Monday, October 29, 2012

ISLAM MEMUSUHI KEGANASAN: BAGAIMANAKAH SIKAP ORANG MUSLIM?




MUSLIM DI MALAYSIA TIDAK MERESTUI KEGANASAN

Saya percaya berita yang disebarkan media tentang penahanan dua orang rakyat Malaysia di Lebonan yang disyaki terlibat dengan keganasan pada minggu yang lalu bukanlah kerana rakyat Malaysia, terutamanya rakyat Muslim, merestui keganasan atau menyokong perbuatan ganas yang dihubungkan dengan gerakan Al-Qaeda yang dilibatkan dengan rakyat kita itu.

Sekiranya betul mereka terlibat dengan kumpulan pengganas yang di hubungkan dengan gerakan radikal Muslim itu, maka saya percaya bahawa mereka adalah merupakan dua orang anak muda kita yang terlibat dan terpengaruh dengan gerakan ini dari luar negara, lalu mereka pun melakukan gerakan yang sama seperti yang sering kita dengar dan saksikan di luar negara terutamanya di negara Islam yang tertentu.

Kewajipan kita sekarang ialah mencari jalan melalui pendidikan, pemupukan nilai, memahami ajaran agama yang sebenarnya dan beberapa agenda pendidikan lain agar tunas dan bibit keganasan yang disebarkan kepada anak2 muda kita itu tidak terus menerus berlaku, sehingga akhirnya menjadi satu wabak yang amat sukar di tentang lagi, iaitu ibarat api, semasa kecil bolehlah di kawal, tetapi apabila besar maka kita tidak akan terlawan lagi, langsung akan membinasakan kita semua.

Melalui pendidikan formal dan tidak formal di sekolah, kolej dan universiti, di surau, masjid dan ceramah serta seminar dan forum, media cetak dan letronik, agenda kefahaman Islam itu sendiri sebagai agama yang aman damai, dinamik dan merupakan sistem hidup menyeluruh yang mencipta kebahagian untuk semua, haruslah dipertingkatkan secara drastik, iaitu melalui kurikulum, latihan guru, buku teks dan sebagainya, juga melalui para pendakwah, imam, ustaz ustazah, penceramah bebas, pemimpin masyarakat dan belia, pertubuhan bukan kerajaan dan lain2 lagi, yang keseluruhannya haruslah memahami dan menghayati ajaran Islam yang sebenarnya yang kita warisi dari Rasulullah SAW, ayat2 al-Quran, dan segala pengucapan dan tindakan baginda Rasulullah sendiri.

Mungkin pada masa kini, sungguh pun pengajaran Islam yang diajar secara rasmi dan tidak rasmi di negara kita, tentunya terdapat beberapa kelemahan dan kepincangan dalam usaha mendidik anak2 kita menjadi umat yang bertamadun dan berperadaban, bagaimana pun  pendidikan Islam kita pada umumnya mengikut pandangan saya tidaklah diselewengkan sebegitu rupa sehingga  menjadi medan latihan kepada anak2 muda kita supaya melakukan keganasan dan tindakan yang tidak bertamadun dalam menghayati dan mendaulatkan ajaran agama kita. Anak2 muda kita masih dapat memahami dan menghayati falsafah agama kita sebagai agama perdamaian, bertamadun dan cintakan persaudaraan di antara umat serta penganut agama lain. Hal ini yang telah berjaya kita lakukan, sehingga negara kita ini membangun dengan baik dalam menghayati ajaran agama Islam yang sebenarnya.

Namun kita mungkin tidak mengetahui apakah hakikat ajaran Islam yang mungkin disebarkan di pusat2 pendidikan Islam rakyat di negara2 lain, atau apakah corak asuhan minda dan sikap yang dilakukan oleh segelintir pendakwah dan guru2 agama di dalam sistem pengajaran agama persendirian, yang mungkin juga mempunyai perkhemahan untuk memberikan orientasi ajaran agama yang radikal, atau melatih sikap dan minda para pelajarnya untuk menjadi "pejuang agama" dan melancarkan konsep "jihad" yang telah diselewengkan ke arah keganasan dan bersikap konfrantasi terhadap golongan yang mereka namakan "musuh Islam" dan sebagainya, terutamanya dalam mencontohi gerakan radikal yang terdiri dari anggota2 Islam sendiri, yang kebetulan amat digembar gemburkan oleh pihak Amerika Syarikat dan Barat sebagai gerakan Islam "Islamist" dan sebagainya.

Oleh itu di samping mempertingkatkan kaedah pengajaran dan pendidikan agama yang lebeh baik lagi di negara kita, maka orientasi latihan guru, penyusunan buku teks yang lebeh menekankan kepada isu2 dan perubahan baru dalam masyarakat dunia pada hari ini, juga pendedahan guru2 agama yang lebih profesional dan berhikmah,  haruslah dilakukan dengan sebaik2nya.

Pemahaman terhadap misi Islam sebagai agama sejagat dan murni haruslah ditekankan, konsep perdamaian dan silatur-rahim dengan umat bukan Islam, kaedah berdakwah dan sebagainya haruslah di pertingkatkan di kalangan para pelajar, guru, pemimpin institusi agama dan masyarakat, termasuk mendapatkan rastu dari institusi Raja sebagai pelindung agama dan adat istiadat Melayu di negara kita ini.

World view yang sebenarnya tentang konsep "jihad" "syahid" "matlamat dan cara" perjuangan menegakkan Islam, atau siapakah "musuh Islam" yang sebenarnya haruslah benar2 difahami, supaya istilah2 ini tidak sehingga menjustifikasikan "pengebom berani mati" "berperang mengangkat senjata" untuk melawan 'musuh2 Islam", dan sebagainya yang dapat disaksikan di dalam dunia Islam pada hari ini, termasuk tindakan ganas dalam menyelesaikan konflik dan persengketaan di antara umat Islam sesama sendiri.

Mungkin satu penyelidikan dan kajian yang terkini seharusnya dilakukan oleh Kerajaan kita terhadap kemungkinan anak2 muda kita terdedah kepada elemen2 yang tidak sihat dalam pendidikan, atau "pusat pengajian agama" di luar negara pada masa kini. Malah langkah segera ini haruslah dilakukan serta merta supaya sedikit sebanyak kita dapat memantau para pelajar kita yang menerima pendidikan agama di luar negara, atau pada akhirnya mungkin kita tidak seharusnya lagi menghantar para pelajar kita ke sana dengan rasmi, atas urusan pembiayaan kita.

Hal ini perlulah kita sedari, kerana dalam usaha yang mungkin dilakukan dalam gerakan melumpuhkan pembangunan Islam di negara kita ini secara matang dan bertamaddun, usaha2 luar akan bergerak ke arah itu, termasuk para arkitek asing dan musuh kita sendiri yang akan mengaturkannya secara amat halus, tanpa kita sedari, untuk menjadikan agenda peningkatan  Islam di negara kita ini dilakukan secara ganas dan tidak bertamadun, tidak berperi kemanusiaan dan sebagainya, seperti yang berlaku di daerah lain dalam dunia Islam yang amat berkecamuk sekarang ini... .

Saturday, October 27, 2012

IBADAT KORBAN: APAKAH MAKNANYA?


PENGAJARAN KORBAN DI NEGARA KITA

Saya tidak bercadang untuk menghuraikan hikmah atau pengajaran dari ibadah korban, kerana hal ini telah banyak sekali dijelaskan dengan panjang lebar pada sepanjang masa, terutamanya dalam bulan dan hari menyambut hari raya korban ini.

Cuma akan  saya perturunkan di sini beberapa pengamatan saya, yang mungkin remeh temeh pada pandangan umum, tetapi hendak saya kemukakan juga, iaitu tentang dua perkara yang saya alami ketika menyertai kaum muslimin muslimat dalam ibadat sembahyang raya haji dan penyembelihan binatang korban.

Saya menunaikan sembahyang raya korban di Putrajaya. Imam yang mengimamkan sembahyang amat baik, bacaan sedap, tajwidnya baik. Tetapi mungkin juga beliau tidak sedar bahawa apabila dia tampil untuk mengimamkan sembahyang maka dia amat cepat mengangkat takbiratulihram, ketika makmum yang begitu besar jumlahnya belum pun sempat memebetulkan barisan, memenuhkan saf di hadapan dan memulakan sembahyang, beliau telah pun bertakbir beberapa kali, malah telah pun memulakan bacaan surah Al-Fatehah, ketika makmum masih lagi menyusun barisan sembahyang.

 Akibatnya barisan berlubang2, kosong sana sini, tidak penuh saf, dan makmum nampaknya agak tergesa2 dalam usahanya mengikut imam.

Habis satu perkara.


Perkara kedua, petang itu saya ke Kelantan, beraya korban di rumah keluarga sana. Pada hari raya kedua, Sabtu, saya berada di rumah keluarga yang membuat korban, membawa beberapa ekor lembu dan disembelih di pekarangan rumahnya.

Saya dapat tahu, (maaf kalau saya dapat meklumat salah) bahawa lembu yang disembelih itu datangnya dari negara jiran, Thailand, dan ada yang datangnya dari Kemboja atau Burma.

Segera saya terfikir, bahawa dalam menunaikan ibadat korban ini pun kita masih menjadi pengguna, menggunakan produk dan hasil dari luar negara. Kita menjadi pengguna bukan hanya untuk produk teknologi, telefon bimbit, komputer dan sebagainya dari Samsung, Yamaha, Sony dan produk Eropah atau Amerika ,  atau mendapatkan kereta yang lebih glamor dari Proton dari  Eropah dan Jepun atau Korea, tetapi untuk mendapatkan lembu bagi ibadat korban ini pun kita harus mengimpotnya dari negara lain.

Saya terfikir juga kenapakah hal ini tidak menjadi agenda nasional yang dibisingkan seperti kita berteriak dan berbincang panjang tentang hal2 lain yang menyentuh rakyat kita seperti penggunaan kamera jalan raya Aes, kerja Suruhan Jaya Pilihan Raya, Suruhan Jaya Pencegah Rasuah, Hudud, "Janji di tepati" dan sebagainya sehingga riuh rendah akhbar dan media serta pentas2 syarahan, malah mimbar masjid juga, seolah2 dunia ini sudah hampir kiamat?

Agak bengung kan?

Namun apa pun yang berlaku, selamat hari raya korban, salam 'Aidiladha kepada semua kaum muslimin dan muslimat di negara kita.

Sunday, October 21, 2012

PENGAJARAN CERAMAH ZAKIR NAIK

IKTIBAR DARI CERAMAH DR ZAKIR NAIK

Saya percaya ramai orang Malaysia, Islam dan bukan Islam, yang telah berpeluang mengikuti ceramah yang berkualiti dan banyak membuka minda dari intelek Muslim India, Zakir Naik, dalam kunjungannya ke negara kita baru2 ini.

Satu perkara yang menarik perhatian saya secara khususnya ialah tentang kenyataannya bahawa ketika beliau berceramah di mana2 saja tempatnya, dia selalu menegaskan bahawa sekiranya kita mahu mengetahui dan memahami agama Islam dengan segala sistem dan pengajaranya, maka kaji dan fahamilah kitab suci Al-Quran. Halusi dan hayati segala pengajarannya, barulah kita dapat memahami Islam itu sebenarnya, bukan dengan hanya melihat dan memerhatikan masyarakat orang Islam dengan segala perbicaraan, perilaku, dan tindakannya, kerana orang Islam akan memperagakan berbagai2 perhiasan dan kelakuan, termasuk yang buruk, salah pengertian, tidak bermoral dan segala unsur negatif  lain yang bukannya dari ajaran Islam itu sendiri.

Demikian juga, kalau kita hendak mengerti konsep agama Kristian dan memahaminya dengan kefahaman yang sebenar2nya, maka baca dan kajilah Bible yang asli, maka kita akan dapat memahami Kristian yang murni, bukan dengan kelakuan dan amalan orang Kristian sendiri yang telah menyeleweng dari hakikat asalnya.

Saya mengambil iktibar  dari kenyataan ini tentang usaha kita hendak memahami perjuangan parti politik di negara kita. Kerana selama ini kita sering mengambil kesimpulan tentang sesebuah parti politik itu dari cakap2 orang tentang falsafah dan dasar parti yang tertentu, malah dari kelakuan pemimpin dan pengikut sesuatu parti politik itu, lalu kita mengambil kesimpulan yang salah tentang parti itu.

Saya bandingkan dengan hakikat yang diperkatakan oleh Zakir Naik itu, lalu saya merasakan bahawa sekiranya kita hendak memahami perjuangan parti politik tertentu serta agenda kerjanya, maka kita seharusnya mengkaji perlembagaan parti itu, jangan hanya mendengar orang lain berbicara tentang parti itu.

Untuk memahami perjuangan parti2 politik Melayu tentang Islam umpamanya maka cubalah kaji perlembagaan parti2 tersebut, apakah terdapat agenda perjuangan Islamnya atau tidak, Sekiranya terdapat dalam tujuan dan objektif parti itu untuk memperjuangkan Islam, maka walau pun orang mengatakan parti itu parti yang tak mahu Islam, hal itu tidaklah seharusnya dihiraukan, kerana perlembagaan parti itu telah menjelaskan tentang hal ini, iaitu mempertahankan Islam sebagai agama negara.

Dengan itu saya berharap segala hukuman yang dijatuhkan kepada mana2 parti politik sama ada dari segi agenda agama, politik, kebangsaan dan sebagainya, maka setiap orang dari kita haruslah melihat kepada perlembagaan parti berkenaan, jangan kerana orang selalu menjajakan bahawa parti itu tidak mahu Islam, maka kita pun terus mengatakan demikian. Inilah sebenarnya kelemahan kita pada umumnya, iaitu kita kurang menjalankan penyelidikan dan kajian tentang sesuatu, lalu kita hanya mendengar cakap2 orang, atau menggunakan sentimen serta emosi sendiri, lalu kita percaya kepada persepsi yang salah.

Mungkin kadang2 terdapat kelakuan dan perilaku sesetengah pemimpin atau pengikut parti tertentu yang nampaknya amat negatif dan songsang, menyeleweng dari dasar parti, tetapi hal itu adalah merupakan perkara biasa dalam masyarakat manusia, dan tidak semestinya kelakuan itu merupakan terjemahan dari dasar perti tersebut, malah hal itu adalah merupakan penyelewengan yang dilakukan, dan pihak parti itu haruslah mengambil tindakan kepada penyeleweng itu kerana telah bertindak di luar batas2 yang telah dirangka di dalam perlembagaan partinya.

Kelakuan buruk segelintir umat Islam umpamanya tidak semstinya menggambarkan bahawa agama Islam itu buruk, tetapi kelakuannya itu yang tidak mengikut prinsip dan ajaran Islam yang mengakibatkan orang mengatakan islam itu agama yang tidak baik.. Maka kita bertanggung jawab untuk mendidik manusia supaya bertindak mengikut ajaran Islam yang baik, namun begitu kelemahan dan sifat manusia yang bertindak mengikut nafsu dan keinginannya sendiri yang menyebabkan mereka berkelakuan buruk, sedangkan ajaran Islam itu amat baik.

Demikianlah juga dengan dasar parti politik, kita haruslah menilai akan perlembagaan dan dasar perjuangannya, dan agenda perancangannya jangka pendek dan panjang dalam usaha kita  untuk memahami dasar parti tersebut.

Inilah secara sepintas lalu iktibar yang saya perolehi dari ceramah Dr Zakir Naik tersebut untuk renungan kita bersama supaya kita tidak salah tanggapan terhadap sesuatu perkara  kerana mendengar dan percaya kepada cakap2 orang lain tanpa usul periksa lagi.

Dr Zakir Naik juga menegaskan bahawa kalau kita hendak mengkaji ajaran imam Shafie, maka kita baca dan kajilah kitabnya Al-Umm, jangan membaca pandangan orang lain atau petikan yang mereka buat, apa lagi tafsiran orang lain tentang Imam Syafie. Kembalilah kepada sumbernya yang asal.

Wallahu a'lam.

Tuesday, October 16, 2012

KEUZURAN SHAHNON AHMAD MENYENTUH PERASAAN..


SELAMAT KEMBALI DATO' SHAHNON
Setelah sekian lama tidak kedengaran suaranya, maka akhirnya Shahnon kembali bersuara. Penantian sepi yang sekian lama dirasakan, tiba-tiba dikejutkan dengan kembalinya sasterawan negara yang ulung itu ke persada persuratan bangsa dan negara seminggu dua ini. Shahnon kini kembali tanpa berselindung atau bersikap apologetik menyuarakan rasa hatinya sebagai seorang budayawan dan sasterawan Melayu Islam yang bimbang melihat perkembangan pincang yang berlaku di dalam dunia politik Melayu dan Islam di negara kita pada masa kini.
Kira-kira lapan tahun yang lalu, iaitu pada  13 Jun 2004 saya pernah menulis di dalam kolum tetap saya di akhbar Mingguan Malaysia hasil cetusan pemikiran saya tentang Shahnon juga. Tulisan saya ini adalah sebagai respon kepada tulisannya  seminggu sebelum tulisan saya ini. Dalam tulisannya itu Shahnon telah  mengeluarkan rasa hampa yang dialaminya kerana tidak dapat menulis selama lima  tahun disebabkan oleh satu penyakit ganjil yang amat tenat yang menyerangnya yang bernama Myasthenia Gravis.
Diantara lainnya, Shahnon menulis ...“Bahawa keuzurannya yang memakan masa berbulan dan bertahun, asyik keluar masuk hospital, tidak mampu lagi bergerak menyebabkan “dia” akan dibiarkan begitu sahaja. Dia terus jadi kera sumbang. Tidak ada siapa lagi yang sampai hati hendak mendekatinya. Tidak ada lagi yang punya hati untuk bertanya kabar atau memberi salam, bertegur sapa jauh sekali, malah kalau boleh perlu dijauhkan, kerana orang sakit memang tak berguna lagi…”
Dunia penulisan yang dirampas oleh kesakitannya itu amat menghiris perasaan dan pemikirannya, sakitnya bukan hanya sekadar sakit fizikal, pedih dan bisa pada jasadnya dan kulit serta otot-ototnya, tetapi kepedihan rohani dan jiwanya itu yang lebeh menyiksakannya, kerana apabila sakit, lalu dia dibiarkan menderita berseorangan, tanpa salam dan kalam  terutamanya dari orang-orang yang selama ini menjadi kawan dan penyokongnya, yang sekali gus menunjukkan hati budi rakan-rakan yang mengajaknya berjuang dalam arena parti politik bersama-sama  mereka berlandaskan ajaran agamanya sendiri.
Sebab itulah di dalam tulisan yang sama dia menulis “…..Rupa-rupanya bilamana seorang wakil rakyat jatuh sakit, lama kelamaan dia akan disisih dan dilupakan oleh anggota masyarakat, kawan dan lebih-lebih lagi lawan”

Dalam satu gambaran yang lain, yang menyatakan rasa hatinya yang pilu, beliau mengungkapkan begini “….kalau boleh dijauhkan, kerana orang sakit memang tak berguna lagi dalam politik berparti, malah boleh memudaratkan parti pula”.
Tetapi sebagai seorang penulis yang halus jiwa seninya, beliau mungkin bersyukur kerana dengan penyakit yang menimpanya itu, maka dia kembali bebas  sebagai seorang manusia seni di kampungnya di Banggul Derdap, ketika beliau meneruskan tulisannya itu dengan berkata bahawa “Saya lebih bertenang di kampong, bercakap dengan bukit bukau, kerbau lembu, ayam itek, jagung, pisang, ular dan lipan bara”.
Seterusnya beliau membisikkan rasa ketenangannya bahawa hal ini telah menjadikannya seorang insan yang dapat merasakan  kehidupan yang lebih tinggi dan akrab dengan Tuhan ketika beliau menegaskan “Namun pengalaman seumpama ini mematangkan lagi makna kehidupan, kerana dalam kesepian dan keseorangan inilah saya dapat menilai diri dan jiwa saya dengan Yang Maha Esa, mengenal siapa kawan dan siapa lawan saya”.

Itulah rasa hati Dato' Shahnon yang telah saya ungkapkan kembali di dalam tulisan saya pada tahun 2004 di bawah tajuk MALANG MENYERTAI POLITIK:PENGALAMAN SHAHNON. Artikel ini merupakan salah satu artikel  yang telah diterbitkan semula dalam buku kumpulan artikel saya dalam  Oktober Yang Tidak Dinantikan oleh Institut Islam Hadhari, UKM, tahun 2012.
Kini setelah sekian lama beliau memulehkan jasad dan djiwanya, maka Dato' Shahnon kembali ke tengah-tengah gelanggang kehidupan sebagai seorang yang bebas dan mempunyai keperibadiannya sendiri, lalu beliau berbicara dengan penuh ikhlas dan terus terang supaya senario politik pincang dan merugikan umat dan bangsa haruslah segera di fahami dan dikembalikan ke pangkal jalan perjuangan yang menguntungkan umat dan agama kita sendiri.
Dalam konteks kembalinya Dato’ Shahnon ke dalam arena bangsa dan negara kita, saya merasakan bahawa ramai lagi teman dan kawan kita yang telah membebaskan diri mereka dari perangkap politik sempit dan fanatik, yang mungkin hanya bercakap dalam sepi dan sunyi, tidak seperti Shahnon yang kembali berbicara secara lantang dan berani.
Inilah sebenarnya sifat pejuang dan pahlawan, yang bukan hanya berada dalam kepumpung seni sasteranya yang sempit, tetapi dalam arena perjuangan bangsanya yang lebih besar dan lebih bermakna.
Bagi saya inilah angkatan pertengahan dari jalur tengah yang seharusnya lebih banyak lagi melahirkan diri dalam arena politik negara kita ini untuk berusaha menyelamatkan negara dan bangsa tercinta, terutamanya dalam memperkuatkan benteng pertahanan agama kita yang sering dicabar untuk dirobek-robekkan.
Selamat kembali dalam perjuangan bangsa Dato’ Shahnon.


Thursday, October 11, 2012


MENGAPA MENYEPI?

Saya perhatikan banyak para intelek, profesional, ahli agama dan kalangan lain yang tidak terlibat secara langsung dengan parti politik yang mahu memberikan komen tentang senario politik di dalam negara kita . Sebab pertama ialah kerana takut dianggap oleh masyarakat bahawa intelek itu telah melampaui bidangnya dengan melibatkan dirinya dalam bidang politik. Kedua, mereka  takut dilebalkan sebagai penyokong kumpulan politik yang tertentu, Ketiga takut dipulaukan oleh golongan yang taksub dan fanatik politik partisan yang tertentu.
Kerana kekhuatiran inilah maka mereka tidak mahu langsung memberikan pandangan dan jauh sekali dari membincangkan isu-isu  masyarakat dan bangsa serta negara  yang menjadi  pertelingkahan para ahli politik kita seperti yang berlaku akhir-akhir ini.
Sebenarnya ramai para intelek kita yang lebeh cenderung memberikan keutamaan untuk menjadi penonton atau bersungut dalam sepi dan sunyi sahaja melihat telatah ahli politik kita yang lebeh mementingkan ideologi sempit politik kepartian dalam memperjuangkan agenda politik mereka. Mereka merupakan golongan majoriti yang lebeh suka mengambil jalan sepi dan terselamat dari keritikan masyarakat yang pada umumnya telah bertukar menjadi masyarakat politik kepartian sempit, sehingga istilah politik itu telah ditafsirkan sebagai perjuangan dan agenda pentadbiran negara dan rakyat yang berasaskan kepada politik kepartian semata-mata.
Dalam sejarah perjuangan umat Islam yang pernah dicatatkan oleh ahli sejarah silam, dan telah saya tuliskan di dalam ruangan ini beberapa minggu yang lalu,  terdapat kisah yang dicetuskan oleh satu pertanyaan tentang perpecahan umat Islam yang mungkin mengakibatkan kehancuran kepada umat Islam itu sendiri. Seorang hukamak dalam kumpulan umat Islam itu mengatakan bahawa hal itu tidaklah harus dibimbangkan kerana umat Islam keseluruhannya adalah dibaratkan sebagai sekumpulan serigala yang sering bercakaran sesama sendiri, tetapi mereka semua akan bersatu sekiranya mereka terpaksa menghadapi musuh bersama yang akan mengancam keselamatan mereka.
Namun persoalan yang timbul dalam konteks umat kita yang berpecah belah pada hari ini, apakah kiasan dan bandingan cerita sejarah silam ini akan lahir sebagai satu kenyataan dalam masyarakat kita yang berpecah belah dengan parahnya pada hari ini?
Oleh itu masanya telah tiba bagi para intelek dan alim ulamak kita yang cintakan umat ini, yang ingin melihat umat ini selamat dan sejahtera di tanah airnya sendiri, malah yang tidak mahu melihat umat ini  mati kelemasan tenggelam dalam kemakmuran negara sendiri, bangun bersuara dan memberikan pandangan yang penuh ilmu dan hikmah untuk survival dan kelangsungan umat ini seterusnya dalam masyarakat dan negara sendiri, melampaui politik partisan dan taksub, malah semata-mata berdasarkan amanah dan kejujuran kepada ilmu dan hikmah kurniaan Allah kepada manusia semua.
Hapuskan sebarang perasaan takut dan malu, segan dan bebal dalam menyuarakan yang hak dan benar. adil dan saksama, berdasarkan ajaran Islam yang sebenarnya, bukan berdasarkan kefahaman sempit politik partisan.

Monday, October 1, 2012

BAJET NEGARA: ANTARA “GULA” DAN “ROHANI”

Mungkin kita semua akur bahawa terdapat sesetengah masyarakat manusia yang terlalu mewah dengan harta kekayaan akan kurang ketaqwaannya. Tetapi di sebaliknya,  mungkin juga terdapat sesetengah orang yang mewah dan kaya, mungkin akan bertambah ketaqwaannya, dan dapat melipat gandakan amal baktinya kepada Allah, yang dapat mengembalikan pahala yang banyak kepada mereka dibandingkan dengan orang miskin yang tidak berpeluang untuk menunaikan zakat atau sadaqah jariah dan berbakti kepada sesama manusia pada jalan Allah, maka golongan miskin ini tidak mendapat sebarang ganjaran dari kemiskinannya.
Adalah diharapkan bahawa bajet terbaru yang banyak menawarkan kebendaan kepada rakyat akan membuka pintu rezekinya yang agak luas, maka rakyat akan bertambah senang dan selesa dengan kehidupannya. Lalu mereka akan bersyukur dan akan mengerjakan amal bakti dan dapat beribadat dengan selesa kepada Allah SWT bagi mendapatkan ganjaran-Nya.
Harta dan kekayaan itu pula bukanlah merupakan sesuatu yang dibenci agama, malah harta dan kekayaan itu merupakan sesuatu yang dituntut untuk kesejahteraan manusia, kesenangan keluarga, kemudahan pendidikan dan selain dari itu memudahkan amal ibadat dan kerja-kerja kebajikan seperti yang di tuntut agama. Mempunyai harta dan kesenangan tidak bererti yang ampunyanya akan menjadi jahat dan lupakan Allah, dan demikianlah sebaliknya kadang-kadang tanpa mempunyai harta itu maka tidak semestinya orang itu menjadi baik dan taat kepada Allah SWT. Semuanya ini terhenti kepada diri individu itu sendiri secara peribadi.
Kita tentulah amat mamahami falsafah ajaran Islam berdasarkan Al-Quran dan Hadis. “Kefakiran itu hampir-hampir membawa kepada kekufuran”, “usahakanlah apa-apa yang dikurniakan Allah kepada kamu di negeri akhirat, namun janganlah kamu lupakan nasib kamu di dunia ini” “Tuhan kami berikanlah kami kebahagiaan di dunia ini, dan berikanlah kami kebahagiaan di akhirat, dan peliharakanlah kami dari azab neraka”
"Kerohanian" pula haruslah difahami dengan makna dan konsep yang lebih luas, iaitu sifat  yang membawa manusia kepada mematuhi ajaran dan perintah Allah SWT, mulai dari amal ibadat dan akhlak mulia membawa kepada mempertingkatkan ilmu dan hikmah, dan bermula juga di surau dan masjid membawa kepada sekolah dan universiti, dari amalan membaca dan menghapal Quran membawa kepada menguasai bidang-bidang industri dan teknologi, seperti yang berlaku pada zaman kecemerlangan Islam dengan kelahiran ahli-ahli falsafah, ilmuan, ahli falak, pelayaran, sains teknologi, sehinggalah kepada para hukamak dan ulamak yang memandu umat manusia kepada jalan Allah yang betul. Para ilmuan dan pejuang Islam itu adalah bersifat dengan sifat taqwa yang menguatkan mereka dalam bidang jasmani dan rohani, fizikal dan spiritual.
Rasullah SAW telah menunjukkan contoh sebagai seorang manusia unggul dalam jalan keduniaan dan akhirat. Ketika Baginda berhijrah maka baginda telah menguruskan hal ehwal kebendaan dengan baik, orang Islam membayar Zakat, dan orang bukan Islam membayar jizyah (cukai) kepada pemerintah, orang ansar dan  muhajirin tolong menolong dan bantu membantu untuk kesejahteraan saudara-saudara seagama, dan baginda mendirikan masjid serta memberikan pengajaran kepada semua. Maka semuanya ini adalah merupakan amalan pemimpin dan rakyat bagi mendapatkan keselesaan dalam menjalankan kehidupan mereka rohani dan jasmani, dunia dan akhirat.
Saya tidak nampak bahawa bajet yang dikemukakan itu adalah merupakan kebendaan yang boleh dibandingkan dengan sogokan kaum musyrikin kepada baginda Rasulullah SAW supaya meninggalkan Islam, kerana dari sudut yang lain ransangan untuk menegakkan Islam dan ajarannya secara langsung atau tidak langsung adalah dipermudahkan dengan bantuan kepada institusi-institusi masyarakat dan keagamaan untuk memperkuatkan lagi ajaran Islam dan pendidikannya, tempat ibadah dan dakwahnya, sekolah dan universiti Islam, madrasah tahfiz dan Al-Quran, perbankan dan kewangan sistem Islam, takaful serta lain-lainnya.
Namun begitu, apa-apa komen dan analisis yang dibuatkan terhadap bajet yang baru dikemukakan itu haruslah di terima dengan hati yang terbuka, kerana bagi saya yang pentingnya bukanlah sesuatu yang dikemukakan di dalam bajet itu yang mengandungi segala keburukan atau kebaikannya, malahan kumpulan sasar yang diberikan bajet itulah yang sebenarnya dapat menguruskan segala kebaikan yang diberikan di dalam bajet itu, sama ada kebendaan, perumahan, pendidikan dan sebagainya, kerana orang yang menerima itulah akhirnya yang merasakan kesannya dan mengetahui bagaimanakah mengambil kesempatan dari kebaikan bajet itu untuk kepentingan agama, bangsa dan negaranya.
Hal ini saya rasa amat penting difahami dan dihayati oleh masyarakat umum, kerana sebarang salah faham yang dibangkitkan untuk mencarikan keburukan bajet ini hanya akan mengelirukan pandangan umum masyarakat kita, terutamanya apa bila isu ini dibangkitkan atas nama agama dan ajarannya yang suci.

Pageviews last month