Sunday, June 30, 2013

MENINJAU IPT DI UK



MENGUBAH ANGIN

Saya tidak menghilangkan diri kerana sesuatu sebab, merajuk atau sebagainya, tetapi kerana menjalankan urusan akademik di beberapa buah universiti di England, iaitu di Oxford, Kent dan London School of Oriental and African Studies. 

Udara jerebu yang saya tinggalkan di negara kita, maka UK menyambut saya dengan udara sederhana, kadang-kadang sejuk sedikit, namun langitnya cerah dan terang benderang. Namun ketika UK memasuki musim panas ini perubahan siang dan malam amat menyentuh umat Islam dari segi waktu sembahyang lima waktunya.

Di UK sekarang siang menjadi panjang, subuh masuk jam 2.30 pagi, syuruq kira-kira jam 4.45. Maghrib dalam jam 9.30, isyak 11 malam!

Saya jumpa para pelajar dan warga negara kita yang bermustautin di UK, juga para pekerja di Suruhan Jaya atau Pendidikan Malaysia di sini, mereka nampaknya telah bersedia dengan penuh tabah untuk menghadapi bulan puasa yang akan datang, walau pun meraka akan berpuasa lebih lama dari masa kita berpuasa di tanah air sendiri.

Bayangkan sendiri bagaimana umat Islam di UK ini akan berpuasa mulai dari jam 2.30 pagi, dan hanya akan berbuka pada jam 9.30 malam!?? Berapa jam agaknya meraka akan berpuasa? 19 jam? Sedangkan kita hanya berpuasa kira-kira 13 jam sahaja!

Dari perbualan saya dengan rakyat kita, terutamanya yang telah tinggal di UK selama belasan atau puluhan tahun, mereka menyatakan bahawa keadaan ini telah lama mereka alami, cuma kekuatan iman saja yang menjadikan mereka amat tabah dan sabar menghadapi bulan puasa dalam musim panas ini, kerana dalam musim sejuk pula mereka hanya berpuasa dalam masa yang amat singkat, iaitu kira-kira jam 5 petang telah pun berbuka, dan imsak pula mungkin jam 6 atau 7 pagi! Allah itu kan adil?

Kurang-kurang itulah pengalaman pendek saya semasa di UK dekat-dekat bulan Ramadan al-Mubarak yang akan tiba tidak lama lagi itu. 

Insya'Allah jika punya kekuatan, saya akan cuba pula pada tahun ini, dalam bulan berkat ini, akan menulis dan mencatat beberapa pengalaman dan berkongsi hikmah dengan para pembaca sekelian pada setiap hari bulan Ramadan ini seperti yang telah saya lakukan dalam bulan puasa yang lalu.

Selamat berpuasa.


Thursday, June 20, 2013

KENAPA PRU MENJADI SENGIT?




KUASA DIBERI DAN DIGUGURKAN OLEH ALLAH SWT

Setiap kali lepas sembahyang, kita sering berwirid dan membaca ayat-ayat dari Al-Quran. Setiap kali kita membaca ayat Kursi kita menyambung dengan ayat-ayat yang berbunyi atau bermaksud : "Katakanlah, wahai Tuhan kami, bahawa Engkaulah Tuhan yang memiliki kuasa. Engkau memberikan kuasa kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menggugurkan kuasa dari sesiapa yang Engkau kehendaki, Engkau muliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, Engkau hinakan sesiapa yang Engkau kehendaki, di dalam kekuasaan-Mu terletaknya segala kebaikan, sesungguhnya Engkaulah yang amat berkuasa di atas segala sesuatu".

Dengan itu pada akhirnya ketika manusia berikhtiar dan berusaha untuk berkuasa di dalam segala bidang apa sahaja, maka akhirnya Allah SWT itulah yang menentukannya sama ada seseorang itu berjaya mendapatkan kuasa yang dicarikan dan diusahakannya atau pun usahanya untuk berkuasa itu akan menemui kegagalan.

Mesej Allah ini amat jelas dan terang, wajib diimani dan diyakini, tidak perlu berontak dan bangun menentang takdir kalau kita tidak berjaya untuk berkuasa. Syukurlah dengan kuasa yang kita dapat, walau pun sedikit jika dibandingkan dengan orang lain yang mungkin mendapat kuasa yang lebih dari kita. Itu sudah kehendak Allah yang maha berkuasa, yang menentukan segala-galanya.

Kita yang faham ajaran agama Allah, yang faham makna dan tafsir al-Quran, yang kuat iman dan amal, yang hanya mengakui bahawa Allah itulah Tuhan kita, maka kitalah yang seharusnya dari awal-awal lagi mengakui sekadar mana kuasa yang diberikan oleh Allah kepada kita.

Mungkin sedikit kuasa yang diberikan itu merupakan satu iktibar dan pelajaran yang seharusnya kita ambil sebagai hikmah, atau mungkin juga ujian. Malah kuasa yang diberikan dengan banyaknya kepada orang lain itu juga merupakan ujian dan hikmah untuk mereka.

Apa lagi yang hendak dikesalkan? Apa lagi yang hendak dituntut? Apakah kita mencuba untuk melawan kekuasaan Allah? Mengingkari akan nikmat-Nya? Tidak bersyukur? Bukankah Allah juga yang menyatakan : Bahawa sekiranya kamu bersyukur niscaya akan Aku tambahkan lagi, malah jika kamu kufur, maka azab Allah itu adalah amat berat?

Kita tahu semuanya ini, Kita sering memberikan khutbah dan tazkirah menggunakan ayat-ayat ini, Kita mendengar orang alim, para guru dan bijak pandai agama sering memetik hikmah dan pelajaran dari ayat-ayat ini, tetapi apabila sampai kepada diri sendiri, tertimpa ke atas batang hidung sendiri, kita segeera lupakan ajaran yang kita kuasai dan ketahui itu, kita kutuk orang lain yang mendapat kuasa, seolah-olah kitalah yang sepatutnya mendapat kuasa 100%.

PRU menjadi sengit, kerana orang yang telah sedia berkuasa, akan berusaha bermati-matian mempertahankan kuasanya, dan orang yang satu lagi berusaha bermati-matian juga untuk merebutkan kuasa dari tangan orang lain itu, lalu diusahakan untuk mendapat undi, memujuk rayu, malah mengugut dan memberikan berbagai-bagai amaran, jagalah kamu! Nantilah kamu!

Setelah itu, setelah habis berusaha dan berikhtiar, maka undi hanya menjadi alat dan sebab, tetapi kemenangan dan kegagalan adalah ditentukan oleh Allah, sepatutnya terimalah segala yang ditakdirkan Allah, sama ada baik atau sebaliknya.

Di keliling kita banyak orang yang ditimpa bala bencana oleh Allah, penyakit, kemalangan, lemas, terbakar, hampa, merana, menderita, dan berbagai-bagai dugaan dan cubaan, tetapi apakah yang boleh dilakukan lagi, semuanya itu adalah takdir Allah.

Kalau ibu yang kehilangan anaknya kerana mati lemas semua tiga beradik, yang maut dalam kemalangan motosikal dan bas, yang terbakar dalam rumah, yang tiba-tiba diserang penyakit jantung, tengah baik-baik tiba-tiba maut, kalau semua mereka dapat memberikan kenyataan bahawa mereka menerima takdir Allah dengan sabar dan tabah, malah dengan penuh iman dan yakin kepada kekuasaan Allah, kenapakan orang politik tidak mahu mengatakan demikian ketika kalah dalam PRU? Sedangkan kalah dalam PRU tidaklah bererti nyawanya telah melayang, atau sedang menderita terkena penyakit kanser peringkat ke empat yang mungkin bermakna bahawa dia telah sampai ke penghujung jalan hidupnya!!

Politik adalah satu permainan yang baik dan sihat, tetapi manusialah yang menjadikan politik itu satu permainan yang kotor dan buruk....Kuasa adalah sesuatu yang diperlukan untuk memerintah, tetapi manusialah yang menjadikannya satu barang rebutan, yang seharusnya direbut dengan apa saja jalannya,,termasuk melawan takdir Allah SWT....
             

Tuesday, June 18, 2013

MORAL DAN DIALOG KETIKA PRU




SELESAIKAN ISU PRU DENGAN PERUNDANGAN DAN MORAL

PRU 13 telah berlalu sebulan setengah, dan nampaknya persepsi yang tersibar di kalangan banyak pihak adalah amat negatif tentang SPR dan BN. Persepsi dan mungkin juga beberapa ciri PRU 13 yang mungkin agak samar-samar, masih melanda masyarakat kita, sehingga penyelesaian yang sepatutnya dilaksanakan dengan tenang dan rasional, menjadi isu yang menyimpang dari perundingan dan moral. Tindakan tuduh menuduh, yang amat sering menjadikannya fitnah memfitnah, umpatan dan nista, amat berleluasa di dalam masyarakat kita, yang sekali gus mencemarkan adat tradisi, sopan santun dan tatasusila orang Melayu dan agama Islam sendiri.

Sebelum PRU 13, telah timbul bibit-bibit negatif dari beberapa kalangan parti politik, seperti yang pernah saya tuliskan di dalam ruangan ini, iaitu ugutan dan kenyataan negatif oleh pihak yang membangkang Kerajaan ketika itu, seperti ugutan untuk menutup lapangan terbang pada malam keputusan PRU 13 diumumkan supaya tidak berkesempatan bagi orang-orang tertentu untuk meninggalkan negara, atau ugutan untuk menahan dan menagkap musuh-musuh politik yang telah melakukan "kesalahan" kepada rakyat menurut pandangan dan tanggapan "pembangkang" dan sebagainya.

Saya merasakan bahawa ugutan dan kempen negatif ini akan selesai apabila PRU 13 selamat tiba, dan keputusannya telah dibuat oleh rakyat umum. Tetapi rupa-rupanya keputusan rakyat itu tidak dapat diterima dengan baik, dan keputusan itu sebaliknya menjadi pencetus kepada banyak pihak untuk mencipta banyak teori yang tidak demokratik dan terkeluar dari lunas-lunas moral akhlak kita, sehingga mengelirukan pandangan umum masyarakat kita sendiri dan masyarakat luar juga, terutamanya kuasa-kuasa Barat yang sering mengintai-intai peluang untuk mencemarkan nama baik agama kita dan bangsa kita sendiri. 

Kini setelah pintu perundangan dan demokrasi telah dibuka, iaitu untuk semua pihak membawa kes-kes PRU ini kemuka pengadilan mengikut peruntukan undang-undang negara, maka sudah sepatutnya segala perilaku yang lebeh banyak menyerlahkan pemikiran dan mentaliti cetek dan penuh prasangka itu dihentikan, dan mulailah hendaknya mengambil langkah-langkah rasional dan lebeh beradab dengan mengikuti saluran moral dan undang-undang untuk membawa kes-kes yang dirasakan bertentangan dengan lunas-lunas demokrasi dan adab sopan itu melalui proses perundangan negara kita.

Masyarakat Malaysia yang selama ini merupakan diantara masyarakat dunia yang bersopan dan bertatasusila, menghormati undang-undang dan dasar demokrasi, yang terkenal dengan penyelesaian konflik secara perundingan dan dialog bersama, yang juga sekali gus memaparkan contoh berkongsi kuasa dan hidup secara aman damai secara bersama, hendaklah sekali lagi memberhentikan segala tingkah laku yang tidak bertamadun, dan hidupkan semula nilai-nilai moral dan demokrasi ala Malaysia yang selama ini amat tertib dan bersopan. 

Negara dan bangsa tidak akan tercemar sekiranya semua pihak menghormati adab sopan dan tatasusila, menyelesaikan masalah dan konflik menurut saluran undang-undang dan mahkamah, malah lebih dari itu tradisi dan budaya hidup bersama secara aman dan berkongsi kuasa yang amat unik di negara kita ini dapat dihayati dan dihidupkan semual dengan suburnya seperti yang telah berlaku di dalam negara dan masyarakat kita selama ini.

Saya amat mengharapkan bahawa para ketua dan pemimpin politik dalam negara kita ini akan memimpin rakyat dan orang ramai, terutamanya para pengikut parti masing-masing kembali semula kepada kehidupan bermoral dan bertamadun, kerana merekalah yang amat berpengaruh kepada para pengikut masing-masing. Para pemimpin politiklah yang selama ini, iaitu semenjak kita mencapai kemerdekaan,  secara rasional memimpin rakyat dan negara, dan kini para pemimpin politik itulah juga yang sebenarnya mempunyai peranan untuk membetulkan keadaan dan membawa semua rakyat kepada kehidupan bermoral dan berakhlak yang baik. "Rakyat itu adalah sentiasa berada dalam cara hidup para pemimpinnya" menurut kata hikmah yang saya rasa semua kita mengetahuinya.

Wednesday, June 12, 2013

IMPAK PRU : DALAMAN DAN LUARAN




KEPELBAGAIAN CERITA SELEPAS PRU KE-13

1. Dalam penerbangan saya dan isteri ke Auckland, New Zealand pada 11 Mei 2013 selepas selesainya PRU 13, saya sempat membaca sebuah akhbar antarabangsa yang disediakan oleh penerbangan MAS, iaitu akhbar The Global Edition of The New York Times terbitan 11 Mei 2013. Yang amat menarik perhatian kami ialah gambar kartun Ketua Pembangkang (DSAI) dan Perdana Menteri kita (Datuk Seri Najib) yang baru sahaja selesai bertinju, dengan Ketua Pembangkang kelihatan hampa dan marah, tetapi tiada kesan tumbukan di muka atau di badan, namun PM kelihatan menggantung tangan kirinya ke bahu kerana cedera, bengkak kepala dan luka-luka badannya mungkin kerana dibelasah dengan hebatnya oleh peninju yang menentangnya, iaitu ketua pembangkang! 

Namun keputusan tetap dihormati oleh Pengadil tinju itu, walau pun terkena belasah dan pukulan hebat , tetapi markah kemenangan tetap berpihak kepada PM, dan tangannya segera diangkat dalam gelanggang tinju itu juga, menandakan kemenangannya dalam peraduan itu. Namun kesakitan dan mungkin kerana kepalanya terlalu bisa, dia hanya dapat membuka mulutnya menampakkan giginya, walau pun seharusnya dia bergembira dan tersenyum lebar.

Betullah kata-kata hikmah bahawa sekeping gambar dapat memberikan ibarat dalam seribu perkataan, maka gambar ini juga tentunya banyak membawa kata-kata yang menjadi tafsiran tentang mesejnya ini. Oleh itu terserahlah kepada para pembaca mengungkapkan pentafsiran dan makna gambar kartun ini. Namun satu makna yang dapat saya simpulkan: bahawa media Barat amat sinikal dan sering mencuba untuk memalukan kita.

2. Satu berita lain yang menarik perhatian saya secara khususnya, ialah  mengenai nama saya, yang telah disiarkan beritanya di dalam Utusan Malaysia keluaran 23 April 2013, kira-kira 11 hari sebelum hari mengundi PRU 13 pada 5 Mei, bahawa terdapat 1507 nama saya ISMAIL IBRAHIM dalam daftar pengundi SPR yang telah mendaftar untuk mengundi.. Kalau saya ada My Kad sebanyak 1507, maka saya akan menghabiskan hari mengundi sehari suntuk berpusing ke tempat-tempat mengundi untuk membuang undi di 1507 pusat mengundi, dan saya mungkin terpaksa menyediakan satu beg James Bond untuk mengisi semua 1507 kad pengenalan saya itu, dan menggunakan kereta Ferari untuk berpindah dari satu tempat mengundi ke tempat  mengundi yang lain, sehingga selesai 1507 tempat mengundi! (Mustahil kan?). 

Pengumuman ini telah dibuat oleh SPR akibat dari sungutan orang awam yang menulis dalam media sosial bahawa kononnya terdapat seorang hamba Allah yang bernama Ab Rapar Awang yang memiliki tiga kad pengenalan dan boleh mengundi di tiga tempat berbeza. Mengikut SPR memang hasil semakan mereka terdapat nama yang sama iaitu tiga nama yang sama, tetapi ketiga-tiga orang ini mempunyai nombor kad pengenalan, gambar dan cap jari yang berbeza.

Demikianlah tentunya dengan 1507 nama Ismail Ibrahim, nombor kad pengenalan, cop jari dan gambarnya tentu berbeza, yang sama mungkin rambutnya yang beruban bagi kebanyakan mereka, termasuk rambut saya.

Yang menariknya nama lain tidak sampai ke angka besar seperti nama saya, contohnya Fatimah Abdullah (1401) Fatimah Ismail (1377) Ismail Ahmad (1368) dan Azizah Ahmad (1039). Amat menarik nama Ismail terpakai lagi dalam nama-nama ini. Namun yang amat saya harapkan agar Ismail Ibrahim yang senama dengan saya perlulah bertemu dan bergabung membentuk sebuah Persatuan yang boleh dinamakan Persatuan senama: Ismail Ibrahim. Mungkin saya perlu menghubungi SPR untuk mendapatkan senarai nama pengundi PRU 13 yang lepas yang sama nama dengan saya, kerana kalau saya memeriksa di pejabat pendaftaran, tentulah ribuan lagi nama Ismail Ibrahim yang tersenarai di sana dalam semua kategori Generasi, iaitu Generasi Pra Baby Boom, Generasi Baby Boom, Generasi X, Y dan Z!

Saya rasa SPR telah melaksanakan kerja yang berat dan susah ini dengan ikhlas dan amanah, oleh itu mereka tidaklah seharusnya dibelasah secara semberono saja, seperti Ketua Pembangkang membelasah PM dalam gambar yang diterakan di atas  (Maaf bergurau saja sdra Anwar dan Dato Seri Najib)

Nabi Muhammad SAW mengajar kita supaya bersifat dengan sifat dan akhlak yang baik, malah baginda sendiri terkenal dengan sifatnya yang empat: Sidek (Benar) Amanah, Tabligh (menyampaikan ajaran yang baik kepada orang lain) dan Fathanah (berhikmah dan pintar, bijaksana). Kalau kita semua dapat mengambil iktibar dari sifat-sifat terpuji Nasbi kita ini, maka amanlah dunia kita ini.

Namun kesimpulannya, jika kita kembali kepada nama terbanyak dalam senarai SPR itu, iaitu nama saya, maka nampaknya orang Melayu amat arif dan tertarik dengan cerita Nabi Ismail dan ayahnya Nabi Ibrahim, ketika Nabi Ismail sanggup menghulurkan lehernya untuk disembelihkan oleh bapanya Nabi Ibrahim, yang saya tidak tahu adakah kami dari golongan 1507 orang ini, ada sesiapa yang sanggup menghulurkan lehernbya untuk disembelihkan oleh bapanya? .....Mungkin ada kan?

Kita memang tertarik dengan ledakan emosi dan kisah pengorbanan Nabi Ismail dan Nabi Ibrahim itu, iaitu kita boleh bertanyakan soalan yang sama: Apakah akan terdapat bapa yang sanggup menyembelihkan anaknya demi menjalankan perintah Allah SWT? Amat menyedihkan, tetapi akhirnya ternyata bahawa yang berlaku hanyalah ujian Allah kepada manusia, dan sekiranya ditakdirkan benar-benar berlaku penyembelihan anak untuk ibadat korban itu, maka pada hari ini kita semua terpaksalah mengorbankan anak kita sendiri dengan menyembelihkannya. Hal itu tentu tidak berlaku, kerana Allah amat penyayang dan pengasih kepada hamba-hambanya....Kita saja yang kadang-kadang tidak pengasih kepada sesama kita sendiri...

Monday, June 10, 2013

PRU: KEPUTUSAN DIPERTIKAIKAN? KENAPA?





APAKAH MASALAHNYA?

Keputusan PRU ke-13 yang dipertikaikan nampaknya tertumpu kepada beberapa perkara yang berikut:

1. Kewibawaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dipersoalkan dan disyaki berat sebelah
2. Pengundian yang juga disyaki kedudukan kerakyatan para pengundi
3. Masalah ketika membuang undi: dakwatnya, undi berulang, undi pos dan sebagainya
4. Masalah teknikal lainnya.

Akibat dari keraguan dan kesangsian ini maka telah dilakukan beberapa tindakan dan bantahan:

1. Demonstrasi dan  perhimpunan yang dinamakan Blackout 505...
2. Tuntutan supaya semua ahli SPR meletakkan jawatan
3. Diadakan Pilihan Raya semula
4. Memulaukan istiadat pertama sidang Parlimen

Persoalannya :

1. Sekiranya dibubarkan SPR sekarang iaitu semua anggotanya meletakkan jawatan, mengadakan Pilihan Raya baru, apakah keputusannya akan menyebelahi PR atau BN untuk mengulangi kemenangannya?
2. Negeri-negeri yang dimenangi oleh PR dalam PRU 13 yang lalu, akan dijamin masih berkekalan dalam pemerintahan PR?
3. Kalau isu dakwat, kad pengenalan, kerakyatan pengundi, undi pos dan sebagainya sentiasa dipertikaikan, apakah agen-agen BN dan PR tidak menyedarinya semasa proses membuang undi?
4. Apakah rakyat umum, majoriti yang mendiamkan diri sekarang ini masih tidak memahami mesej pihak yang menganjurkan Blackout 505 dan penipuan PRU ke 13 akan mengubah pandangan mereka?
5. Apakah dengan memulau Paarlimen, ada pihak yang akan mendapat simpati rakyat umum, atau akan merosakkan imej orang yang memulaukannya?
6. Apakah dengan berlanjutannya bantahan dan permainan politiking yang membantut kerja-kerja lain yang seharusnya ditumpukan untuk pembangunan rakyat dan negara akan terus menerus mendapat simpati rakyat umum?
7. Tidakkah disedari bahawa segala bantahan dan segala persepsi yang dilakarkan selama ini akan menyerlahkan elemen-elemen negatif individu-individu tertentu sahaja dari segi imej dan kewibawaannya, dari segi menonjolkan sentimen perkauman dan etnik melampau yang menyebabkan kebencian rakyat umum dari kepelbagaian etnik dan kaum?

Oleh itu tidak banyak yang dapat memahami apakah masalahnya dengan keputusan PRU ke 13 yang lalu. Apakah rakyat umum yang hendak dipersalahkan? Apakah instutisi Kerajaan yang harus sentiasa dipersalahkan termasuk SPR, Polis, Kakitangan Awam dan sebagainya?

Apakah dengan penggunaan sosial media untuk memburuk-burukan institusi Raja, agama Islam akan dapat meraih simpati orang Melayu dan Islam?

Apakah tidak cukup dengan kerisis dalaman beberapa komponan parti dalam PR sekarang tidak menjejaskan reputasi Pakatan tersebut?

Rakyat semakin matang dan semakin memahami segala permainan politik yang berlarutan sehingga kini maka dengan itu mereka akan mulai memahami apakah yang baik dan betul, apakah yang buruk dan salah.

Jadi persoalannya :Apakah masalahnya ? Rakyat akan bertanya dan terus akan bertanya...


Monday, June 3, 2013

PRU: EKSPLOITASIKAN GENERASI Y?




CONTOH EKSPLOITASI GENERASI Y

Caranya, mula-mula sekali mereka-rekakan sesuatu teori atau kabar angin secara berulang-ulang kali dan bersungguh-sungguh, umpamanya tentang penipuan undi PRU, dan apabila terlalu banyak hal itu disebarkan, dan ramai pula yang turut mengulang-ulangkannya melalui media sosial terutamanya, u tiub, FB, SMS dan lain-lain, maka perkabaran itu menjadi "realiti" yang seolah-olah mengandungi kebenaran. Inilah namanya "persepsi" dan malangnya persepsi ini adalah persepsi yang salah.

Persepsi ini menjadi satu perkara yang meyakinkan di kalangan generasi Y kerana tabiat generasi ini ialah mempercayai berita yang didengarnya, terutamanya yang menentang "establishment" agensi dan badan-badan yang sememangnya ingin dimusuhinya.

Ketika persepsi menjadi sebagai kenyataan dan kepercayaan oleh generasi tersebut, maka mereka tidak akan ragu-ragu mengambil tindakan, yang biasanya menyalahi undang-undang, berdemonstrasi, bersuara lantang menentang undang-undang, mengkeritik pemimpin yang kadang-kadang sampai menghina Raja sendiri, dan berbagai-bagai tindakan kasar lainyang  berbentuk konfrontasi.

Apabila golongan ini ditangkap atau ditahan polis, maka generasi lama akan menunjukkan simpati kepada generasi darah muda ini, sebab itulah apabila ketua-ketua generasi muda ini di penjara atau di tahan, maka ramailah orang dewasa, termasuk pemimpin politik yang akan berkumpul menuntut orang yang melanggar undang-undang ini di lepaskan, diringankan hukumannya, dikatakan bahawa undang-undang dikenakan ke atas golongan muda ini bermotif politik, dianiyai dan sebagainya, yang menambahkan panas dan bersemangat lagi generasi Y ini hendak menentang undang-undang, atau melakukan kesalahan.

Hal ini dapat dilihat ketika pemimpin pelajar ditahan kerana melanggar undang-undang menghasut, maka ramai yang pergi menyatakan simpati kepadanya dan menganggap dia tidak bersalah! Malah kita juga melihat rakyat kita membela orang-orang yang melanggar undang-undang negara orang lain seperti yang berlaku ketika Kerajaan Singapura memberi amaran kepada pemimpin politik Malaysia yang mencuba untuk campur tangan dalam urusan negara tersebut yang menghukum beberapa orang rakyat Malaysia yang melakukan kesalahan di sana, dan banyak lagi contoh, yang menunjukkan simpati rakyat kepada orang yang melanggar undang-undang, seolah-olah menggalakkan orang melanggar undang-undang negara sendiri, dan negara luar juga..

Perkara yang wajar dilakukan ialah membiarkan urusan undang-undang di tangan pihak berotoriti, mahkamah dan sebagainya, yang akan menjalankan penghakiman terhadap semua kes yang dibawa ke muka pengadilan. Keputusan mahkamah merupakan keputusan undang-undang, dan sekiranya pihak yang dihukum tidak berpuas hati, maka dia mempunyai beberapa peringkat rayuan lagi untuk membuktikan yang dia tidak bersalah, sehingga akhir proses undang-undang ini.

Kita sering mencampurkan isu politik dengan prosers undang-undang, dan sekali lagi mereka-rekakan persepsi bahawa mahkamah tidak adil, undang-undang berat sebelah, hakim tidak menjalankan penghakiman yang betul umpamanya, sedangkan mahkamah kita adalah terdiri mengikut perlembagaan dalam negara demokrasi dan pesalah mempunyai peluang untuk rayuan.

Sebab itulah saya katakan bahawa generasi Y yang sepatutnya dibimbing dan dipandu dengan baik oleh generasi lama, tiba-tiba generasi lama ini tidak hanya bersifat kecuali, malah akan melakukan berbagai bentuk hasutan dan galakan kepada generasi Y untuk melakukan kesilapan dan kesalahan, demi kepentingan politik dan kumpulan serta politik partisan yang melampau! Hal ini sendiri telah menggalakkan anak muda melakukan berbagai-bagai penyelewengan dan kesalahan moral, sosial, akhlak peribadi dan kumpulan, melanggar peeraturan dan undang-undang dan seribu satu salah laku lagi.

Pageviews last month