Monday, September 22, 2014

KEIZINAN BERPERANG DALAM ISLAM


Dasar keamanan dan keharmonian Islam

Seorang lagi rakyat Malaysia meninggal dunia kerana terkena tembakan di Syria mengikut berita akhbar tanggal 15 September 2014. Mengikut berita itu lagi, jenazah ini akan dikebumikan di Turki bersebelahan mayat anggota lain dari Malaysia yang telah terkorban sebelum ini.

Dalam konteks ini penulis tidak bermaksud untuk membicarakan tentang hukum dan fatwa berhubung kematian ini, sama ada sebagai seorang yang berjihad dan terkorban sebagai syahid, ataupun meninggalnya sebagai anggota kumpulan militan yang terkorban secara sia-sia.
Soal hukum dan fatwa ini bukanlah boleh dipermain-mainkan seperti kita menghukum dalam urusan dunia yang tidak mempunyai kaitan dengan hukuman berat dan mempunyai implikasi balasan di akhirat sama ada masuk syurga atau masuk neraka.

Ummah seluruh dunia yang sepatutnya telah bertindak menubuhkan badan antarabangsa sendiri untuk memastikan hal ini, kerana isu ini sekarang telah menjadi isu individu dan kumpulan tertentu, termasuk dalam pentafsiran apakah sebenarnya perjuangan yang berkonsepkan 'jihad' 'mati syahid' malah siapakah 'musuh Allah' dan siapakah sebenarnya 'musuh Islam yang halal darahnya' dan sebagainya.

Sekarang perkara ini nampaknya menjadi isu dan hak mutlak kumpulan dan golongan masyarakat tempatan sendiri yang menentukan konsep dan corak perjuangan dan pembunuhan yang dilakukan sesama Islam. Siapakah yang benar dan siapakah yang salah. Ketika dua kumpulan Islam mengangkat senjata dan berbalas tembakan untuk membunuh 'musuh' masing-masing, kedua-dua kumpulan ini akan berteriak Allahu Akbar ketika berjaya membunuh 'musuh' malah semua pihak akan mengangkat bendera yang bertulis kalimah suci, dan menghalalkan darah lawan mereka.

Umat Islam seharusnya perlu mempelajari erti dan konsep perang dalam Islam berdasarkan ajaran al-Quran dan Sunnah, mengambil teladan daripada sirah dan contoh Rasulullah SAW dalam sejarah perjuangan Baginda yang panjang ketika mula-mula menyampaikan amanah Allah SWT, membawakan ajaran tauhid dan seterusnya daripada peristiwa Hijrah baginda dan kembalinya semula ke Mekah sehingga baginda wafat.

Islam sebenarnya membawakan misi keamanan dan keharmonian kepada manusia. Semua Nabi dan Rasul utusan Allah SWT diakui oleh umat Islam sebagai utusan-Nya. Malah kehadiran manusia dengan kepelbagaian agama juga merupakan kejadian Allah yang seharusnya diterima dan dihormati oleh umat Islam.

Ayat 8 dan 9 Surah Al-Mumtahanah menjelaskan tentang kehidupan bersama secara aman dan adil (peaceful co-existence) ketika tidak wujudnya sebarang permusuhan di antara kedua belah pihak, iaitu ketika Allah SWT menjelaskan bahawa "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berlaku adil."

Namun begitu di dalam ayat yang seterusnya barulah Allah menerangkan bahawa: "Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadi teman rapat kepada orang yang memerangi kamu kerana agama kamu, dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu orang lain untuk mengusir kamu. Sesungguhnya sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang yang zalim."

Keharmonian
Dua perkara yang memberikan justifikasi supaya orang Islam tidak seharusnya berteman rapat dan berlaku adil kepada orang lain ialah ketika mereka itu memusuhi orang Islam kerana agamanya, dan mengusir orang Islam dari kampung halaman dan negaranya secara yang zalim, sama ada dengan bertindak secara bersendirian atau berkomplot dengan musuh Islam untuk merampas rumah tangga dan negara orang Islam sendiri. Maka dalam keadaan ini Allah melarang orang Islam daripada bertolak ansur kepada musuh Islam itu.

Sebab itulah telah disebut di atas bahawa misi Islam ialah membawakan keamanan dan keharmonian sesama manusia, iaitu ketika umat Islam tidak dimusuhi kerana mereka ialah orang Islam dan selama mana rumah tangga, kampung halaman dan negara mereka tidak dirampas secara zalim, kerana agama dan harta benda serta negara orang Islam tidak harus dicerobohi.
Hal yang sama diterangkan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Haj ayat 39 yang menjelaskan bilakah orang Islam boleh menentang kekerasan musuh secara berperang, yang bermaksud: "Diizinkan berperang bagi orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh) kerana sesungguhnya mereka telah dianiya. Sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai) kemenangan. Iaitu mereka yang diusir dari kampung halaman mereka tanpa mempunyai alasan yang benar, namun semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah."

Pentafsiran yang tepat tentang kewajaran berperang dan bertindak secara kekerasan ini hendaklah dibuat dengan berilmu dan berhikmah, bukan pentafsiran melulu yang memberikan justifikasi untuk berbunuhan sesama Islam atas tiket jihad, syahid dan syurga…
Amat berbahaya sekiranya kita membawa mesej kepada anak-anak muda kita bahawa pertempuran berdarah dan maut di negara Islam di Asia Barat itu sebagai jihad yang membawa kepada syahid dan syurga, seperti yang juga diberikan oleh sesetengah komen dalam media sosial di negara kita sendiri tanpa usul periksa dan ilmu yang mendalam.

Komen-komen yang berbentuk fatwa ini tidak harus dibuat sewenang-sewenangnya oleh mana-mana individu atau kumpulan yang tidak bersandarkan dalil yang tepat mengikut ajaran Islam, malah hanya berdasarkan politik sempit atau mazhab dan aliran yang lain, bukan kerana perjuangan Islam yang sebenarnya.

Saturday, September 13, 2014

FAHAMI ISTILAH ISLAM...........

Memahami Erti Sebenar Jihad, Syahid dan Syurga
DUNIA sekarang menyaksikan umat Islam berperang dan berbunuhan sesama sendiri, seolah-olah agama membenarkan peperangan dan pembunuhan. Golongan yang mengaku berjihad atas nama Islam, atas nama negara Islam, atas nama tentera Khalifah juga, akan memancung kepala sesama Islam.

Hal ini amat mengelirukan kerana Islam tidak membenarkan pembunuhan kecuali di dalam kes-kes tertentu yang amat kecil perangkaannya. Malah antara kesalahan pertama yang diharamkan oleh Islam ialah perbuatan manusia zaman jahiliah yang membunuh anak-anak mereka yang baru dilahirkan.

Al-Quran di dalam surah Al-An’am (6) ayat 151 menerangkan dengan jelas di antara perkara yang diharamkan ialah perbuatan membunuh anak-anak. Maka Allah SWT menerangkan bahawa sekiranya pembunuhan bayi itu dilakukan kerana takut tidak dapat diberikan makanan kepada mereka, maka Allah yang memberikan rezeki kepada anak-anak itu, malah Allah jugalah yang memberikan rezeki kepada mereka yang membunuh anak-anaknya itu.

Dengan ini ternyata bahawa jiwa dan nyawa manusia itu adalah sesuatu yang suci dan perlu dipelihara, sebab itulah Allah melarang manusia dengan sekeras-kerasnya jangan membunuh orang dan jangan pula membunuh diri sendiri.

Malah ajaran agama menuntut manusia memelihara nyawanya, sehinggakan jika seseorang itu akan mati jika dia tidak memakan makanan yang haram seperti bangkai, maka dia hendaklah memakannya untuk memelihara kelangsungan nyawanya.

Jadi apakah nyawa manusia yang begini suci dan sewajibnya dipelihara, akan begitu mudah pula dihapuskan seperti yang berlaku di dalam masyarakat manusia pada hari ini termasuk sesama Islam sendiri, yang sewenang-sewenangnya membunuh dan mengambil nyawa orang lain begitu mudah sekali, malah membunuh diri sendiri untuk membunuh orang lain seperti yang dilakukan oleh pembunuh berani mati.

Al-Quran banyak sekali menerangkan kepada manusia bahawa pembunuhan adalah haram dan ditegah kecuali di dalam beberapa situasi yang tertentu. Hal inilah yang sangat perlu difahami oleh umat Islam sendiri terutamanya di dalam masyarakat Islam sekarang ini yang telah menjadi amat lumrah bahawa segala pertikaian di antara mereka haruslah diselesaikan dengan peperangan, walaupun peperangan itu dilakukan tanpa hak dan justifikasi yang diizinkan syarak.

Pada zaman permulaan Islam, ketika Rasulullah SAW mulai menyeru manusia untuk menganut agama tauhid, mengesakan Allah dan melakukan amalan yang dibawa oleh Islam, Islam hanya membenarkan peperangan dilakukan ke atas musuh yang menyerang baginda, seperti yang disebutkan di dalam Surah Al-Baqarah ayat 190:

"Dan berperanglah pada jalan Allah orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batasan (iaitu dengan memulakan peperangan) kerana Allah tidak menyukai orang yang melampaui batasan".

Peperangan ini dilakukan demi untuk menegakkan agama Allah yang suci, iaitu ketika musuh mencuba menentangnya dengan kekerasan untuk menggagalkan usaha Rasulullah maka pada ketika itu baginda haruslah bertindak mempertahankan agama dan dirinya dengan mengangkat senjata. Namun begitu baginda tidak seharusnya menyerang mereka secara zalim dan melampaui batas.

Dalam keadaan ini, maka pembunuhan yang berlaku sesama Islam, malah pertumpahan darah yang berlaku di bumi para nabi dan rasul sekarang ini adalah satu tindakan yang terang-terang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar, walaupun terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa masing-masing berjihad kerana hendak menegakkan hukum Allah.

Oleh itu para belia dan angkatan muda Islam haruslah mempelajari dan memahami dengan semasak-masaknya isu ini dari perspektif Islam sebelum terpengaruh dengan pengajaran yang hanya akan memerangkap mereka dalam dosa atas gambaran syahid dan syurga, sedangkan perbuatan yang dilakukan adalah berlawanan dengan konsep syahid, jihad dan janji syurga yang sebenarnya.

Penulis merasakan bahawa kita di Malaysia masih menghormati nilai-nilai tamadun dan peradaban Islam serta memahaminya dengan baik. Oleh itu para generasi baru Islam haruslah memahami konsep dan falsafah perjuangan Islam yang di namakan jihad untuk mati syahid dan menerima balasan syurga itu.

Amat malang sekali bila kita membaca berita terkini bahawa terdapat umat Islam dari negara kita, walaupun hanya segelintir, yang turut berjuang di Asia Barat dengan kumpulan tertentu sedangkan hakikat sebenar perbuatan mereka itu tidak mereka fahami dengan sebaik-baiknya dari segi ajaran syariah Islamiah sendiri.


Sekali lagi penulis ingin menekankan supaya pihak kerajaan, penguasa agama dan masyarakat Islam di negara kita mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang kedudukan hukum dan fatwa sebenar bagi pertumpahan darah dan pembunuhan yang berlaku di negara-negara Islam sekarang ini supaya masyarakat Islam di negara kita tidak terjebak dengan perangkap dosa ini.

Thursday, September 11, 2014

DI MANAKAH MARUAH KITA?



KEHAKISAN INTEGRITI ..........

Di manakah maruah dan integriti bangsa kita? Sehinggakan di dalam dunia pendidikan nasional pun terdapat manusia yang tidak ikhlas dan berakhlak jika di lihat tentang kebocoran kertas soalan UPSR sekarang ini, dan jika dapat dibuktikan bahawa kebocoran ssoalan itu adalah merupakan perbuatan tidak bertanggung jawab manusia-manusia yang menguruskan kertas soalan ini sendiri....

Kita tidak akan merasa terperanjat yang amat sangat sekiranya orang menyeludup minyak desel atau rokok kretek untuk mencari wang dan keuntungan sekiranya mereka yang melakukan perbuatan itu adalah terdiri dari orang biasa yang mungkin tidak mempunyai hati dan rohani yang tinggi.

Tetapi kita tentu akan merasa amat hairan dan terkejut sekiranya kertas soalan itu di bocorkan oleh orang-orang terpelajar dan berpendidikan yang diserahkan amanah oleh pihak yang bertanggung jawab bagi menjalankan satu ujian penting untuk mengukur tahap pencapaian akademik dan ilmu bagi para pelajar kita itu.

Sepatutnya orang yang melakukan perbuatan khianat ini, yang amat tidak bermoral dan tidak punya integriti, mencerminkan dirinya terlebih dahulu dalam cermin maruah dan harga diri sebagai seorang pemegang amanah, yang bukan hanya diamanahkan dalam kerjanya, tetapi bertanggung jawab terhadap kepercayaannya kepada agama.

Akibat perbuatannya itu, sekarang para pelajar yang hanya baru saja ingin melihat hasil usahanya memerah otak dan mindanya, akan merasa tertekan dan berputus asa dengan tektik buruk orang dewasa dan orang yang bertanggung jawab dalam mencorakkan dunia pendidikan mereka....

Para pelajar akan merasakan bahawa usahanya menduduki peperiksaan dalam subjek yang telah dibocorkan soalannya itu adalah merupakan usaha yang sia-sia dan amat menghampakan. Kesan psikologinya amat besar dan berat untuk ditanggung oleh para pelajar yang baru saja memandang ke hadapan untuk menjejakkan kaki ke peringkat menengah....Kehampaan mereka mungkin akan berlanjutan ke satu masa yang amat lama, dan meninggalkan kesan yang parah di dalam jiwa mereka sendiri.... 

Kerisis minda dan jiwa inilah yang selalu dibicarakan oleh nilai moral dan ajaran agama dengan serius, termasuklah ketika Allah SWT memperikan tentang bagaimanakah para Nabi dan Rasul-Nya yang diutuskan, bahawa mereka telah di ajar ilmu dan hikmah, pelajaran dan kebijaksanaan, dan bagaimanakah jiwa para utusan Allah itu telah dibersihkan, supaya masyarakat manusia yang rosak jiwa dan mindanya itu akan dapat diubati dan dibetulkan....

Harapan kita semua, bahawa semua manusia, bangsa kita, akan mulai belajar dan insaf dari kejadian ini.........

Wednesday, September 10, 2014

APAKAH KONSEP JIHAD ??



MEMAHAMI KONSEP JIHAD YANG SEBENARNYA…
DALAM kekecohan dan krisis besar dunia Arab yang melibatkan pertentangan di antara rakyat dan pemerintah, di antara rakyat dan rakyat yang berbeza pegangan mazhab agama, maka timbul pula satu kumpulan lain yang mendakwa bahawa mereka ingin menubuhkan negara pemerintahan Khalifah yang merangkumi Syria dan Iraq, dan akan menjalankan pemerintahan Islam yang tidak mempunyai sempadan.
Mereka menamakan diri kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) tetapi dalam proses membentuk kerajaan itu mereka telah menggunakan kekerasan dan pertumpahan darah seperti tentera biasa yang bertindak untuk menakluki sebuah negara musuh, malah memaksa umat Islam di sekeliling mereka supaya menerima mereka sebagai pemerintah, jika tidak maka umat sesama Islam itu akan dibunuh serta-merta.
Kejadian ini disedari oleh seluruh penduduk dunia yang menyaksikan keganasan ini melalui kaca televisyen dan gambar dalam media cetak serta media baru.
Semuanya menggambarkan kekerasan dan kekejaman yang dilakukan oleh golongan ini dalam proses menegakkan negara Khalifah dan negara yang mereka namakan negara Islam.
Oleh itu, slogan dan nama-nama simbolik yang digunakan oleh kumpulan tertentu dalam percubaan menggambarkan agenda perjuangan mereka sebagai perjuangan tulen Islam itu tidaklah seharusnya mengaburi mata orang Islam dalam menentukan apakah betul perjuangan kumpulan atau satu golongan itu sebagai perjuangan Islam, apatah lagi apabila dikaitkan dengan agenda menegakkan kerajaan Islam dan sebagainya.
Perjuangan Arab sendiri sebenarnya telah melalui sejarah yang panjang dalam menegakkan identiti kebangsaan dan keagamaan mereka. Sejarah Arab dalam kebangkitannya telah muncul dalam kepelbagaian agenda kebangsaan dan semangat bangsa Arab yang telah menyeleweng.
Walaupun negara Arab merupakan negara yang kaya dengan hasil petrol, tetapi mereka tidak dapat membangunkan kestabilan negara mereka kerana krisis kepimpinan, integriti, perpecahan ideologi mazhab dan semangat kebangsaan, malah penentangan sesetengah daripadanya terhadap Barat secara melulu, maka hal ini semua telah menjadikan negara mereka menghadapi pertumbuhan golongan radikal dan ekstrem dalam kalangan rakyat mereka sendiri.
Dalam proses ketegangan dan krisis politik dan ekonomi, di antara semangat kebangsaan dan tekanan Israel serta kuasa Barat yang ingin merebut kekayaan mereka, maka telah timbul golongan agama dan kumpulan-kumpulan yang menggunakan agama dalam perjuangan mereka untuk merebut kuasa politik di dalam negara mereka sendiri.
Maka dalam kebangkitan semangat Islam dalam perjuangan inilah, ternyata bahawa perjuangan itu pada umumnya berselindung di sebalik simbol dan nama agama untuk tujuan merebut kuasa politik dan pemerintahan negara.
Ketika inilah mereka menggunakan nama-nama simbolik Islam seperti jihad dan lain-lainnya untuk menarik perhatian para belia dan orang muda untuk menyertai mereka bagi melakukan perjuangan jihad menentang musuh-musuh Allah, dan berperang menentang musuh Allah ini adalah perjuangan suci, yang sekiranya ada yang gugur maka mereka gugur sebagai pejuang yang mati syahid.
Hal ini perlu dikaji dan dipelajari dengan mendalam untuk kita memahami agenda perjuangan mereka yang terlalu kusut dan rumit itu.
Malah bagi kita di Malaysia, yang telah pun menyaksikan penglibatan para tenaga muda Islam untuk turut serta berjuang di dalam medan peperangan yang berlaku di sana atas nama jihad dan syahid, maka kita hendaklah berusaha untuk memahami situasi ini dan bersungguh-sungguh memahami hakikat perjuangan ini dari perspektif Islam itu sendiri.
Penjelasan yang mendalam tentang perjuangan dan kekerasan yang menyeleweng ini hendaklah diterangkan dengan menyeluruh di negara kita, terutamanya kepada anak muda dan para belia yang sedang bersemangat dalam menghayati erti kebangkitan Islam dan perjuangan suci untuk menegakkan agama dan negara Islam menurut kefahaman yang mereka fahami daripada anasir-anasir luar yang amat berpengaruh itu.
Tanpa keyakinan mereka terhadap propaganda luar tentang perjuangan 'jihad' itu, mana mungkin mereka akan sanggup mengharungi medan peperangan yang amat berbahaya di negara luar yang jauh itu.
Malah pengaruh ini telah menjadi luas sehingga terhadap para wanita Islam yang sanggup 'berkorban' bersama-sama tentera agama ini dengan menyediakan khidmat seks kepada para pejuang itu.
Hal ini jelas bertentangan dengan ajaran agama Islam yang maha suci dan amat jelas menyeleweng daripada nilai akhlak, malah akidah dan syariah umat Islam sendiri.
Sekali lagi penulis ingin menekankan di sini bahawa pengaruh negatif yang berselindung di sebalik kesucian agama ini hendaklah didedahkan dengan meluas dalam kalangan masyarakat kita, malah diterapkan pendidikan Islam yang sebenarnya untuk memahamkan anak-anak dan umat Islam di Malaysia, agar mereka tidak akan terjebak di dalam perangkap radikal dan ekstrem itu.



Monday, September 8, 2014

ISU SEMASA YANG MERBAHAYA




Apakah Islam benarkan keganasan?
ISU penglibatan umat Islam negara ini di dalam gerakan bersenjata di arena krisis politik di negara-negara Asia Barat adalah merupakan isu besar yang tidak harus dipandang ringan.
Kita perlu prihatin mengenai laporan-laporan dan berita-berita yang menyatakan bahawa beberapa orang rakyat kita yang telah turut serta berjuang di dalam kumpulan bersenjata di sana seperti di Iraq dan Syria.

Malah yang terbarunya ialah berita tentang kematian seorang rakyat kita di Syria yang menyertai golongan pemberontak Syria menentang kerajaan Basshar Al Asad, baru-baru.

Sungguh pun penglibatan mereka di dalam golongan tersebut merupakan penglibatan peribadi atas dasar ajaran agama atau fahaman politik yang mereka pegang, tetapi negara kita sebagai sebuah negara Islam yang mempunyai pemerintahan berdasarkan Perlembagaan demokrasi, kekuatan Islam yang dilambangkan oleh kedaulatan Raja-Raja Melayu dan mempunyai perundangan yang amat jelas menentang keganasan.

Maka saya rasa kita haruslah menjadikan isu penglibatan rakyat negara ini dalam krisis tersebut sebagai sesuatu yang seharusnya ditangani dengan penuh hikmah dan bijaksana, berlandaskan ajaran Islam yang suci.

Imej Islam di negara kita yang terkenal sebagai sebagai sebuah negara moderat, aman dan damai, mengamalkan konsep wasatiyyah, berperaturan dan menonjol sebagai sebuah negara yang berperadaban dan bertamadun, akan tercalar dengan penglibatan anak negara kita di dalam gerakan radikal di luar negara itu.
Refleksi yang negatif dalam hal ini akan menjatuhkan maruah dan amalan agama Islam itu sendiri pada pandangan mata dunia.

Saya merasakan bahawa dalam hal ini kita berkewajipan mengkaji dan mencari sebab-sebab kenapakah rakyat negara kita terdorong untuk mencampuri perjuangan golongan bersenjata dan melakukan pertumpahan darah dan pembunuhan itu.

Besar kemungkinan bahawa mereka telah terpengaruh dengan fatwa-fatwa yang mereka yakini bahawa mereka adalah merupakan para pejuang yang mahu mempertahankan ajaran agama dan umat Islam dari musuh-musuh mereka yang menentang agama dan menentang Allah, oleh itu sekiranya mereka mati, maka mereka adalah mati syahid yang bakal mengambil jalan mudah memasuki syurga.

Mereka beriman kepada ajaran yang mengatakan bahawa mereka adalah berjihad kerana agama, dan sesiapa yang menentang mereka, termasuk para penentang yang beragama Islam sendiri, adalah merupakan musuh yang seharusnya dihapuskan, termasuk membunuh para musuh mereka itu.

Kewajipan kita sekarang ialah membetulkan tanggapan ini, iaitu menjawab persoalan: apakah sebenarnya perjuangan bersenjata dengan melakukan pembunuhan dan pertumpahan darah, terutamanya di antara sesama umat Islam itu, merupakan jihad yang direstui oleh agama kita?

Persoalan lain yang ditimbulkan ialah: apakah makna dan takrif jihad di dalam ajaran agama Islam, dan bilakah tindakan mengangkat senjata menentang musuh kita itu seharusnya dilakukan oleh orang Islam dalam pengertian berjihad pada jalan Allah?
Konsep dan takrifan jihad dari syariah Islam adalah amanat penting difahami oleh orang Islam sebelum menentukan bahawa perjuangan mengangkat senjata itu dapat dilakukan sebagai satu perjuangan kerana agama dan kerana Allah.

Oleh itu, proses mendidik umat kita dengan pengajaran yang betul tentang Islam haruslah dilakukan dengan serius dan menyeluruh, terutamanya di dalam kes yang melibatkan keganasan dan pertumpahan darah yang dialami sekarang ini di dalam masyarakat dan negara-negara Islam sendiri, di bumi para anbiya' dan rasul itu.
Dorongan gerakan radikal dan perjuangan bersenjata di antara golongan-golongan yang bertentangan sekarang ini sebenarnya muncul di mana-mana saja.

Malah perjuangan bersenjata di antara golongan yang bertentangan ini bukanlah hanya didorong oleh fahaman agama seperti yang berlaku dalam kalangan penganut agama, malah pertelagahan bersenjata itu sering juga ditimbulkan oleh anasir-anasir politik yang bertentangan, seperti yang berlaku di Sri Langka, Sepanyol dan lain-lain lagi.

Pada saya, dalam menangani krisis dan pertentangan ini, kita haruslah mengkaji dan menganalisis isu-isu agama dan politik yang bersifat melampau, fanatik dan hubungannya dengan sentimen manusia, polarisasi kaum, agama dan politik di antara masyarakat manusia sendiri, kemudian barulah kita mencari jawapan yang sebenarnya dalam mengatasi masalah kemanusiaan ini.

Pageviews last month