Tuesday, October 29, 2013

TPM MEMOHON MAAF




DENGARLAH UCAPAN HATI NURANI SESAMA INSAN


Seringkali kita mendengar bisikan perasaan dan hati nurani yang ikhlas dari seorang terhadap seorang yang lain. Banyak kali kita membaca pengucapan yang menyentuh perasaan dan hati kecil kita di dalam akhbar, walau pun kata-kata itu hanya kita dengar dari orang yang tidak kita kenali.

SMS seorang suami yang dihantar kepada isterinya memesan supaya memakan ubat sebelum si suami menemui maut akibat dari kemalangan jalan raya, amat mengusik perasaan kita. SMS itu juga memesan supaya isterinya makanlah dulu kerana dia lambat balik. Rupa-rupanya memang dia tidak kembali lagi sebagai seorang yang bernyawa.

Sebelum ini seorang wanita yang menjadi mangsa tembakan ngeri dari seorang pengawal keselamatan di dalam bank, juga telah menelefon suaminya bertanyakan apakah suaminya menyangi dia? Suaminya tidak menyangka bahawa pertanyaan itu adalah merupakan pertanyaan terakhir dari isterinya, yang masih boleh disuarakan, kerana kemudiannya suara dan perasaannya itu telah lenyap dari dunia ini, kerana dia menjadi korban peluru dari seorang pengganas yang tidak berperi kemanusiaan itu.

Allah SWT sahaja yang mengetahui apakah perasaan dan bisikan hati dari orang yang menelefon atau menghantar sms di dalam episod hidup dari dua contoh di atas. Allah SWT juga yang mengetahui apakah perasaan orang yang menerima panggilan dan pesanan ringkas itu. Ini semua adalah kekuasaan Allah, kerana hati dan perasaan manusia sentiasa di kawal oleh Allah Maha Pencipta.

Suami yang saban pagi membawa beg isteri dan menghantarnya ke kereta, mengiringinya sehingga dia berlalu ke sekolah dan hilang dari penglihatannya (dalam bayangan saya) tetapi pada hari kematiannya itu dia hanya meletakkan beg isterinya ke dalam kereta, kemudian meninggalkan rutinnya mengiringinya hingga ke kereta, sebaliknya berpaling dan pergi mengadap peti tv menonton rancangan agama kegemarannya.

Suami yang kehilangan isterinya di bank, tidak menjawab pertanyaan isterinya, apakah dia menyanginya, sebaliknya berdiam diri sahaja mengikut berita akhbar. Namun berdiam diri, mungkin di dalam hatinya meluap-luap perasaan sayang dan cintanya kepada isterinya, tetapi tidak diucapkannya.

Pertanyaan yang tidak berjawab itulah yang mengiringi pemergian isterinya untuk selama-lamanya.....

Namun itulah jalinan hati dan ruh manusia sesama manusia. Penuh berwarna warni dengan berbagai-bagai rasa dan bisikkan kerohanian yang tidak dapat diduga. 

Saya teringat dalam konteks ini bagaimana Timbalan Perdana Menteri kita yang memohon maaf kepada ahli keluarga Allah Yarham Tan Sri Azizan, arwah Menteri Besar Kedah, sekiranya ucapan nya yang disampaikannya dua tiga hari yang lalu telah menyentuh perasaan ahli keluarga Allah Yarham.

Harap orang yang menerima ucapan itu tidaklah memandang sepi sahaja, sebaliknya terimalah permohonan maaf itu dengan ikhlas dan suci hati.

Kita sendiri kadang-kadang tidak mempunyai sebarang niat untuk menyentuh perasaan orang, tetapi ada kalanya sesuatu yang tidak kita niatkan itu, telah disalah ambil dan disalah terima, atau tidak kita sedari kesilapan kita. Oleh itu kedua-dua belah pihak haruslah kembali kepada kekuasaan Allah dan kudrat iradat-Nya yang mengawal segala perasaan dan perbuatan kita, mengikut kehendak-Nya sekali pun kita kelihatan pada lahirnya amat menguasai perkataan dan perilaku kita.

Inilah keindahannya aturan Allah SWT terhadap manusia. Sesuatu yang tidak pernah dibayangkan, tetapi boleh dilakukan oleh Allah tanpa amaran dan alamatnya...

Kehidupan orang Islam akan menjadi lebih sejahtera dan bahagia dengan menyedari kekuasaan Allah yang tidak terbatas ini... Inilah keindahan kehidupan kita umat Islam sekiranya kita kembalikan segala-galanya kepada Allah SWT...

Sunday, October 27, 2013

COMANGO



"JIKA KAMU TIDAK MALU, LAKUKANLAH APA-APA SAJA YANG KAMU MAHU"


Demikianlah sabda junjungan Rasulullah SAW kepada umatnya. Maksud "malu" di sini banyak tafsirannya, tetapi bagi saya, dalam konteks perkembangan dunia pada hari ini,  termasuklah melakukan sesuatu kerana ingin mengambil hati orang lain yang tidak mahu kita berpegang kepada ajaran asasi agama atas nama "negara demokrasi" dan komitmen kepada "hak asasi manusia", yang di bincangkan di dalam UPR (Universal Periodic Review) oleh UNHRC (United Nation Human Rights Council)  pada 24 Oktober yang lalu.

Tajuk berita media menyebut "....104 countries tell Malaysia to rectify UN Human Rights instrument, it has stubbornly refused, and also to drop reservations on those signed..."

Maknanya walau pun 104 negara anggota PBB menggesa Malaysia supaya mengguna pakai instrumen hak asasi manusia Bangsa-Bangsa Bersatu itu, namun Malaysia masih lagi berdegil, dan masih menolaknya...!

Negara-negara anggota PBB itu tentulah hairan dan ajaib, kerana nampaknya Malaysia amat degil dan stubborn macam orang nakal dan budak kecil! Kenapa tidak ikut sahaja apa-apa yang dikatakan oleh PBB itu. Tambahan pula dalam hal ini, Malaysia sendiri telah di keritik dan dikecam oleh NGO's (Comango) yang pergi ke sana dari negara ini sendiri, iaitu yang berjumlah 54 buah NGO semuanya! Apakah semua NGO ini tidak faham keadaan Malaysia, dan tidak sensitif kepada keadaan rakyat dan negaranya sendiri? Inilah agaknya yang difikirkan oleh para perwakilan negara-negara PBB itu, juga oleh wakil-wakil NGO's Malaysia yang turut serta dalam perjumpaan UPR di Geneva itu.

Jadi dalam keadaan ini, apakah kita harus malu kepada PBB dan sesetengah NGO kita sendiri itu, atau seharusnya kita lebih malu kepada Allah dan Rasul-Nya di dalam beberapa perkara yang dikemukakan oleh PBB sebagai menghormati hak asasi manusia, terutamanya dalam isu kebebasan umat Islam untuk murtad dan  kebebasan seksualiti, serta kebebasan lain yang bercanggah dengan enekmen undang-undang dan Perlembagaan negara juga.

AFP melaporkan bahawa pada hari Sabtu semalam, ribuan orang berarak di Taiwan yang merupakan satu perarakan "gay" yang terbesar pernah diadakan di negara tersebut yang membuat tuntutan bagi kebebasan berkawin sama jenis, iaitu ketika Parlimen negara tersebut sedang membincangkan untuk mengkaji semula undang-undang yang sedia ada dalam isu ini, yang dinggap bercanggah dengan hak kebebasan manusia.

Kalau negara di Asia seperti Taiwan boleh mengadakan perarakan besar-besaran untuk menuntut hak kebebasan seks, kenapakah Malaysia tidak boleh? Apa sangat istimewanya dengan Malaysia? Mungkin pertanyaan inilah yang hendak dikemukakan oleh NGO's kita yang menghadiri persidangan UPR di Geneva itu!

Oleh itu, walau pun terdapat sesetengah dari mereka, seperti yang diberitakan, mendakwa bahawa pemergian mereka ke Geneva bukanlah untuk meremehkan agama Islam, namun kita haruslah sedar bahawa dakwaan itu dengan sendirinya palsu, kerana desakan mereka untuk Malaysia melaksanakan keseluruhan dasar hak asasi manusia yang dikemukakan mereka di dalam UPR itu, yang terdapat percanggahan dengan ajaran agama dan undang-undang negara kita sendiri..

Dalam hal ini, bagi kita yang mempunyai prinsip dan komitmen agama, kita katakanlah sahaja kepada mereka, "Bagi kamu agama kamu, dan bagi kami agama kami: Si Luncai terjun dengan labu-labunya, biarkan biarkan....!

Nabi Muhammad SAW telah mengingatkan umatnya supaya sentiasa mempunyai sifat malu, iaitu menjaga maruah dan jati diri sendiri, dalam menghadapi segala penyelewengan dan tekanan serta cabaran yang ingin melemahkan pegangan akidah, syariah dan akhlak kita, jadi apakah yang hendak kita malukan kepada desakan yang berniat buruk itu?

Tujuan Comango ialah hendak menjatuhkan imej positif Malaysia di luar negara, terutamanya di kalangan negara-negara Barat, Eropah dan Amerika Syarikat. Mereka mungkin mempunyai agenda tertentu dan niat yang hanya diketahui oleh Allah SWT. Tetapi pada lahirnya banyak perkara yang mereka kemukakan itu adalah merupakan tuduhan melulu dan tidak berasas, malah banyak perkara yang dituntut itu adalah terang-terang bercanggah dengan ajaran agama sendiri, seperti kebebasan seksual yang bukan hanya ditentang oleh Islam, malah Katholik dan Krisrian sendiri menentangnya.

Bukankah dengan itu mereka membuat tuntutan untuk menjadikan masyarakat kita sebagai masyarakat sekular, sungguh pun mereka menafikan hal ini?

Kita tidak harus malu kepada mereka, malah kepada dunia keseluruhannya, kerana kita lebih malu kepada Allah dan Rasul kita.

Fahamilah teks Hadis yang disebutkan di atas "...sekiranya kamu tidak malu, maka lakukanlah apa-apa saja yang kamu mahu.."





Thursday, October 24, 2013

LAST PORT




SASARAN PALING PANAS...


Melihat kepada terkaman dan ancaman yang dihadapi oleh negara kita, maka nampaknya Malaysia telah menjelma menjadi sasaran yang paling panas dari segenap penjuru.

Isu agama menjadi senjata yang paling tajam sekali yang digunakan untuk menikam dan merosakkan sasaran mereka, iaitu bermula dari ancaman akidah, undang-undang dan cara hidup Islam hingga ke  isu-isu tertentu yang turut di campuri urusannya oleh kalangan luar negara, terutamanya tentang penggunaan nama Allah bagi the Herald, yang dibesar-besarkan begitu rupa seolah-olah isu itu merupakan isu hidup dan mati bagi agama lain dari Islam.

Kini di Geneva sedang berlangsung semakan berkala sejagat (Universal Periodic Review - UPR) iaitu satu proses menyemak sejauh manakah kepatuhan semua anggota PBB yang berjumlah 193 negara terhadap ketetapan majlis hak asasi manusia (UNHCR) yang dijalankan setiap empat tahun.

Malaysia diantara negara yang akan menjawab beberapa perkara yang telah dibangkitakan di dalam UPR yang telah diadakan di Geneva pada 11 Februari 2009, yang mengikut sumber berita sebanyak 62 syor telah diutarakan kepada negara kita dan seramai 90 wakil dari negara-negara ahli PBB telah memeberikan pelbagai komen terhadap negara kita.

Kita bukan hanya akan menghadapi berbagai-bagai komen dan keritikan dari negara-negara luar, malah mengikut sumber berita juga, terdapat kira-kira 54 NGO's Malaysia yang dikenali sebagai Comango telah berada di sana, bersedia untuk membuka segala kelemahan dan perlanggaran hak asasi oleh negara kita, menurut perspektif mereka.  

Terdapat 17 perkara yang akan menjadi tuntutan Comango kepada Malaysia yang akan dikemukakan dalam pusingan UPR ini, dan saya tidak mampu untuk mengulas atau membincangkan semua tuntutan itu di sini, kerana pada pandangan saya keseluruhan rakyat Malaysia haruslah mencuba untuk memahami 17 tuntutan ini dengan sebaik-baiknya, dan menilai sendiri apakah perkara-perkara yang dikemukakan ini berasas atau tidak.

Namun yang amat nyata sekali tentang campur tangan Comango dalam tuntutan mereka ialah beberapa perkara mengenai  isu agama dan tradisi, atau budaya dan nilai moral rakyat Malaysia sendiri.

Satu tuntutan yang amat menyentuh kehormatan dan cara hidup rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama ialah "hak untuk privasi, perkahwinan dan kehidupan keluarga" yang saya rasa secara langsung atau tidak langsung menceroboh pegangan agama dan tradisi rakyat Malaysia tentang kelakuan seksual, perkahwinan secara fitrah dan sebagainya, yang diamalkan selama ini oleh semua kaum di dalam masyarakat kita..

Satu tuntutan lain yang jelas ditujukan kepada amalan Islam di negara kita ialah kebebasan beragama yang amat banyak tersirat beberapa amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti isu murtad, perkahwinan Islam dan bukan Islam, dan mungkin juga termasuk banyak enekman yang melindungi orang Islam dan keluarga Islam juga.

Sebab itulah telah saya katakan di atas, Malaysia nampaknya menjadi sasaran yang paling panas dalam serangan terhadap amalan agama dan seksualiti songsang yang dilindungi oleh berbagai-bagai peruntukan undang-undang negara kita bagi menjaga amalan agama dan kehidupan keluarga yang sihat, yang juga dilindungi oleh Perlembagaan negara sendiri.

Nampaknya pihak NGO kita, termasuk segelintir NGO Islam sendiri, sedang bergerak menuju ke satu dunia yang bebas tanpa undang-undang sama sekali untuk memberikan kebebasan terhadap kehidupan bertuhan dan mangamalkan kelakuan seksual bebas tanpa terikat lagi kepada tradisi dan budaya bangsa, dan  ajaran agama, terutamanya agama Islam.

NGO sendiri sebenarnya ketika ditubuhkan, di daftar, mendapatkan ahli, melantik pimpinan, membelanjakan wang, membeli, menjual, mengurus harta benda dan sebagainya, terikat dengan banyak peraturan dan undang-undang tubuh mereka yang tidak mungkin dicerobohi. 

Tetapi bila tiba kepada pembicaraan tentang hak asasi manusia, mereka merasakan bahawa segala peraturan dan undang-undang, hanya merupakan sekatan dan kongkongan sahaja terhadap manusia ini, yang seharusnya diberikan segala kebebasan untuk bertindak dan berkelakuan.

Apakah terdapat sebarang organisasi yang tidak mempunyai perlembagaan? Yang tidak mempunyai undang-undang yang seharusnya dihormati?

Berdasarkan hal ini saya rasa bahawa negara kita sememangnya menjadi sasaran untuk dikucar kacirkan, diseleweng dan dihancurkan, terutamanya apabila tiba kepada isu agama dan budaya kita sendiri, khususnya orang Melayu dan agama Islam yang masih bertahan dengan baik di negara kita sebagai "last port" yang belum dimusnahkan.


Monday, October 21, 2013

KALIMAH ALLAH DALAM ETIMOLOGI BAHASA MELAYU


KALIMAH ALLAH : PENGGUNAAN DAN
RESAM BAHASA MELAYU
Penggunaan bahasa haruslah difahami oleh setiap orang dari segi idiomatik dan konotasinya, budaya dan seninya, Demikianlah dengan penggunaan nama Allah dalam bahasa Melayu, yang seharusnya dilihat dari segi budaya dan tradisi penggunaannya, serta tabiaat dan resam bahasa kita itu.

Bahasa Melayu banyak sekali mengambil kalimah dan istilah Arab di dalam penggunaannya, terutamanya dalam bidang agama. Namun begitu penggunaan kata-kata pinjaman Arab ini sering mengalami perubahan konsep dan maknanya apabila digunakan dalam bahasa Melayu, iaitu dari segi etomologinya.

Kata pinjaman Arab "Ulamak" umpamanya telah digunakan dalam bahasa Melayu dalam bentuk tunggal (Singular - seoramg)) sedangkan kata nama itu dalam bahasa Arab adalah kata jamak (Plural- banyak) iaitu jamak dari kata tunggalnya 'Alim'. Kita sering menyebut di dalam bahasa Melayu "Dia itu ialah seorang ulamak yang terkenal" yang sekiranya hendak dibetulkan mengikut tatabahasa Arab ialah "Dia itu seorang 'alim", sebab kata "ulamak" membawa makna beberapa orang alim, kerana bentuknya adalah jamak, rujukan kepada seorang yang berilmu agama ialah - 'alim, 'ulamak ialah beberapa orang alim.  

Kata pinjaman Arab 'Alim atau Ulamak itu juga telah berubah makna dan konsepnya apabila dipakai dalam bahasa Melayu, iaitu bererti "orang yang mahir dalam ilmu agama" sedangkan maknanya  yang asal dalam bahasa Arab ialah orang yang berilmu dalam segala bidangnya, tidak semestinya hanya dalam bidang ilmu agama. Tetapi dalam resam bahasa Melayu dan budaya pemakaiannya  : 'alim atau ulamak ialah orang yang pandai dalam ilmu agama. 

Demikianlah penggunaan kata pinjaman dari bahasa lain telah diserapkan ke dalam bahasa Melayu dengan mengubah konsep dan bentuk serta maknanya. Hal ini menunjukkan bahawa sesuatu kata pinjaman dan istilah bahasa dan kata pinjaman dalam bahasa Melayu, telah dipengaruhi oleh resam dan budaya penggunaannya dalam bahasa Melayu.

Demikian juga dengan nama khas "Allah" dalam penggunaan bahasa Melayu, dari segi budaya dan resam penggunaannya bagi orang Melayu di negara kita, terutamanya apa bila nama khas "Allah" ini digunakan di Malaysia, termasuk dalam hubungannya dengan takrifan Melayu di dalam Perlembagaan yang menberikan definisi Melayu sebagai orang yang beragama Islam, maka istilah ini telah benar-benar digunakan dalam bentuk asalnya, iaitu yang membawa konsep "Allah Yang Maha Esa". Sedangkan terjemahan kata "Ilah" atau "Rabb" dan God ialah Tuhan, kerana bagi orang Melayu, kata nama Allah tidak mungkin diterjemahkan kepada kata Tuhan yang lain selain dari Allah, dalam konsep teologi dan syariahnya, iaitu Tuhan Yang Maha Esa.

Dalam konteks inilah orang Melayu di negara kita amat peka dengan penggunaan nama Allah bagi sebarang tuhan selain dari Allah, kerana Allah adalah menjelma dari pengucapan kalimah syahadah, iaitu dalam hubungannya dengan konsep tauhid bagi Tuhan yang maha esa,  Allah yang ditegaskan di dalam surah Al-Kafirun, dan di dalam banyak ayat Al-Quran yang mengkufurkan orang-orang yang mensyirikkan Allah, termasuk dalam konsep triniti ( God : the Father, the Son and the Holy Spirit). Rujuk Al-Quran surah Al-Ma'idah, ayat 72 dan 75.

Konsep Allah dalam tradisi dan resam bahasa Melayu adalah sesuatu yang amat khusus kepada makna syahadah yang kita ucapkan ketika mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, untuk benar-benar menganut agama Islam.

Tradisi penggunaan kalimah Allah dalam bahasa Arab sememangnya amat lumrah dalam masyarakat Arab, Islam dan bukan Islam, hingga ke hari ini. Di dunia Arab, perkataan Allah sememangnya digunakan dalam perbualan dan komunikasi seharian, juga dalam pengucapan rasmi, malah dalam pengucapan di dalam gereja. Hal ini merupakan penggunaan bahasa yang didasari oleh budaya dan tradisi hidup mereka.

Apa bila seorang Arab Muslim bertemu dengan seorang Arab lain yang beragama Kristian umpamanya, maka mereka akan berbual tentang Tuhan dengan menggunakan kata nama Allah. Hal ini berbeza dengan budaya Melayu, malah di dalam budaya kita, pengucapan salam (Assalamualaikum) itu pun hanya kita ucapkan untuk sesama Islam, sedangkan bagi orang Arab pengucapan salam ini boleh digunakan oleh orang Islam dan bukan Islam.

Oleh itu saya merasakan, bahawa penggunaan kalimah Allah itu adalah berhubung rapat dengan budaya dan resam bahasa itu, lokasi dan daerah tempat bahasa itu diucapkan.  Hal inilah yang seharusnya dihormati oleh semua rakyat Malaysia ketika kita membicarakan penggunaan kalimah Allah dalam bahasa Melayu, iaitu penggunaan kalimah Allah dalam budaya dan resam bahasa Melayu hanyalah untuk umat Islam yang mengucap dua kalimah syahadah, menjadi seorang Muslim dalam akidah dan syariahnya.

Kalimah Allah dalam penggunaan bahasa Melayu adalah menepati konsep dan penggunaannya dari segi etimologi dan teologinya.

Thursday, October 17, 2013

KEPUTUSAN MAHKAMAH TENTANG KALIMAH ALLAH


ISU KALIMAH ALLAH: CARI PENYELESAIAN MELALUI DIALOG


Keputusan mahkamah rayuan mengenai pemakaian kalimah Allah pada 14 Oktober 2013 nampaknya menimbulkan banyak kekecohan dalam masyarakat. Pertembungan diantara penganut agama menjadi bertambah genting.

Media baru banyak menimbulkan isu ini menurut pandangan penganut Kristian, iaitu tidak berpuas hati atas beberapa alasan yang tertentu.

Pihak penganut Islam pula dalam bersyukur atas keputusan terebut, telah pergi lebih jauh dari kes penggunaan nama Allah dalam the Herald, penerbitan Katholik di Sabah itu, iaitu dalam konteks yang labih menyeluruh dari kes asal mengenai penggunaan kalimah Allah di dalam the Herald.

Reverend Father Lawrence Andrew, editor the Herald telah menyatakan bahawa pihaknya akan membuat rayuan tentang keputusan tersebut ke mahkamah yang lebih tinggi.

Satu ulasan oleh Ketua Hakim Mahkamah Rayuan yang amat penting ialah ketika beliau berkata bahawa dalam konteks negara kita satu ancaman kepada Islam mungkin sekali terkandung di dalam propagation of other religions to the followers of Islam. Oleh itu beliau berpendapat bahawa penggunaan nama Allah "not an integral part of the faith of Christianity"

Saya melihat bahawa isu ini tidak dapat diselesaikan hanya dengan keputusan Mahkamah, kerana tabiat manusia pada umumnya ialah ketika keputusan memihak kepadanya maka ia akan berpuas hati, tetapi sekiranya keputusan mahkamah tidak memihak kepadanya, maka ia akan segera membantahnya. Dengan itu perselisihan akan berpanjangan, terutamanya dalam isu agama dan kaum.

Mungkin agak sukar untuk kita menggambarkan bagaimana kah kerisis ini akan diselesaikan apabila mahkamah yang lebih tinggi membuat keputusan seterusnya nanti, kerana kes mahkamah akan menyaksikan satu pihak memenangi kes itu, dan satu pihak yang lain akan mengalami kekalahan.

Oleh itu saya rasa, pihak-pihak yang terbabit dengan kes ini haruslah dapat duduk semeja dan secara ikhlas berdialog dalam suasana persaudaraan untuk mencari penyelesaiannya, dalam semangat unity in diversity.

Tumpuan dialog mungkin dapat difokuskan kepada perkara-perkara yang berikut:

1. Peruntukan Perlembagaan yang memberikan status "Islam sebagai agama Persekutuan" dan "Agama-agama lain boleh diamalkan dalam aman dan harmoni"

2. Kuasa Kerajaan dalam hal ehwal undang-undang yang bukan diputuskan oleh Parlimen

3. Hujah Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Herald seperti yang diputuskan dalam tahun 2009

4. Hujah Ketua Hakim Mahkamah Rayuan yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi seperti yang telah diputuskan pada 14 Oktober 2013 itu

5. Isu-isu lain mengenai penggunaan kalimah Allah yang dilakukan di dalam masyarakat berbahasa Arab oleh penganut Kristian dibandingkan dengan penggunaanya dalam konteks bahasa dan budaya Melayu.

6. Konsep God dalam agama Kristian dan Allah dalam konteks Islam (Al-Quran)

7 Tindakan mempolitikkan isu ini yang tidak memberikan keuntungan kepada semua pihak yang cintakan negara ini. 

Ketika saya menerajui Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sejak tahun 1992 hingga 2002, banyak perbezaan pandangan dalam isu-isu agama telah dapat diselesaikan melalui dialog yang sering kami adakan diantara para penganut dan ahli akademik serta para pimpinan kepelbagaian agama dalam isu-isu perbezaan tentang amalan dan ideologi agama masing-masing.

Kami lebih banyak berbincang dan mencari titik pertemuan dalam isu-isu persamaan dalam kepercayaan masing-masing, dan mencuba untuk mengelakkan dari pada membesar-besarkan tentang sesuatu yang merupakan perselisihan dan perbezaan dalam kepercayaan dan amalan antara agama.

Semuanya ini dapat dilakukan tanpa membawanya ke dalam mahkamah untuk diputuskan, malah dapat mengelakkan isu-isu perselisihan ini daripada dieksploitasikan oleh para pimpinan politik partisan yang sentiasa sahaja mengintai peluang untuk mencari keuntungan dan pengaruh bagi parti politik mereka.

Ketua-ketua agama sahaja yang seharusnya berbicara dan berusaha memberikan pendidikan kepada para pengikut agama masing-masing tanpa sebarang provokasi, emosi atau mempolitikkan isu-isu itu.

Amat baik sekali dalam keadaan yang agak genting dan membimbangkan pada masa kini dalam isu kalimah Allah, para pimpinan agama, intelektual dan pihak-pihak yang berwajib dalam pemerintahan negara, dapatlah kiranya duduk bersama dengan penuh  ikhlas dan berhikmah, berdialog dengan penuh keikhlasan, bagi mencari penyelesaian  tentang isu ini.

Banyak kes mahakamah yang telah diselesaikan dengan cara "suluh"" atau berdamai di luar mahkamah dengan penuh wisdom dan bijaksana tanpa menjatuhkan air muka dan maruah kedua belah pihak.

Umat Islam mempunyai panduan dari Al-Quran agar usaha menyeru kepada agama dan jalan Allah itu hendaklah dilakukan dengan bijaksana (berhikmah) dan nasihat yang baik. Berbalah dan berdebatlah dengan orang lain dengan cara yang paling baik.

Harap para penganut agama lain juga akan mengambil sikap dan cara yang sama dalam pertikaian ini, bukan melulu mempertahankan sesuatu yang sememangnya menyimpang dari kebenaran dalam masyarakat dan agama Islam sendiri.

Saya percaya bahawa hanya dengan cara berdialog secara jujur dan ikhlas, dalam suasana aman dan harmoni sahaja, hal ini dapat diselesaikan tanpa berlarutan dan berpanjangan.




Monday, October 14, 2013

KALIMAH ALLAH UNTUK SIAPA?



KALIMAH ALLAH UNTUK ISLAM

14 Oktober 2013 merupakan satu sejarah bagi penggunaan kalimah Allah, iaitu khusus untuk penganut agama Islam. Penerbitan agama lain tidak seharusnya menggunakan istilah ini untuk sebarang tuhan mereka. Itulah keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan hari ini tentang kes yang tersebut.

Keputusan itu cukup jelas dan terang. Hanya apabila terdapat rayuan tentang keputusan ini, maka kita menunggu pula proses undang-undang seterusnya dan keputusan rayuan tersebut di mahkamah yang lebih tinggi.

Kelmarin saya menulis supaya semua pihak dapatlah menerima keputusan mahkamah rayuan pada hari ini dengan dada yang terbuka. Tidak ada pihak yang seharusnya segera bersifat defensif dan emosional tanpa pertimbangan yang rasional.

Mahkamah mengambil kira implikasi perundangan terhadap maslahat umum dan kepentingan awam serta kesejahteraan rakyat di negara ini yang mungkin berbeza dari situasi di negara lain, dan berbeza dari latar belakang budaya, bahasa dan tradisi rakyat di negara lain juga.

Sensitiviti sebuah negara dan sebuah masyarakat mungkin berbeza dan tidak setara dengan sensitiviti atau kepekaan masyarakat negara lain. Rakyat Arab dan Timur Tengah atau Afrika, tentunya mempunyai perbezaan dari segi budaya dan tradisinya dengan rakyat negara Asia. 

Kesilapan pihak perundangan negara tertentu atau pentadbirannya dalam memutuskan atau membuat satu dasar mungkin menyebabkan huru hara yang besar di dalam satu masyarakat yang tertentu, sedangkan keputusan yang sama umpamanya di negara kita mungkin tidak dilihat sebagai satu faktor yang besar, yang boleh menimbulkan emosi dan sentimen yang besar.

Oleh itu sekali lagi ingin saya peringatkan, bahawa dalam penggunaan kalimah Allah bagi Tuhan umat Islam di Malaysia ini janganlah diukur dengan situasi di negara lain, atau latar belakang tradisi serta penggunaan bahasa lain, kerana rakyat Melayu amat kuat terikat dengan tradisi dan budaya serta bahasa Melayu dalam konteks agamanya.

Bahasa Melayu tidak boleh menerima Allah sebagai tuhan agama lain, kerana pengertian dan budaya serta tabiat penggunaannya itu amat khusus kepada Tuhan Yang Maha Esa, bukan God the father, the son dan the holy spirit. (Rujuk Al-Quran surah 5 ayat 72 - 73)

Kitab mana lagi yang hendak dirujuk dan diyakini dari segi akidahnya oleh orang Islam kalau tidak kepada kitab suci Al-Quran? Inilah prinsipnya yang dianuti oleh orang Islam di negara kita ini, yang mempunyai Perlembagaan dan adat tradisi sendiri.

Saturday, October 12, 2013

Tarikh Penting.



14 OKTOBER BUKAN BERMAKNA "THE END OF THE WORLD"
 Tarikh 14 Oktober 2013 merupakan tarikh yang penting, iaitu tarikh yang telah ditetapkan untuk mahkamah rayuan membuat keputusan tentang rayuan mengenai keputusan mahkamah yang terdahulu bahawa nama "Allah" boleh digunakan oleh penerbitan Kristian bagi nama "God" yang selama ini digunakan sebagai nama Tuhan mereka. Mereka mahu menggunakan nama "Allah"" juga bagi Tuhan mereka, yang bakal mereka hujahkan bahawa "Allah" adalah juga nama Tuhan mereka, tidak hanya khusus untuk nama Tuhan bagi penganut Islam.

Apa-apa sahaja keputusan yang dibuat oleh mahkamah pada 14 Oktober ini adalah berdasarkan rule of law dan point of law yang  seharusnya diterima dengan hati yang terbuka, dan tidak seharusnya menimbulkan sebarang kegelisahan yang tidak menentu, atau kebanggaan yang melampaui batasan.

Dibenarkan atau tidak dibenarkan penggunaan nama Allah bagi agama yang lain dari agama Islam untuk menterjemahkan istilah God itu tentunya tidak akan mengubah konsep dan pengertian suci nama Allah bagi anutan dan akidah umat Islam bahawa Allah adalah Tuhan yang maha esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

Hal ini saya sebutkan supaya umat Islam bersedia dengan dada dan hati yang terbuka untuk menerima keputusan mahkamah 14 Oktober ini, sama ada akan menyebelahi pihak yang merayu, atau mengekalkan keputusan mahkamah yang terdahulu.

Al-Quran banyak sekali  membawakan cerita penentangan kaum terdahulu terhadap para Nabi dan Rasul yang telah membawakan ajaran Allah untuk tidak mempersekutukan Allah. Terdapat diantara para Rasul itu yang dibunuh dan terdapat juga diantara mereka yang disakiti, tetapi perbuatan ini tidak menjejaskan perkembangan ajaran Allah kepada umat manusia sehinggalah ke zaman Rasulullah SAW dan seterusnya berkembang sehingga ke masa kini dan ke masa yang akan datang, insya'Allah.

Tanggung jawab yang amat penting bagi umat Islam ialah memahami hakikat  kewujudan Allah dan zat-Nya serta konsep Tuhan yang maha esa itu seperti yang banyak dijelaskan oleh Al-Quran sendiri. Sekiranya hakikat ini dapat difahami dengan baik, dan dididik pula generasi baru untuk memahami hakikat dan konsep ini dengan semasak-masaknya, maka biarlah seluruh dunia menggunakan apa-apa saja istilah pada nama Tuhan mereka, termasuk nama Allah, namun umat Islam tetap yakin dengan konsep penggunaan nama Allah bagi Tuhan umat Islam sendiri.

 Bagi umat Islam penggunaan nama Allah sebagai nama Tuhan mereka adalah sesuatu yang mempunyai hubungan yang penting dengan akidah dan syariah mereka, kerana sebarang istilah agama bagi umat Islam bukan hanya merupakan istilah bahasa dan semantik semata-mata, tetapi istilah itu merupakan sesuatu yang datang dari ajaran Islam sendiri dalam akidah dan syariahnya.

Umat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam di negara kita ini amat mengetahui budaya dan tradisinya dalam beragama, dan hal inilah juga yang difahami dari penggunaan nama Allah untuk umat Islam dalam bahasa Melayu. Kerana bahasa Melayu yang lahir dalam penggunaan istilah agama sering membawa konotasi budaya dan tradisi bahasa Melayu sendiri dalam hubungannya dengan agama Islam, yang ada kalanya berbeza dari tradisi dan penggunaan bahasa lain, sekiranya hal ini juga akan duhujahkan tentang penggunaan nama Allah dalam budaya dan bahasa Melayu dibandingkan dengan bahasa lain, termasuk bahasa Arab sendiri.

Oleh itu, seandainya keputusan mahkamah tidak menyebelahi kehendak umat Islam, maka saya percaya bahawa umat Melayu dan Islam di Malaysia akan terus bersikap mesra dan redha, kerana umat Melayu sememangnya mempunyai sifat tolak ansur yang amat tinggi dan tidak semudahnya hilang pertimbangan dan rasionalitinya.

Harap para penganut agama lain juga memahami situasi ini dan seharusnya bertolak ansur dan berusaha memahami perasaan dan sikap umat Melayu Islam di negara ini.

Umat Melayu yang telah sedia dengan sikap sederhana dan amat bertolak ansur ini telah bertambah etika dan nilai moralnya itu dengan kedatangan Islam dan ajarannya. Hal inilah yang seharusnya difahami dan dipupuk terus menerus, malah dihormati dan dimengerti oleh umat lain, di mana sempadannya, dan dimanakah hadnya.
 
14 Oktober 2013 bukan bermakna tarikh berakhirnya dunia ini.

Monday, October 7, 2013

APA YANG NAK DIHARAPKAN DARI DUNIA ISLAM?



Dunia Islam Bergolak.

Ribuan pelajar kita yang sedang melanjutkan pelajaran di Mesir, sedang terkapai-kapai untuk menentukan kesinambungan pelajaran mereka di sana yang amat tidak menentu. Mungkin ramai yang terpaksa mengurbankan masa belajar, turun ke peringkat yang lebih rendah dalam tahun pengajiannya sekiranya bertukar universiti, balik meneruskan pengajian di negara kita, atau meneruskan pengajian di negara lain..

Malah ramai pula yang hanya akan kembali ke Mesir dan akan menunggu bilakah sebenarnya pengajian mereka akan dimulai secara teratur semula.

Bagaimana pun pelajar-pelajar kita bernasib baik kerana telah diberikan perhatian serius tentang nasib mereka oleh kerajaan kita, iaitu untuk menjamin tempat pengajian mereka seterusnya sekiranya mahu kembali ke negara sendiri.

Namun kanak-kanak sekolah dan para pelajar universiti yang tinggal di dalam negara masing-masing yang sedang bergolak, seperti Mesir, Syria, Iraq, Libya, Afghanistan, Somalia, Nigeria dan lain-lain, tentulah sedang menghadapi masalah dalam meneruskan pelajaran mereka, kerana sekolah tidak dibuka dengan teratur, kehadiran para guru dan pengendali sekolah menjadi masalah, bangunan sekolah dan pusat-pusat pengajian juga mungkin banyak yang terkena bedilan peluru, roket dan bom, musnah dan runtuh, atau tidak layak lagi bernama sekolah atau universiti.

Manakala kanak-kanak yang seharusnya bersekolah, tetapi terlibat dalam penghijrahan dan pelarian perang dalam mencari perlindungan di negara asing, tentulah juga akan tertinggal pelajaran dan pendidikan mereka yang selama ini mereka dapati di dalam negara sendiri, di dalam sekolah dan pusat pengajian sendiri, mengikut sistem pendidikan mereka sendiri juga.

Generasi ini, yang mungkin akan mencapai angka ratusan ribu, tentulah akan ketinggalan dalam pengajian mereka, dan pendidikan ilmu yang selama ini mereka perolehi di tempat-tempat pengajian mereka sendiri.

Malah generasi muda yang akan mendarat di negara asing dalam usaha melarikan diri dari negara sendiri ini akan mengalami kepayahan yang amat sangat untuk mendapatkan tempat bersekolah dan dalam berusaha untuk menyambung pelajaran mereka di negara yang tentunya asing itu juga.

Syria umpamanya yang telah mengalami kerisis peperangan saudara bertahun-tahun lamanya, menghasilkan jumlah pelarian perang yang kabarnya kini berjumlah dua juta orang. Jumlah kanak-kanak sekolah dan para penuntut pengajian tinggi tentulah besar yang terlibat dalam pelarian perang ini, yang telah sekian lama, iaitu beberapa tahun berlaku di negara mereka, maka kita boleh bayangkan berapa ramaikah anak-anak sekolah dan para belia yang terlibat dalam kerisis pendidikan ini.

Kerisis politik dan ekonomi negara-negara Islam ini sebenarnya akan meletakkan para pelajar sekolah dan universiti dalam negara-negara tersebut dalam bahaya. Malah akan metakkan keseluruhan generasi ini dalam kerisis kemanusiaan dan keilmuan yang serius, iaitu terputusnya proses pendidikan yang seharusnya dapat memainkan peranan besar dalam membentuk generasi pewaris bagi membangunkan peradaban dan tamadun umat kita pada masa yang akan datang.

Kita di negara ini yang masih dapat menikmati perdamaian dan keamanan, termasuk kemakmuran yang membolehkan kita menumpukan perhatian dan usaha kepada agenda pembinaan gegerasi akan datang dalam pengajian dan pendidikan, haruslah mengambil iktibar dari kerisis yang melanda umat kita di negara-negara yang sedang bergolak di sekeliling kita itu.

Untuk merosakkan akidah dan syariah serta moral ummah itu, tidak semestinya dilakukan oleh musuh secara langsung dengan menghancurkan satu negara dan umat itu, malah usaha menghancurkan generasi dan keturunan yang akan datang, adalah merupakan agenda kemusnahan yang boleh dilakukan dalam jangka panjang, dan usaha ini amat berkesan untuk meruntuhkan peradaban sesuatu umat itu. Usha itu ialah dengan meletakkan negara-negara itu dalam kerisis dan perselisihan sesama sendiri, menjadikan negara itu papa kedana dan hancur ekonominya.

Mungkin umat Islam sedang menghadapi cabaran ini, pada masa kini, dan mungkinkah kita juga akan terjebak di dalam perangkap ini? terutamanya apabila terdapa segelintir di antara kita yang sering mengagung-agungkan "perjuangan" yang dinamakan sebagai "Arab Spring" itu!

Pageviews last month