Sunday, January 25, 2015

INNA LILLAH



MALIK ABDULLAH YANG SAYA KENALI

Inna lillah Wa Inna Ilaihi Raji'un
Raja Abdullah kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat 23 Januari 2015 - 2 Rabi'ul Akhir 1436, meninggalkan negara Saudi yang menjadi pelindung dua buah Masjid suci, Al-Masjidul Haram dan Al-Masjidun-Nabawi.

Ketika saya dilantik sebagai Duta Malaysia ke negara Saudi mulai 2005 hingga 2008, telah beberapa kali saya mengadap Raja Abdullah, dan pertemuan itu amat mesra kerana bahasa perantaraan Arab yang digunakan tidak memerlukan penterjemah.

Satu perkara yang menjadi titah baginda setiap kali pertemuan ialah puji-pujian baginda terhadap urusan haji dan jemaah haji Malaysia "yang tertib, berpengetahuan serta beradab" mengikut titah baginda sendiri.

Baginda menyedari tentang urusan jemaah haji yang tidak berlaku di mana-mana sahaja dunia Islam seperti yang dilakukan di Malaysia.

Hal yang sama juga dibangkitkan oleh Menteri Haji pada setiap kali pertemuan ketika menentukan kuota haji Malaysia yang sering diadakan diantara Kerajaan Malaysia dan Menteri Haji Saudi.

Ketika saya berkhidmat di sana, Malik Abdullah, pernah menghantar rombongan baginda dari Kementerian Pendidikan untuk bertemu saya dan menyatakan hasrat baginda untuk menghantar para pelajar Saudi ke Universiti di Malaysia untuk menyambung pelajaaran dengan biasiswa baginda sendiri.

Saya telah mengatur pertemuan di antara rombongan Kementerian Pendidikan Saudi dengan para Naib Canselor IPTA di Malaysia. Pertemuan itu telah menghasilkan persefahaman yang baik untuk menerima para pelajar Saudi memasuki IPTA Malaysia, yang ijazahnya di iktiraf oleh Kerajaan Saudi.

Rombongan itu menyatakan bahawa perintah baginda itu di buat apa bila Raja Abdullah mengkaji tentang sistem pendidikan serta persekitaran dan simbol Islam yang baginda kaji di Malaysia, terutamanya ketika baginda melakukan lawatannya ke negara kita pada tahun 2005 setelah dilantik sebagai Raja Saudi menggantikan Al-Marhum Raja Fahad pada tahun 2005 itu.

Baginda melihat bahawa orientasi pendidikan serta penghayatan Islam di negara Malaysia adalah amat baik untuk mengeluarkan para pemimpin muda Saudi pada masa hadapan, setelah selama ini kebanyakan para pelajar Saudi menumpukan pengajian tingginya di Barat, khususnya di Amerika Syarikat.

Itulah diantaranya Malik Abdullah yang saya kenali. Malah amat di kenali oleh para pemimpin Malaysia sendiri yang berkunjung dan mengadap baginda, Boleh dikatakan dalam setiap pertemuan baginda dengan ketua negara dan pemimpin Malaysia, maka baginda akan menempatkan pemimpin Malaysia di sebelah baginda diantara para pembesar negara Islam yang lain.

Kini baginda telah kembali kerahmatullah. Semoga tradisi perhubungan baik di antara kedua buah negara, akan terus bertambah erat dan berkekalan dengan baik, di bawah pemerintahan Raja baru Saudi, Malik Salman....insya' Allah

Al-Fatehah....


JIMATKAN MINYAK KERETA




PANDU CERMAT MINYAK SELAMAT ...


Ketika berlaku kerisis ekonomi, terdapat negara dunia yang segera menurunkan had laju kereta di atas jalan raya. Umpamanya di lebuh raya yang had laju maksimum ialah 110 km sejam, maka diturunkan kepada 100 km sejam, dan dikuatkuasakan dengan ketat sekali. Sesiapa yang bersedia untuk membayar denda, maka pandulah melebihi had laju itu.

Tetapi di negara kita penguatkuasaan tentang had laju itu tidaklah dilaksanakan, kerana mungkin belum sangat terdapat kesedaran untuk menggesa orang ramai supaya menjimatkan perbelanjaan minyak kereta dengan memperlahankan kenderaannya ketika memandu. Malah mungkin tidak banyak orang yang sedar bahawa memandu dengan laju itu boleh menyebabkan penggunaan minyak yang lebih banyak dibandingkan dengan orang yang memandu perlahan.

Oleh itu dalam keadaan ekonomi yang meruncing sekarang ini saya rasa kita sendiri haruslah berjimat cermat dengan kehendak diri sendiri dalam semua perbelanjaan, termasuk dalam menjimatkan minyak kereta dengan pemanduan yang berhimat.

Sekarang ini adat memandu kenderaan di negara kita ialah pertama sekali tergesa-gesa nak cepat, walau pun dalam keadaan yang biasa, iaitu ketika pemandu tidak perlu bergegas menuju ke suatu tempat, kerana telah menjadi adatnya, iaitu memandu dengan laju. 

Untuk memenuhi kehendak ini kebanyakan pemandu akan memandu laju, potong kiri kanan tanpa peraturan, langgar lampu isyarat, potong barisan, mencelah dengan seberapa pantas ketika orang lain memandu dengan mematuhi peraturan dan sebagainya.

Setiap hari banyak mangsa yang meninggal dunia atau tercedera, sama ada parah atau ringan, kerana berlaku kemalangan jalan raya. Hal ini bukan hanya menjadi adat penunggang motosikal atau kenderaan ringan, malah mernjadi kebiasaan pemandu kenderaan berat, termasuk pemandu  lori balak, lori pasir, lori tangki minyak dan lori sampah, pemandu bas yang membawa ramai penumpang. malah pemandu truck lain, yang semuanya kelihatan berkejar-kejar di atas jalan raya biasa dan lebuh raya dua atau tiga lorong, masing-masing tidak mahu mengalah, malah berlumba-lumba memotong sesiapa sahaja yang ada di hadapan-nya..

 Oleh itu terserahlah kepada sesiapa yang hendak menjimatkan minyak untuk mengambil inisiatif sendiri ketika memandu. Malahan ramai juga para pemandu yang perihatin telah memberikan beberapa tips untuk menjimatkan minyak ketika memandu, iaitu memandu dengan agak perlahan sentiasa, tanpa menekan minyak berlebihan ketika memandu.

Diantara petunjuk yang pernah diberikan dalam pemaduan berhimat dan cermat ialah :
1. Perlahan kereta ketika hampir dengan lampu isyarat ketika lampu merah untuk mengelakkan brek yang mengejut, kerana perbuatan menekan brek, apa lagi brek yang mengejut, menyebabkan kereta memakan minnyak yang lebih.
Tambahan pula ketika sedang memandu ke arah lampu merah itu, mungkin pemandu tidak perlu menekan brek dan berhenti, iaitu ketika lampu isyarat akan bertukar hijau.
2. Ketika berhenti kereta kerana lampu isyarat atau lain-lain, pemandu hendaklah meletakkan gearnya di kedudukan free, atau P/N, sehinggalah ketika akan berjalan semula, barulah di tukar gear untuk bergerak ke hadapan
3. Ketika berjalan semula, janganlah menekan minyak secara yang agresif dengan niat untuk memotong orang lain, atau hendak terus memecut laju, tetapi tekanlah menyak secara perlahan-lahan mengikut kemampuan kereta untuk bergerak, tanpa dipaksa secara melampau
4. Ketika memandu janganlah tergesa-gesa dan memandu dengan laju tanpa sebab, kerana seperti yang disebutkan di atas, memandu laju lebih banyak minyak akan digunakan jika dibandingkan dengan orang yang memandu perlahan dan sederhana
5. Memandu di atas jalan raya dua atau tiga lorong, sentiasalah berada di lorong yang paling kiri, supaya kereta yang akan memotong akan dapat memotong dengan selamat di sebelah kanan kita, dan kita pun tak perlu berjalan laju kerana kereta di belakang sering mengekori kita dengan amat dekat, seolah-olah hendak menyondol kita di belakang, lalu kita terpaksa berjalan dengan laju sebelum masuk ke lorong kiri
6.  Memandu perlahan dan sederhana merupakan satu tindakan yang selamat, malah orang yang terburu-buru memandu dengan laju itu kadang-kadang tidak akan sampai ke mana ketika melalui jalan yang sesak, atau bertemu dengan lampu isyarat, kerana sering juga kita bertemu dengan mereka semua di lampu isyarat atau terlekat di dalam kesesakan lalu lintas, sedangkan merekalah yang tadinya memotong kiri kanan dengan laju tanpa disiplin lagi. Akhirnya mereka tidak sampai ke mana juga.

Itulah beberapa tips yang pernah diberikan orang untuk kita memandu bagi menjimatkan minyak, terutamanya panduan ini amat berguna ketika kita menghadapi dugaan Allah yang merampas sedikit kemewahan kita dalam kerisis ekonomi negara ini.....dan ketika semua orang pastinya akan menggunakan kenderaan yang memerlukan minyak....



Friday, January 16, 2015

MENGHORMATI NABI DI PERINTAHKAN DALAM AL-QURAN



GUNAKAN KACA MATA YANG BETUL

Berita perdana media antarabangsa yang dikuasai Barat sehingga hari ini masih memperojekkan keburukan "pengganas Islam" yang membunuh di Paris minggu lepas. Semua negara Barat telah menunjukkan rasa simpati dan bersama-sama dengan negara Perancis dalam membantah dan mmelancarkan protes besar-besaran terhadap "keganasan" Islam itu.

Alangkah baiknya kalau hal yang sama dilakukan terhadap Israel yang sering bertindak membunuh dengan penuh sistematik akan rakyat Palestin yang bertindak mempertahankan diri mereka dan mencuba sedaya mungkin dalam usaha yang sia-sia untuk mendapatkan kemerdekaan negara mereka sepenuhnya.

Kita memang boleh membuktikan bahawa Islam tidak membenarkan pembunuhan yang dilakukan tanpa asas syariah. Dan kita juga mengakui bahawa dalam tindakan segelintir umat Islam membunuh orang-orang yang tidak bersalah adalah merupakan tindakan yang melanggar perintah Allah.

Tetapi kita tidak mengakui bahawa perbuatan pihak Barat menghina dan mempermain-mainkan Nabi kita itu adalah merupakan sesuatu yang boleh kita terima. Kita melihat dari ajaran Islam sendiri yang memerintahkan supaya manusia menghormati para nabi dan rasul utusan-Nya. Sebab itulah kita umat Islam percayakan semua nabi utusan Allah, nabi Musa, Isa, Nuh, Hud, dan lain-lain lagi, sama seperti kita mempercayai kitab-kitab suci yang diturunkan Allah kepada kaum yang tertentu melalui para nabi dan rasul-Nya itu.

Tetapi mereka bukan hanya sekadar tidak mempercayai Nabi Muhammad SAW, malah lebih dari itu, telah bertindak mempersenda-sendakannya pula dengan melakukan kepelbagaian penghinaan melalui lukisan dan karekaternya, melalui filemnya, dan media lainnya, sehingga bagi mereka semuanya ini adalah merupakan kebebasan mereka yang tidak terbatas, dan berlandaskan demokrasi yang mereka amalkan.

Apakah kebebasan yang ada pada manusia itu tidak terbatas? Kebebasan bersuara dan berkarya hanya berdasarkan kaca mata dan pandangan mereka sendiri, walau pun dalam masa yang sama mereka melakukan penghinaan yang amat sangat mengikut kaca mata orang lain? Apakah demokrasi namanya apabila kita bertindak menyakitkan hati dan perasaan orang lain, apa lagi menghina Allah dan agama Allah itu sendiri?

Rukun kebebasan mutlak ini sering disalah gunakan mereka atas nama demokrasi dan hak kebebasan manusia, sedangkan tindakan mereka melakukan penjajahan ke atas negara dan umat lain, mengakibatkan penderitaan dan kelaparan orang lain tidak mereka fikirkan sebagai sesuatu yang bertentangan dengan amalan demokrasi dan keadilan terhadap hak asasi manusia?

Inilah rukun mereka, kumpulan yang amat mementingkan diri sendiri dan mementingkan perasaan mereka sahaja dengan sifat yang amat buruk iaitu merupakan umat yang terlalu "selfish" sekali. Apakah kebebasan dan demokrasi dapat dijadikan lesen untuk menghina dan menjatuhkan simbol agama dan nilai-nilai akhlak orang Islam dalam konteks yang sedang kita bicarakan ini?

Sayangnya mereka tidak mempercayai Al-Quran, kerana bagi kita umat yang mempercayai Al-Quran, kita dapat meerujuk kepada surah 49 di dalam kitab suci kita itu, iaitu Surah Al-Hujurat yang dijelaskan oleh Allah supaya umat-umat yang beriman janganlah mengangkat suara lebih dari suara Nabi ketika bercakap dengan baginda, malah janganlah menyaringkan suara melebihi suara Nabi kerana perbuatan itu boleh mengurang atau menghapuskan pahala amalan kita. Malah orang-orang yang merendahkan suaranya ketika bercakap dengan baginda, maka orang-orang begitulah yang merupakan mereka yang dibersihkan hati mereka untuk bertaqwa kepada Allah dan mendapat ganjaran pahala yang besar dari-Nya.

Ertinya ketika berbicara dan bercakap dengan baginda sekali pun manusia beriman seharusnya menjaga adab sopan dan menghormati baginda begitu rupa, maka apa lagi ketika menyatakan sifat-sifat baginda yang mulia, membicarakan tentang peribadi dan misi baginda, tentulah seharusnya dilakukan dengan penuh hati-hati dan penuh etika dan adab.

Maka perbuatan menghina dan menggambarkan Nabi dengan segala penghinaan dan menjatuhkan maruah baginda, tentulah merupakan satu perbuatan yang amat biadab dan penuh cabaran kepada umat Islam seluruhnya.....

Telah sampai masanya pihak Barat memeriksa semula norma-norma dan falsafah demokrasi dan kebebasan mereka dalam hal-hal yang melibatkan umat lain. Ukuran dan falsafah mereka bolehlah dilaksanakan sekiranya tidak melibatkan falsafah dan ajaran orang lain. Tetapi yang berlaku sekarang ini adalah sebaliknya, iaitu sesuatu yang melibatkan orang lain mereka sering menggunakan ukuran mereka seperti penjajahan akal dan mental, negara dan rakyat lain, tetapi apa bila melakukan sesuatu perkara yang melibatkan agama dan umat lain, mereka sering menggunakan ukuran dan "standard" mereka sendiri, terutamanya rukun demokrasi dan hak kebebasan manusia yang tidak terbatas....

Masanya telah tiba bagi Barat memahami hal ini, dan mengubah persepsi serta perlaksanaan amalan ini, atau lebih tegas lagi melihat sesuatu melalui kaca mata amalan, tradisi, budaya dan agama orang lain ketika bertindak terhadap orang itu.....

Sekiranya kita menghormati orang lain, maka barulah orang lain akan menghormati kita, tetapi sebaliknya jika kita tidak menghormati orang lain, maka orang lain juga tidak akan menghormati kita, sekurang-kurang nya tidak memusuhi kita....

Thursday, January 15, 2015

NASI LEMAK NESCAFE "O"


IMPIAN SEMALAM

Saya dan isteri telah sedia berada dalam barisan di sebuah restoran KLIA sebelum jam 6 pagi tadi untuk membeli sarapan. Kami berdua berbicang sedikit tentang makanan yang hendak di makan. Nasi goreng, mee mamak, atau nasi lemak. Tiba-tiba seorang wanita separuh umur Cina depan kami tersenyum menoleh kepada kami, katanya dia memang pilih nasi lemak. 

Kami pun menyahut tegurannya, kalau begitu nasi lemak jugalah. Beli satu kongsi berdua. Dia minta nescafe "O" kami minta nescafe dua (bersusu tentunya). Dia berkata lagi "kurang gula"...dan kami sambut dengan ketawa kecil....

Semasa minum dan makan nasi lemak, saya beritahu isteri saya, bahawa hal beginilah yang terjadi di dalam masyarakat berbilang kaum di negara kita sekian lama. Keharmonian terjadi secara tabi'e. tanpa di ada-adakan dengan satu motif yang tertentu.

Pernah saya tinggal di kampung kami lama dulu, semasa saya masih sekolah rendah, hanya terdapat satu keluarga Cina yang tinggal di kampung itu. Satu hari si bapa dalam keluarga itu pergi memburu babi hutan dan berjaya ditangkap dan dibunuhnya, lalu di muatkan ke atas basikal untuk di bawa balik ke rumahnya.

Badan babi itu sebesar anak lembu, terbaring di atas pelantar basikal. Kami orang kampung berkumpul sambil meminta dia berhenti sekejap untuk melihat rupa dan badan binatang itu dari dekat tanpa menyentuhnya.

Lelaki Cina ini mengetahui bahawa babi ialah binatang haram kepada orang Melayu. Dia pun tunjuklah kepada kami kepala dan hidungnya yang berlubang besar, taring, kaki dan ekornya yang pendek saja, serta beberapa anggota badan binatang itu lagi.

Orang kampung berpuas hati dapat melihat binatang liar itu dari dekat, kerana selalunya binatang itu tidak akan dapat dilihat kelibatnya dari dekat, kerana babi hutan terkenal dengan kelinchannya berlari dengan amat pantas menghilangkan diri ketika berjumpa manusia. Tidak terlintas sedikit pun dalam kepala sesiapa untuk bertanya kenapakah mereka harus makan babi dan sebagainya.

Demikianlah mudahnya kehidupan zaman itu dan zaman-zaman yang terkemudian, sebelum suasana keharmonian dan keamanan itu di ganggu gugat oleh golongan-golongan yang mengeruhkan suasana, juga mengganggu gugat kesetabilan masyarakat majmuk dan menimbulkan segala macam rasa sensitiviti yang tidak berkesudahan dalam masyarakat ini.

Pada zaman-zaman terkemudian banyak istilah yang telah diciptakan untuk menggambarkan keharmonian dan persefahaman dalam masyarakat ini. Kita mengenali istilah "unity in diversity" iaitu kesepaduan dalam kepelbagaian. "Agree to disagree" bersetuju untuk berbeza dan istilah-istilah lain lagi yang menggambarkan kesepaduan dan kesatuan masyarakat kita yang beerlaku secara yang sepontan, penuh persaudaraan dan peersefahaman, tanpa perasaan fanatik dan sensitiviti melulu dalam agama, adat istiadat, kaum, etnik dan sebagainya, atau di penuhi oleh persepsi palsu yang di reka-reka oleh ramai orang yang tidak setabil pemikirannya.

Mungkin pada zaman itu masyarakat kita berada dalam sihat dan afiat dari segi jasad dan rohnya, lahir dan batinnya, emosi dan hatinya, serta amat menghayati kehidupan fitrah yang bersih dan suci.

Maka dalam konteks ini, nampaknya segala kegawatan perkauman, keagamaan, adat resam dan cara hidup yang berlaku sekarang ini merupakan manifestasi keadaan mental dan emosi yang sakit dalam jiwa dan diri banyak anggota masyarakat, perasaan dan sentimen mereka itulah yang mungkin menyebabkan kegawatan masyarakat sekarang ini, menjelang tahun-tahun yang kebelakangan di negara kita, ketika semua orang nampaknya mulai menjiwai satu kehidupan yang agak asing dari adat resam dan nilai moral yang harmoni selama ini di dalam negara kita ini.

Dulu semua orang bersembahyang dan mengadap tuhan masing-masing. Tidak terdapat sesiapa pun yang mempersoalkan tentang ibadat dan amalannya kepada Tuhannya. Ramai orang Cina yang meletakkan buah limau di to'kongnya, tanpa disentuh atau dicuri orang, dan orang India, membunyikan loceng ketika maghrib tanda ibadat mereka baru bermula, bersahutan pula dengan seruan azan orang Islam. Semuanya berlalu tanpa persoalan kenapa begitu, kenapa begini...

Saya berkata kepada isteri saya bahawa saya bermimpi akan masa yang silam, dan bercita-cita agar negara kita balik ke zaman kuno, ketika tidak banyak orang yang terlalu pandai berniaga, berternak, berpendidikan dan berpolitik, supaya masyarakat kita kembali ke sejarah lampau, hingga kehidupan kita tidak mengalami cabaran, stress, tension dan resah gelisah, yang banyak juga menyebabkan kesakitan yang dideritai oleh anggota masyarakat, yang ada kalanya membawa kematian mengejut kepada mereka.....

Tetapi terfikir juga saya bahawa roda sejarah telah berpusing ke hadapan dan tidak mungkin akan berpatah kembali ke belakang. Namun seperti biasa, sejarah gemilang dan malapnya sesuatu bangsa itu adalah terpulang kepada bangsa itu untuk menciptakannya..baik buruknya perjalanan masyarakat itu adalah merupakan ciptaan masyarakat itu sendiri....

Sepatutnya semakin banyak ilmu yang berada di dalam dada anggota masyarakat, semakin lumayannya kehidupan kebendaan bangsa itu, dan semakin membangunnya demokrasi dan politik warga negara dan pemimpin sebuah negara itu, maka semakin bertamadun dan positifnya kehidupan masyarakat negara dan bangsa itu, semakin sihat dan harmoninya manusia-manusia yang berada dalam sesebuah negara itu....malah semakin matanglah cara berfikir dan bertindak mereka, semakin positif emosi dan mentaliti mereka....

Fikiran saya terbuntu di situ sahaja, ketika terdengar hebahan di pembesar suara, bahawa jam telah melebihi enam pagi, dan sampailah ketikanya umat Islam bersembahyang subuh....satu pengumuman yang dilaungkan di KLIA itu, yang dulunya tidak pernah bergema suara ini, dan harap-harap tidak adalah sesiapa yang mempersoalkan kenapa pengumuman ini harus di suarakan dengan lantangnya di KLIA ini.....

Kami melangkah ke surau, sementara menunggu pesawat yang akan berangkat pada jam lapan nanti...isteri saya yang pergi dengan rombongan 40 orang wanita, saya ketinggalan berseorangan di belakang...

Pageviews last month