Sunday, August 24, 2014

MEMAHAMI ISLAM YANG BETUL

BERJIHAD 
 Islam haruslah difahami secara syumul...Berjihad yang digunakan istilah "Jihadis" dalam media Barat perlu difahami konsepnya yang sebenar. Tanpa memahami konsep dan definasi jihad yang berlandaskan hukum syarak, maka orang Islam akan tersesat dalam kefahamannya dan akan melakukan jihad yang tidak menepati hukum syariah yang sebenarnya.

Kita membaca berita baru-baru ini tentang seorang anak Melayu (?) dari negara kita yang telah terkorban di Syria ketika berjuang bersama-sama askar penentang Basshar Al-Asad, pemerintah Syria. Malah ada yang tercedera juga. 

Penglibatan anak negara kita ini hanya baru kita mengetahui ketika tersibar berita tersebut. Dan sebelum ini pun kita telah mendengar berita tentang penglibatan rakyat kita, umat Islam, yang turut mengangkat senjata berjuang dengan kumpulan tertentu di negara lain, seperti di Iraq....

Perkara pertama yang seharusnya kita timbulkan di sini ialah apakah usaha kita untuk memberi kefahaman kepada umat Islam negara kita tentang penglibatan mereka dalam pertempuran bersejanta bermaksud untuk membunuh manusia lain, terutamanya sesama Islam? Ertinya apakah motif perjuangan itu di benarkan oleh syarak atau pun tidak?

Kalau dibenarkan oleh syarak apakah hujah dan dalilnya dari nas Al-Quran dan Hadith?

Kalau tidak dibenarkan apakah hukumnya penglibatan umat Islam dalam perjuangan ini?

Saya merasakan bahawa pihak pemerintah negara kita, Kementerian Luar Negeri, pihak berkuasa agama, termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan, tidaklah seharusnya memandang ringan akan hal ini, malah usaha haruslah digembelingkan untuk mengkaji hal ini dan mencari penyelesaian yang sepatutnya tentang perkara ini.

Isu ini amat serius, memandangkan Malaysia sentiasa komited dalam menjaga kemurniaan agama Islam dan amat perihatin tentang penglibatan anak negaranya dalam gerakan keganasan dan pertumpahan darah. 

Oleh itu penjelasan dan penerangan tentang hukum agama, batas-batas penglibatan kita dalam menghadapi nasib malang umat Islam negara lain, malah isu yang melibatkan aktiviti bersenjata yang boleh memusnahkan jiwa dan harta benda orang lain, hendaklah dibicarakan secara meluas di negara kita ini, supaya hal ini dapat difahami sengan sebaik-baiknya oleh rakyat dan umat Islam negara kita.

Di mana-mana saja di dalam dunia yang bergolak pada hari ini akan terdapat kumpulan militan dan radikal yang akan berjuang mengangkat senjata dan melakukan keganasan sehingga menyebabkan pertumpahan darah.

Perjuangan ini tidak hanya melibatkan para Jihadis yang dikatakan berjuang atas nama agama dan sekiranya mati, maka matinya adalah mati syahid, bakal ke syurga, tetapi terdapat perjuangan radikal dan ganas lain yang tidak melibatkan agama secara langsung, seperti yang berlaku di Sri Lanka, Ireland Utara, Spanyol dan beberapa buah negara lain lagi. 

Oleh itu kebanyakan pertelagahan dan kerisis ini sebenarnya adalah merupakan kerisis dan pertelegahan politik yang melibatkan kuasa dan disebabkan oleh kerisis kepimpinan serta pemerintahan yang tententu. 

Tetapi bagi umat Islam mereka tersalah faham dalam penglibatan ini sehingga terdapat diantaranya yang menganggap bahawa perjuangan ini adalah perjuangan jihad pada jalan Allah yang seharusnya dilakukan oleh mereka.

Hal inilah yang seharusnya diberikan kefahaman yang meluas dan jelas kepada rakyat kita, terutamanya umat Islam yang amat mudah terpengaruh denga gerakan bersenjata yang dilebelkan sebagai gerakan menentang musuh Allah dan musuh agama, maka musuh Allah dan musuh agama itu harus dibunuh dan halal darahnya, sedangkan hakikat yang sebenarnya tidak begitu, tetapi tidak difahami.

Sebelum kekeliruan yang menyesatkan pemikiran umat kita ini berlarutan, dan sebelaum "trend" ini menjadi norma-norma kefahaman yang umum kepada umat kita, akibat dari kepelbagaian fatwa yang dikeluarkan dari berbagai-bagai sumber yang tidak berotoriti, maka kita dalam negara ini sendiri haruslah mencari jalan bagi manangani hal ini dengan sebijak-bijaknya, terutamanya dari perspektif world view dan kefahaman Islam itu sendiri, hukum hakam dan fatwanya yang sebenar mengikut Al-Quran dan Sunnah......

Kita tidak mahu melihat umat kita terlibat dengan gerakan militan secara melulu, dan menyalah tafsirkan ajaran agama yang sebenarnya dalam hal ini.

Para ulamak dan sarjana Islam sendiri seharusnya segera bertindak membetulkan situasi dan kefahaman ini sebelum menjadi begitu terlambat, dan mungkin meresap masuk ke dalam masyarakat dan negara kita sendiri... 



Friday, August 15, 2014

MAKNA BERKABUNG



BERKABUNG CARA ISLAM


Alhamdulillah sebahagian mayat para penumpang Malaysia yang menjadi korban tragedi MH17 akan sampai ke tanah air pada 22 Ogos ini.

Pengumuman yang dibuat oleh YAB Timbalan Perdana Menteri agak melegakan kerana jenazah itu akan disambut sebegitu rupa mengikut syiar agama, terutamanya agama Islam.

Harap Kerajaan akan meneliti dan mendapatkan pandangan para ulamak Islam tentang cara menyambut jenazah itu dan erti berkabung mengikut syiar Islam, yang tentunya berbeza dari adat tradisi dan simbolik agama lain. Ritual dan doa serta bacaan ayat suci al-Quran dalam menyambut mayat ini haruslah hanya dikhususkan kepada mayat dan jenazah Muslim saja, berjauhan dari mayat mangsa agama lain.

Harap tidaklah jenazah Muslim di gabungkan dalam satu sambutan mengikut kepelbagaian agama, kerana jenazah Muslim tidaklah hanya diraikan secara keduniaan yang melampau dan menjadi acara yang kelihatan sama dengan sambutan agama lain.

Saya menyebut begini kerana terdapat upacara perayaan agama yang sering digabungkan dalam satu acara semua agama, seolah-olah semua agama itu sama tarafnya dan kepercayaannya dari segi akidah dan syariahnya.

Islam mempunyai ajarannya yang menggabungkan dunia dan akhirat, terutamanya dalam ibadat dan sebarang acara keagamaan sendiri yang berbeza dari amalan serta kepercayaan agama-agama lain.

Keunikan ajaran Islam ini tidak bererti kita akan melihat secara negatif kepada agama lain, kerana agama Islam sendiri mengajar kita supaya masing-masing mengakui dan berpegang kepada prinsip "Bagi kamu agama kamu, dan bagi kami agama kami" 

Sebagai sebuah negara yang mempunyai Perlembagaan yang unik tentang kedudukan Islam, maka Kerajaan haruslah menghayati hal ini dalam semua upacara dan perayaan keagamaan supaya hal ini tidak menimbulkan salah faham dan rasa keliru di kalangan generasi baru Muslim sekarang ini.

Takziah kepada semua rakyat Malaysia di atas tragedi yang amat menyayatkan hati ini, terutamanya kepada kaum keluarga mangsa yang tersayang. Al Fatihah..

Sunday, August 3, 2014

SAMPAI BILAKAH PEPERANGAN INI AKAN BERTERUSAN?




HENTIKAN KEGANASAN....


Hingga kini orang awam Gazzah yang terkorban dalam serangan Israel ialah 80% dari hampir 1,800 orang korban rakyat Gazzah keseluruhannya. Yang terbunuh di pihak Israel kira-kira 65 orang adalah tenteranya dan 3 orang sahaja orang awam. Perangkaan ini menunjukkan bahawa Israel lebih banyak membunuh orang awam, sedangkan Hamas membunuh hampir keseluruhannya adalah tentera. Siapakah yang lebih zalim dan tidak bertamadun dalam konteks ini??

Dari sudut pandangan syariah, ternyata bahawa penceroboh yang melakukan jenayah perang ialah Israel. Dan dari sudut syariah juga Gazzah adalah merupakan pihak yang mempertahankan diri dari pencerobohan.

Peperaangan disyariatkan di dalam Islam ialah ketika dicerobohi iaitu diperangi, dizalimi dan dihalau dari rumah tangga dan negara, maka yang diceroboh mestilah bangun bertindak mempertahankan dirinya. Dan hal inilah yang dilakukan oleh Kerajaan Ghazzah.

Bagaimana pun dalam perhitungan dan peraturan peperangan, strategi peperangan dan sasaran perang di antara sebuah negara yang kuat dengan pihak Ghazzah yang diterajui oleh Hamas, ternyata bahawa setakat ini Hamas telah mencapai kemenangan.

Pihak Israel dapat menyelamatkan nyawa para tenteranya di dalam serangan udara yang dilancarkan selama ini, kerana Hamas tidak dapat bertempur di udara atau mempunyai senjata berat menentang serangan udara.

Tetapi apabila Israel melancarkan serangan darat, maka Hamas telah menentang dengan kuat sehingga askar Israel, yang selama ini tidak dapat disentuh oleh Paalestin, tiba-tiba mereka terkorban dalam bilangan yang agak besar.

Maka dalam hal inilah Hamas telah mendapat kemenangan moral  dan fizikal yang besar, dan Israel sendiri telah mengalami "kekalahan" yang memalukan dan mungkin akan menyebabkan kehilangan sokongan dari rakyatnya sendiri pada masa hadapan, kerana bilangan tenteranya yang terbunuh adalah "besar" dibandingkan dengan Hamas yang selama ini hanya dianggap sebagai kumpulan teroris.

Namun pandangan dan perasaan kita adalah amat memilukan ketika melihat angka korban perang ini di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa, wanita warga emas dan bayi, yang terbunuh serta merta, atau tercedera seluruh anggota badan, atau yang terpaksa dipotong kaki atau tangannya, apa lagi melihat kanak-kanak yang menangis kesakitan ditambah dengan kehilangan ibu atau ayahnya, maka tidak ada sesiapa dari kalangan manusia yang waras akan dapat menahan kesedihan dan kepiluannya melihat pandangan yang amat menyakitkan ini.

Hamas boleh terus melawan, tetapi sokongan kepadanya hampir tiada. Tanpa sokongan politik, undang-undang dan masyarakat antara bangsa terhadap Hamas, maka nampaknya pihak Israel akan terus mengganas dan akan mengorbankan nyawa orang awam yang lebih banyak.

Hingga kini selain dari nyawa manusia yang tidak berdosa yang telah terkorban, sekolah, universiti, masjid, hospital, tempat kediaman, malahan bangunan milik bangsa-bangsa bersatu juga telah disasarkan oleh tentera regim Israel, tanpa berperi kemanusiaan, apa lagi menghormati tempat suci dan mulia umat Islam, juga masa ibadat orang Islam di dalam bulan puasa dan raya ini. 

Di dalam masjid yang ranap di bedil dan dibom, kitab suci al-Quran hancur lebur, keratan mashaf bertaburan, malah terbakar dalam timbunan batu dan tembuk masjid yang telah berkecai.

Cabaran ini amat besar keada umat Islam, bukan hanya kepada Hamas dan rakyat Gazzah, tetapi kepada umat Islam seluruhnya yang berjumlah hampir, atau melebihi 2 billion orang di atas muka bumi ini. Tetapi nampaknya Hamas terpaksa bersendirian dalam peperangan ini.

Bagaimana pun, oleh kerana nampaknya Israel mulai mengundurkan tenteranya dari bumi Gazzah, dan agak berhajat untuk mengadakan gencatan senjata, maka rasanya Hamas haruslah memikirkan tentang prospek rakyatnya yang tidak berdosa, kanak-kanak dan bayi, yang mungkin akan lebih banyak lagi terkorban sekiranya peperangan ini diteruskan.

Hamas telah mengetahui kekuatannya dan kejayaannya yang besar, telah mengetahui siapakan lawan dan kawannya, termasuk dari jiran tetangga dan bangsanya sendiri, telah mengetahui tipu daya dan tektik kotor Israel, malah telah memalukan Israel pengganas gergasi itu, maka mungkin telah sampai masanya Hamas menyambut cadangan PBB supaya diadakan genjatan senjata segera dan seterusnya memulakan tekanan kepada regim Israel agar segera mengundurkan tenteranya dari bumi Gazzah.

Dengan menerima gencatan senjata, bukan bererti Hamas menyerah kalah, kerana umum telah mengetahui kekuatannya, tetapi untuk maslahah umum dan keselamatan rakyatnya sendiri, Hamas haruslah menggunakan kemenangannya ini untuk meletakkan syarat kepada masyarakat antarabangsa agar mengenakan tekanan ke atas Israel supaya berundur sepenuhnya dari bumi Ghazzah dan memberhentikan peperangan. 

Tiga langkah ke hadapan, dan berundur selangkah ke belakang bukanlah bererti menyerah kalah, tetapi semata-mata untuk kepentingan yang lebih besar iaitu memberhentikan pertumpuhan darah seterusnya di kalangan umat Ghazzah yang telah terlalu banyak berkorban ini.

Namun langkah ini haruslah diambil sekiranya Israel mulai menerima kenyataan tentang beberapa kelemahannya sendiri dan bersedia untuk bertolak ansur dalam menerima tekanan dari Hamas ini. Mudah-mudahan.....Dan kita berdoa kepada Allah SWT supaya ditunjukkan kebenaran....Apabila datang kebenaran maka akan terhapuslah kebatilan...


Pageviews last month