seluruh negara.
Kita semua sedar akan agenda liberalisme dan ancaman medianya  yang amat cenderung mencabar akan kesatuan dan kekuatan ummah Islam dan agamanya sekarang ini. Maka untuk mengelakkan cabaran itu kita perlulah sentiasa menyusun agenda kita yang lebih menggambarkan kesatuan umat kita dalam isu-isu keagamaannya.

Tuesday, February 3, 2015

KENYATAAN DR TARIQ RAMADAN DAN PERMAINAN MEDIA....



Dr Tariq Ramadan ketika menyampaikan ucapannya dalam satu kongres "Islam Rahmatan Lil 'Alamin" di Kuala Lumpur pada 1 Februari 2015 menegaskan bahawa orang Islam di Malaysia  yang mengkeritik pihak Barat haruslah mencerminkan muka sendiri terlebih dahulu dengan mengakui akan perlakuan yang tidak adil terhadap orang bukan Islam di negara mereka sendiri.

Teks yang saya baca berbunyi begini di dalam bahasa Inggeris {Malaysian Muslims complaining of discrimination by the West should first acknowledge the injustices against minoroties in their own country}

Dalam konteks ini Malay Mail online meletakkan tajuk berita "Look in the mirror, Muslim don tells Malaysians critical of Western discrimination"

Masalahnya :
*Kenyataan beliau tentang western discrimination terlalu umum
*Apakah western discrimination itu dapat disamakan dengan kenyataannya bahawa orang Islam di Malaysia juga sebenarnya melakukan diskriminasi terhadap orang bukan Islam? Dari sudut apa? Peringkat mana? Apakah orang Islam sahaja yang bertindak demikian dengan menginayai orang bukan Islam yang seolah-olah telah lemah dan dhaif, tidak berdaya dan tidak punya hak sama sekali?
*Beliau juga memetik kenyataan yang amat kontraversial tentang non-Muslim di Malaysia yang di tulis di dalam teks berita tersebut "speaking in defence pluralism, Swedish academic Dr Tariq Ramadan recounted anecdotes from non-Muslims here that they are being treated  as "second class citizens", which he said contradicted principles of Islam"........"If you want to be good Muslims, instead of preventing people from believing, you become better believers....."
*Betulkah kenyataannya, malah jika di bandingkan dengan diskriminasi di dalam negara asalnya sendiri, Mesir, apakah kita di sini tidak punya kebebasan? Atau kita di sini terlalu zalim terhadap orang bukan Islam?
*Hari ini hari cuti umum, Thaipusam, harap beliau dapat meninjau sendiri kebebasan beragama yang ada, dan tidak lama lagi Hari Tahun Baru Cina, malah harap dapat lah Dr Tariq Ramadan mengelilingi negara kita melihat rumah ibadat berbagai kaum......
*Lebih serius lagi beliau dapat meneliti Perlembagaan kita, malah mengikuti keputusan-keputusan Mahkamah yang dibuat dalam kes-kes yang melibatkan agama.....
*Beliau juga seharusnya memberikan kenyataan yang lebih akademik dan praktikal tentang Pluralism agama yang disentuhnya itu....Apakah definisi dan amalannya, apakah kelemahan dan penyelewengannya....??
Saya mungkin tidak sama ilmunya dengan beliau, oleh itu terserahlah kepada umat Islam di negara kita sendiri mengadili ucapannya secara menyeluruh.
Mungkin kita perlu meneliti ucapan beliau sepenuhnya, iaitu dalam usaha mencari kebenaran dan pembohongannya, tetapi kenyataan dan berita yang dibuatkan ini sebenarnya telah menyebabkan kegelisahan tanpa sebab, malah membawakan satu persepsi yang negatif, atas nama sarjana Islam dari luar negara itu sendiri...Itulah kerja media kita sendiri....Apakah dengan perlakuan ini kita masih tidak punya kebebasan??



Pageviews last month