Wednesday, June 21, 2017

PUASA BERLAPAR DAN DAHAGA




Bulan Ramadan hampir habis. Kemungkinan besar Ahad ini Raya. Dan hingga kini, puasa bagi entah berapa ramai orang Islam di seluruh dunia, malah di negara kita juga, hanya seperti yang di sifatkan oleh Rasulullah SAW :"Berapa ramai orang yang berpuasa, yang tidak mendapat sesuatu apa pun selain dari lapar dan dahaga sahaja"

Orang yang berperang, berbunuhan di negara2 yang berperang berkemungkinan termasuk di dalam kategori ini, iaitu bulan Ramadan ini mungkin menjadi kan mereka berpuasa, tetapi tidak ada yang mereka manfaatkan, kecuali tidak makan dan tidak minum, lapar dan dahaga, sedangkan hikmah puasa yang lain, yang lebih berbentuk kekuatan rohani dan jasmani, kekuatan azam dan cita2, perilaku dan nilai2 moral, menjadi manusia yang bermoral dan berakhlak, punya cita2 yang lebih kuat untuk bertanggung jawab terhadap diri dan orang lain, hanya tinggal di dalam buku, tazkirah dan kata2 pemanis mulut saja yang sering di keluarkan di mana2 saja terdapat peluang untuk di syarahkan dan di dipiditokan..

Ada anak2 sekolah kita yang terbunuh kerana di buli, pelajar universiti yang di gosok dengan stereka panas, yang di pukul tanpa sebab, yang di sepak dan di tempeleng, di rogol, malah seribu satu kejadian maksiat di lakukan, berbohong, bersyubahat dengan pelaku yang mungkar, mempunyai niat yang jahat, tidak jujur dan lurus hati serta ikhlas sesama manusia, malah kepada Tuhan, melakukan serba kesalahan jenayah di sisi syariah dan undang2 negara, yang rasuah, tidak amanah ketika di berikan amanah untuk menjaga keselamatan di sempadan, menjada keamanan dan penyeludupan orang, dadah dan larangan lain, melindungi pekerja asing yang tidak punya permit dan seribu satu pecah amanah lain, semuanya ini berlaku di negara kita juga.

Hal ini tidak termasuk lagi perbuatan yang disebutkan oleh Al-Quran yang termasuk dalam salah laku yang boleh di ibaratkan seperti memakan mayat saudaranya sendiri, iaitu yang mengumpat, mencerca, memfitnah, membuka dan mencari2 keaiban orang, termasuk mencerca peribadi orang yang dianggap musuh politik, perniagaan, peribadi besar, pangkat dan sebagainya.

Maka hal ini semakin menjadi2, terutamanya ketika manusia menjadi semakin tamak mencari harta, nama, pangkat, kedudukan malah menagih jasa ketuanya yang di ampu secara munafik, semuanya ini berlaku. Puasa atau tidak puasa, hal ini tidak lagi menjadi isu..yang pentingnya mereka tahu dosa pahala, kerana itulah yang selalu mereka dengar, mereka berjubah di majlis2 yang tertentu, kerana itulah pakaian orang soleh, mereka berjemaah, malah mereka menjamu ramai tetamu untuk berbuka puasa..tetapi hati dalaman, minda suci, rohani serta bisikan murni naluri tabie, tidak sedikit pun tersentuh..

Akhlak dan moral, perilaku dan cara hidup, akal dan hati, rohani dan jasmani, tidak berkesan, tidak dapat di bezakan lagi..Lalu mereka berpuasa dan berbuka, menjamu dan di jamu, berjemaah dan berpesta buka puasa...nampak amat baik dan jujur, tetapi manusia hanya tahu luaran sahaja, sedangkan Allah sendiri yang mengetahui hakikatnya...Puasa yang nyatanya ialah lapar dan dahaga, yang lain2 belum tentu, tidak di ketahui sesama manusia, mungkin orang yang berpuasa segala2nya saja yang mengetahi luaran dan dalamannya..hanya dia seorang dengan Tuhannya...

Monday, June 12, 2017

INSTITUSI TAHUNAN RAMADAN





Institusi yang mendidik seorang bayi itu hingga ke besarnya, seterusnya ke peringkat dewasa dan meninggal dunia adalah mereupakan pendidikan formal dan tidak formal. Pendidikan tidak formal itulah yang pertama mendidik kanak2, seperti pendidikan ibu bapa, media : Tv dan lain2, kemudian pendidikan luar rumah termasuk institusi sosial, bisnes, dan lain2
Bila anak2 yang sampai masanya pergi ke tadika dan sekolah, maka pada masa itulah dia menerima pendidikan formal, dari tadika hingga ke Uniiversiti, dan dalam peringkat2 inilah dia mempelajari ilmu dan membangunkan potensi serta perwatakannya untuk masa muka dengan mempelajari berbagai2 bidang ilmu pengetahuan dari guru sekolah dan para pensyarah university.
Dalam sistem Islam, para pelajar mempelajari ilmu secara formal dan tidak formal. Pendidikan formal di lalui oleh umat manusia awal melalui gurunya yang terdiri dari para Nabi dan Rasul yang di ututskan Allah kepada umat dan kaumnya yang tertentu. ..
Tetapi bagi umat manusia yang terkemudian, setelah wafatnya para Nabi dan Rasul, maka pendidikan yang mereka terima tidak lagi melalui para Nabi dan Rasul itu, malah melalui peninggalan mereka yang terdiri dari kitab2 suci yang mereka bawa, dan bagi kita, yang terpentingnya ialah ajaran dari Kitab Suci Al-Quran dan ajaran Nabi kita Muhammad SAW melalui sunnah dan hadis peninggalannya.
Maka dalam situasi inilah kita seolah2 sedang menerima ilmu dan hikmat bagi sesuatu ilmu itu melalui cara yang tidak formal dari para guru, ulamak dan sarjana Islam yang mempelajari dan mewarisi ilmu itu.
Demikian juga tentang ibadat puasa di dalam bulan Ramadhan, maka ketibaan bulan ini, dan perlaksanaan ibadat yang di wajibkan dengan kedatangan bulan ini, iaitu puasa selama satu bulan, juga merupakan satu institusi pengajaran yang formal atau tidak formal yang kita terima.
Oleh kerana para Rasul dan Nabi utusan Allah SWT tidak wujud lagi untuk mengajar kita tentang sesuatu pelajaran yang kita terima itu, maka umat Islam kini haruslah mengkaji Al-Quran dan Sunnah Rasul dengan teliti tentang sesuatu ajaran Islam itu, dan seluruh perbendaharaan ilmu dunia akhirat yang bermanfaat.

Maka dengan itu, Ramadhan dan ibadat yang kita lakukan di dalam bulan ini, adalah merupakan sebuah sekolah yang kita masuki serta mempraktiskan ibadat ini, termasuk segala objektif sekolah ini yang seharusnya kita fahami dengan baik.
Malah kalau di bandingkan dengan kehidupan kini, maka ibadat puasa yang kita lakukan itu juga merupakan satu perkhemahan motivasi, urus tadbir diri, dan kumpulan, team building dan sebagainya yang kita terima dalam perkhemahan ini.
Kepentingan kem ini ialah ianya merupakan satu pusat latihan dan amalan yang terletak di bawah panduan Allah SWT secara langsung. Maka dengan itu kita haruslah mematuhi segala undang2 dan peraturannya yang lengkap dan sempurna, seterusnya mempelajari segala ilmu dan hikmatnya untuk kehidupan kita dunia akhirat, supaya kehidupan kita menjadi bahagia di dunia dan akhirat, di dalam dan di luar bulan Ramadhan, kerana setiap tahun kita menghadiri kem ini, dan saban tahun juga kita menjadi menjadi graduannya….
Hari ini kita telah memasuki sesi ke tiga sekolah Ramadhan ini dan setiap orang dapat lah bertanyakan diri sendiri, apakah hikmah dan ilmu yang telah kita perolehi dalam masa 17 hari ini di Institusi atau sekolah Ramadan yang kita sertai ini…? Malah yang lebih pentingnya bagaimana kah ilmu dan bekalan yang telah kita kuasai itu dapai kita manfaatkan dalam pengukuhan diri, pengawalan nafsu buruk, perilaku yang menyeleweng sehingga kita akan memperbaiki diri seterusnya sepanjang menjadi hamba Allah yang baik di dunia dan akhirat, di dalam ibadat, perwatakan diri, sifat terpuji, amanah, jujur dan ikhlas, serta untk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat seperti yang di ajar oleh Islam melalui ibadat puasa ini...


Saturday, June 3, 2017

Hari ke-8 Berpuasa - hari berkabung



Anak2 itu, sekumpulan pelajar tahdiz,  menumpang kenderaan, menuju ke satu program Quran, pada pagi itu, tiba2 terlibat kemalangan ngeri, berdarah dan ada yang kehilangan nyawa.
Dipandang dari sudut mana sekali pun, insya'Allah yang meninggal, tepat pada hari baik, Jumaat, dan bulan baik, dalam bulan puasa. Insya' Allah mereka mendapat tempat yang mulia di sisi Allah.

Sunnat Allah, juga takdir Allah, mengatasi segala2nya. Tetapi terdapat sunnah alam, yang boleh di pelajari dari kejadian alam, yang perlu di ketahui sejauh manakah kuasa manusia dan ikhtiarnya untuk menolak kemlangan dan sesuatu yang boleh mengorbankan nyawa dengan memahami sunnah alam ini, juga dengan meletakkan di dalam pengetahuan kita akan sebab musabab yang membawa kemalangan.

Sekiranya semua ini telah di pelajari dan disedari, tiba2 berlaku juga kehendak Allah, maka hal ini tidak dapat di tafsir dan di salahkan sesiapa, memang kehendak Allah.

Para pemandu kini, banyak yang sabar dan mengikut sunnah alam. Tetapi banyak juga para pemandu yang memandu laju, memotong sana sini. terlalu ego atau selfish, potong Q, tak hiraukan keselamatan orang lain, tak kisah puluhan nyawa penumpang di belakang, malah ada yang melanggar arus, lalu berlaku kemalangan....Ini adalah kesalahan manusia sendiri...tanpa ikhtiar, tanpa sedar dan tanpa mengkaji sunnah alam.

Sunnah alam adalah juga ciptaan Allah, dan jelas kelihatan peranan manusia dalam hal ini.

Kaji dan hitunglah diri sendiri, jangan terus meletakkan kemalangan ke atas takdir dan suratan Ilahi...

Memang hari baik dan bulan baik, namun kita harus sentiasa berhati2 dengan takdir dan suratan Allah itu...

Friday, June 2, 2017

SUJUD SAJDAH SUBUH HARI KE-7 PUASA


Puasa hari ke-7 tiba pada hari ini, Jumaat…dan seperti yang di amalkan, setiap Jumaat, ketika menunaikan solat subuh, para jemaah bersujud ketika di bacakan ayat tertentu dari surah As-Sajdah selepas Al-Fatehah rakaat pertama. Hal ini telah menjadi amalan yang biasa di negara kita.  Zaman saya masih kanak2 dulu, amalan ini tidak dilakukan, kerana pada masa itu, bersolat subuh dilakukan seperti biasa setiap hari tanpa kecuali.
Dulu memang lah orang Melayu kita melakukan ibadat solat secara yang asasi dan agak mudah. Terawih pun hanya di lakukan dengan membaca surah2 pendek selepas Al-Fatehah, iaitu mulai dari surah “Al-Takathur” (Alhakumut-Takathur) dan berakhir dengan surah “Al-Masadd” (Tabbat Yada Abi Lahab) cukup 20 rakaat, dan imam kampong pada masa itu pun jarang sangat terdapat Hafidz seperti sekarang. Lebai2 kampung saja yang biasanya menjadi imam sembahyang, tidak bergelar hafidz.
Alhamdulillah orang Islam di negara kita amat memahami tentang sujud sajdah ini, yang diamalkan dalam sembahyang subuh pada hari Jumaat, dan mereka amat bersyukur kerana puasa tahun ini  cukup seminggu pada Jumaat ini.
Mungkin ramai umat Islam, orang Melayu kita, yang memahami sebab dan rahsianya kenapakan kita sujud ketika imam membaca ayat tertentu di dalam surah Assajdah itu.
Yang mengetahuinya tentulah dapat menerangkan bahawa kita yang sedang berdiri dalam rakaat pertama solah subuh itu akan sujud ketika imam selesai membaca ayat 15 yang menyatakan perihal orang2 yang beriman, yang apa bila mereka mendengar ajaran kitab Allah, ia itu Al-Quran, akan segera menerima dan mengamalkannya, lalu sujud tanda bersyukur kepada Allah yang telah mengurniakan mereka dengan nekmat Islam yang amat agong.
Terjemahan ayat ke-15 itu membawa maksud:
“…sesungguhnya hanya orang2 yang beriman dengan ayat2 Kami sahaja yang apabila mereka diberi peringatan dan ajaran dengan ayat2 itu, mereka segera merebahkan diri, sujud dan bertasbih, memuji Tuhan mereka, dan mereka tidak pula bersikap sombong takbur”
Kita sebagai orang2 yang beriman dan bersifat dengan sifat2 terpuji serta taat setia dengan sifat orang Islam, yang juga tidak sombong dan bongkak kepada Allah dan Rasul-Nya, akan sentiasa memuji dan membesarkan-Nya, lalu kita meletakkan dahi dan kepala, anggota yang paling mulia dalam badan kita, di atas lantai atau bumi, sijud kepada Pencipta kita itu.
Sebab itulah kalau nak menunaikan solat Subuh hari Jumaat, kalau pak imam uzur dan tak dapat datang mengimamkan solat tersebut, makmum pertama sekali menjadi panik, mencari gantinya yang hafal surah As-sajdah ini, dan kalau yang ada hanya yang boleh baca surah2 biasa saja, maka makmum merasa hampa, seolah2 sujud sajdah ini menjadi wajib pula di lakukan pada setiap Jummat.
Oleh itu sebagai makmum yang sekian minggu pada hari Jumaat menanti2 untuk sujud sajdah, sepatutnya baca dan telitilah maksud surah ini dari awal hingga akhirnya, kerana setiap Jumaat mereka akan mengikuti surah ini, kemudian sujud pula pada akhir ayat yang ke-15 mengikut imam ketika menunaikan solat Subuh tersebut.
Malah di samping itu, mungkin juga terdapat di antara umat Islam yang tidak tahu bahawa mereka juga seharusnya sujud ketika membaca ayat ini di luar solat, dan ayat2 lain lagi yang bertandakan simbol “sujud” di dalam Al-Quran…
Alhamdulillah hari ini telah masuk hari ke-7 berpuasa, yang di rasakan agak cepat, pejam celik, pejam celik, puasa dah tujuh hari. Semasa di kampong dulu, kami anak2 kampung telah mulai mengumpul tempurung kelapa, untuk di susun dengan menggunakan kayu yang tinggi, bagi di bakar pada malam tujuh lekor, menjadikan laman rumah terang benderang pada malam berkat itu.
Tetapi Lebai Dolah di kampong kami telah memberi amaran jangan pula ber’iktikad bahawa cahaya itu untuk menjadikan laman terang kerana memudahkan malaikat masuk membawa berkat ke dalam rumah masing2, kerana malaikat tak perlu pasang pelita untuk bergerak dalam kegelapan malam itu….Lebai Dolah memberi amaran ini kerana memang ada orang kampung yang percaya begitu, dan kerana itulah masing2 berlumba2 mengumpul tempurung kelapa untuk menjadikan laman rumah masing2 terang benderang seberapa lama yang mungkin…
Harap2 dengan ilmu yang di pelajari, dan tazkirah yang banyak sekali di adakan pada masa kini, umat Islam semakin memahami ajaran Islam yang sebenarnya dan tidak lagi percaya serta mengamalkan sebarang khurafat seperti itu.
 Namun, khurafat itu sentiasa ada, mungkin hingga ke zaman kini juga…siapa tahu?


Thursday, June 1, 2017

FIKIRAN MELAYANG ? BARU 6 HARI BERPUASA

 FIKIRAN BERTERBANGAN ENTAH KE MANA


Berpuasa di kampong dulu2, atau mungkin sekarang juga, amat rapat dengan alam tabie dan peredarannya. Bangun sahur dan seterusnya menunggu waktu Subuh, orang kampong hanya di ulet oleh suasana sepi dan pekat malam. Tidak ada suara burung2, ayam itek, lembu kambing seperti yang kedengaran pada waktu siang. Ada tak ada pun kadang2 sangat, terdengar suara kucing bergaduh sama sendiri, atau sedang bersuara nyaring mencari kawan. Suara kucing sayup2 yang membelah keheningan malam dan awal subuh inilah yang sering di gunakan oleh ibu2 kampung yang sedang menidurkan anak kecilnya supaya diam dan pejam mata segera…
Ramadan juga mendekatkan kita dengan alam tabie. Pekat malam ketika kita menghadapi hidangan sahur, kemudiannya mulai cerah, memperlihatkan fajar menyingsing di kaki langit, dan ketika inilah ramai orang yang telah pun berjalan balik dari masjid atau surau, dan suara burung unggas mulai terdengar, atau suara ibu2 ayam yang berarak dengan anak2nya mencari makanan di atas bumi. Dari jauh juga terdengar deraian pokok, daun2 bergoyang dengan ranting2nya, malah ketika angin agak kencang, di tengah2 kedinginan pagi itu, kelihatan daun2 berguguran ke tanah, upeh berterbangan dari pohon kelapa atau pokok pinang turun ke bumi. Upeh2 inilah yang dijadikan kereta tarik oleh budak2 kampung, seperti yang kami lakukan masa kcil2 puluhan tahun dulu.
Alam tabie inilah yang sering di firmankan oleh Allah SWT supaya manusia selalu memerhati, mengkaji dan mengambil iktibar pengajaran darinya. Malah di dalam surah agong Al-Fatehah yang kita baca dalam setiap rakaat sembahyang, selepas menyebut nama Allah yang di mulai dengannya segala perbuatan dan pengucapan kita, maka kita memuji Allah, Tuhan semesta alam (Rabbil-Alamin) Jadi Alam semesta inilah yang di jadikan Allah, di kuasai dan menjadi tanda kekuasaan serta kebesaran-Nya Yang Maha Esa.
Sejak awal Ramadan ini agak teruja juga para jemaah di surau kami, apa bila terdengar makmum kecil, anak2 sekolah tadika atau sekolah rendah, sering mengikut imam membaca Al-Fatehah dalam solat Maghrib dan isyak serta beberapa rakaat di awal sembahyang terawih. Meraka membaca bersama2 imam sehingga kata terakhir makmum semua “AMIN” di akhir surat Al-Fatehah itu. Belum selesai Terawih, suara2 halus itu hilang, rupa2nya anak2 kecil yang bersaing dengan imam membaca Al-Fatehah tadi telah banyak yang tertidur di belakang atau di celah2 saf sembahyang. Harap selepas mereka hanya membaca surah ini, mereka akan mempelajari pula kandungannya, dan pengajaran yang di kaji dari isi kandungan surah ini, bukan hanya sekadar membaca dan menghapalnya tanpa memahami maksudnya.
Orang Islam wajib membaca Al-Fatehah di dalam solatnya pada setiap rakaat. Solat waktu sahaja, bagi orang yang sembahyang penuh, lima waktu, sehari semalam berjumlah tujuh belas rakaat. Tambah lagi dengan sembahyang sunat, malah sembahyang hajat dan sebagainya, di tambah lagi dengan beberapa rakaat, lebih dari minimum bacaannya sebanyak tujuh belas kali sehari semalam.
Di dalam bulan puasa, tujuh belas rakaat, di tambah lagi dengan beberapa rakaat solat sunat sebelum dan sesudah solat fardhu yang tertentu, maka rakaat solat Terawih pula antara dua puluh atau lapan rakaat, dengan tambahan solat witir, jumlah rakaatnya menjadi puluhan banyaknya, dan puluhan kali pula Al-Fatehah yang di baca,
Tentulah banyak manfaatnya dari segi makna, mesej dan perutusan Allah, pengajaran untuk rohani dan jasmani, serta falsafah dan psikologi manusia, sains dan teknologi yang dapat di pelajari dari surah agong Al-Fatehah ini, yang di ulang2 bacaannya di dalam bulan Ramadan ini ….
Kajilah dan fahamilah amanah dan iktibar serta ilmu yang di bawa oleh Al-Fatehah ini, terutamanya ketika kita berulang2 membacanya puluhan kali di dalam bulan Ramadan ini, kerana tanpa memahami maksud dan perutusannya, mungkin banyak makmum solat akan lebih banyak berkhayal, teringatkan banyak perkara lain, di pasar, pejabat, sekolah, malah di ladang, di dalam keretanya, atau di panggung wayang dan pusat membeli belah yang telah di kunjungi atau akan di kunjunginya, juga pasar Ramadan yang heruk pekuk dengan suara manusia itu, cucur kodok, atau taik itik, yang di belinya tadi….semuanya datang serentak selama mana dia belum selesai solat Terawihnya………….
Habis solat habislah angan2nya, dan habislah ibadatnya pada malam itu, sementara menunggu malam esok, dan malam2 seterusnya sehingga berakhirnya bulan penuh rahmat, pengampunan dosa dan banyak fadhilat lainnya itu....

Wednesday, May 31, 2017

KENANGAN DI HARI KE 5 BERPUASA




Bulan puasa sering juga membawa ingatan kita kepada ibu bapa yang telah pergi meninggalkan kita, sama ada baru atau lama. Ingatan kita sering kembali ketika kita masih kecil, baru belajar puasa, atau hanya baru bersekolah rendah, iaitu satu kenangan lama yang selalu kita ingat.
Bagi saya, ingatan itu kembali ke satu era yang lama, ketika kehidupan di kampong tanpa api letrik dan air paip, hanya pelita minyak dan air perigi. Bapa saya sering memandikan kami adik beradik di perigi di waktu petang, bersedia untuk buka puasa, dan emak kadang2 menjemur padi di tengah panas, kemudian panggil Cin Kelam untuk upah tumbuk padi dengan menggunakan lesong kaki.
Anak2 zaman ini tidak faham semuanya ini, kerana suasana dan kerja2 ini hanya di fahami oleh orang2 dulu, ketika zaman lama, dan ketika orang2 kampung hidup serba ada saja, namun kehidupan zaman itu agak sejahtera dan bahagia.
Bapa saya menjawat jawatan Penghulu masa itu, satu jawatan besar di dalam kampong, yang sama kedudukannya dalam masyarakat kampong dengan Guru Besar sekolah dan Imam masjid. Tiga orang inilah yang menjadi pemimpin di kampong, dan amat disegani oleh semua, malah mempunyai otoriti dalam pengurusan kehidupan rakyat jelata.
Tidak kira anak siapa, tiga orang ini boleh tegur anak2 yang buat salah, malah guru besar boleh merotan anak2 yang nakal, dan imam juga boleh menghukum kanak2 yang salah laku.
Bapa saya pernah turun ke surau kampong memarahi anak2 muda yang sedang memukul gendang raya dalam bulan puasa di waktu tengah malam sehingga mengganggu ketenteraman orang ramai. Kalau pukul gendang raya itu di lakukan dalam pukul sembilan lebih2 sikit tu tak mengapa. Bertemperian budak2 tu lari lintang pukang, termasuk arwah abang saya sendiri yang segera balik rumah, naik tidur.
Kini semuanya tu hanya menjadi kenangan bagaimana kehidupan menjadi aman dengan kepimpinan yang dapat bertugas dengan ikhlas dan jujur. Emak sering juga membaca Quran dalam cahaya samar2 dari lampu minyak tanah, tetapi bila ke surau, cahaya menjadi lebih terang dengan lampu gasoline, yang mempunyai sumbu puteh, dan lampu ini hidup dengan angin yang di pam sebelum di pasang, namun apa bila angin itu hampir habis, dan minyak masih ada, siapa2 bolehlah  mengepam anginya lagi.
Tok Imam memimpin solat isyak dan terawih, tetapi tidak kira waktunya sangat, kadang2 pukul Sembilan malam gendang raya masih berbunyi memanggil orang ke surau, juga menandakan solat belum di mulakan. Gendang raya menunjukkan kan waktu solat..pukul lah apa rentaknya pun, tetapi jika penutupnya berbunyi empat kali tanpa rentak, maka tandanya sembahyang isyak, zohor atau asar yang mempunyai empat rakaat. Tiga kali tanda Maghrib, dan dua kali menandakan sembahyang subuh.
Apa2 pun ingatan yang menjelma di kepala kita setelah berdekad2 masa berlalu ketika emak ayah kita meninggalkan kita, maka ingatan kepada mereka di dalam bulan Ramadhan ini sering menimbulkan perasaan yang bercampur baur. Hanya anak2 saja yang dapat memahaminya, dan merasakan kesannya, kembali menghayati semula kehidupan ketika itu, sebagai anak2 kecil yang masih mentah, dan belum maju seperti sekarang.

Ingatan ini amat berkesan menggerakkan emosi dan rohani masing2, pemikiran tentang susah senangnya ibu bapa kita membesarkan kita, dan dengan sendirinya mendorong kita mendoakan mereka dengan seribu doa..doa yang tidak lagi dapat mereka dengar atau hayatinya…yang kita sendiri kadang2 tidak ingat sama ada pernah kita lakukannya semasa hayat mereka masih ada,,…atau setelah sekian lama mereka pergi meninggalkan kita.

Tuesday, May 30, 2017

RENUNGAN UNTUK HARI KE-4 BERPUASA




Al-Quran memberikan pengajaran kepada hamba2 Allah bahawa mereka mempunyai daya pemikiran dan kehendak hati untuk di ikutinya…Dua orang wanita yang menjadi isteri Nabi Allah, iaitu isteri Nabi Lut dan Nabi Nuh, sepatutnya menjadi orang yang soleh kerana suami mereka adalah Nabi Allah, namun seperti yang di terangkan oleh Allah di dalam Surah Al-Tahrim ayat 10 ;
“…mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba2  Kami,  dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing2, maka kedua2 suami mereka tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah…”
Sebaliknya, isteri Fir’aun  tidak pun terjejas imannya walau pun menjadi isteri Fir’aun yang jelas kekufurannya, seperti yang dijelaskan oleh Allah di dalam surah Al-Tahrim ayat 11….
“…Allah mengemukakan satu misalan perbandingan kepada orang2 Mukmin, iaitu hal isteri Fir’aun ketika ia berkata ‘Wahai Tuhanku, binalah untuk ku sebuah rumah di sisi-Mu di dalam syurga, dan selamatkanlah aku dari Fir’aun dan perbuatannya, serta selamatkanlah aku dari kaum yang zalim”
Ternyata dari pengajaran Al-Quran ini bahawa seorang individu itu masih dapat memahami yang benar dan tidaknya dengan mempelajari dan menghayati sesuatu yang haq itu, seperti yang berlaku kepada isteri Fir’aun, iaitu sungguh pun suaminya amat kuat kekufurannya dan mendapat pengikut yang ramai, namun dia sebagai seorang yang beriman dan patuh kepada perintah Allah, akan tetap mematuhi dan beramal dengannya, keluar dari kefahaman dan kelakuan suaminya sendiri.
Hal yang sama berlaku kepada isteri Nabi Nuh dan Nabi Lut, iaitu ketika kedua2 Nabi ini menyeru manusia umumnya kepada mematuhi perintah Allah mengikut ajaran tauhid, namun isteri2 mereka nampaknya tidak dapat melihat kebenaran ini, lalu keluar dari risalah kebenaran yang di serukan oleh para suami mereka.
Hal ini sebenarnya memberikan pengajaran kepada orang2 Islam agar mengambil iktibar akan perilaku dan aliran pemiikiran sesiapa sahaja, termasuk orang2 yang dekat dengannya, supaya sentiasa awas dan dan sedar tentang tabiat manusia ini, untuk diusahakan ke arah kebaikan.
Allah memberikan perbandingan dan contoh tauladan ini untuk menunjukkan bahawa manusia dengan segala pemikiran dan kehendak hatinya akan sentiasa melakukan apa2 saja perbuatan baik atau jahat, bukan hanya kerana persekitaran dan pengaruh orang2 di sekeliling yang di dampinginya

Monday, May 29, 2017

DAH TIGA HARI PUASA?







PEMUDA PENGHUNI GUA: WATAK ANAK MUDA

Ada orang merasakan bahawa masa berjalan dengan cepat sekali, dan ada orang lain yang merasa amat lambat. Hal ini semua terhenti kepada keadaan sekeliling dan perasaan dalaman mereka. Kalau bagi orang pelarian perang Syria yang merasakan semuanya amat menyakitkan perasaan dan fizikal mereka, maka mereka tentulah merasakan masa satu hari berlalu seolah-olah hampir seminggu atau sebulan. Tetapi bagi orang Malaysia yang banyak makan minum, tidak mengalami peperangan, happy go lucky pula, dia tentulah merasakan masa ini berjalan agak biasa, malah kadang2 merasakan masa berjalan amat cepat, tidak terasa telah berpuasa tiga hari
Namun tiga hari tetaplah tiga hari, tak boleh di ubah2 lagi.


Para pemuda penghuni gua seperti yang di ceritakan oleh Al-Quran sebagai Ashabul-Kahfi, tidur begitu lama, tetapi bila terbangun mereka berselisih pandangan, ada yang kata mereka hanya tidur sehari semalam, atau setengah hari saja, kata yang lain.


Menyebut kisah anak2 muda dalam kisah ini, mereka melarikan diri ke gua sebenarnya ialah kerana tidak mahu mengikut paksaan raja mereka supaya syirik kepada Allah, dan kerana perlu menyelamatkan diri, malah tidak rela mengikut perintah raja yang syirik itu, mereka merasakan lebih baik mencari jalan selamat, iaitu melarikan diri pergi bersembunyi di dalam gua yang agak jauh, supaya raja dan pengampu2nya yang taksub tidak dapt mengesan di manakah mereka berada, bukan dengan cara membentuk ISIS atau Daesh, dan berjihad ....


Mereka memasuki gua dan Allah melenakan mereka begitu lama, agar segala kekejaman hidup dan ancaman nyawa terhadap mereka akan berakhir apa bila mereka terbangun kemnudian kelak.


Bacalah kisah mereka di dalam Al-Quran, surah Al-Kahfi juzuk kelima belas, amat mengajaibkan, namun Allah berfirman kepada Nabi Muhammad SAW bahawa walau sebagaimana ajaib sekali pun kisah para pemuda ini, namun Al-Quran mengandungi banyak keajaiban yang lebih lagi dari kisah ini, kerana kitab suci ini adalah merupakan mukjizat yang ulung dari Allah kepada Nabi Muhammad dan umat Islam umumnya, namun mungkin orang Islam sendiri yang tidak merasakan demikian, kerana tidak memahami rahsia keseluruhannya.


Selama para pemuda yang mempunyai sikap dan pendirian tersendiri, berbeza dari raja mereka yang zalim dan sesat itu, mereka di pelihara Allah dengan perjalanan alam tabi'e ciptaan Allah, iaitu mereka di kenakan cahaya matahari pada waktu siang, dan melindunginya pada waktu malam, malah Allah menjadikan jasad mereka berpusing2 kekanan dan kekiri, mungkin menelentang dan meniarap, supaya badan mereka tidak reput di makan kuman dan tempat tidur yang keras...


Inilah sebenarnya sikap dan pendirian anak2 muda yang rasional dan matang, walau pun umur mereka masih muda, malah mereka merasakan dan yakin bahawa raja mereka adalah silap dan salah, lalu mereka harus mengambil pendirian yang tersendiri, membuat keputusan yang mereka yakin betul, tanpa dapat di paksa oleh golongan tua dan berkuasa..


Demikianlah mereka tidur selama 309 tahun di dalam gua itu, dan selamat bangun semula, ketika mereka merasakan baru hanya tidur semalam, tetapi sebenarnya mereka telah tidur selama lebih tiga abad....


Oleh itu kita tentulah tidak merasakan bahawa puasa selama tiga hari itu telah cukup meletihkan
.

 kita, tak dapat makan mee rebus dan minum air batu campur, kerana sebulan dalam dua belas bulan bukanlah lama. Masa sebelas bulan lagi masih ada.. 

Sunday, May 28, 2017

2 RAMADAN 1438






Pada permulaan puasa, rupa2nya Malawi City di Filipina mengalami pembunuhan yang di dakwa dilakukan oleh golongan ISIL atau ISIS dan yang amat gawat sekali ialah terdapat berita yang mengatakan bahawa beberapa orang pejuang itu adalah terdiri dari rakyat Malaysia. Namun sekiranya tidak melibatkan pejuang Malaysia sekali pun, tetapi lokasi kejadian amat membimbangkan kita, kerana sayap keganasan itu nampaknya mulai mehampiri daerah kita.


Selama ini kita tidak pernah menduga bahawa besar kemungkinan anak-anak muda kita akan turut terlibat dengan gerakan pembunuhan dan kekacauan ini. Malah kita  merasa bangga bahawa akhir2 ini, sejak berlakunya kesedaran yang amat besar tentang penghayatan agama, termasuk kanak2 yang di ajar membaca ayat2 Al-Quran doa dan zikir, melakukan ibadat Solat, dan menghadiri kelas2 tahfiz yang menambahkan keimanan dan keperibadian sebagai Muslim di negara kita, semuanya itu menunjukkan bahawa pelajaran agama telah di berikan perhatian oleh pemerintah dan rakyat, termasuk keperihatinan para ibu bapa sendiri dan hal ini pada anggapan kita amat membantu anak2 kita daripada terpengaruh dengan gerakan ganas dan menyeleweng itu.


Oleh itu adalah di rasakan bahawa hal ini mungkin perlu di lonjakkan ke hadapan, pergi lebih jauh lagi dalam pendidikan agama yang bersifat ritual dan ibadat serta fardu ain, kepada ajaran dan pendidikan Islam yang lebih bersifat ilmu dan hikmah, syariah dan akhlak, akidah dan penghayatan cara hidup Rasulullah dalam masyarakat, supaya dengan ini jenerasi baru ini dapat memahami disiplin ilmu yang lebih universal, tentang jihad, syahid, perang sabil, dan dapat membezakan di antara membunuh tanpa hak, mencampur adukkan emosi dan sentimen dengan perjuangan Islam sebenarnya, agar mereka tidak akan terpengaruh dengan Daesh, ISIL, dan golongan Jihadis yang kononnya amat Islamik, dan berjuang kerana Islam...kalau mati maka mati syahid..masuk syurga bulat2,,,malah yang lebih dari itu bahawa mereka diupah dengan jumlah wang yang banyak, kerana kita sendiri sentiasa mendidik anak2 kita dengan wang ringgit sehingga rakyat kita menjadi umat yang terlalu materialistik..
Itulah yang saya namakan lonjakan paradigma dalam pendidikan ilmu dan agama di dalam masyarakat Islam kita seluruhnya, termasuk di negara kita yang telah diresapi dengan gejalan2 perjuangan yang tidak sihat atas nama Islam dan Al-Quran..

Marilh kita fikir2kan hal ini, terutamanya dalam pendidikan agama di sekolah dan Universiti, juga di rumah oleh para ibu bapa..ketika segala gejet, alat2 komunikasi ICT sekarang ini tidak terkawal lagi, termasuk propaganda oleh golongan menyeleweng yang mudah mempengaruhi anak2 muda kita.





Saturday, May 27, 2017

AWAL RAMADHAN 1438



Hari Sabtu 27 Mei 2017 umat Islam mulai berpuasa tahun ini..Puasa datang dan pergi kesekian kalinya, dan umat Islam meneruskan ibadat ini selagi dunia masih belum kiamat.
Hari ini seperti biasa, umat Islam negara kita sekali lagi memulakan ibadat ini dengan setianya. Malah ibadat puasa memerlukan kesetiaan dan keikhlasan. Tanpa ikhlas, hamba Allah boleh berpuasa kerana tujuan lain, bukan kerana menunaikan ibadat yang di tuntut Allah dan untuk mencari keredaan Allah.
Sebab itulah setiap ibadat dalam Islam memerlukan NIAT, dan niat nya ialah kerana Allah yang memerintahnya, maka hamba Allah mestilah patuh kepada perintah Allah.
Kebiasaan rutin hamba Allah di luar Ramadan ialah makan dan minum tanpa mengira waktu. Kalau di pejabat, selepas bersarapan, maka pada jam 10 perlukan kelepasan untuk minum, dan kelepasan makan tangah hari berikutnya, kemudian dalam jam tiga perlu ke kanteen lagi.
Namun apa bila seseorang itu berniat untuk puasa hari berikutnya, maka dia tidak akan makan dan minum pada waktu2 yang ditentukan itu, malah dia mungkin tidak merasakan lapar dan dahaga seperti biasa.
Niat adalah kerja hati, dan fungsi kawalan dalaman yang amat berkesan mengekang nafsu. Dengan niat yang disandarkan kepada Allah seorang Muslim menjadi kuat fizikal dan spiritualnya, dalaman dan luaran...
Di sinilah sebenarnya terletak kekuatan umat Islam, yang kini nampaknya kekuatan itu hanya merupakan retorik, lambang dan amalan bibir sahaja, tanpa di praktikkan.
Sukar sifat jujur dan ikhlas ini di hayati sebenar2nya oleh umat Islam masa kini, malah mereka di kuasai nafsu, terlalu materialistik, individualistik, tamak haloba dan berajakan wang serta nafsu.
Orang yang mengetahui ajaran agama, hanya mengetahui, tapi amalannya tidak..Setiap hari terdapat orang Islam yang tidak beretika, tidak bermoral, dan tidak berakhlak. Mereka makan haram, bertuhankan wang rasuah, berbohong, tidak beramanah, dan melakukan 1001 pengkhianatan, demi kemegahan dunia dan kemakmurannya..
Ibadat dan nilai2 murni dalam ibadat itu tidak lagi di kait dan dihubungkan dalam disiplin diri...
Tak taulah apakah yang akan berlaku kepada dunia Islam, masyarakat Islam, dan pemerintahan Islam....
Puasa datang dan pergi, namun keadaan jiwa dan hati, akal dan pemikiran Muslim masih tidak berubah, bahkan semakin rosak....
Ya Allah tunjukkanlah jalan yang benar...

Pageviews last month