Kaabah

Kaabah

Monday, July 28, 2014

1 SYAWAL 1435 SELAMAT HARI RAYA



SELAMAT BERPISAH RAMADAN 1435

Tiba pagi Isnin 28 Julai 2014 menjelmalah fajar Raya setelah sebulan berpuasa. Sekali lagi Ramadan beredar meninggalkan kita, dan sekali lagi Syawal menjelma membawa kita ke hari perayaan.

Puasa meninggalkan kenangan dan pengajaran, yang mungkin dalam jangka masa yang pendek pemergiaannya, kitaq masih dapat merasakan kesannya. 

Kita boleh menyambung sarapan yang telah ditinggalkan sebulan yang lalu seandainya Ramadan tidak di ikuti dengan 6 hari Syawal. Rutin pekerjaan mulai disambung semula selepas hari perayaan menyambut ketibaan Syawal, iaitu mulailah para pekerja memasuki pejabat dan memulakan rutin kerja dan makan minumnya seperti sebelum Ramadan dulu.

Bulan Ramadan dihormati dan dihidupkan dengan cara yang sewajarnya di negara kita. Banyak amal ibadat yang dilakukan, tazkiran dan kulliah agama dan kerohanian dianjurkan, maka pengisian Ramadan adalah padat.

Tetapi di Ghazzah pihak Zionis melakukan pencerobohan. Mereka tidak lagi merasa hormat kepada bulan Ramadan. Mereka tidak lagi menaruh timbang reasa terhadap orang Islam dalam bulan mulia, Malah mereka tidak lagi menghormati tempat suci dengan tindakan mereka menghancurkan beberapa buah bangunan Masjid.

Puncanya mungkin kerana umat Islam sendiri tidak menghormati bulan Ramadan. Kumpulan yang bertelagah di kawan Timur Tengah sesama Islam juga tidak memberhentikan "perang" sesama saudara Islam dalam bulan puasa ini. 

Tindakan keganasan dan kekerasan tetap berterusan di dalam bulan Ramadan. Membunuh dan menembak kawan-kawan seagama tidak memilih waktu dan ketika, maka dalam bulan Ramadan peperangan saudara terus menerus berlaku di dalam sesetengah negara Islam/Arab.

Dalam keganasan dan konflik sesama sendiri inilah, kita yang masih berada dalam suasana aman damai ini, dapat mencuba menghadapi kerja seharian, dan melelapkan mata dengan nyaman menjelang waktu malam.

Kita berada agak jauh dari Ghazzah, tetapi keperihatinan kita kepada mereka seolah-olah telah mendekatkan distinasi di antara Palestin dan Kuala Lumpur, walau pun jiran tetangga yang dekat dengan mereka sedang menyepi seribu bahasa.


Sunday, July 27, 2014

PUASA HARI KE DUA PULUH SEMBILAN 1435



SELAMAT BERPISAH RAMADAN 1435


Pada lazimnya, hari ini, Ahad 27 Julai 2014, merupakan hari terakhir Ramadan 1435. Kita akan berpisah dengan Ramadan ini menjelang berbuka puasa ketika mata hari terbenam pada hari ini, dan esoknya akan menjelangnya hari baru, 1 Syawal 1435, Hari Raya Aidilfitri.

Selamat Hari Raya kaum muslimin muslimat sekelian, minal 'aaidin al faezin al maqbulin, semoga kita semua termasuk ke dalam golongan hamba Allah yang kembali bersih, kembali kepada fitrah, yang berjaya dan diterima amalannya oleh Allah SWT.

Hari berlalu silih berganti. Sudah kesekian kali kita mengucapkan selamat berpisah kepada Ramadan yang berkat, puluhan tahun bagi orang yang telah lama hidup, belasan atau beberapa tahun, malah beberapa  bulan bagi yang baru menjelma ke dunia ini.

Kita di negara ini berpuasa dalam negara sendiri, berbuka di rumah sendiri atau di luar, bersama sanak saudara dan keluarga atau handai taulan, ketika terdapat juga saudara kita seagama yang berpuasa dan berbuka ketika di serang dan di bom, atau dalam perjalanan sebagai pelarian perang, atau menderita kerana masjid, hospital dan rumah kediaman sendiri di timpa mala petaka.

Tetapi semuanya ini adalah merupakan pengalaman hidup masing-masing, cabaran dan dugaan yang dihadapi, sama ada secara persendirian, atau bersama umat seagama dan sebangsa, kerana kita juga faham bahawa dalam menghadapi kesusahan dan dugaan, masing-masing akan bertindak mengikut kemampuan dan kekuatan sendiri. 

Syukurlah kita masih dapat berbekalkan makanan dan minuman, tidak ada diantara kita yang mati kelaparan, atau mengalami kesakitan tanpa mendapat rawatan, malah masih dapat berlindung di dalam rumah sendiri, dan beribadat di surau atau masjid yang masih tertegak di sekeliling kita. Malah sekiranya terdapat segelintir yang mengalami nasib malang dalam hal-hal ini, mungkin juga kerana mereka tidak berusaha dan berikhtiar mengikut kemampaun mereka yang diberikan Allah.

Setiap permohonan yang kita mohon kepada Allah, maka fahamilah bahawa Allah itu adalah hampir dan dekat dengan kita, tetapi untuk Allah menyahut permohonan dan doa kita, dalam keadaan ini kita juga mestilah memahami jalan dan kaedah-kaedahnya yang tertentu untuk Allah memperkenankan permohonan dan doa kita.

Ayat 186 dari Surah Al-Baqarah, Allah swt menjelaskan :
"Dan apaabila hamba-hamba-Ku bertanya kepada mu (Muhammad) mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku, maka mereka hendaklah menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul"

Kita sentiasa berdoa memohon berbagai-bagai permintaan kepada Allah SWT. Memohon kesihatan yang baik, kehidupan yang aman, rezeki yang murah, ilmu yang bertambah, kekuatan menentang cabaran dan ujian, malah kemusnahan yang seharusnya ditimpa ke atas musuh-musuh kita sebenarnya.

Sejak puluhan tahun yang lalu, kita berdoa untuk kebebasan Palestin dan menyelamatkan rakyatnya, malah yang terakhir ini ketika berlaku tregedi berdarah di Gazzah, kita berdoa supaya Allah menghancurkan musuh-musuh Allah dan musuh kita juga, hancur leburkanlah kaum Yahudi, dan kita berharap bahawa doa kita itu satu hari akan dimakbulkan Allah.

Tetapi seperti yang difirmankan oleh Allah SWT, bahawa Allah akan memperkenankan doa kita sekiranya kita benar-benar beriman kepada-Nya dengan segala rukun dan syarat-Nya, dan kita juga mestilah menyahut seruan Allah dalam segala penghayatan agama dan amal kita.

Satu perintah Allah ialah menyeru supaya semua orang yang beriman bersatu padu dengan berpegang teguh kepada tali Allah (agama Allah) dan jangan berpecah belah.

Dalam aspek kesatuan dan perpaduan ini sahaja, umat Islam tidak memahami dan menghayatinya. Umat Islam berpecah belah dan berkerisis kerana berbagai-bagi faktur luaran dan dalaman masyarakat Islam itu sendiri.

Kita bukan hanya tidak bersatu, malah berkerisis dan berkonflik sehingga membawa kepada pertumpahan darah, berbunuhan sama sendiri. Kita tidak memperjuangkan agenda kita sebagai jemaah, umat yang satu menjalankan misi kita sebagai umat yang benar lagi adil, atau wasatiyyah.

Imam masjidil Haram, telah lama berdoa untuk kehancuran musuh Islam dan musuh Allah, kita sendiri membaca doa dalam Qunut Nazilah untuk kehancuran musuh Islam, dan dalam bulan Ramadan ini semakin banyak doa yang kita baca, semoga Allah SWT memakbulkannya.

Kita umat Islam harus bertanya kepada diri kita sendiri, kenapakah kita umat Islam yang berjumlah 1.3 billian tidak dapat mengalahkan umat Yahudi yang hanya berjumlah beberapa milion sahaja di dalam dunia ini?

Allah maha Adil, tentulah Allah tidak akan membiarkan umat Islam menderita, dan doanya tidak dimakbulkan, maka dalam hal ini tentulah terdapat kelemahan di sana sini dalam kalangan kita umat Islam, kelalaian kita, keingkaran kita kepada perintah Allah, malah kecuian kita tentang syarat-syarat yang diletakkan oleh ajaran agama kita dalam bersatu padu, membina kekuatan spiritual dan fizikal kita, mempunyai kekuatan badani dan rohani, malah kekuatan ekonomi dan kebendaan, oleh itu tidak hairanlah umat Islam selamanya tidak sampai ke mana dan tidak berjaya menghapuskan musuh kita dan musuh agama kita juga.

Tanyalah diri sendiri, dan perbaikilah juga dalaman kita dan luarannya, agar Allah menolong kita, insya' Allah, Amin, Amin

SELAMAT BERHARI RAYA AIDILFITRI






Saturday, July 26, 2014

PUASA HARI KE DUA PULUH LAPAN 1435




PERPADUAN UMAT ISLAM...

Umat Islam diperintahkan oleh Allah SWT supaya hidup dalam jemaah, iaitu dalam perpaduan dan kesatuan. Perpaduan ini hendaklah ada dalam masa aman dan dalam masa perang. Atas dasar inilah Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam berjemaah, dan semangat jemaah inilah yang di hayati di dalam sembahyang berjemaah, berkumpul di tanah suci Makkah ketika menunaikan haji, dan seterusnya dalam ibadat zakat serta sadaqah jariah, maka amalan ini juga sebenarnya menggalakkan umat Islam supaya bantu membantu, tolong menolong.

Puasa sendiri mengandungi semangat perpaduan dan kesatuan yang amat kuat sekali, kerana berkumpul dan berjemaah di dalam bulan puasa sering di rialisasikan, dalam sembahyang terawih, berbuka dan bersahur, berderma dan bersadaqah jariah, malah pada akhir Ramadhan diwajibkan zakat fitrah untuk membantu fakir miskin.

Dalam surah Ali Imran ayat 103, satu firman Allah yang amat masyhur menyebut "Brepegang teguhlah kamu semua dengan tali Allah (agama Allah) dan janganlah kamu berpecah belah"

Dalam surah A-Saf ayat 4, Allah berfirman "Sesungguhnya Allah suka orang-orang yang berperang untuk mempertahankan agama-Nya berada dalam satu barisan, seolah-olah mereka itu adalah sebuah bangunan yang kukuh"

Ertinya seluruh kaum Muslimin hendaklah berpadu dan bersatu sama ada ketika dalam keamanan, apa tah lagi dalam keadaan berperang untuk mempertahankan agama-Nya iaitu agama Allah.

Keadaan rakyat Palsetin pada hari ini nampaknya tidak mendapat pertolongan sesama umat Islam sendiri, maka dengan itu tidak ada satu barisan yang satu untuk umat Islam memerangi musuh dari Israel yang telah menceroboh negara Palestin, dan membunuh serta merosakkan negara Palestin yang tidak sepatutnya mereka lakukan.

Sesungguhnya Allah SWT tidak melarang orang Islam berperang kerana mempertahankan diri dari pencerobohan orang lain, dan mempertahankan agama, keturunan, harta benda, akal, dan maruah mereka. 

Dalam surah Al-Haj ayat 39 Allah SWT berfirman "Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dizalimi, dan sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (untuk mencapai kemenangan)"

Umat Islam tidak dibenarkan menceroboh, tetapi mereka seharusnya bertindak mempertahankan diri dan agama mereka sekiranya diceerobohi, seperti yang terang-terang dilakukan oleh pihak Israel pada masa kini.. 

Rasulullah SAW telah diserang dan disakiti ketika baginda menyeru kepada agama Allah semasa baginda berada di Makkah, lalu baginda berhijrah ke Madinah. Oleh kerana kaum kafir terus menerus menceroboh dan mengancam baginda dan umat Islam, maka baginda dan orang-orang Islam - yang telah puas bersabar - diizinkan oleh Allah menghunus senjata menentang percerobohan itu.

Semuanya tertera dengan jelas di dalam al-Quran, cuma umat Islam masih tidak tahu atau tidak mahu menterjemahkan ajaran Al-Quran ini dengan sebaik-baiknya pada masa kini dalam tindakan mereka, sehingga dalam menghadapi pencerobohan musuh pun kaum Muslimin, seperti rakyat Palestin, terpaksa bersendirian menghadapi segala mala petaka yang menimpa mereka.

Umat Islam sepatutnya haruslah mengkaji al-Quran dalam konteks ini, iaitu bilakah orang Islam seharusnya berperang, dan sejauh manakah konsep mempertahankan diri itu harus diaplikasikan, malah apakah etika dan peraturan berperang yang dibenarkan oleh agama kita, kerana kita selalu mendakwa kita memahami al-Quran, dan mengamalkan segala-segalanya yang di ajar oleh Quran, tetapi dalam amalannya kita masih jauh dari ajaran itu....

Inilah kelemahan besar umat Islam pada hari ini....



Friday, July 25, 2014

PUASA HARI KE DUA PULUH TUJUH 1435


HAMAS DAN FATAH........
 
Selama ini Palestin berada di bawah satu pemerintahan pihak berkuasanya, iaitu Gazzah dan Tebing Barat. Sebelum Pilihan Raya yang lepas, kedua-dua kawasan tersebut dikuasai oleh Fatah. 
 
Tetapi di dalam Pilihan Raya yang lepas, Fatah berkuasa di Tebing Barat dan Hamas berkuasa di Gazzah. Pada mulanya, oleh kerana terdapat sedikit perbezaan ideologi politik dan pendekatan strategi agenda perjuangan masing-masing, maka Hamas dan Fatah telah terjebak dalam satu kerisis perjuangan dan kefahaman politik masing-masing sehingga berlaku konfrontasi, melibatkan konflik yang membawa kepada kekerasan dan mencetuskan konflik bersenjata juga.
 
Masing-masing saling tangkap menangkap, membawa kepada memenjarakan pihak "lawan" dan berbagai-bagai insiden lain yang menunjukkan perbezaan diantara keduanya seperti dua pihak yang bertentangan dan bermusuh.
 
Pihak Raja Saudi, Malik Abdullah, pernah memanggil persidangan damai di antara dua kumpulan ini, bertempat di istana baginda, yang berada di dalam kawasan Masjidul-Haram.
 
Dua kumpulan ini datang menyahut seruan baginda, dan dengan mengadap ke Ka'abah, kedua-dua pihak bersetuju berdamai dan melupakan perselisihan mereka, serta akan berjuang secara bersama atas nama Palestin.
 
Tetapi tidak lama selepas itu, apabila kedua-duanya balik semula ke Palestin, Gazzah dan Tebing Barat, setelah beberapa ketika berada dalam suasana aman, lalu berlaku lagi perselisihan.
 
Peluang ini sebenarnya telah di eksploitasi oleh Israel, iaitu dengan melebalkan Hamas sebagai pertubuhan pengganas, yang dikatakan sentiasa melepaskan roletnya ke kawasan Israel, maka terjadi banyak insiden yang digunakan oleh Israel untuk melakukan keganasan ke atas penduduk Gazzah di bawah pemerintahan Hamas, hinggalah ke masa kini, iaitu dengan tercetusnya pertentangan diantara Hamas dan Israel yang mengakibatkan bilangan korban yang banyak di pihak rakyat Palestin, dan memakan korban yang penting di pihak Israel, ketika tenteranya juga terbunuh, yang pada pandangan Israel sepatutnya pihak Hamas tidak akan mendapat sebarang peluang untuk mengorbankan tenteranya yang kuat itu, tetapi nampaknya Hamas mempunyai kekuatan yang agak luar biasa sehingga puluhan askar Israel terkorban akibat pertentangan bersenjata yang dilakukan oleh Hamas.
 
Hamas mungkin beranggapan, biarlah mereka terkorban semuanya, kerana mereka telah berjaya menandingi kekuatan Israel meskipun secara yang amat tidak seimbang, tetapi hal ini mungkin dapat mengajar Israel supaya tidak memandang ringan dan remeh (under estimate) terhadap kemampuan Hamas.
 
Oleh itu konflik bersenjata di antara Hamas dan Israel di Gazzah ini nampaknya akan berlarutan dengan lebih panjang lagi, terutamanya pada hari semalam pihak rakyat Palestin di Tebing Barat mulai bangun menunjukkan kebencian mereka terhadap Israel dan bersimpati dengan Hamas dan rakyat senegara dengan mereka di Gazzah....
 
Kita perhatikanlah perkembangan seterusnya dalam perjuangan rakyat Palestin di dua buah wilayahnya ini, dan akan kita lihat sedikit kegusaran Israel apa bila kedua-dua wilayah ini menjadi bergolak yang menuntut Israel supaya memberikan sedikit penghormatan kepada perjuangan rakyat Palestin yang diperhambakannya selama ini.
 
Kesimpulan dari perkembangan yang berlaku di Palestin dalam babaknya yang terakhir ini ialah bagaimanakah perselisihan sesama sendiri, iaitu di antara Fatah dan Hamas selama ini, telah banyak memberikan faedah kepada Israel dalam tektik penjajahannya, dan bagaimanakah  dasar penjajahan Israel telah berjaya memecah belahkan dua buah pihak berkuasa Palestin sehingga mereka menjadi musuh yang ketat dan melupakan musuh bersama mereka, iaitu Israel.
 
Semoga rakyat Palestin dan pemimpin ke dua-dua golongan pemerintah Palestin ini akan membawa kepada perpaduan yang mampu memperkuatkan perjuangan mereka untuk menegakkan hak mereka di negara mereka sendiri.
 
Malah seluruh dunia Islam sendiri haruslah mempelajaari banyak pengajaran dari sejarah perjuangan rakyat Palestin ini dalam arena perjuangan masing-masing, di kawasan dan negara mereka masing-masing...Negara Islam terlalu banyak menghadapi kerisis kepimpinan dan perjuangan masing-masing, sehinga berlaku perselisihan dan perpecahan di antara mereka, yang selalunya di manfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh musuh mereka dalam agenda mereka melemahkan, malah kalau boleh, menghapuskan sama sekali perjuangan agama dan ummah Islam ini......
 
Kita sering mengaitkan dua puluh tujuh Ramadhan sebagai hari mencari Lailatul-Qadar, maka biarlah kita menemui malam yang berkat dan mulia itu dengan doa yang panjang dan khusyuk sekali kepada Allah SWT agar kita diberikan kekuatan bagi menegakkan kemegahan dan keagongan agama dan ummah kita dalam bulan Ramadan yang mulia tahun 1435 ini..

PUASA HARI KEDUA PULUH ENAM 1435




DAPATKAH UMAT ISLAM BERPUASA .....?

Mengikuti berita dalam media cetak dan letronik, ternyata bahawa umat Islam di negara Arab dan negara Afrika Utara tidak dapat berpuasa dengan sempurna. Kekacauan dan keganasan semakin menjadi-jadi di daerah itu. 

Namun peristiwa perang yang berlaku di Gazzah mengatasi segala peristiwa berdarah lain, dan menjadikan penderitaan umat Islam semakin meningkat dan merbahaya di daerah itu. Sebuah negara yang mempunyai senjata berat dan canggih, menyerang sebuah daerah yang lemah, tidak punya senjata, dan memusnahkan segala-galanya milik umat Palestin, termasuk membunuh orang awam, kanak-kanak yang tidak berdosa.

Amat menyedihkan banyak masjid yang dibom dan dimusnahkan, tanpa lagi menghormati tamadun dan harga diri manusia, malah mencabar undang-undang antarabangsa, merendahkan umat Islam, dan mencabar agama Islam sendiri...

Inilah pesanan yang disampaikan oleh Al-Quran bahawa "Yahudi dan Nasrani tidak akan rela sama sekali terhadap kamu (Muhammad) sehingga kamu menurut agama mereka" tetapi Rasulullah SAW dan umat-umatnya yang setia tidak akan menurut kepercayaan dan cara hidup musuh sesat itu untuk selama-lamanya.

Kerana itu, musuh Islam ini, akan terus menerus mencabar, memerangi, dan mengenakan tekanan, termasuk dengan cara kasar dan ganas terhadap umat Islam.

Maka hal inilah yang sedang kita saksikan di mana-mana sahaja di dalam dunia Islam pada masa kini, tambahan pula apabila umat Islam sendiri menunjukkan kelemahan mereka, perbalahan sama sendiri, atau kecenderungan mereka untuk menyertai musuh Islam itu kerana mempunyai sesuatu tujuan yang tertentu.

Ketika orang Melayu dan rakyat Malaysia mencuba menembusi sekatan Yahudi untuk memasuki Gazzah dan membantu rakyat yang menderita itu, maka nampaknya tidak banyak bantuan yang seharusnya di hulurkan oleh negara lain, termasuk negara sebangsa dan sejiran dengan Palestin.

Inilah sebenarnya mala petaka dalaman umat Islam kini....yang seolah-olah menggalakkan lagi usaha pihak musuh untuk menghancurkan kekuatan umat Islam, termasuk agama dan akidahnya... 

Masuk malam ke-27 Ramadhan ini, tekanan dan peperangan masih berterusan berlaku dengan hebatnya terhadap umat Palestin....dan kita tidak dapat membayangkan bagaimanakah umat Islam yang diperangi dan dibunuh itu akan dapat berpuasa dengan aman, dan beribadat dengan kyusuk, malah masjid tempat bersolat itu juga turut dimusnahkan....!

Ketika umat Islam lain mencari Lailatul-Qadar, umat Gazzah berkejaran berlari mencari tempat perlindungan untuk mengelakkan diri mereka dari menjadi korban peluru dan roket musuh yang amat merbahaya itu....


Thursday, July 24, 2014

PUASA HARI KE DUA PULUH LIMA 1435



KAWALAN DIRI

Menyebut tentang ajaran puasa supaya seseorang itu mengawal dirinya, saya amat yakin bahawa kita perlu mengawal diri dalam semua perkara, temasuk satu perkara yang sering terjadi di dalam musim perayaan ini, iaitu kemalangan jalan raya.

Kemalangan jalan raya, termasuk kemalangan maut, sering terjadi di dalam musim perayaan ini adalah disebabkan oleh banyak perkara dari segi kesesakan lalu lintas, kenderaan yang tidak diselenggarakan dengan baik, keadaan jalan, kesalahan pemandu lain, dan berbagai-bagai faktor fizikal dan mekanikal yang mungkin tidak kena mengena  dengan faktor kemanusiaan pemandu.

Namun begitu, mengikut perangkaan yang sering dikeluarkan oleh pihak berwajib, ternyata bahawa banyak kemalangan yang berlaku adalah akibat dari faktor kemanusiaan.

Maka dari sudut faktor kemanusiaan inilah pemandu kenderaan seharusnya dapat mengawal dirinya ketika memandu dalam sebarang keadaan supaya pemandu ini tidak melakukan kesilapan yang mengakibatkan kemalangan.

Saya amat berharap agar para psikologis dan ilmu jiwa menjelaskan tentang kejiwaan para pemandu dan perubahan yang berlaku ke atas dirinya, terutamanya ke atas emosi, jiwa, minda dan lain-lain lagi, ketika memandu, supaya dengan itu kita akan dapat menganalsis dan memperbaiki kelemahan para pemandu dalam menjaga dirinya ketika memanadu di jalan raya, khususnya ketika menghadapi situasi seperti keadaan hari perayaan ini.

Oleh itu saya rasa puasa yang mengajar kita menerajui diri kita  dari dalam diri kita sendiri, akan dapat mendisiplinkan diri manusia ketika memandu di dalam situasi yang mencabar kesabaran, ketabahan, dan dalam situasi keletihan, kepenatan akibat dari kekurangan tidur dan perasaan lesu kerana mata yang mengantuk, dan sebagainya.

Pemandu saja yang hanya mengetahui hal ini ketika memandu kenderaan. Anak pinak, kaum keluarga yang berada bersama di dalam kenderaan  mungkin tidak menyedari sangat akan hal ini, oleh itu pemandu sendiri yang tahu bilakah seharusnya dia menerajui dirinya ketika berada di dalam situasi ini. 

Satu perkara yang dialami oleh semua manusia ialah rasa teruja, ceria, gembira, seronok dan berbagai-bagai perasaan lain yang dirasai ketika menyambut hari bahagia, hari raya, dan semasa dalam perjalanan untuk balik ke kampung, menemui ibu bapa, kaum keluarga dan sanak saudara serta sahabat handai.

Rasa excited dan teruja inilah yang ada kalanya menyebabkan pemandu akan memandu dalam keadaan yang laju, memotong tanpa berfikir panjang, melanggar peraturan lalu lintas, dan kegembiraan dalam perjalanan ini, melupakan dia tentang keselamatan dirinya sendiri.

Pemandu negara kita kebanyakannya memang sentiasa memandu laju. Ada orang berkata bahawa pemandu Malaysia bertukar menjadi monster ketika berada di hadapan steering kereta. Orang yang baik, tenang, beeradab pun akan bertukar menjadi makhluk yang bengis dan lupa diri ketika memandu kenderaan. 

Dia akan marah kalau orang memotongnya dengan bersopan atau tidak bersopan, lalu dia akan bertindak balas mengejar kenderaan itu, dan dia juga akan mencari jalan melepaskan dirinya dari  kenderaan yang bergerak denga agak perlahan di atas jalan raya mengikut lorong biasa, lalu dia akan memasuki lorong kecemasan, dan dia akan memotong di mana-mana saja, tanpa mengikuti peraturan, dengan penuh rasa selfish dan ego, hanya mementingkan diri sendiri, malah ada orang merasa bangga kerana dapat melanggar peraturan lalu lintas.

Sebenarnya inilah erti kesabaran yang diajar oleh ibadat puasa, inilah etinya peraturan, syarat rukun yang seharusnya dipelajari dari ibadat puasa, demikian juga perasaan ikhlas dan kawal diri dari dalam diri sendiri yang seharusnya mengajarnya supaya tidak melakukan sesuatu yang melanggar rukun dan syarat ibadat puasa ini.

Pendeknya sifat sabar, bersopan, berdisiplin, mematuhi syarat rukun sesuatu, menahan marah, memelihara diri dan mengawalnya adalah merupakan sifat orang Islam, kerana di dalam semua amal ibadat yang dilakukan sharian, terutamanya dalam ibadat puasa, semua sifat ini seharusnya dapat dihayati dengan baik, dan sifat serta sikap itu bukan hanya diamalkan ketika berpuasa, malah seharusnya dihayati dalam kehidupannya sepanjang masa. 

Kalau ianya dilaksanakan di atas jalan raya, maka kita akan merasa aman ketika memandu, kerana semua pemandu amat bersopan dan berdisiplin, malah orang lain juga merasa tenteram ketika kita memandu dengan menghormati mereka.


Wednesday, July 23, 2014

PUASA HARI KE DUA PULUH EMPAT 1435



RAMADAN : SELF CONTROL, PATIENCE AND GOOD BEHAVIOUR


Ramadan telah tiba ke saat-saat pengakhirannya. Tidak mengapa sekiranya setiap tahun kita mengulangi tentang kelebihan dan pengajaran yang dapat diambil daripada ibadat puasa sebulan itu, kerana kaedah mengulang-ulang adalah merupakan kaedah Al-Qurna, iaitu banyak menyebut tentang sesuatu peristiwa, pengajaran, kisah para Nabi dan Rasul dan lain-lain mesejnya di sana sini dari awal halaman Al-Quran hingga akhirnya, agar dengan kaedah itu maka Al-Quran akan dapat menjadi kitab suci kalimah Allah secara yang lebih efektif.

Demikian juga dengan ibadat puasa pada tahun-tahun yang lalu, dan tahun ini, juga pada tahun-tahun yang mendatang, kita sering mengulang-ulang menjelaskan tentang pengajaran puasa, dengan harapan bahawa Ramadan akan dapat dilihat dan dihayati sebagai bulan untuk mengawal diri, sabar dan orang yang berpuasa akan keluar dari Ramadan dengan perilaku yang baik.

Dalam berpuasa kita meletakkan peraturan dan disiplin yang tertentu untuk mengawal diri kita, walau pun bagi sesetengah orang hanya mengawal diri dari makan minum sahaja, tetapi pada dasarnya dia mengetahui bagaimanakah hendak mengawal dirinya dengan meletakkan segala kriteria disiplin itu di dalam hati dan pemikirannya, kemudian menterjemahkannya di dalam segala tindakan dan perbuatannya.

Sabar juga adalah satu unsur penting dalam proses mengawal diri dan mendisiplinkan segala tindakan seseorang. Sabar melatih seseorang menjadi tenang, berfikiran positif, melihat yang terbaik, berbeza dari pandangan  umum tentang sesuatu yang negatif dan difikirkan sebagai jahat, sebaliknya dia lebih menggunakan rasional dan akal ketika timbul sesuatu yang mencabar kesabarannya.

Perilaku yang baik ialah ketika seseorang mampu menguasai perangai, tutur kata, sikap,  dan mempraktikkan nilai-nilai moralnya yang baik serta universal.

Hasil dari beberapa kelebihan puasa dan pengajarannya inilah yang dapat membentukl peribadi seorang Muslim, iaitu menjadi orang yang bertaqwa dan sentiasa sedar akan kewujudan Allah dalam diri seorang yang bersifat dengan sifat ihsan dalam konteks ibadat dan mengendalikan diri dalam apa-apa keadaan sekalipun: "Sembahlah Tuhan mu seolah-olah kamu melihat-Nya, dan jika kamu tidak melihat-Nya, maka Dia melihat kamu".

Inilah ciri-ciri Taqwa yang diharapkan akan dapat diambil manfaatnya oleh orang yang berpuasa, seperti yang di firmankan oleh Allah SWT:

Wahai orang-orang yang beriman, di fardhukan ke atas kamu berpuasa, seperti yang telah di fardhukan ke atas orang-orang yang sebelum dari kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa"


Tuesday, July 22, 2014

PUASA HARI KE DUA PULUH TIGA 1435




WAJIB MENENTANG ISRAEL


Kini kita sedang menyksikan satu kezaliman yang dilakukan oleh sebuah negara yang diperintah oleh golongan zionis, iaitu negara Israel, yang menyerang, membunuh dan memusnahkan harta benda orang Palestin di Gazzah.

Mereka melanggar negara orang, membunuh mangsa mereka di dalam rumah tanga orang itu, memusnahkan rumah kediaman, gedung perniagaan dan bangunan lain di negara Palestin.

Ribuan yang cedera dan ratusan yang lain terbunuh, termasuk kanak-kanak. Pemandangan yang ditunjukkan di dalam kaca TV amat menyedihkan, menyayat hati dan perasaan, malah menumpahkan air mata kita yang melihatnya.

Undang-undang dunia yang telah digubal kalau tak salah saya sememangnya membenarkan negara israel, sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat, melengkapkan diri mereka dengan senjata berat. Namun undang-undang itu juga, kalau betul mengikut maklumat saya, tidak membenarkan Palestin menggunakan senjata berat, kerana Palestin bukanlah sebuah negara yang diiktiraf, tidak diberikan status sebagai sebuah negara yang merdeka, tetapi hanya dipanggi "pihak berkuasa Palestin" (Palestinian Authority)


Sebab itulah dalam kerisis berdarah yang berlaku sekarang ini, kita melihat kereta kebal dan pesawat perang boleh digunakan oleh Israel, sedangkan Palestin hanya menggunakan senjata ringan, ibarat panah dan tombak yang melawan roket dan mesin gun.

Ada beberapa kriteria yang menghalalkan rakyat Palestin menyerang dan memusuhi Israel. Al-Quran banyak juga menjelaskan konsep ini, seperti yang tersebut di dalam surah Al-Mumtahanah ayat 8 dan 9 :

"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu keerana aama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil." (8)

"Sesunguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim"(9)

Tiga perkara yang menjustifikasikan orang Islam supaya tidak berbaik dan bersahabat dengan orang lain ialah apabila orang lain itu: 
1. memerangi kamu kerana agama kamu
2. mengeluarkan (mengusir) kamu dari rumah tangga kamu (juga negara kamu)
3. membantu orang lain untuk mengusir kamu

Perbuatan kejam orang Israel melebihi tiga perkara ini, kerana dalam kes rakyat Palestin maka Israel bukan hanya menusir dan meampas negara orang Palestin dan memerangi mereka dalam jangka masa yang amat lama selama ini, malah melampaui sempadan, masuk ke dalam negara orang untuk menyerang dan membunuh orang-orang yang tidak berupaya.

Umat Islam seharusnya dapat berfikir dan mengambil iktibar dari ajaran Al-Quran dan sepatutnya menghulurkan bantuan apa-apa sahaja untuk membantu rakyat Palestin. Mereka kelihatan seperti bersendirian dalam perjuangan mereka yang amat berat itu.....

Monday, July 21, 2014

PUASA HARI KE DUA PULUH DUA 1435


SERANGAN KE ATAS GAZZAH DAN MALAYSIA


Serangan ke atas Gazzah dan Malaysia pada saat ini, menjadi berita dunia yang amat panas di perkatakan, terutamanya oleh media antarabangsa. Serangan ke atas Gazzah, tanah kepunyaan penduduk Palestin, berbeza dari seranga ke atas Malaysia.

Israel memulakan serangan ke atas Gazzah, dan selama ini pun, telah kelihatan tanda-tandanya bahawa negeri Palestin ini akan di serang. Oleh itu Israel mencari justifikasinya, lalu mereka terus memulakan serangan secara besar-besaran ke atas wilayah ini, di mulai dengan serangan udara, kemudian diikuti dengan serangan darat, membunuh ratusan mangsa yang terdiri dari orang awam, kanak-kanak dan wanita serta warga emas.

Serangan ke atas Malaysia ialah dalam bentuk bedilan peluru berpandu yang ditujukan ke udara Ukraine ketika pesawat Malaysia terbang di ruang udara negara tersebut, membunuh semua penumpang dan anak kapal MH 17 itu.

Mangsa serangan kejam di wilayah Gazzah, terpaksa dihadapi oleh orang awam dan pihak berkuasa di wilayah tersebut dengan nyawa mereka, tidak ada tempat untuk melarikan diri, kerana Gazzah adalah meerupakan semenanjung yang menjadi penjara besar kepada rakyat Palestin di sana, dan Israel menguasai ruang udara dan lautannya. Rakyat Gazzah hanya dapat bergerak di daratan sahaja.

Oleh itu apabila berlaku serangan udara, dan kemudiannya serangan darat dengan segala jenis senjata berat yang dimiliki oleh Israel, maka rakyat Arab tidak ada tempat untuk keluar dari Gazzah melarikan diri ke negara lain. Mereka terperangkap di negara sendiri, dan boleh berlari di sekeliling "penjara" mereka yang besar itu sahaja. Akibatnya angka kemalangan dan kematian meningkat dengan cepat, tambahan pula hospital tidak kecukupan tempat untuk memuat semua mangsa perang ini, ubat-ubatan juga kurang, tenaga doktor kecil, dan semuanya ini menambahkan lagi derita mangsa serangan ini.

Serangan ke atas pesawat Malaysia, memakan semua sekali korban, iaitu anak kapal dan penumpang pesawat tersebut. Malah lokasi terhempasnya pesawat ini juga berada di tengah-tengah daerah yang panas dengan api peperangan, perebutan kuasa oleh para pemberontak dan peperangan ideologi di antara Rusia dan Barat.

Secara sengaja atau tidak sengaja pesawat MH 17, ini di tembak jatuh, telah menjadi bahan yang telah meluaskan lagi pertentangan dan perebutan pengaruh di antara kuasa Barat dan Rusia tentang kedudukan Ukraine pada pandangan kedua belah pihak yang bertikai.

Namun apa-apa sahaja yang berlaku dalam perdebatan antarabangsa tentang peperangan di Gazzah dan peristiwa yang menimpa pesawat Malaysia, maka yang dapat diperhatikan oleh orang awam bahawa peristiwa di Gazzah memperlihatkan kemelut politik yang cuba mangaut keuntungan ini, iaitu pihak Barat, terutamanya Amerika Syarikat, akan meletakkan tekanan yang lebih hebat dan berat ke atas Rusia dalam tragedi pesawat MH17, dan Amerika Syarikat juga akan memihak kepada Israel dalam kerisis Gazzah, walau pun kekejaman dan keganasan telah dilakukan oleh Israel.

Bagi orang yang boleh berfikir, maka tindakan yang dilakukan ke atas Gazzah dan Malaysia adalah merupakan mala petaka yang berlaku di dunia Islam. Gazzah akan bertambah parah, derita dan akan terus di jajah sehingga ke satu tempoh yang amat panjang, dan tragedi pesawat Malaysia agak mencukupi untuk menaraik perhatian dunia tentang negara Islam yang kecil ini dalam percaturan ideologi politiknya juga, kerana negara kecil ini masih setabil, aman damai, dan merupakan benteng yang agak kukuh, walau pun kecil, mempertahankan cara hidup yang diiktiraf dunia sebagai satu negara Islam contoh.

Harap-harapnya, peristiwa ini, tidaklah dirancangkan oleh pihak yang ingin mengkucar kacirkan dunia Islam, yang selama ini, telah muncul banyak sekali negara Islam yang  mengalami peristiwa berdarah dan mala petaka dalam saat kebangkitan negara lain di luar dunia Islam, maka dalam konteks ini Malaysia sedang dalam kebangkitan dalam usaha menjadi negara maju menjelang tahun 2020.

Sambil-sambil memanfaatkan pengajaran dan hikmah puasa Ramadhan dengan segala keberkatannya, maka fikir-fikirkanlah tentang hal ini, dan mala petaka ini yang mungkin akan diikuti oleh rentetan peristiwa dan mala petaka   lain lagi dalam mewujudkan ketidak setabilan dunia Islam seluruhnya.......yang membawa kepada ketidak setabilan ekonomi, sosial, pendidikan, politik dan lainnya lagi.........

Sunday, July 20, 2014

PUASA HARI KE DUA PULUH SATU 1435



BUKA PUASA DI IPB Kg Pandan KL dan IDIP Pengkalan Chepa KOTA BARU..

Berbuka  di luar lebih baik dari segi interaksi sosial dan ruh kebajikan serta semangat persaudaraan Islam. 

Pada hari ke-21 puasa, 19 Julai 2014, saya bertolak ke Kota Bharu, Kelantan, untuk berbuka di Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP), atas sifat saya sebagi Pengerusi Institut tersebut.

Sehari sebelum itu, atas nama Pengerusi juga, saya berbuka puasa bersama kakitangan Akademik dan Pentadbira serta para pelajar Institut Profesional Baitulmal (IPB), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, di bangunan IPB, Kg. Pandan.

Dua hari tidak berbuka dengan para jemaah di Surau Al-Manar, Presint 14 Putrajaya, tempat kediaman saya, yang selama ini menjadi tempat istimewa para jemaah sekitar Presint 14 dan 15 berbuka, berjemaah serta bermoreh dengan penuh semangat silaturrahim, diikuti dengan tadarus al-Quran.

IPB mempunyai staf akademik dan pentadbiran serta pelajar yang semuanya berjumlah lebih dari seribu orang. 

Kelebihan dan manfaat yang dinekmati para pelajar IPB ialah pemberian bantuan wang dari Baitulmal atas asnaf zakat, dan diberikan kepada pelajar dari keluarga yang berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan yang merupakan pendapatan had kipayah, termasuk dalam salah satu asnaf yang boleh menerima zakat.

Bersama staf dan pelajar inilah saya berbuka puasa dengan penuh rasa syukur pada 18 Julai, dan berjemaah sehingga selesai terawih.

Pada hari esoknya, 19 Julai bertolak dengan MAS (MH 1396) dari KLIA ke Kota Bharu untuk berbuka puasa dengan staf dan pelajar IDIP.

Alhamdulillah, MH 1396 selamat mendarat di Kota Bharu dan, apabila tiba masa, saya terus ke Dewan berbuka puasa di Kompleks Islam Jubli Perak, Kota Bharu.

Staf dan pelajar IDIP berjumlah sekadar 120 - 130 orang saja. Namun dari segi objektif pelajaran dan pembelajaran Institut ini, fokusnya ialah menyampaikan pengajaran tentang kefahaman Islam dan kebaikannya bagi membangunkan manusia sejagat melalui ajaran Islam.

Majlis berbuka ini menjadi lebih bermakna kerana di hadiri oleh Yang Berhormat Mulia Tengku Temenggong Kelantan dan Yang Mulia Tengku Puan Temenggong Kelantan, yang telah menyampaikan sumbangan kepada para pelajar IDIP dan sebilangan anak yatim selepas selesainya Terawih berjemaah dengan keluarga diraja itu. Amat istimewa dan tinggi nilainya dalam pengisian Ramadan yang penuh berkat ini.

Sebelum majlis berbuka, dua orang pelajar IDIP, seorang lelaki dan seorang wanita, telah berkongsi pengalaman yang amat menarik tentang sejarah dan pengalaman mereka berdua ketika memilih untuk memeluk agama Islam. 

Pelajar lelaki dengan nama Islamnya, Yusuf, memasuki Ramadan kali ketiga dalam hidupnya setelah memeluk Islam.

Dia pada mulanya selesa dengan agama asalnya, Kristian, malah mempunyai rasa negatif tentang Islam, kerana pada masa itu dia hanya mengenali "Muslim" dengan segala gambaran orang Muslim yang tidak menarik perhatiannya. 

Tetapi kemudiannya dia mendapat hidayah untuk memeluk Islam setelah dia mengenali "Islam" sebagai satu agama yang lengkap, bermula melalui interaksinya dengan teman Muslim yang berilmu dan berhikmah. Dia menjadi amat terbuka dan positif dengan agama Islam setelah mendapat world view Islam yang sebenarnya. Inilah maksudnya bahawa setelah mengenali "Islam" dia memeluk Islam, kerana dengan hanya mengenali "Muslim" dia tidak tertarik dengan agama Islam...

Pelajar wanita yang berkongsi dalam program "Sharing Moment - bersama pelajar IDIP" yang dimulakan pada jam 7 sebelum berbuka puasa, ialah Nor Fathyiah, keturunan Iban dari Sarawak, yang pada asalnya amat kuat dengan ajaran Katholik.

Dia ditakdirkan bekerja di syarikat kepunyaan Melayu Islam, dan keseluruhan pekerjanya juga adalah orang Islam, sehingga akhirnya dia tertarik dengan Islam, apabila dia dapat berdialog dengan seorang pemeluk Islam juga,  tentang Allah yang menjadi "pemilik" alam dan manusia ini.

Dia berjaya mendapat gambaran dan kefahaman yang tepat tentang Islam dan ajarannya, setelah meyakinkan dirinya tentang bumi yang dihuninya ini adalah kepunyaan Allah.

Kedua-dua pelajar ini membuka minda orang Islam sendiri, bahawa mereka mendapat hidayah dan petunjuk Allah untuk menganut Islam, kerana mendapat ilmu dan hikmah dari Islam itu sendiri hasil dari sedikit panduan pemikiran dan analisis mereka terhadap Islam sebagai satu agama tamadun dan cara hidup yang lengkap untuk dunia dan akhirat, yang amat sukar mereka temui dalam penghayatan Islam di kalangan sebilangan umat Islam sendiri, yang lebih banyak menimbulkan kesan negatif kepada mereka.

IPB dan IDIP melalui majlis buka puasa dalam masa dua hari ini berjaya memberikan gambaran yang berbeza tentang komposisi pelajarnya yang berbeza, tetapi kesan keislamannya, agak sama, iaitu pelajar IPB yang mengambil pengajian bidang profesional, menghayati Islam melalui persekitaran dan penghayatan Islam dalam masyarakat IPB sendiri, sedangkan pelajar IDIP yang sebahagian besarnya terdiri dari pelajar orang asli, Sabah dan Sarawak juga luar bandar, menghayati Islam melalui program akademik mereka. 

Pengalaman ini amat menarik bagi kita di Malaysia terutamanya bagi orang Islam sendiri, yang seharusnya memahami beberapa dimensi penghayatan ajaran agama kita, yang pada pandangan kita hanya perkara biasa, tetapi sebenarnya perilaku dan penghayatan nilai agama Islam itu sendiri dalamkehidupan seharian umat Islam, amat memberi kesan kepada bukan Islam tentang nilai dan imej serta keunggulan agama Islam itu sendiri...

Renung-renungkanlah hal ini sempena kemasukan kita ke sepuluh hari akhir berpuasa Ramadan 1435 hijriah ini............. 

 

Friday, July 18, 2014

PUASA HARI KE DUA PULUH 1435




RAHSIA DALAM CIPTAAN ALLAH

Kita sering melihat keindahan ciptaan Allah SWT di dalam dunia kita ini. Indahnya alam di kala mata hari terbenam, dan di kala ombak memukul pantai, atau gunung ganang di liputi awan, atau ribuan bunga yang menghiasi taman, malah indahnya melihat jari jemari anak-anak kecil yang montok, senyum ketawanya yang riang, malah seluruh dunia ini kita rasakan indahnya ciptaan Allah yang dapat kita perhatikan ketika objek yang kita perhati dan lihat itu indah, apa lagi ketika perasaan dan hati sanubari kita juga berada dalam kegembiraan ketika itu.

Namun pada mala petaka yang berlaku, seperti kemalangan yang menimpa MH17, atau sebelum ini MH370, kita mungkin tidak dapat melihat apakah keindahannya, kerana mala petaka itu hanya merangsangkan dukacita dan hiba yang bersangatan, memuramkam wajah dan perasaan setiap orang, terutamanya yang terlibat dengan kemalangan itu.

Tetapi satu hal yang harus kita sedari bahawa, keindahan itu tidaklah dalam pandangan indah yang meriangkan, namun keindahan itu adalah pada rahsia kejadian Allah yang telah memberikan pengajaran kepada kita bahawa segala sesuatu yang berlaku ini adalah bebentuk kebesaran Maha Pencipta yang menciptakan segala-segalanya.

Keindahan perasaan yang dapat kita saksikan dalam kejadian mala petaka, ialah keindahan perasaan ketuhanan, kekuasaan Allah, yang memberikan inspirasi kepada kita bahawa setiap perkara yang berlaku itu adalah merupakan bukti kekuasaan Allah.

Kita dapat merasa dan memikirkan bagaimanakah dunia manusia pada zaman terakhir ini mengalami kepincangan dan kemuflisan jiwa dan rohani, moral dan akhlak, lalu berlakulah segala konflik yang membawa kepada keganasan, pembunuhan dan peperangan.

Kalau tidak kerana konflik di Ukraine, pada adatnya, tidak ada sebab MH17 akan ditembak dan musnah menjadi arang. Malah sekiranya dari awal lagi pesawat terbang tidak melintasi kawasan yang bergelora dengan api itu, pada adatnya pesawat itu tidak akan ditembak. 

Tetapi ini pun, tidak semestinya menjadi punca kemalangan itu, kerana setiap hari terdapat banyak pesawat yang melewati kawasan itu, namun tidak pernah terdengar pesawat yang menjadi sasaran roket atau peluru berpandu, kenapa pula tiba-tiba MH17 yang menjadi mangsanya?

Maka di sinilah sebenarnya terdapat sesuatu yang memberikan pencerahan kepada kita, iaitu inilah kuasa Yang Maha Asa dalam kejadian tesebut yang tentunya mengandungi rahsia yang hanya diketahui Allah, tetapi tidak dapat kita mengetahui rahsianya.

Satu hikmah yang terpancar dari kejadian itu, ialah akan terdapat banyak pesawat yang akan mengelakkan dari laluan tersebut untuk terselamat dari mala petaka tembakan itu. Namun mungkin pada masa yang tertentu, akan terdapat pesawat yang mungkin menimpa kemalangan kerana sebab-sebab yang lain, di tempat yang lain......

Akhirnya "takdir" Tuhan akan mengajar manusia untuk mengambil pelajaran dari segala-galanya yang berlaku di alam dunia ini untuk mengelakkan kemalangan dan mala petaka, malah dalam segala usaha itu, maka usaha yang terbaik lagi haruslah dilakukan untuk mencari keamanan dan kesejahteraan dalaman dan luaran manusia.

Hasilnya, apa-apa saja kemalangan dan mala petaka yang berlaku, manusia haruslah melihat kepada rahsianya yang tersembunyi, dan manusia haruslah berusaha dengan lebih kuat lagi, mempelajari dan mengambil iktibar dari takdir Allah, malah matlamat terakhirnya ialah mencipta masyarakat dunia yang harmoni dan aman damai, kerana selagi manusia berkonflik dan bekerisis, maka semakin banyak lagi kesengsaraan dan kehampaan yang akan mereka rasai....

Satu kesimpulan yang perlu di ambil, bahawa manusia seharusnya sentiasa menyedari dan menyelami rahsia kejadian Allah, perubahan  yang berlaku, dan rahsia kejadian manusia yang mempunyai berbagai-bagai perasaan ini, kerana seluruh alam adalah berada di bawah kekuasaan Allah SWT, dan manusia hanya dapat berusaha serta berikhtiar untuk kesejahteraannya sendiri berpandukan ajaran Allah itu juga....  

PUASA HARI KE SEMBILAN BELAS 1435




UJIAN GETIR KESABARAN RAKYAT MALAYSIA

Setelah MH 370, kini MH 17 pula mengalami mala petaka...

Besar kemungkinan kali ini kemalangan berlaku akibat konflik sesama manusia di daerah yang bergolak, Ukrain....Kalau benar berita ini, maka MH 17 adalah merupakan korban konflik manusia yang mempunyai perbezaan ideologi mereka di sana. Korbannya adalah korban nafsu manusia yang tidak mengenal batasan, sehingga mangabui mata mereka, tanpa lagi dapat membezakan di antara pesawat perang dan pesawat awam yang tidak berdosa.

Amat getir ujian ini kepada rakyat Malaysia semuanya, terutamanya kepada para kaum keluarga penumpang MH 17 ini yang menjangka kaum keluarga dan sanak saudara mereka akan mendarat di KLIA jam 6 pagi 16 Julai 2014, yang kini tentunya masa itu tidak akan menjelang lagi....

Ujian ini memerlukan kesabaran semua, terutamanya bagi orang yang mempunyai orang tersayang di dalam pesawat itu...

Kaum keluarga Islam, tentunya memerlukan ketabahan yang lebih, dalam menghadapi ujian ini....dan ibadat puasa yang sedang dikerjakan, akan membantu sedikit sebanyak kesabaran kaum keluarga mangsa dalam menanggung beban derita dan petaka ini.

Bertawakkal, berdoa dan berserah kepada takdir serta kehendak Allah SWT adalah merupakan sedikit penawar untuk mengubati jiwa dan perasaan yang gundah gulana dalam menerima musibat ini.

Allah Maha Berkuasa, Maha Penyayang, Pengasih dan Yang Maha Mengetahui tentang apa-apa saja yang berlaku kepada hamba-Nya di dunia ini....

TAKZIAH.....HANYA ALLAH YANG KEKAL.....

Firman Allah SWT:
"Tidak ada seorang pun yang tahu apakah yang akan dilakukannya esok
Tidak ada seorang pun yang tahu di bumi manakah dia akan menemui kematiannya"

Surah LUQMAN ayat 34




Thursday, July 17, 2014

PUASA HARI KE LAPAN BELAS 1435



APA MAKNA "SABAR"...?


Kita sering mengingatkan diri kita dan orang lain bahawa puasa adalah satu amalan yang mendidik kita bersifat denagn sifat "sabar".

Tetapi kita sentiasa menyebut sahaja tentang sabar ini tanpa memahami konsepnya, malah tanpa mengetahui bagaimanakah menjadi orang yang sabar atau penyabar.

Seorang bapa yang mempunyai anak-anak yang masil kecil kadang-kadang tidak mengenal erti sabar. Diandaikan bahawa bapa ini adalah seorang penulis, sering menulis di dalam bilik bacaannya, dan selalu juga meletakkan kertas  dan buku-buku rujukan bersiepah-sepah di sana sini di atas mejanya, tiba-tiba pada satu hari anaknya yang berumur 3 tahun memasuki bilik itu dan bermain dengan kertas atau bukunya, sehingga bahan-bahan tulisannya itu menjadi berselerak.

Si bapa yang memahami dan menghayati makna "sabar" akan melihat kelakuan anaknya itu dari sudu pandang seorang "penyabar" dengan melihat sifat "innocence" atau kelakuan yang tidak bersalah pada anaknya itu, kerana sebagai anak kecil, maka dia belum memahami kerja bapanya, tidak mengetahui bahawa bahan-bahan ini tidak harus di buat seperti barang mainan, dan tidak pun sedar bahaw apa-apa yang dilakukannya itu adalah salah dari pandangan orang dewasa, terutamanya oleh bapanya sendiri.

Bila menyedari tentang sifat tidak bersalah anak ini, dan menyedari pula bahawa anak itu tidak akan masuk kebiliknya sekiranya bukan bilik bapanya yang sering memanjakannya, malah anaknya ini  turut sama melihat dan bermain dengan "permainan" yang setiap hari di mainkan oleh bapanya, maka anak itu tentulah tidak mengetahui bahawa sebenarnya dia adalah "bersalah" ketika berkelakuan demikian, iaitu menyelerakkan buku dan kertas bapanya.

Inilah diantara contoh yang paling mudah dan senang sekali untuk kita memahami apakah makna dan ertinya sabar yang sering kita sebut sebagai satu klebihan atau fadhilat puasa itu.

Tanpa sabar begini kita menjadi pemarah, pemanas, kadang-kadang pengganas, pemukul, pengeluar kata-kata kasar dan maki hamun, sedangkan dalam masa yang sama kita sering memuji dan memuja sifat sabar, penyabar dan sebagainya, malah menasihatkan orang supaya selalu bersabar, terutamanya di dalam bulan puasa ini..

Di dalam Al-Quran banyak disebutkan tentang sabar."Allah berserta orang yang sabar" "mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat" "berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran" dan lain-lain lagi...

Apabila kita bersifat positif terhadap sesuatu cabaran dan ujian yang menguji kesabaran kita, sebaliknya melihat perspekif sabar itu dari segi yang lain, bukan marah, naik darah, atau sehingga melakukan pergaduhan, maka insya' Allah kita akan menjadi seorang yang lebih aman, tenang, dan selesa dalam hidup kita ini.

Malah dalam kes di atas yang menguji kesabaran bapa terhadap "kenakalan" anaknya itu juga akan mengubah personaliti bapa itu menjadi seorang pendidik dan pengasuh yang mesra dan berkesan, kerana sebagai ganti sifat marah, dia akan menjadi bapa yang akan dengan lemah lembut mendidik anaknya erti kelakuan yang baik dan buruk di dalam bilik itu, dan menunjuk ajar anaknya supaya berdisiplin dan menjaga susunan buku-buku dan sebagainya. Bapa akan menjelaskan kepada anaknya dengan penuh kasih mesra tentang permainan yang boleh di mainkan di dalam bilik tulisnya itu, bagaimana bermain dan melihat buku bapanya dengan teratur dan mengikut peraturan, dan lain-lain nasihat lagi..

Inilah juga makna pendidikan dari ibadat puasa yang mengajar kita besabar...

Wednesday, July 16, 2014

PUASA HARI KE TUJUH BELAS 1435



DARIPADA-NYA KITA DATANG........

Perginya masih gagah dan kuat, kembalinya sebagai mayat, kaku tidak bernafas.

Demikianlah yang berlaku kepada saudara Ustaz Ismail Abdul Halim, pesara Pensyarah UKM,  pada hari Ahad yang lalu, dia turun dari rumah, memandu kereta, tiba-tiba berlaku kemalangan, dan pada hari ke-17 berpuasa jam sembilan malam, ia kembali kerahmatullah di HUKM, Inna Lillah Wa Inna Ilaihi Raji'un. daripada-Nya kita datang, dan kepada-Nya kita kembali.

Hari Ahad 6 Julai lalu, arwah Ustaz Ismail, turun dari rumahnya di Taman Bangi, Kajang dalam perjalanan ke Masjid untuk berterawih berseorangan. Dia memberhentikan keretanya di seberang jalan, dan melintas jalan ke Masjid. Tiba-tiba sebuah motosikal melanggarnya, dia terjatuh, cedera di kepala, tidak sedar diri.

Seorang hamba Allah membawanya ke hospital Kajang, dan dia terus koma hingga saat terakhirnya, ketika dia kembali kepada Allah pada jam 9 malam 17 Ramadhan, setelah dipindahkan ke HUKM sehari sebelumnya.

Malamnya dia pergi, dia sihat, bergerak dan berjalan dengan baik, namun dalam sekelip mata, dilanggar, jatuh, dan dia terus tidak sedar, hinggalah dia kembali kerahmatullah.

Bulan puasa, sememangnya banyak menyaksikan kematian, dan arwah merupakan satu lagi kematian, seorang kawan yang aktif, terutamanya di dalam Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah, dan akhir-akhir ini dia menganjurkan kulliah kecil tentang sejarah Islam di rumah Persatuan tersebut, yang dihadiri oleh beberapa orang yang berminat tentang sejarah Islam. Pada hari kejadian, paginya dia memberikan kulliah terakhir kepada beberapa orang pesertanya yang setia. Malamnya dia memulakan perjalanan terakhirnya....

Dia kembali ketika yang baik dan dalam niat yang baik untuk pergi menunaikan panggilan Allah, bersolat terawih...

Semoga Allah SWT mencucuri rhmat ke atas ruhnya, Amin, Amin...
Inna lillah wa inna ilaihi raji'un.

Tuesday, July 15, 2014

PUASA HARI KE ENAM BELAS 1435


DUGAAN PUASA............

Kita berpuasa tahun ini dalam cuaca panas. Orang kampung saya selalu berkata kepada saya semasa saya kanak-kanak bahawa puasa dalam cuaca panas ni banyak pahalanya, kerana cuaca panas menjadikan kita lebih sabar dan tabah melawan cabaran puasa!

Memang pun begitu, jadi untuk memujuk kami kanak-kanak supaya tidak membuka puasa sebelum waktunya, maka mereka kata kami dapat banyak pahala. Kami pada masa itu pun memang perihatin dengan amal ibadat kerana mengharapkan pahala dari Allah, satu motivasi yang amat baik bagi generasi Y ketika itu, yang mungkin generasi sama pada hari ini mentalitinya agak berbeza dari generasi kami..

Dulu kami tak banyak mendengar ceramah dan tazkirah dari ustaz ustazah seperti sekarang. Kami hanya mendengar sedikit sebanyak nasihat dari pak haji dan pak lebai kampung, atau orang-orang tua kampung yang tidaklah punya ijazah universiti. Namun dalam keadaan begitu pun kami tahulah dosa pahalanya, sembahyang puasa dan menghormati orang tua serta jiran tetangga masing-masing.

Sekarang ini yang saya rasa sepatutnya generasi muda seharusnya lebih bersikap sopan santun serta beradab dan bermoral di dalam masyarakat, malah sepatutnya lebih berilmu dan berhikmah, kerana pada masa kini mereka sering didedahkan dengan nasihat dan ceramah agama, tazkirah pagi, petang dan malam, dan di dalam bulan puasa ini pula terdapat kuliah-kulliah dari ustaz dan ustazah yang berstatus selebreti, malah mengatasi para artis dalam masyarakat.

Apa-apa pun yang kita alami dan saksikan di dalam masyarakat kita ini, termasuk di dalam bulan Ramadan yang mulia, sesungguhnya amat banyak cabaran yang melanda masyarakat kita, iaitu dari segi penyelewengan moral dan akhlak, membawa kepada segala macam umpatan dan fitnah di dalam media sosial, media cetak murahan, facebook dan sebagainya yang nampaknya penuh dengan cacian, umpatan, kata-kata yang kasar dan biadab.

Bagaimana pun kita merasa bersyukur juga, kerana peluang memperbaiki diri, menambah ilmu kerohanian, mempelajari ajaran agama, bacaan al_quran dan sebagainya amat luas terbuka peluangnya di mana-mana sahaja, tidak seperti pada zaman saya, yang tidak sangat mengenali ustaz atau ustazah seperti sekarang.

Jadi kalau pada zaman saya kecil dulu, cuaca panas hanyalah merupakan satu-satunya cabaran puasa bagi kami, tetapi sekarang ini cabaran itu menjadi semakin hebat dan banyak sekali, termasuk ketika berada di atas jalan raya ketika para pemandu memandu kenderaan dengan kasar dan tidak menghormati peraturan, para penunggang motosikal menemui kemalangan, malah membawa ke dalam rumah ketika telefon bimbit, i-pad, komputer dan sebagainya menjadi permainan harian anak-anak sekarang....

Lain padang lain belalang, lain zaman, lainlah pula cabaran yang dihadapi..  

PUASA HARI KE LIMA BELAS 1435





BILAKAH HARUS KITA BERTOLAK ANSUR...?

Ada perkara yang boleh kita bertolak ansur, dan ada benda yang tidak boleh kita bertolak ansur. Rasulullah SAW mengajar kita untuk bertolak ansur sesama manusia, walau pun berlainan agama, tentang hal-hal yang tidak menyentuh soal akidah, seperti tindakan Baginda yang bangun kerana menghormati mayat orang kafir yang melewatinya. 

Tetapi apa bila kaum musyrikin, mengikut sesetengah riwayat, mencuba untuk berkompromi dengan Baginda tentang ibadat kepada Tuhan, iaitu mereka menyembah Allah SWT untuk beberapa hari, dan Baginda menyembah Tuhan mereka selama beberapa hari yang lain secara bergilir-gilir, maka turunlah Firman Allah SWT, iaitu Surah Al-Kafirun, yang memerintahkan Baginda supaya menjawab kepada mereka bahawa Baginda tidak akan menyembah apa-apa yang mereka sembah, kerana "bagi kamu agama kamu, dan bagi ku agama ku" ertinya dalam menyembah Allah yang maha esa, tidak ada jalan pertengahan dan bertolak ansur, kerana hal itu merupakan asas akidah yang besar, tidak seharusnya Baginda menyerah kalah kepada gesaan kaum musyrikin itu.

Kerana itu kita merasa sedih dan terganggu dengan campur tangan yang agak melampaui batas sekarang ini di dalam masyarakat kita tentang asas-asas akidah dan keimanan umat Islam tentang isu-isu agama Islam yang merupakan isu ketuhanan yang tidak seharusnya dikompromikan.

Di dalam Al-Quran terdapat ayat-ayat yang dengan jelas menegaskan bahawa "Allah itu tidak berana dan tidak diperanakkan", "Sesungguhnya menjadi kafirlah orang-orang yang mengatakan Tuhan itu tiga" dan banyak ayat lain yang menafikan akidah sesat yang direka cipta oleh manusia dengan memalsukan kitab mereka dengan menegaskan bahawa Tuhan itu mempunyai konsep triniti.

Sungguh pun isu ini jelas, iaitu Allah adalah Tuhan Yang Maha Esa, dan hanya Allah sahajalah yang terkandung dalam ajaran Islam sebagai Tuhan Yang Maha Berkuasa, tetapi Kristian juga mencuba mendakwa bahawa Tuhan mereka juga adalah Allah, tanpa mengambil kira tentang konsep Allah yang Maha Esa dan tidak seharusnya disyirikkan dengan yang lain.

Hal ini sebenarnya dari segi akidahnya tidak seharusnya diteerima sebagai kebenaran. kerana apa bila orang mengaku bahawa Allah itu adalah esa, tidak sekutu dengan yang lain, tidak beranak dan tidak diperanakkan, maka orang itu telah memeluk agama Islam yang berkonsepkan Tuhan Yang Maha Esa, buka Tuhan dalam konsep trinity.

Seluruh umat Islam seharusnya tidak berkompromi dan tidak bertolak ansur dengan konflik yang mengelirukan ini, malah menyesatkan semua umat Islam, terutamanya generasi muda yang masih tidak dapat memikirkan isu yang diselewengkan ini.

Maka hal ini tidak sepatutnya di celah dan dilakukan tindakan campur tangan oleh orang-orang bukan Islam yang mensyirikkan Tuhan mereka, kerana Allah tidak bersekutu dengan sebarang zat dan apa-apa bentuk bersekutu.

Demikian juga terdapat kecenderungan untuk menggalakkan umat Islam menjadi murtad dan keluar dari Islam, dengan berbagai-bagai helah yang dilakukan, termasuk membina di atas dasar hak asasi memilih agama oleh sesiapa sahaja, termasuk penganut agama Islam.

Sepatutnya orang bukan Islam tidak seharusnya turut camputr tangan dalam isu orang Islam yang mahu keluar dari Islam, dengan memperjuangkan hak yang dikatakan sebagai hak asasi manusia untuk menukar agamanya.

Selagi terdapat undang-undang dan mahkamah yang akan memberikan keputusan ini, maka tidak ada sesiapa pun yang seharusnya turut masuk campur tangan dalam masyarakat Islam yang menghadapi kemelut ini.

Biarkanlah umat Islam menyelesaikan isu-isu akidah mereka, dan hal ini tidak ada kena mengena dengan orang luar Islam, malah hal ini adalah merupakan urusan dalaman umat Islam sendiri.

Inilah nampaknya masalah yang kita hadapi dalam masyarakat berbilang kaum dan agama sekarang ini, yang bagi kita amat menyentuh soal akidah dan iman umat Islam itu sendiri, dan berlaku di dalam masyarakat Islam juga.

Kita boleh menyalahkan orang lain dalam hal ini, tetapi umat Islam juga seharusnya menyalahkan diri mereka sendiri juga, kerana dalam menghadapi isu ini, umat Islam sendiri pun ada kalanya yang mengambil jalan sendiri dengan menyokong campur tangan dan percubaan masyarakat bukan Islam untuk menambahkan lagi kekecohan isu ini, seperti yang berlaku terhadap penggunaan kalimah Allah oleh Kristian...

Mungkinkah ketika kita bersatu dan berjemaah dalam melakukan ibadat dalam bulan puasa yang memasuku hari ke-15 ini, kita juga dapat bersatu dan berpendirian yang sama dalam isu-isu akidah ini? Atau kita akan berpecah belah dalam menghadapi isu ini berdasarkan hal-hal yang tertentu, sehingga perpecahan kita itu akan diambil kesempatan oleh orang lain untuk memperjuangkan hak mereka sendiri dalam isu akidah dan kepercayaan kita umat Islam ini?

Semoga Allah melindungi kita semua dari unsur kekufuran dan kesesatan ini...disatukan tali silaturrahim dan berpadu dalam jemaah seperti yang diajarkan kepada kita oleh ibadat puasa yang sedang kita tunaikan...

Sunday, July 13, 2014

PUASA HARI KE EMPAT BELAS 1435



LAGI TENTANG IBU KOTA ISLAM....

Satu peristiwa besar yang menimpa kota-kota tamadun Islam seperti yang dibicarakan sedikit di atas, ialah bahawa kota-kota negara Arab itu kini telah mengalami perubahan yang mendadak, sehingga negara yang sepatutnya dinamakan negara itu, tidak lagi muncul sebagai negara yang sebenarnya.

Beberapa minggu lalu, sebuah kumpulan jihad, yang menamakan diri mereka ISIS, telah mengisytiharkan penubuhan negara besar Islam yang mengandungi Iraq, Syria, yang akhirnya melampaui kawasan-kawasan di sekelilingnya, termasuk Israel-Palestin, Lebanon, Jordan dan sebahagian Turki, tanpa mengenal sempadan lagi dengan tertubuhnya negara Islam (Islamic State) di bawah pemerintahan Khalifah.

Negara-negara Arab yang telah sedia dilanda kerisis politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan seribu satu macam gejala  kemanusiaan dan peradaban itu akan terus menerus dihimpit kerisis baru yang semakin meruncing.

Hari ini ketika sunni dan syi'e berlumba-lumba menghapuskan satu dengan yang lain, jutaan pelarian perang lari sehelai sepinggang meninggalkan tanah tumpah darah mereka, iaitu ketika anak-anak sekolah dan pelajar universiti meninggalkan bidang pendidikan dan persekolahan mereka demi menyelamatkan nyawa masing-masing, di celah-celah ribuan orang sakit dan yang telah meninggal tanpa rawatan dan pertolongan perubatan, malah keluarga berpecah belah, masyarakat berkecai dan berpecah tidak menentu, nampaknya tidak ada sebarang penyelamat yang akan menyelamatkan keadaan.

Sekurang-kurangnya satu generasi umat dari daerah bergolak ini akan pupus dari dunia pendidikan dan pelajaran, satu generasi akan hapus dari masyarakat peradaban yang pernah diwarisi dari tamadun Islam, malah segala mercu tanda sejarah kegemilangan dunia Islam, kota Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul, akan hanya menjadi binaan dan bangunan yang hancur dan runtuh.

Namun bagi umat Islam yang masih selamat dan masih mampu berdiri dengan sendirinya, mereka tentulah masih dapat menghayati nilai-nilai peradaban dan tamadun itu untuk mendoakan masa hadapan yang labih baik bagi dunia Islam, meskipun mereka akan sentiasa bertanya-tanya bilakah masa gemilang itu akan menjelang kembali? Bilakah nilai ketamadunan yang ditinggalkan oleh para Khalifah dan pimpinan Islam dulu itu akan muncul semula?

Dalam sejarah gemilang kepimpinan Islam di bumi para "anbiya'" itu nilai tamadun berkembang dengan subur, masyarakat pluralisme hidup dengan subur dan aman damai, perdagangan dan perniagaan berjalan dengan lancar, kedamaian dan keamanan amat semarak di bawah pimpinan Islam.

Inilah juga sebenarnya yang telah kita cuba meneruskan di bumi kita, dan kita agak berjaya merempuhnya, meskipun dalam badai dan ombak yang agak kasar. 

Namun yang tidak dapat kita lalaikan, bahawa bumi kita juga sedang dilanda badai dan himpitan yang mengancam nilai-nilai tamadun rohani dan jasmani, kehidupan bersama secara aman damai, keharmonian kaum dan agama, malah kemerdekaan negara dan bangsa, hendak diheret ke dalam kerisis saperti yang melanda kebanyakan negara Islam dunia pada masa kini, bukan hanya oleh anasir-anasir luaran, malah oleh anasir-anasir dalaman juga..... 

Semoga Allah SWT melindungi kita berkat doa, usaha dan pelan strategi yang kemas dari kita dalam menghadapi musim tengkojoh itu...Berkat juga amal ibadat dan disiplin kita dalam menunaikan ibadat puasa pada bulan yang mulia ini, yang memasuki hari yang ke empat belas pada hari ini...

Satu rukun yang amat penting sekali dalam konteks ini, umat Islam haruslah menyedari akan disiplin hati budi dan akal fikiran sebagai umat Islam, terutamanya dalam mencipta perpaduan fizikal dan spiritual, perjuangan dan perancangan, dalam menghadapi musuh bersama, ibaratnya seperti segerombolan serigala, yang meskipun bergigitan sesama sendiri di dalam kumpulan meereka, tetapi apa bila mereka menghadapi  musuh bersama seperti singa atau harimau yang garang dan merbahaya, maka mereka akan bersatu menyerang musuh mereka itu.....Inilah sepatutnya yang menjadi dasar perjuangan umat Islam di mana-mana saja mereka berada....



Saturday, July 12, 2014

PUASA HARI KE TIGA BELAS 1435



KOTA KAHERAH, DAMSYIK DAN BAGHDAD......
  Seribu tahun dulu kota Kaherah di Mesir, Damsyik di Syria dan Baghdad di Iraq merupakan pusat tamadun dan inovatif Islam. Para Khalifah dan pemerintah Islam dari bandar-bandar tamadun itu merupakan icon dan model pemacu pembangunan fizikal dan spiritual umat Islam, maju dalam ilmu dan hikmah, akhlak dan perilaku yang amat ideal.

Hari ini kota-kota inilah juga yang lahir sebagai runtuhan bangunan fizikal dan spiritual, jasmani dan rohani. 

Namun sebagai umat yang tidak seharusnya berputus asa dan menyerah kalah, kita umat Islam haruslah berpandangan optimistik untuk melihat kebangkitan semula tamadun Islam dan pengaruhnya kepada dunia, seperti yang terbukti seribu tahun lalu, bahawa kota-kota itulah yang mendahului mencipta peradaban dan tamadun dunia, ketika Barat masih lagi berada di dalam era kegelapan.

Umat Islam, haruslah menyedari bahawa di atas keruntuhan tamadun akhlak dan peradaban inilah mereka seharusnya dapat membangunkan semula kemajuan dan peradaban mereka seterusnya.

Kemajuan ini mestilah datangnya dari dalam diri umat Islam itu sendiri, kerana faktor luar sebenarnya sering mencari jalan untuk meruntuhkan kemajuan umat Islam.

Maka dalam keadaan ini, satu umat Islam yang berada jauh dari gelanggang pergolakan dunia Islam itu haruslah bangun memberikan sumbangan kepada usaha kemajuan dan kebangkitan semula peradaban umat Islam ini, iaitu umat Melayu di daerah kita ini.

Umat Melayu telah membangunkan tamadun ilmu dan hikmah Islam sejak berkurun-kurun, iaitu semenjak anak-anak bangsa ini menjejaki kaki di Al-Azhar Universiti, malah mengambil tempat di tengah-tengah Masjidul Haram di Makkah, menjadi ketua "halaqah" memberikan pengajaran kepada jemaah Melayu.

Umat ini merupakan kekuatan kemajuan Islam dan ajarannya sehingga ke masa ini.

Umat ini juga merupakan umat yang tanpa takut bangun menentang pihak Zionis di Palestin, termasuk ketika rakyat Arab menghadapi ancaman Yahudi saat ini, maka umat Islam dari daerah kita yang menggadai nyawa pergi ke bandar bergolak dan yang sedang marak dengan api permusuhan itu, semata-mata untuk membantu dan menolong, sedangkan terdapat sesetengah umat Islam jiran Palestin sendiri yang sedang lalai.

Inilah harapan kita dalam bulan suci dan berkat ini. Semoga Islam akan dapat bangun semula dengan gabungan seluruh umat di dunia ini, dan umat Melayu merupakan penggerak utama pembangunan ini insya' Allah.

 

Pageviews last month