MAKNA BERKABUNG



BERKABUNG CARA ISLAM


Alhamdulillah sebahagian mayat para penumpang Malaysia yang menjadi korban tragedi MH17 akan sampai ke tanah air pada 22 Ogos ini.

Pengumuman yang dibuat oleh YAB Timbalan Perdana Menteri agak melegakan kerana jenazah itu akan disambut sebegitu rupa mengikut syiar agama, terutamanya agama Islam.

Harap Kerajaan akan meneliti dan mendapatkan pandangan para ulamak Islam tentang cara menyambut jenazah itu dan erti berkabung mengikut syiar Islam, yang tentunya berbeza dari adat tradisi dan simbolik agama lain. Ritual dan doa serta bacaan ayat suci al-Quran dalam menyambut mayat ini haruslah hanya dikhususkan kepada mayat dan jenazah Muslim saja, berjauhan dari mayat mangsa agama lain.

Harap tidaklah jenazah Muslim di gabungkan dalam satu sambutan mengikut kepelbagaian agama, kerana jenazah Muslim tidaklah hanya diraikan secara keduniaan yang melampau dan menjadi acara yang kelihatan sama dengan sambutan agama lain.

Saya menyebut begini kerana terdapat upacara perayaan agama yang sering digabungkan dalam satu acara semua agama, seolah-olah semua agama itu sama tarafnya dan kepercayaannya dari segi akidah dan syariahnya.

Islam mempunyai ajarannya yang menggabungkan dunia dan akhirat, terutamanya dalam ibadat dan sebarang acara keagamaan sendiri yang berbeza dari amalan serta kepercayaan agama-agama lain.

Keunikan ajaran Islam ini tidak bererti kita akan melihat secara negatif kepada agama lain, kerana agama Islam sendiri mengajar kita supaya masing-masing mengakui dan berpegang kepada prinsip "Bagi kamu agama kamu, dan bagi kami agama kami" 

Sebagai sebuah negara yang mempunyai Perlembagaan yang unik tentang kedudukan Islam, maka Kerajaan haruslah menghayati hal ini dalam semua upacara dan perayaan keagamaan supaya hal ini tidak menimbulkan salah faham dan rasa keliru di kalangan generasi baru Muslim sekarang ini.

Takziah kepada semua rakyat Malaysia di atas tragedi yang amat menyayatkan hati ini, terutamanya kepada kaum keluarga mangsa yang tersayang. Al Fatihah..

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....