Tuesday, February 26, 2013

DARUL ISLAM: ADAKAH MAKNANYA NEGARA ISLAM?




  DARUL-ISLAM: NEGARA  ISLAM

                                          


ISTILAH  ‘DARUL-ISLAM’ ADALAH DIGUNAKAN BAGI   NEGARA YANG TERTEGAK DI ATAS DASAR SYARIAT ISLAM DAN SISTEMNYA.

ISTILAH MODEN OLEH AL-MAUDUDI DAN RASHID RIDHA :  “ISLAMIC STATE” IAITU : OTORITI UTAMA IALAH PADA ALLAH SWT, KUASA MANUSIA ADALAH TERBATAS UNTUK MENGENDALIKAN NEGARA SESUAI DENGAN SYARA’

ADA PANDANGAN KEDUA TENTANG DARUL ISLAM, IAITU MAJORITI PENDUDUKNYA ADALAH ORANG ISLAM WALAU PUN SISTEM SYARIAT ISLAM TIDAK BERJALAN SEPENUHNYA (ABU ZAHARAH CENDERUNG KEPADA PANDANGAN INI YANG DIPETIK DARI ABU HANIFAH –AL-JARIMAH WAL-UQUBAH FI AL-FIQH AL-ISLAMI, TETAPI DIHARAPKAN SUPAYA UNDANG-UNDANG DARI AL-QURAN DAN AL-SUNNAH DIJALANKAN  DAN DIAMALKAN SEHINGGA SEMPURNA

MALAYSIA ADALAH DARUL ISLAM ATAU NEGARA ISLAM MENGIKUT SYARIAH, BUKANNYA DARUL KUFR ATAU DARUL HARB. UMAT ISLAM HARUSLAH MEMPERTAHANKANNYA.

ALMAWARDI DI DALAM “AL-AHKAM AL-SULTANIAAH”  MENERANGKAN KEWAJIPAN KHALIFAH, IAITU PEMERINTAH NEGARA ISLAM DALAM PERKARA-PERKARA BERIKUT :

(1)MENJAGA AGAMA DALAM BENTUK ASALNYA. PARA PENYELEWENG DAN PENGAJAR AJARAN SESAT    MESTILAH DIBUKTIKAN KESESATANNYA DAN DITERANGKAN JALAN YANG BETUL KEPADANYA, SERTA DIAMBIL TINDAKAN YANG SESUAI SUPAYA AGAMA TIDAK MENJADI ROSAK DAN TIDAK MENYESATKAN UMAT. HAL INILAH YANG DILAKSANAKAN OLEH KERAJAAN, TERMASUK KERAJAAN NEGERI, MELALUI MAJLIS AGAMA, MAHKAMAH SYARIAH DAN SEBAGAINYA.

(2)MENJALANKAN KEADILAN MELALUI PROSES UNDANG-UNDANG.

(3)MENJAGA KAWASAN NEGERI, KESELAMATAN PARA PENDUDUKNYA, TERMASUK KAUM WANITA, DALAM MENCARI REZEKI DENGAN AMAN TANPA GANGGUAN KE ATAS DIRI MEREKA ATAU HARTA BENDA MEREKA.

(4)MENJAGA NEGARA DENGAN MEWUJUDKAN KUBU DAN BENTENG AGAR TIDAK DICEROBOHI OLEH MUSUH, DAN DARAH ORANG ISLAM SERTA KAFIR ZIMMI TIDAK DITUMPAHKAN OLEH MUSUH. HAL INI MEWAJIBKAN JIHAD DALAM KEADAAN YANG MEMBOLEHKAN JIHAD ITU DILANCARKAN.

(5)MENJALANKAN PUNGUTAN ZAKAT DAN CUKAI, IAITU HARTA BUKAN ISLAM.  HAL INI JUGA MERUJUK KEPADA PEMBANGUNAN EKONOMI YANG BERLANDASKAN SISTEM ISLAM. PENGURUSAN EKONOMI YANG BAIK JUGA TERMASUK DALAM PERSIAPAN MENGHADAPI TEKANAN MUSUH.

(6)MEMBAYAR UPAH DAN GAJI KEPADA ORANG-ORANG YANG BERHAK TANPA LEWAT.

(7)MEMPASTIKAN BAHAWA ORANG-ORANG YANG BERAMANAH SAHAJA DILANTIK UNTUK BERTUGAS, SUPAYA DENGAN ITU MEREKA MAMPU BERTUGAS DENGAN BAIK. USAHA MENJADIKAN PERKHIDMAATAN AWAM YANG BERSIH, CEKAP DAN AMANAH MERUPAKAN PROGRAM BERLANDASKAN ISLAM.

AL-AHKAM AL-SULTANIAH MENGEMUKAKAN RINGKASAN UNTUK DILAKSANAKAN OLEH NEGARA ISLAM :

(i)                MENEGAKKAN SISTEM KEADILAN
(ii)             KEMUDAHAN MENUNAIKAN IBADAT
(iii)           PEMBANGUNAN MASJID SEBAGAI MASJID SULTAN DAN MASJID KHASSAH
(iv)           TENTANG PERLAKSANAAN HISBAH, IAITU KAWALAN BAGI PEMERINTAH DAN RAKYAT.


TERNYATA BAHAWA NEGARA YANG MELAKSANAKAN DASAR-DASAR YANG TERSEBUT BUKANLAH NEGARA SEKULAR.


(i)                PERLAKSANAAN ISLAM DALAM PENDIDIKAN
(ii)             PERUNTUKAN DALAM PERLEMBAGGAAN
(iii)           PERTAHANAN DAN KESELAMATAN DALAM NEGERI, MENENTANG PENJAJAHAN, KOMUNISME, AJARAN SESAT DAN SEBAGAINYA
(iv)           KEBEBASAN WANITA DALAM MASYARAKAT SECARA TERKAWAL.
(v)             KERJASAMA ANTARA NEGARA-NEGARA ISLAM DALAM BIDANG POLITIK, EKONOMI, PENDIDIKAN DAN LAIN-LAIN
(vi)           KHIDMAT KESEHATAN DAN PERUBAATAN
(vii)        PERANAN NEGARA DALAM ARENA ANTARABANGSA, OIC, PBB DAN LAIN-LAIN.



MALAYSIA BUKAN NEGARA SEKULAR:

(i)                RAJA MELAKA, PARAMESWARA, MEMELUK ISLAM MELAMBANGKAN PENGISLAMAN KERAJAAN MELAYU, DAN KERAJAAN MELAKA MENERBITKAN TEKS UNDANG-UNDANG RISALAH HUKUM KANUN BERASASKAN UNDANG-UNDANG ISLAM TENTANG PERKAHWINAN, MUAMALAT, KETERANGAN, KEHAKIMAN DAN JINAYAT.
(ii)             BEBERAPA NEGERI MELAYU TELAH MENJADIKAN ISLAM SEBAGAI DASAR PERLEMBAGAAN, SEPERTI JOHOR PADA TAHUN 1895 DAN TRENGGANU PADA TAHUN 1911.
(iii)           MEMORANDUM PARTI PERIKATAN KEPADA LORD REID, PENGERUSI SURUHANJAYA DERAF PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (PERLEMBAGAAN MERDEKA 1957) MENCADANGKAN :”AGAMA ISLAM HENDAKLAH DIJADIKAN AGAMA NEGARA MALAYA, TETAPI PRINSIP INI TIDAK AKAN MENYENTUH HAK WARGANEGARA-WARGANEGARA YANG BUKAN ISLAM DALAM NEGARA INI UNTUK MENGANUT AGAMA MEREKA” CADANGAN INI TELAH DITERIMA SEPERTI YANG TERMAKTUB DALAM PERLEMBAGAAN PERKARA 3 (1).
(iv)           INSTITUSI RAJA MELAYU MERUPAKAN INSTITUSI YANG MEMPERTAHANKAN ISLAM DI SEMUA NEGERI DALAM MALAYSIA, KERANA RAJA-RAJA MERUPAKAN KETUA AGAMA ISLAM.
(v)             PROSES MENGKANUNKAN UNDANG-UNDANG ISLAM BERJALAN SEJAK SEBELUM MERDEKA, SEPERTI ENEKMEN HUKUM SYARAK NEGERI SELANGOR (1952), TRENGGANU (1955), PAHANG (1956), DAN LAIN-LAIN .
(vi)           YANG DIPERTUAN AGONG KETIKA MENGANGKAT SUMPAH JAWATAN BERIKRAR AKAN MEMPERTAHANKAN AGAMA ISLAM.
(vii)        USAHA MEMPERTINGKATKAN PANTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM DI MALAYSIA SEDANG BERJALAN SECARA BERTERUSAN, SEPERTI MENYERAGAMKAN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM, MENGELUARKAN PEGAWAI-PEGAWAI KEHAKIMAN ISLAM YANG BERKELAYAKAN, PENINGKATAN MAHKAMAH SYARIAH KE PERINGKAT MAHKAMAH PERSEKUTUAN DAN LAIN-LAIN
(viii)      YANG PALING PENTING DALAM HAL INI MALAYSIA MEMPUNYAI PERLEMBAGAAN YANG MENDAULATKAN ISLAM SEBAGAI AGAMA NEGARA, DAN DASAR SEKULARISME TIDAK PERNAH DICATATKAN DIMANA-MANA DOKUMEN SEBAGAI  DOKTRIN NEGARA.





Saturday, February 23, 2013

BISNIS AIR JAMPI?



2-PERLU AIR JAMPI, TAPI BUKAN UNTUK BERNIAGA BESAR!

Saya baik demam masa kecil itu adalah campuran air Tok Hasan, bomoh kampung saya 5 - 6 dekad yang lalu, mandi air perigi selepas kebah demam, dan turunkan suhu badan kerana lumur asam jawa. Ada air jampi Tok Hasan, ditambah dengan ikhtiar berubat secara undang-undang alam ciptaan Allah juga, sama seperti api yang membakar, itu adalah undang-undang alam ciptaan Allah, kalau tak elak dari api, kita boleh jadi terbakar, tetapi dengan kehendak Allah, api itu tidak boleh membakar seperti yang dikehendaki Allah ketika Nabi Ibrahim dicampakkan kaumnya ke dalam api.

Saya dapat air jampi itu dari Tok Hasan, bukan beli di pasar tanpa benar-benar mengetahui sumbernya, tanpa megetahui siapakah yang sebenarnya menjampi, malah mungkin hanya air sejuk biasa yang didakwa air jampi, dengan slogannya di jamin baik semua penyakit!

Itu bukan caranya. Saya pun pernah dapatkan air jampi, tetapi dapat secara peribadi dari orang yang saya kenali dengan amat rapat, saya secara peribadi menceritakan kepadanya untuk apa, malah untuk siapa kalau tidak untuk diri sendiri pun. Orang yang menjampi adalah khusus untuk orang yang memerlukannya, bukan pakai borong dan umum saja untuk semua orang. Dia yang menjampi itu tidak dipersoalkan tentang ilmu dan akhlaknya, dikenali dengan baik semuanya itu.

Maka di sinilah perkiraannya untuk kita membuat pertimbangan bilakah kita memerlukan air jampi, dan untuk apa serta dari siapa. Dan disinilah juga seringkali orang yang berubat secara Islam itu akan memberitahu kita apakah ikhtiar yang harus kita lakukan sebagai tambahan kepada ikhtiarnya sendiri berdoa kepada Allah SWT.

Saya bawakan cerita saya demam dan sembuh setelah Tok Hasan menurun dan menyembur air sireh pinang ialah untuk menceritakan pengalaman saya bahawa dalam proses mengubat dengan jampi dan doa, kita haruslah juga berikhtiar dengan kepandaian dan ilmu yang diberikan Allah untuk kita. Mak saya tidak belajar universiti, tetapi dia mempelajari cara menurunkan suhu badan yang panas dengan mandi sir sejuk dan lumur asam jawa, bukan dia hanya membiarkan saya terlantar begitu saja atau hanya mengharapkan air tok Hasan itu saja.
Allah berfirman "Berdoalah kepada Aku, nescaya akan Aku kabulkan bagi kamu" jadi berdoalah banyak-banyak kepada Allah, dan agama kita juga melalui ayat al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW mengajar kita bahawa berusaha dan berikhtiar itu adalah satu keperluan dalam hidup kita, kerana berdoa itu termasuklah berikhtiar dan bertawakkal, malah Rasulullah SAW ketika melakukan hijrah, telah juga berikhtiar menggunakan kebijaksanaan dan strateginya yang pintar untuk mengelak diri dari bahaya orang kafir dan meluluskan diri baginda dari dijejaki musuh yang hendak membunuhnya, setelah itu berserah dan bertawakkallah kepada Allah SWT.

Orang sekarang, bomoh atau tidak, profesional atau alim, sering terperangkap dalam perangkap kebendaan dan persaingan kehidupan moden ini, bukan seperti Tok Hasan yang berubat saya itu. Itu zaman dulu, zaman sekarang berbeza. Kerana wang banyak orang yang sanggup menggadaikan segala prinsip dan maruahnya, sanggup menipu dan berbohong, dan orang ramai pula sering tertipu iaitu apa bila disebut sahaja sesuatu yang berencahkan Islam, maka tanpa usul periksa lagi akan terpengaruh untuk membelinya. Al-Quran menyebut "Tanyalah orang-orang yang berilmu sekiranya kamu tidak mengetahui".

Saya amat positif dengan doa dan permintaan kepada Allah, tetapi saya amat bimbang dengan percambahan air dalam pasaran yang terbuka yang dikatakan air jampi itu. Dunia sekarang penuh tipu daya, malah ramai yang akan memperalatkan agama untuk kepentingan peribadi dan keuntungan duniawi.

Kalau sesiapa yang memerlukan air jampi, atau namakan saja air penawar, ayat ubat dan sebagainya, pergilah sendiri kepada orang yang dikenalinya, yang diketahuinya tentang peribadi dan ilmu hikmahnya, perangai dan sikapnya, jangan hanya pakai borong apa-apa saja yang didakwa orang di pasaran....

Air yang dibacakan ayat-ayat suci Al-Quran adalah ikhtiar para alim ulamak yang benar-benar alim dan mendalami rahsia kandungan Al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW, bukan sebarang orang boleh berubat dengan mendakwa sebagai pengamal perubatan Islam. Zaman dulu disebut sebagai air penawar untuk penyakit, iaitu berdoa kepada Allah SWT untuk menyembuhkan penyakit rohani dan jasmani yang dialami manusia yang sakit.

Oleh itu sebutan air jampi hendaklah digunakan istilah yang betul dan tepat, bukan bercampur aduk dengan pencemaran akidah dan khurafat yang bertentangan dengan ajaran agama. Radio, TV atau media yang turut mencari wang untuk mengiklankan segala macam air dan ubatan yang dikatakan berunsurkan Islam ini haruslah berhati-hati supaya tidak turut bersyubahat menjaja sesuatu yang boleh mengabui mata orang ramai dalam zaman kebangkitan Islam pada masa kini, ketika orang Islam sedang berusaha untuk kembali kepada agama dan menghayati segala ajarannya, termasuk dalam perubatan, kosmetik dan produk yang halal dan sihat (Halalan Tayyiban)

Itulah mesej saya,

APAKAH ERTINYA AIR JAMPI?



1-MACAM-MACAM AIR : TETAPI PERLUKAH AIR JAMPI?

Masa saya kecil-kecil puluhan tahun dulu, kalau saya demam, badan panas, tak larat bergerak,  arwah bapa atau mak saya akan panggil bomoh kampung untuk berubat. Ada seorang bomoh bernama Tok Hasan yang seingat saya merupakan satu-satunya bomoh kampung kami yang terkenal. Dia lah yang selalu berubat orang kampung.

Ketika saya atau adik beradik saya demam, panas badan, dia akan dipanggil datang. Biasanya dia datang lepas isyak, ketika suasana malam amat sunyi, keadaan di dalam rumah pun samar-samar, kegelapan saja, kerana cahaya yang ada hanyalah dari pelita minyak dua tiga yang di pasang di beberapa penjuru ruang rumah.

Dia datang berkupiah puteh. Duduk sembang-sembang sekejap. Lepas itu dia mulai berubat. Ketika semua orang senyap sunyi, dia mulai istiadat dengan membaca sesuatu, mulutnya  terkumat kamit, terus membaca jampi dengan suara yang tidak jelas kedengaran, kemudian dia bertempik "piau-piau" mengejutkan semua orang, sambil membuka kupiah putehnya dan meletakkannya di atas lantai, dan dalam masa yang sama dia mengeluarkan bermacam-macam suara, yang bunyinya amat menggerunkan, kerana terdengar juga suara harimau mengaum, dan diselangi dengan percakapan dalam bahasa Siam! 

Masa ini dia sebenarnya telah "lupa",istilah bomoh dan dukun bagi orang turun nenek moyang untuk mengubat orang sakit, sebab yang menjelma itu adalah ruh datuk neneknya, dan ruh inilah yang akan membuat ubat, bukan Tok Hasan secara peribadinya. Mak saya dah siapkan sirih pinang, kerana sireh pinang itulah satu-satunya ramuan untuk digunakan sebagai ubat, dan tok bomoh akan memakan dan mengunyah sireh pinang itu, kemudian berdentum bunyi lantai papan rumah kami yang di hentaknya amat kuat dengan kakinya, sekali lagi semua orang terkejut hilang semangat, serentak dengan itu dia bangun menuju ke arah saya yang sedang berselimut kesejukan, lalu dia membuka kain selimut saya, dan menyemburnya dengan air sireh pinang dari mulutnya, basah kemerah-merahan badan saya dari kaki ke kepala, kemudian dia akan meneruskan semburan hingga ke pintu dapur, turun tangga hingga  ke bawah, menghabiskan semburannya sambil bertempik lagi dengan sekuat-kuat hatinya, lepas itu baru dia  naik semula ke dalam rumah..duduk kembali di atas lantai,,tunduk kepalanya....dan beberapa minit kemudian dia pun "sedar" kembali...dan mengambil kupiah putehnya, memakainya semula, tanda selesailah upaca "menurun" itu.

Malam itu lebih kurang pukul sembilan lebeh, saya digerakkan Mak saya suruh bangun nak mandi . Mandi dengan air jampi Tok Hasan juga. Saya gagahi bangun, turun ke pelantar rumah, dan duduk atas bangku yang selalu mak saya gunakan untuk potong sayur dan siang ikan. dengan membaca bismillah mak saya mulakan mandi, mula-mula dengan jurusan pertama air perigi yang telah dicampur air jampi tadi, mulai dari hujung kaki, kemudian ke lutut, pinggang dan beransur-ansur naik ke atas, akhirnya barulah jurus kepala, Aduh alangkah sejuknya air yang amat dingin meresap masuk hingga ke tulang sum-sum rasanya.

 Setelah beberapa kali jurus, dilumur pula badan saya dengan asam jawa, makin sejuk menggigil, dan dibiarkan sekejap saya dalam kesejukan itu, namun Mak saya memberitahu bahawa saya akan baik demam segera, kerana pada masa itu kelihatan asap berkelun-kelun keluar dari kepala saya, dan bila saya menghembuskan mulut saya, asap turut keluar juga, tandanya badan saya tidak akan panas lagi, kerana panas dalaman itu akan keluar semuanya, dan saya akan kebah demam.

Memang betul, selepas mandi, dan setelah badan saya dikeringkan dengan kain pelikat, saya mulai merasa segar, malah mulai merasa berselera nak makan nasi pula, dan mak saya dah tahu, kerana sebelum ini dia pun dah siapkan nasi dan lauk ikan goreng untuk saya, apa lagi saya pun makanlah dengan gelojoh sekali, habis satu pinggan, dan tambah satu pinggan lagi.

Itulah nampanknya mustajab ubat Tok Hasan tadi.........mustajab air sireh pinang, dan air itulah yang kami percaya yang telah menghalau segala makhluk halus yang membawa demam dan panas badan saya tadi, sekarang makhluk halus itu telah dihalau jauh  melalui pintu dapur yang dihambat oleh Tok Hasan hingga ke tanah, menempiknya suruh pergi.....Agaknya lari lintang pukanglah makhluk halus itu meninggalkan rumah kami dek herdikan tok bomoh itu...

Saya dan semua orang kampung percayakan perkara ini, kerana pada waktu itu Tok Hasan selalu juga menyebut semasa dia "lupa" bahawa siapa-siapa yang sakit demam dan sebagainya, tentulah telah "terkena" sampuk hantu jin dalam hutan, terutamanya  bagi orang kampung yang tidak punya jamban dan tandas, lalu masuk ke dalam hutan untuk menunaikan hajatnya, buang air kecil atau air besar, masa itulah makhluk halus itu akan menyampuknya, dan untuk mengelakkan dari sampukan ini, siapa-siapa yang hendak masuk hutan untuk qada' hajat dan sebagainya hendaklah terlebih dahulu mengucapkan kata-kata "Minta ampun, minta maaf datuk nenek, anak cucu nak tumpang lalu ..." supaya dia tidak di sampok dan akan demam seperti ysng saya alami itu !

Tetapi cerita itu lama dulu, ketika zaman nenek moyang yang terlalu banyak mempercayai segala khurafat dan kepercayaan karut marut jahiliyyah...Namun sekarang sungguh pun perkara itu masih wujud, tetapi pada zaman perlumbaan perniagaan dan pengaruh materislistik yang amat hebat, apakah segala produk jampi dan doa itu hendak diperdagangkan  dalam pasaran terbuka seperti yang dibangkitkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan baru-baru ini....?

(Akan di sambung Bahagian Kedua cerita ini...terutamanya untuk menjawab persoalan yang saya kemukakan di atas..)


Wednesday, February 20, 2013

WAJAH-WAJAH "PARA ULAMAK"?



2-MANY FACES OF ULAMAKS AND USTAZS...


Ungkapan ini bukan saya yang kata, tetapi inilah satu dua komen balas yang saya terima hasil dari entri saya tentang Ulamak dan Pru-13. Saya tidak setuju dengan pandangan yang mengatakan bahawa banyak ulamak dan ustaz yang hendak masuk PRU ini hanya untuk mencari glamor dan berharap akan mendapat jawatan dalam Kerajaan, sama ada menjadi pembangkang atau pemerintah. Tetapi itulah yang dikatakan oleh sebahagian kecil orang yang memberi komen itu.

Bagi saya ulamak atau ustaz, teknokrat atau profesional, dan yang lain-lain juga, sememangnya bebas untuk memasuki politik, tetapi mereka itu hendaklah benar-benar asli dan "ori" bukan orang celupan atau saduran saja, kerana dalam zaman yang terlalu banyak persaingan dan perlumbaan mencari "branding" ini, maka banyaklah pula yang akan lahir sebagai ulamak, atau profesional, malah ada yang menjadi selebereti pun nak masuk politik kepartian sedangkan politik itu adalah merupakan satu perkara yang serius dan kredibel, bukan main-main atau kerana publisiti sahaja.

Masalah di negara kita ini, politik menjadi medan pertarungan, pertelegahan dan permusuhan, Masuk parti maknanya masuk ideologi yang tidak akan berkompromi dengan ideologi politik musuh. Parti-parti merupakan beberapa pasukan tentera yang berhadapan sesama sendiri, dengan senjata yang siap terhunus dan senapang yang telah berissi peluru, menunggu masa sahaja untuk bertempur.

Isu agama pula memainkan peranan yang amat besar dalam peperangan ini di dalam masyrakat Islam, dan tentulah melibatkan masyarakat Melayu di negara kita ini. Ustaz celup atasu ulamak "branding" ini tentulah akan membuka langkah dengan silat gayung dan cekaknya yang menggegarkan dunia dengan sepak terajang, perang mulutnya yang hebat, orang itu tidak Islamik, sekular, tidak ikhlas, tidak faham Islam dan sebagainya.

Memerintah dan memagang kuasa politik tidak semestinya khusus untuk sesiapa saja, ulamak, ustaz, profesional, teknokrat dan sebagainya. Semuanya harus diberi peluang untuk berkongsi kuasa politik, kerana satu dasar pemerintahan yang disebut oleh agama kita ialah prinsip musyawarah, syura dan berbincang serta berdialog sesama sendiri untuk menyusun agenda pergerakan bersama. 

Ulamak atau profesional tidak seharusnya membolot perjuangan politik, kepimpinan hanyalah pangkat yang diberikan dalam pemerintahan, tidak semestinya pimpinan harus mengamalkan kuasa sendiri, malah pemimpin haruslah bermesyuarat dengan jentera pemerintahannya, tidak ada kuasa yang dinamakan kuasa ulamak atau profesional, kepimpinan ulamak atau tidak ulamak, kerana sebagai pemimpin maka dia tidak semestinya dapat menguasai semua ilmu dan bidang kepimpinan, malah yang diperlukan ialah pemimpin yang bijaksana dan tahu berfikir dengan baik, tetapi dalam menjalankan pemerintahan dia seharusnya tidak merupakan diktator, mengamalkan politik "dinasti" dan sebagainya.

Oleh itu ulamak atau bukan ulamak, bukanlah menjadi syarat untuk menentukan sama ada dia sahaja yang seharusnya memimpin, sama juga seperti suatu ketika dulu, pakar undang-undang saja yang seharusnya memimpin, tetapi sekarang ini, kalau orang itu layak menjadi pemimpin yang berkualiti dan mempunyai ketajaman pemikiran, tidak kiralah sama ada dari kampung atau bandar, dialah yang seharusnya memimpin, dan dalam proses memimpin itu dia tidaklah pula menjadi seperti Nabi yang maksum.

Isunya sekarang bukanlah isu mengungkap persepsi siapa yang mahu Islam dan siapa yang tidak mahu Islam. Orang Melayu sejak lama dalam budaya beragamanya mengambil berat tentang ajaran agama dan berkekalan hingga sekarang, semuanya mahukan Islam berdaulat dan berkuasa. Isunya ialah agenda Islam dan perlaksanaan Islam itu yang seharusnya dikaji dan dihalusi. Bangsa kita Melayu dan beragama Islam yang agak jelas dan terang, tetap memperjuangkan Islam sehingga Islam merupakan wadah pemerintahan dalam semua pembangunan negara kita. Oleh itu ulamak atau ustaz yang tulin dan ikhlas seharusnya ketika berada di dalam parti politik mana sekali pun haruslah bertindak untuk lengkap melengkapi, nasihat menasihati dengan hikmah dan berilmu, tegur menegur dengan adab dan etika, mendengar dan mengeluarkan pandangan, malah bersedia mendengar pandangan orang lain, bukan selalunya bertindak menjadi hakim dan qadi yang hanya pandai menghukum dan mempersalahkan orang lain. Imam Al-Ghazali menyuruh kita melihat ke dalam diri kita untuk dibetulkan sebelum menyalahkan orang lain. Mazhab Shafie banyak mengambil jalan tengah dan tidak melampaui. Inilah the true faces of Ulamak dan Ustaz, profesional dan cendekiawan...

Demikianlah kesimpulan yang telah saya dapat dari komen dan maklum balas dari para pemimpin kecil kampung dan bandar, lulusan universiti atau sekolah atap, yang diberikan kepada saya, kerana mereka tak mampu mengemukakan idea ini kepada media perdana, iaitu sama ada akan dikecam atau tidak di layan sama sekali.   

Inilah faces atau wajah-wajah orang yang dikatakan itu dan ini, si anu dan siapa-siapa saja, dan saya mahu menambah bahawa inilah juga faces atau wajah-wajah orang-orang yang merasakan diri mereka saja yang boleh memerintah, dan orang lain tidak boleh...mereka saja yang benar, orang lain semuanya salah, sedangkan mereka semua adalah manusia yang punya kelemahan dan kekurangan......

Saturday, February 16, 2013

ULAMAK DAN PRU



1-ULAMAK DAN PRU-13: APAKAH YANG DIHARAPKAN?

Orang yang disebut "ulamak" boleh masuk ke dalam sebarang medan dan bidang kerjaya. Ulamak sekarang telah masuk ke dalam dunia perniagaan, pendidikan, motivasi, media, hiburan dan dunia selebereti, imam muda, ustazah pilihan, jurujual dan pemasaran makanan tambahan dan ubat-ubatan "Islam" serta lain-lain lagi.

Oleh itu pengumuman bahawa ulamak akan memasuki Pilihan Raya Umum yang akan diadakan tidak lama lagi di negara kita ini pun telah dihebuh-hebuhkan secara besar-besaran. Berita ini menjadi berita besar, seolah-olah sebelum ini tidak ada ulamak yang pernah menceburkan diri di dalam dunia politik, atau menjadi wakil rakyat, menteri dan sebagainya.

Sebenarnya tidak menjadi masalah di dalam negara kita, sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen ini , untuk sesiapa saja menyertai politik, malah selama ini banyak sekali orang-orang yang dulunya terkenal sebagai ustaz, ustazah, guru agama, alim ulamak atau imam yang terkenal dan tesohor , terutamanya apa bila ditonjolkan di dalam kaca TV sebagai penal forum dan penceramah agama yang amat petah dan pandai berbicara, maka kerana kemasyhuran itu, akhirnya mereka  telah melangkah masuk ke dalam dunia politik, menjadi ahli politik yang aktif dan ternama, meneruskan karier mereka dalam bidang politik, bukan hanya selebereti tv.

Persoalannya apakah dengan kemasukan para ulamak ke dalam arena politik secara aktif akan menambah nilai dan mutu berpolitik di dalam masyarakat Muslim dan masyarakat Melayu di negara kita ini? Apakah dunia politik Malaysia akan menjadi bertambah matang dan aman dengan penyertaan orang-orang agama, yang terkenal sebagai ulamak itu?

Secara sepintas lalu kita melihat bahawa isu perbalahan dan perpecahan yang banyak berlaku di dalam masyarakat umat Islam di negara kita ini adalah berpunca dari isu agama, atau isu pentafsiran dan pandangan sarwa jagat atau world-view (tasawwur) Islam itu sendiri, yang kelihatannya amat banyak menimbulkan perselisihan dan pertikaian di antara para ulamak sendiri, yang kemudiannya mempengaruhi pandangan umum masyarakat Islam, atau mengakibatkan timbulnya persepsi yang salah tentang isu agama di kalangan para pengikut parti politik. 

Slogan-slogan yang ditimbulkan oleh ahli politik Islam tentang gejala "taghut" "takfir" "jihad" termasuk istilah-istilah yang di salah ertikan seperti "sekularisme" "nasionalisme" dan sebagainya adalah merupakan beberapa  isu agama yang ditimbulkan oleh ulamak politik yang kemudiannya menjalar menjadi duri dalam daging yang menyebabkan pergolakan dan menimbulkan  kerisis pemikiran yang serius di dalam masyarakat umat Islam negara kita dan membawa kepada perpecahan umat yang amat ketara.

Jadi apakah dengan kemasukan ulamak yang lebih banyak di dalam arena politik negara kita ini maka segala kerisis politik dan pemikiran umat kita itu akan berkurangan dengan kebijaksanaan para ulamak politik untuk menyelesaikan isu-isu agama dan pemikiran politik agama di dalam masyarakat kita? 

Atau dengan kemasukan lebih ramai lagi orang-orang yang dikenali sebagai ulamak ke dalam politik gelombang baru kita menjelang PRU ke-13 nanti, umat Islam akan bertambah keliru dan berkerisis kerana besar kemungkinan bahawa segala perselisihan pandangan dan pertikaian di antara para ulamak, terutamanya ketika mereka berada di pihak-pihak yang bertentangan, akan menjadi semakin parah lagi?

Dunia antarabangsa sering membicarakan tentang agama dan para pengikutnya dalam dunia moden pada hari ini dari beberapa perspektif yang berbeza-beza. Kajian mereka tidak semestinmya betul, tetapi kesimpulannya menegaskan bahawa para pengikut dan para pemimpin agama dunia yang diberikan amanah untuk menguruskan agama masing-masiong nampaknya telah banyak melakukan penyelewangan yang menyebabkan bertambah tebal dan kukuhnya anutan golongan "atheist" iaitu golongan yang tidak percayakan Tuhan kepada ideologi "atheism" mereka.

Mereka menaganggap bahawa para pimpinan Islam yang telah menyelewengkan pemikiran penganut Islam,  (mengikut persepsi mereka), sehingga penganut Islam sanggup melakukan keganasan melalui tindakan  meruntuhkan menara kembar New York dalam peristiwa 16 September, juga pengeboman di London dalam tahun 2005 serta perbuatan ganas lain yang membunuh manusia tanpa sebab.

Golongan yang tidak percayakan Tuhan ini juga melihat para Padri Katholik pula yang telah bertindak mencabul kehormatan dan melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak di dalam gereja mereka, iaitu satu tindakan dan kelakuan yang amat mencemarkan agama para pendeta agama itu.

Disamping itu, konflik berdarah yang telah lama berlaku di Ireland Utara di antara  Irish Republican Army (IRA) dan Kerajaan British atas nama agama Kristian mazhab Katholik juga  telah menjejaskan agama dan para penganutnya, kerana kerisis dan konflik ini telah berlarutan puluhan tahun dan memakan korban ribuan nyawa.

Maka dengan itu golongan yang tidak percayakan agama dan Tuhan mulai merasakan bahawa golongan mereka adalah berada di pihak yang benar kerana agama yang dikatakan sebagai panduan untuk umat manusia menciptakan kesejahteraan dan tamadun, nampaknya semakin hari semakin berkembang menjadi pendorong kepada kehancuran dan kejatuhan peradaban  manusia sendiri !! Mereka mendapat gambaran bahawa segala penyelewengan yang dilakukan oleh pihak pemimpin agama dan otoritinya sendiri, tidak lagi komited kepada ajaran agama mereka. Oleh itu golongan atheis ini, yang telah sedia tidak mempercayai agama,  menjadi semakin kuat pegangan dan prinsip kekufurannya, sehingga menjadi manusia yang terlalu individulistik, tidak perlu lagi bergantung kepada pihak berkuasa atau otoriti untuk membuat sebarang keputusan, terutamanya yang sering dirujukkan kepada agama.

Sungguh pun keadaan masyarakat Islam di negara kita ini tidak mengalami kerisis pemikiran yang begitu serius dan keritikal seperti yang berlaku di Barat, malahan keimanan dan komitmen kita kepada agama masih tebal dan kukuh, namun mungkin secara tidak kita sedari, pemikiran untuk tidak bergantung kepada otoriti agama dan para ulamaknya telah mulai meresap ke dalam sanubari dan pemikiran beberapa golongan anak-anak muda kita sendiri akibat dari pergisiran dan konflik yang berlaku dalam masyarakat kita ekoran dari isu-isu agama yang tidak pernah mendapat penyelesaian secara majmuk dari ahli agama sendiri.

Ulamak-ulamak yang bercakaran mungkin lebih banyak muncul dari kalangan ulamak yang berpihak, sama ada yang  berpolitik secara aktif, yang menjadi pengikut atau pemimpin parti politik, termasuk ulamak yang tidak memakai lambang politik dari kalangan lain yang banyak bertaburan di dalam masyarakat. Malah ulamak yang sepatutnya menjaga akhlak dan emosi mereka nampaknya sering juga muncul sebagai manusia yang kurang nilai-nilai peradabannya.

Shaikh Mustafa Luthfi Al-Manfaluthi, seorang pujangga dan pemikir Mesir yang ulung, telah menulis tentang  persoalan : Mengapa Ulamak Besar Tidak Mahu Menyertai Politik, dan telah menjelaskan permainan kotor politik, terutamanya di dalam dunia Islam, yang menyebabkan para ulamak besar menjauhkan diri dari dunia politik (Entri saya dalam Blog ini pada 28 Februari 2011, telah menyiarkan pandangan beliau hasil terjemahan Datuk Abd. Manaf Hj. Ahmad).

Oleh itu, saya beranggapan bahawa berita penyertaan ulamak dalam PRU nanti menjadi besar ialah kerana mungkin umat Islam di Malaysia amat mengharapkan bahawa para ulamak politik yang semakin ramai dan berimbang  mengambil bahagian dalam politik negara, adalah diharapkan penyertaan mereka ini akan dapat meredakan sedikit kerisis dan konflik umat Islam dalam isu-isu agama akibat dari kerisis politik kepartian yang berlaku sekarang ini..

Namun mungkin ramai juga orang yang akan berfikir sebaliknya, bahawa semakin ramai para ulamak kita melibatkan dirinya dalam politik kepartian, maka semakin kacau bilau keadaan umat Islam di negara kita dan semakin rumit lagi kerisis pemikiran dan pentadbiran agama negara dari keadaan yang sedia ada pada hari ini. Hal ini mungkin berlaku kerana pada umumnya para aktivis dan pemimpin politik sering menciptakan teori dan perlaksanaan sesuatu agenda, termasuk agenda agama dan pengajarannya, berdasarkan anutan  dan ideologi parti politik mereka sendiri.

Di sinilah timbulnya fikiran golongan umat Islam lain yang beranggapan bahawa dalam keadaan sekarang ini, masyarakat  sebenarnya amat memerlukan jalur pertengahan dari kalangan ulamak kita supaya aktif bergiat dalam masyarakat di luar kotak politik kepartian bagi membetulkan pemikiran dan pengurusan sistem negara dalam semua aspek pembangunannya, terutamanya dalam bidang agama, dengan penuh berilmu dan berhikmah, bukan dengan sentimen, taksub dan emosi....

Alternatifnya mungkin, bolehlah para ulamak secara beramai-ramai menyertai politik dalam kepelbagaian parti, tetapi apa bila tercetusnya isu agama yang serius, yang menyentuh akidah dan kesejahteraan ummah, maka mereka hendaklah mengambil jalan politik yang matang dan bertamadun, berdialog dengan penuh hikmah, untuk mencapai kata sepakat dalam isu-isu yang boleh memecah belahkan ummah sendiri, iaitu dengan merujuk kepada ajaran Islam yang hakiki dan sejati dengan penuh jujur dan ikhlas....bukan dengan wahyu politik partisan yang melampau...Tetapi apakah hal ini yang kita harapkan akan berlaku??





Monday, February 11, 2013

PUISI NABI ISA DAN MUKJIZATNYA





'ISA DAN MUKJIZATNYA


ALLAH MAHA AGONG BERFIRMAN :
“WAHAI ‘ISA ANAK MARYAM
KENANGKANLAH NIKMATKU KEPADA MU DAN IBUMU
KETIKA AKU MENGUATKAN KAMU
DENGAN RUHUL-QUDUS

NABI ‘ISA MENDAPAT KEKUATAN DARI ALLAH:
DAPAT BERKATA-KATA KETIKA MASIH BAYI DALAM BUAIAN
SAMA SEPERTI BERBICARA KETIKA DEWASA,
ALLAH MENGAJARNYA MEMBACA, MENULIS,
DAN MENGAJAR HIKMAT PENGETAHUAN,
MENGAJAR KITAB TAURAT DAN INJIL.

ALLAH MENGINGATKAN NABI ‘ISA 
SUPAYA MENGENANGKAN KEBESARAN-NYA
KETIKA NABI ‘ISA DAPAT MEMBENTUK LEMBAGA
YANG MENYERUPAI BURUNG
DARI TANAH
LALU MENJELMA SEEKOR BURUNG BERTERBANGAN
SEMUANYA DENGAN IZIN ALLAH.

ALLAH MENGINGATKAN NABI ‘ISA LAGI, BAHAWA
DENGAN IZIN-NYA JUGA
“WAHAI ‘ISA, ENGKAU DAPAT MENYEMBUHKAN ORANG BUTA,
ORANG SOPAK,
ENGKAU MENGHIDUPKAN ORANG YANG TELAH MATI,
SEMUANYA DENGAN IZINKU”

PERINGATAN ALLAH KEPADA NABI ‘ISA DITERUSKAN:
BAHAWA  “AKU MENGHALANG BANI ISRAEL
KETIKA MEREKA AKAN MEMBUNUHMU
KETIKA ENGKAU DATANG KEPADA MEREKA DENGAN SEGALA MUKJIZATMU,
MALAH, MEREKA BERKATA : INI HANYALAH SEJENIS SIHIR
YANG TERANG DAN NYATA”

ALLAH MELEMBUTKAN HATI NABI ‘ISA:
“KETIKA AKU MENGILHAMKAN KEPADA SAHABAT KARIBMU
AL-HAWARIYYUN
AGAR MEREKA BERIMAN KEPADAKU DAN KEPADAMU
LALU MEREKA BERKATA:
SESUNGGUHNYA KAMI MENYERAH DIRI KEPADA MU
KAMI BERSAKSI:
SESUNGGUHNYA KAMI ADALAH ORANG ISLAM”

DEMIKIAN ITULAH MUKJIZAT ALLAH
LIMPAH KURNIAN ALLAH KEPADA RASUL-NYA NABI ‘ISA,
ALAIHIS-SALAM
NABI KELAHIRAN TANPA BAPA
YANG DIPERKASAKAN DENGAN MALAIKAT JIBRIL
RUHUL-QUDUS,
TANDA KEBESARAN ALLAH YANG MAHA BERKUASA
MENGATASI KUASA SEKELIAN MAKHLUK-NYA.

ALLAH ADALAH TUHAN UMAT TAUHID
UMAT ISLAM
TIDAK DUA. TIDAK TIGA
TIDAK SEKUTU
ITULAH ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA
TUHAN YANG MAHA ESA
BERANI MENCBAR-NYA?


(Inspirasidari Al-Quran : Surah Al-Maidah (5)  ayat 110 dan 111)


Pageviews last month