Monday, June 30, 2014

PUASA HARI KEDUA 1435



STRES......STRES


Stres atau tekanan jiwa merupakan pengalaman yang dirasakan oleh sesiapa saja selagi dia masih hidup. Orang yang masih hidup sahaja yang mengetahui segala-segala yang berlaku kepadanya, persekitaran di sekelilingnya, dan dunia lain.

Kita merasa stres ketika berada di jalan raya. Kesesakan lalu lintas ketika seorang dalam perjalanan pulang ke rumah untuk berbuka puasa menjadikan dia stress.

Kerja pejabat yang dibuatnya bersungguh-sungguh tetapi tidak dihargai orang, terutamanya bos sendiri, menjadi dia stress.

Pendeknya stress boleh berlaku di mana-mana dan bila-bila masa sahaja..Mengenang masa lepas dan masa yang akan datang juga dia merasa stress...

Hal ini berlaku kerana dia manusia, masih hidup, dan masih sedar akan segala-galanya yang terjadi kepadanya dan di sekelilingnya, dan hal ini juga berlaku kerana dia mempunyai perasaan, emosi dan naluri, juga pemikiran dan minda.

Namun stress sekiranya dibiarkan berlarutan maka dia akan menjadi kerisis. Stress sahaja kadang-kadang mungkin dapat menjadi motivasi kepada kita untuk mengatasinya dengan pelbagai cara yang tertentu, tetapi kerisis akan menjadikan kita merasa derita, seksa, merana, dan berbagai-bagai kerisis jiwa yang mungkin mengakibatkan penyakit jiwa yang parah.

Oleh itu puasa merupakan satu ibadat bagi seorang Muslim mengubati dirinya dari dalam dirinya sendiri bersandarkan kepada usaha dan keyakinannya kepada diri dan Tuhannya, Allah SWT.

Berpuasa mendidik seseorang menjadi amanah kepada dirinya,  tiba bulan Ramadhan, maka berpuasalah dia walau di mana sekali pun dia berada. 

Bersabar dan tabah, maka puasa menjadikan dia tabah dan sabar menghadapi tekanan lapar dan dahaga, nafsu makan dan minum, kerana dia percaya hal itu akan berakhir apa bila tiba waktu maghrib nanti.

Jiwa dalamannya begitu kuat, dia melawan tuntutan fizikal dan badaninya dengan gagah, bukan pura-pura dan menunjuk-nunjukkan sahaja, namun keluar dari minda, fikiran, perasaan, dan hatinya sendiri. Hal ini dapat dimanfaatkan ketika dia mengalami stress. Emosi dan perasaannya dapat di didik menjadi baik dan sanggup menghadapi tekanan apa-apa sahaja.

Kalau dia berjaya mengatasi stressnya maka dia berkemungkinan dapat melepaskan dirinya dari terus menerus merasa stress yang boleh membawa kepada kerisis jiwa yang besar....

Mengurus stress bukanlah mudah, tetapi kalau kita dapat menguruskan diri dan jiwa kita, rohani dan jasmani kita dengan ibadat puasa, maka demikianlah juga kemampuan kita untuk menguruskan stress yang kita alami...

Selamat berpuasa hari ke-2........



Sunday, June 29, 2014

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN 1435



RAMADHAN DATANG LAGI

Buat kesekian kalinnya, Ramadhan datang lagi, kali ini bermula pada hari Ahad 29 Jun 2014.

Kedatangan awal Ramadhan 1435 pada hari Ahad merupakan satu rahmat bagi keluarga kecil dan besar, kerana pada umumnya para pegawai dan pekerja Kerajaan dan swasta bercuti, yang membolehkan keluarga berkumpul untuk bersama-sama berbuka puasa, malah sebelumnya iaitu pada dinihari awal Ramadhan telah dapat bersahur bersama, satu kenikmatan yang amat besar bagi umat Muslimin.

Anak menantu dan sanak saudara yang tinggal berjauhan akan melakukan perjalanan jauh pada petang hari Jumaat, atau pagi Sabtu untuk bersama keluarga di kampung, dan amat beruntung bagi anak-anak yang masih mempunyai ibu dan ayah,dapat melepaskan kasih sayang, bersahur dan berbuka puasa bersama-sama pada hari pertama berpuasa tahun ini.

Hal ini pun sudah cukup memberikan pengertian kepada kita bagaimana kedatangan  Ramadhan telah dapat membawakan rahmat dan nikmat kepada kita, tanpa membicarakan dengan lebih lanjut dan mendalam lagi tentang ajaran serta falsafah puasa, hikmah dan rahsianya, ruh dan semangatnya, kelebihan dan keistimewaannya dalam mengukuhkan hubungan kita dengan Allah SWT dan hubungan kita sesama ahli keluarga, serta teman rakan, jemaah surau dan masjid kita, malah keseluruhan umat Islam umumnya.

Maha Suci Allah yang membawakan Ramadhan saban tahun, yang bagi kita terkadang-kadang merasakan bahawa masa dan waktu ini terlalu cepat berjalan, seolah-olah baru saja Ramadhan berlalu, dan kini, tiba-tiba Ramadhan datang lagi, berada di ambang pintu kita, dan seolah-olah Allah Yang Maha Pengasih telah mempercepatkan kedatangannya supaya bagi kita yang mahu memanfaatkan segala rahsia dan kelebihan Ramadhan, maka akan dapatlah segera kita hayatinya.....

Saya mengalami hal ini sendiri, kerana inilah kali ketiga saya menghayatinya semenjak blog saya ini dilahirkan. Ketika saya menyelesaikan catatan harian saya pada akhir Ramadhan tahun 1433, saya memohon kepada Allah SWT agar diberikan umur saya hingga ke tahun 1434, dan alhamdulillah, pada akhir Ramadhan 1434, ketika saya memohon doa yang sama selepas mencatatkan tulisan saya pada hari terakhir Ramadhan 1434, maka kini saya bersyukur kepada Allah kerana sekali lagi dapat menyambut Ramadhan 1435 dan akan mengisi ruangan ini setiap hari hingga akhir Ramadhan 1435 insya'Allah..

Marilah kita menjadi semut yang mengetahui nikmat kemanisan gula, menjadi kumbang yang mengetahui kelazatan madu bunga, sehingga kita akan berlumba-lumba menghurungi gula dan madu yang dihadangkan Allah Maha Penyayang dalam bulan Ramadhan ini untuk kita kecapi nikmat dan kemanisannya.

Kemanisan nikmat Ramadhan adalah untuk dunia dan akhirat, untuk hidup dan  mati. Kenikmatan Ramadhan ini hanya di ketahui oleh orang-orang yang mahu menghayatinya. Oleh itu manfaatkanlah Ramadhan ini siang dan malam, pagi dan petang, semoga Allah SWT menerima ibadat dan permohonan ampun dari kita.

Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak.....




Saturday, June 28, 2014

ESOK PUASA




SELAMAT DATANG RAMADHAN AL-MUBARAK

Seolah-olah bulan puasa baru saja meninggalkan kita, dan kini tiba-tiba Ramadhan datang lagi...Amat cepatnya masa berlalu, seperti pesawat terbang yang membelah awan, tiba-tiba ribuan KM perjalanan telah kita lalui, dan kini kita telah sampai ke distinasi perjalanan kita, lalu Ramadhan pun tiba-tiba telah berada lagi di ambang pintu kita.

Demikianlah perjalanan masa, dan masa sebenarnya berlalu mengikut peredaran mata hari dan cakarwala lain yang telah ditentukan Allah, sehari, seminggu, sebulan dan setahun. Lambat cepat peerjalanannya adalah hanya dalam gambaran manusia, kerana seminggu tetaplah berjumlah tujuh hari dan setahun tetaplah dua belas bulan, kita saja yang merasa cepat dan lambat perjalanannya.

Kalau orang yang dihimpit kesusahan, dia marasakan bahawa masa ini terlalu lama perjalanannya.  Kalau orang yang demam atau mengalami sakit, pada waktu siang mungkin dia merasakan waktu berjalan seperti biasa, tetapi pada waktu malam, ketika dia amat kesunyian, ketika orang semua nyenyak tidur, dan dia mengalami kesakitan yang bertambah-tambah, maka dia merasakan bahawa masa yang berlalu terlalu lambat dan lama, satu jam dia merasakan seperti satu hari....  Demikianlah terlalu subjektifnya perasaan manusia, dan inilah satu ajaran dari Allah SWT tentang lemahnya sifat manusia ini, sebab itulah Allah memberikan manusia pemikiran dan akal, bukan hanya perasaan dan emosi..

Syukur kepada Allah SWT yang memanjangkan umur kita menjelang Ramadhan 1435 ini. 

Semoga diberikan hidayah dan taufik-Nya untuk kita bertemu di ruangan ini saban hari Ramadhan ini seperti Ramadhan 1433 dan 1434 yang lalu, insya' Allah.


Wednesday, June 18, 2014

PANDANG KE TIMUR



DARI KL KE KYOTO DAN TOKYO

Kapal terbang yang saya, dan isteri serta kawan-kawan lain dari UKM, naiki - MAS - mendarat di Osaka dan dari sana kami menaiki bas mini ke Kyoto, turun di hotel untuk bermalam di sana selama 4 malam 5 hari.

Kyoto Universiti memanggil kami menghadiri satu persidangan Tamadun - termasuk tamadun Islam - sempena pelancaran pembukaan Jabatan baru tentang peradaban Islam, dengan nama Hadhari, saudara kandung Institut Islam Hadhari UKM.

Prof Kosougi, seorang Muslim, pernah belajar di Universiti Al-Azhar, bersama-sama dengan rakan-rakannya, telah berusaha merintis jalan membuka Jabatan ini bagi mempelajari dan menyelidiki tentang peradaban dan tamadun Islam serta persoalan Islam umumnya secara saintifik yang membina dan membuka minda.

Kami secara spontan terikut-ikut cara dan gaya orang Jepun, tunduk menunduk tanda hormat, ucapan terimakasih sebagai arigatok ...dan berjalan dengan tertib tanpa menunjukkan sikap hairan atau protes terhadap orang lain, bercakap dengan suara yang rendah semasa dalam majlis atau ketika menghadapi jamuan....tetapi semuanya kelihatan amat tidak tabi'i bagi kita orang Malaysia, kerana terpaksa berbuat-buat......

Dalam Persidangan, kawan-l\kawan para sarjana Jepun yang tidak beragama Islam, turut membentangkan kajian tentang bidang Islam. Ada yang mengkaji tentang Wakaf, Al-Rahnu dan sebagainya, termasuk kajian kes di Singapura dan Brunei, yang nampaknya agak mendalam dan serius.

Seperti biasa apabila berkunjung ke Jepun, lalu lintas di bandar seperti Kyoto ini tidaklah terlalu sesak, pengangkutan awam agak mencukupi, malah Prof Kosougi, tidak mengambil lesen memandu, dia naik kenderaan awam dan basikal.

Ketika kami berjalan dengannya, dia menaiki basikal dengan kumpulan lain yang berbasikal. Berhenti di lampu merah dengan amat sabar. Kami fikir "dah tak ada kereta di atas jalan itu pedulikanlah lampu merah, lintaslah saja macam orang Malaysia buat! Ni tidak, tunggu sampai lampu hijau!!"

Malah yang amat menarik ialah ketika kami menaiki teksi. Teksi di sana kebanyakannya pintunya terbuka dengan sendiri, di kawal oleh pemandu. Namun dalam sekelip mata si pemandu teksi sudah tercegat di sebelah kita yang baru nak masuk ke dalam kereta, tolong menutup pintu teksi, dan meletakkan barang di dalam tempat barang di belakang...Lepas itu baru dia masuk semula ke tempatnya di hadapan dan memandu dengan amat perlahan mengikut lorong kiri sekali, kerana peraturan lalu lintas di sana samalah seperti kita, memandu di sebelah kiri. 

Jemu juga kadang-kadang penumpang Malaysia di dalamnya dan merungut "potonglah kereta di depan tu, tekanlah minyak naik 100 km sejam, buat apa jalan macam semut, 60 - 70 km sejam??"

Akhirnya sampai ke distinasi, dia menghulurkan dulang kecil untuk kita letakkan wang tambang, tanpa dia menyentuhnya, supaya wang itu kita letakkan sepenuhnya di dalam dulang itu, kemudian barulah dia mengiranya dan memulangkan bakinya. Kali ini dia berlari keluar,  di pintu teksi dan segera berdiri tercegat di pintu keluar teksi untuk mengiringi kita keluar dengan penuh mesra, tunduk berulang-ulang kali, dan berbicara dengan riang dalam bahasanya yang tidak kita fahami....  pada hal tanpa tip pun yang diberi...

Kembali ke dewan Persidangan, sistem dan kelengkapan persidangan telah disediakan dengan rapi. Para pelajar lelaki dan wanita yang bertugas, bekerja sambil berlari, pindah mikrofon, betulkan tanda nama, jaga lampu dewan ketika pembentangan yang menggunakan power point, malah membantu para pembentang dengan komputernya...

Tiba masa hidangan makanan, semua bekerja termasuk professor mereka, dan memastikan kepada kami bahawa makanan itu adalah Halal.

Habis sesi persidangan hari itu, terdapat beberapa orang pelajar yang berlari mendahului kami turun dengan lif. "Mungkin mereka dah lambat, nak balik cepat" fikir sesetengah dari kami orang Malaysia. Rupa-rupanya bukan nak berlari balik, tetapi berlari ke tepi jalan menahan teksi untuk kami, dan apabila teksi berhenti bergopoh gapah memberitahu pemandu nya akan didtinasi kami......"Berdosa menyangka buruk terhadap mereka..."

Itulah beberapa episod perjalanan di Jepun. Menghadiri Persidangan, tetapi cara hidup mereka, orang-orang Jepun, agak lain dan pelik .......

Banyak kisah "pelik" lain yang boleh diceritakan...lain kali....Patutlah Cik Det suruh buat polisi "pandang ke Timur"...zaman dulu tu...........

Pageviews last month