SAMPAI BILAKAH PEPERANGAN INI AKAN BERTERUSAN?




HENTIKAN KEGANASAN....


Hingga kini orang awam Gazzah yang terkorban dalam serangan Israel ialah 80% dari hampir 1,800 orang korban rakyat Gazzah keseluruhannya. Yang terbunuh di pihak Israel kira-kira 65 orang adalah tenteranya dan 3 orang sahaja orang awam. Perangkaan ini menunjukkan bahawa Israel lebih banyak membunuh orang awam, sedangkan Hamas membunuh hampir keseluruhannya adalah tentera. Siapakah yang lebih zalim dan tidak bertamadun dalam konteks ini??

Dari sudut pandangan syariah, ternyata bahawa penceroboh yang melakukan jenayah perang ialah Israel. Dan dari sudut syariah juga Gazzah adalah merupakan pihak yang mempertahankan diri dari pencerobohan.

Peperaangan disyariatkan di dalam Islam ialah ketika dicerobohi iaitu diperangi, dizalimi dan dihalau dari rumah tangga dan negara, maka yang diceroboh mestilah bangun bertindak mempertahankan dirinya. Dan hal inilah yang dilakukan oleh Kerajaan Ghazzah.

Bagaimana pun dalam perhitungan dan peraturan peperangan, strategi peperangan dan sasaran perang di antara sebuah negara yang kuat dengan pihak Ghazzah yang diterajui oleh Hamas, ternyata bahawa setakat ini Hamas telah mencapai kemenangan.

Pihak Israel dapat menyelamatkan nyawa para tenteranya di dalam serangan udara yang dilancarkan selama ini, kerana Hamas tidak dapat bertempur di udara atau mempunyai senjata berat menentang serangan udara.

Tetapi apabila Israel melancarkan serangan darat, maka Hamas telah menentang dengan kuat sehingga askar Israel, yang selama ini tidak dapat disentuh oleh Paalestin, tiba-tiba mereka terkorban dalam bilangan yang agak besar.

Maka dalam hal inilah Hamas telah mendapat kemenangan moral  dan fizikal yang besar, dan Israel sendiri telah mengalami "kekalahan" yang memalukan dan mungkin akan menyebabkan kehilangan sokongan dari rakyatnya sendiri pada masa hadapan, kerana bilangan tenteranya yang terbunuh adalah "besar" dibandingkan dengan Hamas yang selama ini hanya dianggap sebagai kumpulan teroris.

Namun pandangan dan perasaan kita adalah amat memilukan ketika melihat angka korban perang ini di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa, wanita warga emas dan bayi, yang terbunuh serta merta, atau tercedera seluruh anggota badan, atau yang terpaksa dipotong kaki atau tangannya, apa lagi melihat kanak-kanak yang menangis kesakitan ditambah dengan kehilangan ibu atau ayahnya, maka tidak ada sesiapa dari kalangan manusia yang waras akan dapat menahan kesedihan dan kepiluannya melihat pandangan yang amat menyakitkan ini.

Hamas boleh terus melawan, tetapi sokongan kepadanya hampir tiada. Tanpa sokongan politik, undang-undang dan masyarakat antara bangsa terhadap Hamas, maka nampaknya pihak Israel akan terus mengganas dan akan mengorbankan nyawa orang awam yang lebih banyak.

Hingga kini selain dari nyawa manusia yang tidak berdosa yang telah terkorban, sekolah, universiti, masjid, hospital, tempat kediaman, malahan bangunan milik bangsa-bangsa bersatu juga telah disasarkan oleh tentera regim Israel, tanpa berperi kemanusiaan, apa lagi menghormati tempat suci dan mulia umat Islam, juga masa ibadat orang Islam di dalam bulan puasa dan raya ini. 

Di dalam masjid yang ranap di bedil dan dibom, kitab suci al-Quran hancur lebur, keratan mashaf bertaburan, malah terbakar dalam timbunan batu dan tembuk masjid yang telah berkecai.

Cabaran ini amat besar keada umat Islam, bukan hanya kepada Hamas dan rakyat Gazzah, tetapi kepada umat Islam seluruhnya yang berjumlah hampir, atau melebihi 2 billion orang di atas muka bumi ini. Tetapi nampaknya Hamas terpaksa bersendirian dalam peperangan ini.

Bagaimana pun, oleh kerana nampaknya Israel mulai mengundurkan tenteranya dari bumi Gazzah, dan agak berhajat untuk mengadakan gencatan senjata, maka rasanya Hamas haruslah memikirkan tentang prospek rakyatnya yang tidak berdosa, kanak-kanak dan bayi, yang mungkin akan lebih banyak lagi terkorban sekiranya peperangan ini diteruskan.

Hamas telah mengetahui kekuatannya dan kejayaannya yang besar, telah mengetahui siapakan lawan dan kawannya, termasuk dari jiran tetangga dan bangsanya sendiri, telah mengetahui tipu daya dan tektik kotor Israel, malah telah memalukan Israel pengganas gergasi itu, maka mungkin telah sampai masanya Hamas menyambut cadangan PBB supaya diadakan genjatan senjata segera dan seterusnya memulakan tekanan kepada regim Israel agar segera mengundurkan tenteranya dari bumi Gazzah.

Dengan menerima gencatan senjata, bukan bererti Hamas menyerah kalah, kerana umum telah mengetahui kekuatannya, tetapi untuk maslahah umum dan keselamatan rakyatnya sendiri, Hamas haruslah menggunakan kemenangannya ini untuk meletakkan syarat kepada masyarakat antarabangsa agar mengenakan tekanan ke atas Israel supaya berundur sepenuhnya dari bumi Ghazzah dan memberhentikan peperangan. 

Tiga langkah ke hadapan, dan berundur selangkah ke belakang bukanlah bererti menyerah kalah, tetapi semata-mata untuk kepentingan yang lebih besar iaitu memberhentikan pertumpuhan darah seterusnya di kalangan umat Ghazzah yang telah terlalu banyak berkorban ini.

Namun langkah ini haruslah diambil sekiranya Israel mulai menerima kenyataan tentang beberapa kelemahannya sendiri dan bersedia untuk bertolak ansur dalam menerima tekanan dari Hamas ini. Mudah-mudahan.....Dan kita berdoa kepada Allah SWT supaya ditunjukkan kebenaran....Apabila datang kebenaran maka akan terhapuslah kebatilan...


Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....