KEIZINAN BERPERANG DALAM ISLAM
Dasar keamanan dan keharmonian Islam
Seorang lagi rakyat Malaysia meninggal dunia kerana terkena tembakan di Syria mengikut berita akhbar tanggal 15 September 2014. Mengikut berita itu lagi, jenazah ini akan dikebumikan di Turki bersebelahan mayat anggota lain dari Malaysia yang telah terkorban sebelum ini.
Dalam konteks ini penulis tidak bermaksud untuk membicarakan tentang hukum dan fatwa berhubung kematian ini, sama ada sebagai seorang yang berjihad dan terkorban sebagai syahid, ataupun meninggalnya sebagai anggota kumpulan militan yang terkorban secara sia-sia.
Soal hukum dan fatwa ini bukanlah boleh dipermain-mainkan seperti kita menghukum dalam urusan dunia yang tidak mempunyai kaitan dengan hukuman berat dan mempunyai implikasi balasan di akhirat sama ada masuk syurga atau masuk neraka.
Ummah seluruh dunia yang sepatutnya telah bertindak menubuhkan badan antarabangsa sendiri untuk memastikan hal ini, kerana isu ini sekarang telah menjadi isu individu dan kumpulan tertentu, termasuk dalam pentafsiran apakah sebenarnya perjuangan yang berkonsepkan 'jihad' 'mati syahid' malah siapakah 'musuh Allah' dan siapakah sebenarnya 'musuh Islam yang halal darahnya' dan sebagainya.
Sekarang perkara ini nampaknya menjadi isu dan hak mutlak kumpulan dan golongan masyarakat tempatan sendiri yang menentukan konsep dan corak perjuangan dan pembunuhan yang dilakukan sesama Islam. Siapakah yang benar dan siapakah yang salah. Ketika dua kumpulan Islam mengangkat senjata dan berbalas tembakan untuk membunuh 'musuh' masing-masing, kedua-dua kumpulan ini akan berteriak Allahu Akbar ketika berjaya membunuh 'musuh' malah semua pihak akan mengangkat bendera yang bertulis kalimah suci, dan menghalalkan darah lawan mereka.
Umat Islam seharusnya perlu mempelajari erti dan konsep perang dalam Islam berdasarkan ajaran al-Quran dan Sunnah, mengambil teladan daripada sirah dan contoh Rasulullah SAW dalam sejarah perjuangan Baginda yang panjang ketika mula-mula menyampaikan amanah Allah SWT, membawakan ajaran tauhid dan seterusnya daripada peristiwa Hijrah baginda dan kembalinya semula ke Mekah sehingga baginda wafat.
Islam sebenarnya membawakan misi keamanan dan keharmonian kepada manusia. Semua Nabi dan Rasul utusan Allah SWT diakui oleh umat Islam sebagai utusan-Nya. Malah kehadiran manusia dengan kepelbagaian agama juga merupakan kejadian Allah yang seharusnya diterima dan dihormati oleh umat Islam.
Ayat 8 dan 9 Surah Al-Mumtahanah menjelaskan tentang kehidupan bersama secara aman dan adil (peaceful co-existence) ketika tidak wujudnya sebarang permusuhan di antara kedua belah pihak, iaitu ketika Allah SWT menjelaskan bahawa "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berlaku adil."
Namun begitu di dalam ayat yang seterusnya barulah Allah menerangkan bahawa: "Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadi teman rapat kepada orang yang memerangi kamu kerana agama kamu, dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu orang lain untuk mengusir kamu. Sesungguhnya sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang yang zalim."
Keharmonian
Dua perkara yang memberikan justifikasi supaya orang Islam tidak seharusnya berteman rapat dan berlaku adil kepada orang lain ialah ketika mereka itu memusuhi orang Islam kerana agamanya, dan mengusir orang Islam dari kampung halaman dan negaranya secara yang zalim, sama ada dengan bertindak secara bersendirian atau berkomplot dengan musuh Islam untuk merampas rumah tangga dan negara orang Islam sendiri. Maka dalam keadaan ini Allah melarang orang Islam daripada bertolak ansur kepada musuh Islam itu.
Sebab itulah telah disebut di atas bahawa misi Islam ialah membawakan keamanan dan keharmonian sesama manusia, iaitu ketika umat Islam tidak dimusuhi kerana mereka ialah orang Islam dan selama mana rumah tangga, kampung halaman dan negara mereka tidak dirampas secara zalim, kerana agama dan harta benda serta negara orang Islam tidak harus dicerobohi.
Hal yang sama diterangkan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Haj ayat 39 yang menjelaskan bilakah orang Islam boleh menentang kekerasan musuh secara berperang, yang bermaksud: "Diizinkan berperang bagi orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh) kerana sesungguhnya mereka telah dianiya. Sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai) kemenangan. Iaitu mereka yang diusir dari kampung halaman mereka tanpa mempunyai alasan yang benar, namun semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah."
Pentafsiran yang tepat tentang kewajaran berperang dan bertindak secara kekerasan ini hendaklah dibuat dengan berilmu dan berhikmah, bukan pentafsiran melulu yang memberikan justifikasi untuk berbunuhan sesama Islam atas tiket jihad, syahid dan syurga
Amat berbahaya sekiranya kita membawa mesej kepada anak-anak muda kita bahawa pertempuran berdarah dan maut di negara Islam di Asia Barat itu sebagai jihad yang membawa kepada syahid dan syurga, seperti yang juga diberikan oleh sesetengah komen dalam media sosial di negara kita sendiri tanpa usul periksa dan ilmu yang mendalam.
Komen-komen yang berbentuk fatwa ini tidak harus dibuat sewenang-sewenangnya oleh mana-mana individu atau kumpulan yang tidak bersandarkan dalil yang tepat mengikut ajaran Islam, malah hanya berdasarkan politik sempit atau mazhab dan aliran yang lain, bukan kerana perjuangan Islam yang sebenarnya.
*
Comments
Post a Comment