Sunday, March 31, 2013

DS NAJIB DAN JEMAAH TABLIGH...JALUR KETIGA?



JEMAAH TABLIGH SEBAGAI JALUR KETIGA

Melihat kunjungan PM Najib ke masjid Sri Petaling malam tadi, beramah mesra dan bersembahyang kemudian mendengar tazkirah dengan para jemaah di masjid tersebut, mengingatkan saya kepada pencarian kumpulan yang mungkin agak berkecuali untuk menjadi "jalur ketiga" dalam memberikan pandangan tentang perselisihan pendapat mengenai Islam di dalam dunia politik negara kita ini.

Saya teringat begitu kerana selama ini jalur ketiga yang sering muncul, terutamanya di media cetak atau letronik, sering dilihat sebagai golongan yang berat sebelah kepada ideologi politik kepartian, walau pun hakikatnya tidak begitu. 

Kumpulan Tabligh ini, menurut fahaman saya, menumpukan aktiviti dan kefahaman mereka semata-mata untuk dakwah mengikut cara mereka, iaitu berat kepada kerohanian dan kehidupan sederhana dengan keterampilan serta methodologi dakwah mereka sendiri yang amat unik. 

Mereka tidak kelihatan dalam aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan politik negara dan pentadbirannya, sepanjang yang saya saksikan, iaitu selain dari bermuhasabah diri dan bertazkirah sesama kumpulan mereka, sama ada di dalam atau di luar negara.

Oleh itu saya rasa, kumpulan ini amatlah dekat dengan kehidupan kerohanian manusia Muslim yang asli dan bersih dari sebarang permainan dunia kebendaan dan kemegahan yang sering menjadi amalan umat Islam sekarang ini, dan mereka juga nampakya menjauhkan diri dari terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan kehidupan yang penuh dengan fitnah serta pergeseran di antara sesama umat yang dapat kita saksikan amat berleluasa pada hari ini, dan mulai menjalar dengan bahayanya ke dalam masyarakat Islam di negara kita ini.

Oleh itu saya fikir, masanya telah tiba bagi para pemimpin dan ketua kumpulan ini untuk keluar ke tengah-tengah masyarakat Islam di negara kita ini dan melihat serta mengkaji akan bibit-bibit perpecahan dan pergeseran di antara umat Islam yang berpecah akibat dari permainan politik kepartian pada hari ini, dan mungkin boleh memainkan peranan mereka untuk menyumbang pemikiran dan pandangan bagi membawa pemikiran umat Islam keseluruhannya, tanpa mengira ideologi politik kepartian, ke arah penyatuan pandangan dan ilmu tentang sesuatu isu yang menjadi pertikaian itu.

Sebagai kumpulan yang tidak terlibat dengan ideologi politik kepartian, mereka mungkin dapat bertindak dengan lebeh adil dalam menganalisa sesuatu isu bagi negara kita ini, kerana isu-isu yang sering ditimbulkan oleh politik partisan ialah isu-isu popular untuk menarik pengundi bagi menyokong parti yang tertentu dalam PRU ke-13 nanti, walau pun isu itu sebenarnya amat bertentangan dengan ajaran Islam sendiri, seperti isu kalimah Allah, negara Islam atau sekular, perjuangan Islam atau tidak, menolak agama dan sebagainya, yang sering menjadi fitnah dalam masyarakat Islam di negara kita dan mengelirukan orang awam yang tidak memahami isu yang sebenarnya, malah mendapat persepsi yang amat salah dalam kebanyakan hal.

Kumpulan Tabligh sendiri haruslah memahami isu-isu yang dipertikaikan ini dari perspektif Islam yang sebenarnya, bukan dari analisis politik partisan, dan sebagai kumpulan yang sentiasa berdampingan dengan ilmuan dan pendakwah, dalaman dan luar negara, mereka sepatutnya memahami isu-isu ini tanpa taksub dan sebagainya, malah mereka tentulah juga merupakan golongan rakyat yang bertanggung jawab untuk mengundi di dalam pilihan raya.

Saya tidak fikir kumpulan ini menglami sebarang gangguan atau tekanan dari pihak berkuasa negara kita ini, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri atau agensi-agensi agama di sini, yang menunjukkan bahawa sebarang aktiviti mereka adalah dipandang sebagai aktiviti yang sihat semata-mata untuk berdakwah kepada ajaran agama Islam yang suci murni. Pendirian ini amatlah baik bagi mereka untuk mendapatkan ruang yang luas bagi menjalankan aktiviti mereka dengan rancaknya di negara kita ini.

Oleh itu saya rasa mereka juga akan mendapat simpati dan kerjasama dari Kerajaan sekiranya mereka mempunyai niat suci dan semangat keislaman yang kental untuk membantu perkembangan dan pembangunan dakwah Islamiah sebagai aktiviti arus perdana di tengah-tengah masyarakat di negara kita ini. 

Yang saya sebutkan ini hanyalah merupakan pandangan peribadi saya sahaja, sebagai orang biasa yang menghormati aktiviti dan pendirian kumpulan Tabligh ini. Saya juga tidak pasti apakah kefahaman saya tentang kumpulan ini seperti yang saya catatkan di atas, benar atau tidak. Kalau benar, alhamdulillah, dan kalau tidak, saya mohon maaf, tetapi sebagai kumpulan yang amat gigih berdakwah, saya rasa masanya amat sesuai bagi mereka untuk keluar ke tengah-tengah masyarakat Islam di negara kita ini bagi membantu kekalutan pemikiran dan kekeliruan fahaman agama yang sering timbul dalam aktiviti keislaman yang bersadurkan politik kepartian yang melampau.

Kumpulan ini tentulah mempunyai niat yang baik untuk kesatuan ummah. Oleh itu kesatuan ummah yang telah tertegak dengan kukuhnya selama ini haruslah dipertingkatkan lagi, bukan dikucar kacirkan kerana pertikaian masalah politik sempit yang menggunakan platform Islam dan syiarnya. 

Friday, March 29, 2013

DR UTHMAN MUHAMMADY MENINGGAL...ADA YANG MEMBALAS DENDAM?



ALANGKAH KASIHANNYA MEREKA INI!

Inilah ungkapan yang dapat saya katakan kepada segelintir mereka yang merasa senang dan rahmat di atas pemergian Allah Yarham Dr Uthman Al-Muhammady kelmarin, kerana arwah semasa hayatnya sering memberikan pandangannya yang berterus terang berdasarkan kefahaman ilmunya, dan dalam membicarakan isu-isu politik negara, terutamanya politik Islam, beliau sering memberikan penjelasan tentang beberapa kekeliruan yang ditimbulkan oleh golongan politik, iaitu ketika kalangan politik tersebut mengeluarkan sesuatu pentafsiran yang mengelirukan orang ramai dan tidak menepati istilah ilmu yang sebenarnya.

Hal ini menyebabkan kemarahan beberapa pihak yang berminat kepada ideologi politik kepartian dan mungkin juga taksub kepada para pimpinan politik tertentu yang ditegur oleh arwah, lalu dalam blog mereka yang muncul selepas mengetahui akan berita kembalinya arwah ke rahmatullah, dengan melafazkan kata-kata kasar dan tidak beradab terhadap arwah.

Saya tidak fikir kita harus membalas kata-kata yang tidak enak di dengar itu dengan kata-kata yang keras dan biadab pula. Ikutlah adab sopan Nabi kita Muhammad SAW yang mengeluarkan kata-kata yang berbentuk kasihan kepada orang-orang seperti ini, dan berdoalah mudah-mudahan mereka akan insaf dan memohon ampun kepada Allah SWT, kerana untuk meminta ampun dari arwah, maka beliau telah pun pergi buat selama-lamanya. Hanya Allah yang mengetahuinya, dan yang akan mengampunkan dosa sesiapa yang dikahendaki-Nya.

Memang dalam jutaan orang manusia ini, akan adalah dua tiga orang yang lemah iman dan ilmunya, kurang budi pekertinya. Sebab itu saya katakan bahawa kalau sayalah yang ditanya untuk memberi komen terhadap tindakan orang-orang yang merasakan mereka masih berhak untuk  mencerca dan mengumpat orang yang telah meninggal itu, maka katakanlah: Alangkah kasihannya mereka ini, ya Allah!!

Monday, March 25, 2013

PERGINYA SEORANG TOKOH ILMUAN: UTHMAN AL MUHAMMADY




INNA LILLAH WA INNA ILAIHI RAJI'UN


Ustaz Uthman Al-Muhammady telah kembali ke rahmatullah pada hari ini. Allah Yarham merupakan seorang yang menguasai bidang ilmu dunia akhirat yang unggul. Sentiasa menggunakan hikmah dan kebijaksanaannya untuk mengucapkan sesuatu dan menjelaskan konsep-konsep yang sering mengelirukan umat Islam, seperti istilah sekularisme, nationalisme dan sebagainya.

Allah Yarham mempunyai ingatan yang kuat, terutamanya ketika memetik kata-kata hikmah para ulamak dan hukamak Islam, juga para ilmuan lain yang bernas dan penuh pengajaran. Beliau banyak memberikan sumbangan pemikiran dan pengetahuan kepada umat Islam, bukan hanya di dalam negara tetapi termasuk juga kepada masyarakat antarabangsa.

Saya merasakan kehilangan Allah Yarham sebagai seorang kawan dan penasihat serta peransang untuk agama, bangsa dan negara kita. Allah Yarham sering mengeluarkan pandangan yang berterus terang mengikut ilmu dan pengetahuannya, bersikap tegas dan amanah kepada ilmunya.

Semoga Allah SWT mencucurkan rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya di jannutun-na'im bersama-sama orang-orang yang soleh.

Al-Fatehah. 



Friday, March 22, 2013

PRU 13. BERMULA KEMPEN NEGATIF


PERMULAAN KEMPEN YANG NEGATIF.

Di ambang pembubaran parlimen, dan di kala rakyat Malaysia menanti tibanya hari penamaan calon, seterusnya menunggu untuk membuang undi pada hari pengundian nanti, kempen politik telah pun bermula. Malah kempen untuk PRU ke-13 tidak pernah berhenti sejak lama dulu dengan segala sepak terajang dan langkah silatnya yang berbagai bentuk, seolah-olah PRU ke-13 telah pun menjelang.

Kini, setelah tiba masanya PRU ke-13 memang benar-benar berada di ambang pintu, maka kerancakan kempen dan gendang perang di antara parti politik kedengaran semakin nyaring dan para pahlawan parti yang berjuang kelihatan semakin garang dengan segala gelagat dan lakonannya yang amat berwarna warni sekali.

Banyak bentuk kempen yang mengambil jalan yang lurus dan beretika, tetapi banyak lagi yang mengambil jalan yang agak ganas dan tidak beradab, sama ada dilihat dari segi budaya dan adat tradisi bangsa Malaysia, apa lagi dari hikmah ajaran agama yang dianuti oleh rakyat Malaysia umumnya, dan agama Islam sendiri yang amat ideal itu.

Hari ini saya membaca portal berita tentang satu kenyataan yang saya rasa mengandungi mesej yang baik tetapi agak keras, iaitu kenyataan Lim Guan Eng, KM Pulau Pinang, yang berbunyi "Sebaik sahaja kami tawan Putrajaya, Perdana Menteri baru, Dato' Sri Anwar Ibrahim, akan keluar arahan pertama kepada semua lapangan terbang supaya jet peribadi tidak dibenarkan membuat penerbangan...." 

Mengikut beliau "...... dikeluarkan malam ketika keputusan diumum - tak mahu pemimpin yang didakwa kuat "curi" harta rakyat sebelum ini melarikan diri..."

Saya merasakan bahawa para penyokong parti politik masing-masing tentulah tidak merasakan sesuatu yang ganjil dalam kenyataan ini, terutamanya kerana ianya dikeluarkan oleh tokoh parti yang sedang berkuasa di negerinya dan bakal mengambil tempatnya di tengah-tengah pentas pemerintahan apabila impiannya agar partinya menawan Putrajaya itu akan benar-benar berlaku seperti yang ditegaskannya itu.

Tetapi bagi rakyat biasa yang tidak taksub parti, dan sering mengambil jalan pertengahan untuk kebaikan rakyat dan kesejahteraan negara, terutamanya dalam negara yang amat unik dengan kepelbagaian kaum dan budaya serta anutan agamanya ini, hal ini tentulah menimbulkan seribu satu pertanyaan dan persoalan yang tidak mungkin dijawab dalam kenyataan tersebut.

Isu siapakah Perdana Menteri baru pun nampaknya belum terjawab secara terang yang dapat di ketahui oleh rakyat umum. Malah sekiranya PM baru itu telah muktamad, maka apakah isu penutupan lapangan terbang untuk jet persendirian ini telah dipersetujui oleh PM "baru" itu? Malah timbul pertanyaan apakah keputusan ini telah disepakati oleh komponan parti yang membentuk Kerajaan PR itu?

Soal "mencuri" harta rakyat adalah agak samar dan mengelirukan, adakah ianya berdasarkan personaliti politik dari parti lawan, rakyat biasa, anggota parti sendiri, atau siapa? Dan adakah berdasarkan spekulasi media, kabar dari lawan yang dengki dan cemburu, fitnah dan sebagainya? Apakah Kerajaan yang hanya baru diumumkan kemenangannya telah dapat bertindak sebagai mahkamah yang boleh mengambil keputusan untuk menahan "orang" yang dianggapnya pencuri sebelum lagi mahkamah membuat keputusan dan merampas paspot orang berkenaan supaya orang itu tidak melarikan diri?

Sebab itulah telah saya tegaskan di atas bahawa keputusan untuk menghukum "pencuri" itu adalah baik, tetapi untuk menentukan siapakah pencuri itu adakah hanya dapat dilakukan dengan keputusan politik kepartian berdasarkan kes yang belum pun di dengar oleh mahkamah dan belum pun diputuskan mengikut proses undang-undang yang menjadi amalan demokrasi negara kita, yang dengan amalan demokrasi itulah akan ditentukan saiapakah yang akan membentuk Kerajaan menjelang PRU ke-13 nanti.

Kempen-kempen seperti ini haruslah ditapis dan tidak seharusnya disensasikan. Saya tidak menujukan pandangan saya ini kepada KM Pulau Pinang, tetapi saya menyebutnya sebagai satu contoh sahaja sebagai pandangan seorang biasa yang tidak terlibat aktif dalam politik, dan hanya menjadi sebagai pemerhati sahaja untuk kesejahteraan negara dan keamanannya. Saya berpandangan secara peribadi bahawa kenyataan politik memanglah sesuatu yang harus dilakukan oleh sesiapa sahaja untuk kebaikan dan kepentingan negara dan rakyat sesebuah negara yang sedang membangun pesat seperti negara kita ini. Malah amat baik sekali sekiranya kenyataan politik itu dilakukan dengan lebeh beretika, tidak mengandungi ugutan umpamanya, dan bersifat konstruktif dengan menyedari sensitiviti rakyat kepelbagaian kaum, budaya, bahasa dan agama.

Saya menyedari bahawa komen saya mungkin menimbulkan berbagai-bagai reaksi dan perasaan orang, tetapi saya juga menyedari bahawa dalam banyak hal kita di negara ini haruslah juga sentiasa mengambil jalan tengah untuk kebaikan semua kerana kemajuan negara, keamanan dan kesejahteraan rakyat bukan hanya dalam politik kepartian sahaja tanpa mengambil kira perasaan orang lain yang menganuti berbagai-bagai kefahaman dan ideologi, terutamanya ideologi politik kepartian.

Kesejahteraan rakyat umumnya haruslah diletakkan paling atas. Apa-apa saja yang boleh mengganggu kesejahteraan rakyat, fizikal, mental, rohani dan jasmani, haruslah diberikan perhatian berat, kerana dalam keadaan dunia yang kucar kacir dan penuh dengan noda ini, manusia cenderung menjadi semakin ganas dan buas, merompak dan memberontak, maka orang-orang yang mengalami penyakit mental dan jiwa akan berkeliaran dengan lebeh banyak lagi, melakukan kepelbagaian tindakan yang biasanya tidak dilakukan oleh orang-orang yang sihat jiwa dan akal fikirannya.

Inilah juga diantara perkara yang seharusnya disedari oleh semua rakyat dari pelbagai sektor dan lapangan, terutamanya ketika berlaku kempen yang sengit dalam mencari kuasa politik sekarang ini. Janganlah disebabkan nila setitik, rosak susu sebalanga!!

Wednesday, March 20, 2013

JIKA KAMU BERSYUKUR.....



DOA ATAS DOA....

DOA YANG PERNAH SAYA NYATAKAN DI SINI, SEMASA BERDOA SEMPENA MENYAMBUT TAHUN BARU HIJRAH YANG LALU, KINI HAMPIR SANGAT NAK SAMPAI,. ESOK, LUSA, ATAU HARI BERIKUTNYA, MINGGU KEMUDIAN, ATAU BILA-BILA MASA SAJA, INSYA' ALLAH SAMPAILAH TU AGAKNYA, HANYA ALLAH SAJA YANG TAHU.....APA PUN SABARLAH KITA MENUNGGUNYA....JANGAN BUAT SPEKULASI.....BUAH YANG DIJOLOK AKHIRNYA AKAN JATUH KE TANAH JUGA....NAMUN HANYA SABARLAH MENUNGGU, SAMPAI MASANYA GUGURLAH IA KE BUMI..

YANG PENTINGNYA KETIBAAN SAAT YANG KITA TUNGGU ITU BIARLAH DISAMBUT DENGAN PENUH KESYUKURAN, DIISI DENGAN MUTIARA DAN PERMATA YANG BERHARGA, SETELAH SEKIAN LAMA KITA MENCEMARKAN ALAM INI DENGAN SEGALA KEKOTORAN YANG MENJIJIKKAN.

KITA TELAH MELUPAKAN SEGALA NILAI AGAMA DAN BUDAYA, DIPERHAMBAKAN OLEH NAFSU DAN EMOSI, MENTALITI DAN SEGALA RASA TAKSUB PARTISAN, LUPA ADAB DAN ADAT.....

SEMOGA KETIBAAN MASA PENENTU ITU HENDAKLAH KITA GUNAKAN DENGAN RASIONAL DAN PERTIMBANGAN YANG BIJAKSANA, BERHIKMAH DAN BERAKAL. FIKIRKAN MASA DEPAN AGAMA, BANGSA DAN NEGARA KITA, BUKAN SEBARANG KEPENTINGAN SEMPIT YANG LAIN...BUKAN SENANG MEMBUAT KEPUTUSAN YANG WARAS...TETAPI KITA TELAH BANYAK BELAJAR..

AMANAH DARI ALLAH SWT: JIKA KAMU BERSYUKUR NESCAYA AKAN AKU TAMBAHKAN LAGI BAGI KAMU, TETAPI JIKA KAMU KUFUR MAKA KETAHUILAH BAHAWA AZABKU AMAT BERAT....

FIKIR-FIKIRKANLAH...


Monday, March 18, 2013

KEPELBAGAIAN DOA PRU 13

DOA PRU-13

Doa untuk menghadapi Pilihan Raya ke-13 mungkin telah lama dibacakan, namun begitu doa ini mungkin juga berbeza ungkapan dan pengisiannya, bergantung kepada orang yang membacakannya. Kalau calon yang bercadang untuk bertanding dalam PRU itu, maka tentulah ia akan berdoa supaya pucuk pimpinan partinya  akan mencalonkannya. Kalau yang sudah tentu akan bertanding. maka tentulah ia akan berdoa supaya ia menang dan lawannya kalah, dan kalau yang berdoa itu ialah pengikut parti politik tertentu, tentulah ia akan berdoa untuk kemenangan partinya.  
Hanya orang-orang yang mungkin tidak siuman saja yang akan berdoa supaya calon dari partinya tidak berjaya, atau orang yang direbut peluangnya untuk bertanding yang mungkin juga akan berdoa supaya calon partinya yang menggunakan payong terjun bagi merebut peluangnya itu tidak menang. Kalau dia tidak dicalonkan, yang tentulah hilang peluangnya untuk menjadi calon, maka biarlah orang yang merebut peluangnya itu juga kalah, walau pun dia dari parti yang sama, biarlah calon parti lawan yang menang, barulah puas hati!
Dalam keadaan ini, mengikut lojiknya maka parti yang banyak menerima sokongan  dari pengundilah yang akan memenangi pilihan raya.
Bagaimana pun, kehendak Allah SWT tidak sesiapa yang mengetahui atau menduganya. Maka dalam situasi ini mungkin akan ramai juga orang yang akan terbuka hati untuk berdoa bagi PRU ke-13 ini dengan doa yang tidak berat kepada kepartian, tetapi yang akan memohon kepada Allah swt supaya apa-apa sahaja keputusan PRU ini, maka hasil yang diharapkan ialah kesejahteraan negara dan rakyatnya,  kelangsungan suasana aman damai dan keharmonian semua, dan yang paling pentingnya ialah kedaulatan agama Islam yang tidak diganggu gugat, berserta kelangsungan para Raja yang menjadi pelindung agama Islam dan adat istiadat  Melayu.
Doa yang penting sekali ialah kehadiran suasana yang menjamin kesetabilan sosial, ekonomi  dan politik negara ini. Kesetabilan inilah yang akan menjamin kesejahteraan rakyat umumnya, yang sekali gus menjamin keamanan dan kemakmuran semua. Marilah kita berdoa ke arah itu.
Dalam seminggu kita ada tujuh hari, berdoalah setiap hari, tujuh hari seminggu, dan jadikanlah angka tujuh ini sebagai angka yang beruntung bagi kita, atau sekurang-kurangnya bagi saya. Semasa saya kecil, ayah saya selalu menyuruh saya melakukan sesuatu sebanyak tujuh kali.., termasuk membanyakkan kerja dan doa pada tujuh haribulan...

Oleh itu tenguk-tenguklah dalam kalendar kita tahun 2013 ini berapa kali lagi kita ada 7 haribulan. Namun begitu, janganlah menjadi taksub, semua angka dan hari mungkin sama saja pada pandangan kita untuk berdoa bagi kesejahteraan kita semua selepas PRU ke-13. Malah angka 13 ini pun kalau mengikut orang Barat adalah angka yang tidak baik, sehingga rumah mereka pun tidak mereka pakai angka 13, dan digantikan dengan 12 A bagi rumah yang sepatutnya berangka 13, kemudian terus lompat ke angka 14, tetapi kepercayaan itu adalah merupakan khurafat saja, dan bagi kita apa-apa angka saja yang datang, maka yang perlu diharapkan ialah kebaikan untuk semua...

Berdoalah semua untuk kebaikan dan kesejahteraan, dan berdoalah untuk Allah SWT elakkan kita dari perangkap dan jerat yang akan menjahanamkan kita, serta gaung dan jurang yang akan menghancur leburkan negara dan rakyat semua..Untuk mencapai tujuan suci ini semua orang haruslah berfikir dengan rasional dan matang sebelum membuat keputusan yang silap nanti....Insya'Allah. 

Saturday, March 9, 2013

UJIAN TRAGEDI LAHAT DATU: APAKAH RESPON KITA?


3-TRAGEDI LAHAD DATU: UJIAN UNTUK UMAT ISLAM

Memanglah rakyat dan pemerintah Malaysia menghadapi ujian besar dengan tercetusnya peristiwa pencerobohan rakyat asing ke atas Sabah. Ujian yang amat besar ialah kerana penceroboh merupakan pejuang yang kebanyakannya beragama Islam dan kita juga merupakan majoriti umat Islam, termasuk anggota pasukan keselamatan, Polis dan Tentera, yang terpaksa menghadapi musuh yang melanggar negara kita itu.

Masyarakat kita dalam zaman kemajuan dan tamadun ini tidak pernah mengalami peristiwa seperti ini, iaitu ketika umat Islam sesama Islam harus bertempur dan berusaha untuk membunuh diantara satu dengan yang lain.  Tentunya bukan mudah untuk membunuh  sesama insan, apa lagi saudara sesama agama, iaitu agama Islam, kerana kita semua memahami konsep bahawa masunia ini seluruhnya adalah merupakan makhluk kejadian Allah Yang Maha Esa, terutamanya Muslim sesama Muslim itu adalah bersaudara.

Saya rasa kita amat sukar menggunakan senjata untuk membunuh sesiapa pun. Atas sifat budaya dan naluri umat Melayu sendiri, tindakan kejam ini tidaklah merupakan sesuatu yang direstui oleh tradisi dan adat resam kita, terutamanya umat Melayu setelah menerima agama Islam, maka nilai-nilai murni agama Islam ini amat meresapi ke dalam jiwa dan hati nurani umat Melayu, yang menambahkan lagi komitmen umat Melayu Islam di negara kita terhadap ajaran agama, dan tindakan membunuh adalah merupakan dosa besar yang mesti dijauhi.

Maka dalam konteks inilah rasanya tragedi di Sabah telah dihadapi dengan penuh sabar oleh pemimpin dan rakyat Malaysia, khususnya oleh umat Melayu sendiri, yang telah berusaha seboleh-bolehnya agar peristiwa ini merupakan kejadian sementara yang dapat diselesikan secara aman dan damai, kalau boleh tanpa sebarang pertumpahan darah dan pertempuran bersenjata, dan hal inilah yang telah cuba dilakukan oleh negara kita dengan mengadakan perundingan diantara pihak kita dengan para penceroboh itu agar kerisis ini dapat diselesaikan secara perundingan, aman dan damai. Namun hal ini tidak berjaya, sehingga akhrinya polis kita pula telah ditembak mati, dan pada ketika itulah nampaknya pasukan keselamatan kita terpaksa membalas serangan sebagai mempertahankan diri dan mengelak dari kemalangan jiwa yang lebeh banyak.

Malangnya pihak penceroboh, yang tidak mempunyai hak dari segi undang-undang untuk menuntut negara berdaulat yang dimiliki Malaysia, nampaknya rela berkorban dan masih bertekad untuk menyelesaikan isu ini dengan kekerasan bersenjata, sehingga akhirnya pada masa ini nyawa mereka yang terkorban meningkat  lebeh dari 50 orang.


Saya percaya pihak pasukan keselamatan kita tentulah mempunyai dasar kemanusiaan, iaitu tujuan menentang musuh ialah untuk menawan dan menangkap mereka, bukan untuk membunuh sekiranya hal itu dapat dijalankan dengan tidak membahayakan diri sendiri (to capture not to kill). Tetapi apakan daya...tujuan yang penuh hikmah ini akhirnya disalah ertikan oleh musuh dengan tindakan mereka memulakan tembakan sehingga mengorbankan nyawa Polis kita.


Tentang ujian Allah ini, saya terbaca kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di dalam akhbar Sinar Harian on line pada 8 Mac 2013 yang lalu yang saya petik dari portal  berita tersebut seperti berikut, apabila diminta supaya memberi komen tentang tragedi Lahad Datu: "Sama-samalah kita berdoa supaya negara kita selamat, kejadian itu merupakan ujian kepada umat Islam yang menolak Islam dan berasa dialah tuhan"

Saya cenderung untuk mengambil sikap berkecuali dalam isu ini, iaitu tidak menyokong atau membantah kenyataan beliau ini, cuma komen saya bahawa ujian Allah itu merupakan satu proses yang berterusan kepada manusia, termasuklah umat Islam yang menerima Islam dan mengaku bahawa Allah itu adalah Tuhan mereka, kerana ujian Allah adalah mengandungi berbagai-bagai rahsia, termasuk memberikan kesedaran dan mengingatkan manusia yang mungkin agak lalai dan leka, bersikap sabar dan tawakkal serta berusaha mengatasi kesusahan dan sebagainya, maka dalam keadaan ini tidak lah ujian itu semestinya menimpa  mereka yang menolak Islam atau mengaku menjadi tuhan, yang mungkin juga dalam konteks ini seolah-olah kita mendapat satu persepsi bahawa orang-orang Islam di Malaysia ini atau pemimpinnya (pemimpin politik, tanpa mengira parti tertentu, pemimpin masyarakat dan semua pemimpin dalam segenap sektor)  menolak Islam dan merasa bahawa diri mereka itulah tuhan, maka sebab itulah mereka diuji dengan insiden pencerobohan ini. 


Kita di Malaysia, pada dasar dan prinsipnya,  menerima Islam dalam semua aspek dan lapangannya, termasuk dalam Perlembagaan, cara haidup, institusi ekonomi, pendidikan, sosial, keluarga, perundangan dan sebagainya. Oleh itu ujian yang ditimpakan kepada kita tentulah mempunyai kepelbagaian dimensinya, bukan kerana kita menolak Islam, atau mengaku diri sebagai tuhan. Rasulullah SAW sendiri menerima ujian dalam usahanya mengembangkan agama Allah, yang saya rasa  umat kita umumnya amat mengetahuinya dengan baik tentang hal ini.


Allah berfirman di dalam al-Quran bahawa "Demi sesungguhnya Kami (Allah) akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda dan kehilangan jiwa, serta hasil tanaman,  dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang sabar (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah, dan kepada Allah jua lah kami kembali.." Surah Al-Baqarah ayat 155-156


Maka dalam konteks ini semua umat Islam dan para pemimpinnya haruslah mengambil sikap yang positif dalam menghadapi kerisis Lahad Datu ini, iaitu sikap berhikmah dan berilmu, sambil menjauhi sikap salah menyalahkan orang lain terutamanya sesama umat Muslimin sendiri.


Malah dalam kenyataan yang sama Datuk Nik Aziz juga menyatakan dengan jelas "Sama-samalah kita berdoa supaya negara kita selamat...." Amin ya rabbal 'alamin...

 



Thursday, March 7, 2013

TRAGEDI LAHAD DATU: MENCARI SIAPAKAH YANG SALAH?



2-TRAGEDI BERDARAH DI LAHAD DATU:

MENCARI KESALAHAN ORANG LAIN...

Memang telah menjadi tabiat manusia biasa, jika berlaku sesuatu kejadian yang tidak baik, maka akan segeralah dicari pihak lain yang harus dipersalahkan. Kejadian berdarah di Lahad Datu mengundang kecaman dari beberapa pihak terhadap Kerajaan yang dikatakan sebagai pihak bertanggung jawab yang   terlalu lambat bertindak, cuai dan tidak perihatin terhadap maruah dan keselamatan negara.

Memang kalau dilihat dari sudut pandangan sempit dan sepintas lalu, orang yang mengecam dan membuat tuduhan tersebut, mungkin mempunyai alasannya sendiri, diantaranya ialah kerana terlalu lama mengambil masa untuk melakukan tindakan, sehingga beberapa nyawa pasukan keselamatan kita telah terkorban, barulah tindakan mahu diambil.

Tetapi bagi pihak Kerajaan pula, maka, pada pandangan saya, pihak yang berkuasa juga mempunyai alasan kenapakah mereka lambat bertindak. Pertama sekali ialah untuk cuba menyelesaikan kerisis ini secara damai, iaitu secara perundingan, bertolak ansur, supaya sesiapa pun tidak akan tercedera atau kehilangan nyawa, malah dalam hal ini Kerajaan Philipina juga telah menawarkan pertolongan untuk mengangkut para pemberontak itu supaya dibawa pulang dengan selamat ke negara mereka. Perancangan awalnya ialah supaya kerisis ini tidak akan membawa kepada pertumpahan darah dan kehilangan nyawa sesiapa pun.

Perundingan ini berlanjutan, dan sememangnya tidak kelihatan akan berlaku kekerasan, apa lagi pembunuhan. Kita sebuah negara yang berpegang teguh kepada ajaran Islam, dan kebanyakan para pemberontak itu juga beragama Islam, maknanya kita berepan sesama Islam, tentulah amat tidak wajar kita terus melakukan kekerasan, walau pun pada dasarnya kita berhak mempertahankan diri, termasuk mengambil jalan kekerasan untuk  mengusir musuh dari negara kita.

Negara kita tidak mempunyai tendensi untuk melakukan kekerasan. Tidak pernah terjadi pencabulan ke negara kita oleh mereka yang dianggap sebagai musuh yang kebanyakannya beragama Islam pula. Pada mulanya kelihatan mereka telah bertindak secara aman, mengemukakan permintaan tanpa meletupkan sebarang peluru, atau mengancam akan berperang, mengangkat senjata. sebab itulah nampaknya pasukan keselamatan kita juga agak releks.

Pertimbangan inilah yang saya rasa merupakan faktor yang melambatkan tindakan kekerasan pihak kita, dan sebagai umat Islam, kita tetap masih bersangka baik terhadap saudara-saudara kita sesama Islam. Kita bukan merupakan Kerajaan yang sering bertindak menyerang, menggunakan senjata dan bom serta membunuh pemberontak. Tidak pernah berlaku kematian dalam demonstrasi jalanan yang berlaku selama ini di negara kita, kecuali ketika menghadapi musuh seperti komunis, atau kekacauan yang bermorifkan politik perkauman yang pernah terjadi di negara kita.

Berdasarkan hal ini saya rasa amatlah tidak adil untuk kita menjatuhkan hukuman kepada pihak berkuasa negara dan anggota keselamatan kita, kerana mereka sedang melakukan satu tindakan berhikmah dan penuh diplomasi, apabila pada akhirnya, musuh kita telah bertindak mengejut secara kekerasan sehingga memulakan tembakan dan membunuh anggota polis kita.

Memanglah amat malang bagi kita bahawa segala tindakan yang kita rasa amat bijaksana, berpandukan kepada ajaran Nabi kita sendiri ketika baginda beberapa kali menghadapi musuhnya, rupa-rupanya akhirnya memakan korban terhadap pasukan polis kita sendiri, dan dalam hal ini nampaknya pihak penceroboh telah melakukan satu tindakan yang amat tidak bertamadun dan telah mengeksploitasikan  kesabaran kita untuk memuaskan nafsu mereka sendiri.

Kini nampaknya cabaran yang dihadapkan kepada pasukan polis dan tentera kita telah membuka banyak pintu kekerasan, memakan korban nyawa yang banyak, satu tindakan yang cuba dielakkan selama ini. Malah kita sebenarnya telah bertindak dengan tujuan untuk mempertahankan negara dan penghormatan kita, walau pun tindakan itu tidak mahu kita lakukan pada mulanya.

Oleh itu saya rasa amat tidak adil untuk kita mengecam orang yang berniat baik bagi mengelakkan pertumpahan darah, terutamanya untuk menjaga nama baik bangsa dan agama kita sendiri, yang selama ini kita tidak pernah bertumpah darah sesama bangsa dan agama, malah tidak pernah berperang secara terbuka terhadap musuh yang datang menyerang kita di luar batas-batas yang dibenarkan oleh undang-undang antarabangsa.

Kita selama ini sentiasa mengambil jalan damai dan berdiplomasi, perundingan dan dialog, untuk menyelesaikan kerisis dan masalah.yang kita hadapi di dalam negara atau di luar negara. Mungkin dengan kejutan yang dilakukan oleh umat seagama dengan kita sendiri ini akan dapat juga memberikan iktibar dan pelajaran kepada kita supaya lebih berhati-hati pada masa yang akan datang.

Tuduhan dan kecaman yang dilemparkan itu sebenarnya tidak memberi kesan yang serius, kerana kecaman itu datangnya dari musuh politik Kerajaan yang tentunya tidak memberikan erti bagi orang-orang yang mahu berfikir dan mempunyai pertimbangan yang rasional. Sebaliknya, Kerajaan juga mungkin akan dikecam lebeh hebat lagi sekiranya dari awal-awal lagi bertindak keras dan membunuh pemberontak itu, maka pada masa itu Kerajaan akan dituduh telah melakukan kekejaman yang tidak berperi kemanusiaan, tergesa-gesa tanpa berunding dan sebagainya...jadi semuanya serba salah, dan semuanya silap.....Biarkanlah mereka...





Sunday, March 3, 2013

TRAGEDI LAHAD DATU: HARUSKAH DIPOLITIKKAN?





1-TRAGEDI BERDARAH DI LAHAD DATU: Jangan diekploitasi untuk keuntungan politik

Berita terakhir menyatakan 8 anggota Polis Malaysia telah terkorban, sekiranya berita itu benar. Ahli politik sama ada pihak Kerajaan atau Pembangkang haruslah mengawal perasaan dan sentimen masing-masing, supaya memfokuskan perhatian kepada insiden berdarah ini, dan seterusnya bekerja sama untuk mangatasi kemelut yang mengancam keselamatan negara.

Dunia tamadun sering berpadu tenaga dan usaha untuk menghadapi musuh bersama, bukan mencari kesalahan orang untuk mencari kemenangan politik, terutamanya dalam menghadapi PRU yang hampir tiba. Usaha pasukan keselamatan tentulah akan terganggu sekiranya mereka diganggu oleh ahli politik yang membuat tuduhan kepada mereka, secara langsung atau tidak langsung.

Isu sekarang ialah isu keselamatan dan keamanan negara, bukan isu tuduh menuduh. Orang yang memberontak sebagai musuh itu tidak perlu dipersoalkan sekarang tentang kedudukan mereka , sama ada mereka rakyat Malaysia atau tidak. Bukan isunya mereka mempunyai IC Malaysia atau tidak, untuk mengundi atau tidak, tetapi mereka adalah musuh yang telah menjadi pembunuh.

Berpolitik biarlah ada sempadannya, sempadannya haruslah difikirkan sendiri oleh orang politik sebagai pemimpin yang matang dan mempunyai pengikut yang banyak. 

Kerajaan tidaklah harus diganggu dalam situasi dan keadaan yang genting ini. Sesiapa pun yang menjadi Kerajaan akan mengambil sikap yang sama sekiranya berlaku kerisis seperti ini, jadi janganlah Kerajaan pula dituduh dengan berbagai-bagai tuduhan.

Saya pun pada mulanya tidak faham kenapakah Kerajaan tidak hantar sahaja tentera, kapal perang dan sebagainya untuk hancurkan penceroboh itu? Tetapi dari beberapa maklumat yang saya kumpul, ternyata bahawa penggunaan tentera untuk menentang penceroboh ini maknanya kita mengisytiharkan perang ke atas satu Kerajaan "yang tidak wujud" yang didakwa oleh penceroboh ini, yang bererti kita mengakui kewujudan mereka dan segala tawanan serta urusan lain dalam "peperangan" ini adalah tertakluk kepada perjanjian Geneva, sedangkan mereka ini adalah penderoboh biasa yang mengganggu keamanan dan keselamatan di dalam negara kita, maka pasukan polis yang harus menanganinya. Itulah yang saya faham, dan mungkin saya pun silap dalam hal ini.

Pada saat genting inilah kita memerlukan fikiran yang tenang, dan jangan cuba mengalihkan pandangan kepada  isu lain, selain dari isu pokok iaitu pencerobohan dan kekerasan untuk cuba menyelesaikan satu tuntutan kawasan tanah yang didakwa milik mereka. Hal ini sering berlaku di dalam dunia kita pada masa kini, iaitu mencari sesuatu penyelesaian secara keganasan dan pertumpahan darah. Nabi Muhammad SAW tidak pernah mengambil jalan kekerasan untuk menyelesaikan kerisis dan pertikaian dengan sesiapa, termasuk dengan musuhnya. Kita yang sering mendabik dada memahami ajaran dan nilai akhlak Islam hari ini sering melupakan ajaran baginda..

Tegakkan keamanan dahulu, kemudian bolehlah berdialog dan berbincang bagi menyelesaikan masalah sama sendiri. Bukan dalam masa kerisis besar ini, kita sesama kita mencari jalan untuk berkerisis sama sendiri, mencari salah orang, dan merasakan diri kita saja yang benar. Insiden ini merupakan insiden besar yang mencabar maruah dan integriti bangsa, agama dan negara kita.

Pageviews last month