MEMBUKA LAMBARAN BARU BLOG 2019
NILAI-NILAI BERSAMA UNTUK SEMUA
Mendengar ucapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed,
pada 31 Julai 2018 yang lalu, di hadapan sekumpulan para cendiakawan Islam di
pejabatnya, mengingatkan kembali ke
tahun 1991 ketika Perdana Menteri yang sama ini memanggil penulis ke pejabatnya
dan menyatakan hasrat beliau untuk menubuhkan Institut Kefahaman Islam Malaysia
(IKIM). Intipati penjelasan beliau tentang Islam dan konsep sarwajagatnya masih
sama , iaitu Islam sebagai sistem hidup yang lengkap, merangkumi kehidupan
dunia dan akhirat, tidak hanya tertumpu kepada ibadat dan fardhu ain semata-mata.
Bagaimana pun, kelainan suasana dan perbincangan yang terbaru
ini sahaja yang amat terasa, ketika dalam pertemuan ini, beliau dilanda emosi
semasa sedang menyampaikan perutusannya itu, sehingga kelihatan sebak dan tidak
mampu meneruskan ucapannya, lalu YB Menteri Mujahid Yusuf, sebagai Pengerusi
perjumpan, terpaksa menenangkan keadaan dengan meneruskan perbincangan.
Pertemuan penulis dengan beliau pada tahun 1991 itu
sebenarnya menimbulkan sedikit tanda tanya ketika beliau menyatakan bahawa
Institusi tangki pemikiran yang hendak ditubuhkan itu akan di beri nama sebagai
Institut Kefahaman Islam, yang segera menarik perhatian penulis untuk bertanya
kenapakah kefahaman Islam yang seharusnya di fokuskan, lalu beliau menjawab
bahawa itulah kata kuncinya, kerana Islam sering di salah mengertikan oleh
media Barat, malah tidak difahami sepenuhnya oleh orang Islam sendiri, apatah
lagi orang bukan Islam..
Media Barat dengan sengaja sering melebelkan Islam sebagai
agama yang penuh dengan kekejaman dan keganasan, kemunduran dan tidak
bertamadun, malah kejahilan ilmu pengetahuan, dan kemiskinan dan penderitaan
kepada para penganutnya.
Imej Islam digambar kan begitu berasaskan kepada realiti dalam masyarakat Islam,
yang mereka dakwa dipenuhi dengan unsur-unsur negatif, walau pun sebenarnya
perbuatan negatif seperti keganasan dan penentangan itu dilakukan hanya oleh
segelintir kecil umat Islam, terutamanya golongan yang dijajah dan ditindas
oleh pihak penjajahan Barat sendiri. Namun untuk menutup salah laku Barat
sendiri, maka media mereka sering menggambarkan hal ini sebagai lambang agama
Islam sendiri.
Menyedari hal inilah, maka dunia Islam harus berusaha
meningkatkan pencapaian mereka dalam bidang ilmu pengetahuan, kegiatan ekonomi
dan teknologi, malah membina tamadun dan peradaban mereka supaya setaraf dengan
negara-negara maju dan sejajar dengan kemajuan zaman global, supaya dengan itu
imej Islam yang dirosakkan itu dapat di perbaiki dan pertingkatkan.
Dengan penubuhan IKIM dalam tahun 1992, maka perlaksanaan
agenda nya yang strategik sering
dilakukan dengan pimpinan Perdana Menteri sendiri, walau pun sebenarnya sejak
penubuhannya penulis telah meminta beliau supaya mengelakkan perlantikan tokoh
politik untuk mempengurusikannya, dan beliau bersetuju bahawa Ketua Setiausaha
Negara ketika itu, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, dilantik menjadi Pengerusinya.
Sebagai sebuah institusi penyelidikan dan pemikiran yang
ditubuhkan oleh Kerajaan, maka IKIM tetap menyokong dasar kerajaan semasa dalam
agendanya, tetapi penulis telah memberikan isyarat kepada beliau bahawa dalam
mematuhi dasar tersebut, IKIM akan sentiasa memberikan pandangan balas yang
mungkin berbeza dari dasar negara, dan beliau bersetuju, tetapi bergantung
kepada Kerajaan sama ada dapat menerima pandangan kedua itu atau pun tidak.
Namun, kembali kepada perjumpaan terbaru dalam tahun 2018,
Perdana Menteri yang sama, telah menjelaskan dengan panjang lebar akan isu-isu keislaman dan global yang terkini,
dengan harapan bahawa segala jentera Kerajaan akan dapat memahami dengan lebih
mendalam lagi isu-isu tersebut, terutamanya tentang kesatuan ummah dan bangsa
Malaysia, serta hubungan agama dan kaum yang seharusnya dapat di pertingkatkan lagi dengan lebih
canggih, sesuai dengan peredaran zaman baru, dan perkembangan politik terkini.
Beliau amat ingin melihat bahawa semua institusi keagamaan
Islam kini akan dapat menyesuaikan pendekatan dan agenda kerjanya dengan lebih
holistik, dan kaedah yang lebih mesra, tanpa mengurbankan asas dan jati diri
umat Islam dan ajaran agamanya, kerana Islam sentiasa sesuai dengan segala
zaman dan perkembangan pemikiran manusia.
IKIM sejak ditubuhkan pada tahun 1992 telah banyak
menjalankan dialog peradaban dan kehidupan bersama secara aman damai antara
masyarakat Islam dengan peradaban dan kepercayaan lain secara aktif dan ilmiah.
Malah pihak Majlis Agama Buddha, Keristian, Hindu, Sikh dan Tau (MCCBCHST)
sering duduk bersama dan membincangkan isu perhubungan Islam dengan agama-agama
tersebut dengan amat produktif dan berhasil sekali. Agenda ini juga dipancarkan
melalui IKIM FM.
Dalam masyarakat yang berintegriti, semua agama dan budaya
maju akan mengakui keperluan menjauhkan jenayah curi, tipu, dusta, salah laku
seks, bercakap bohong dan sebagainya.
Malah semuanya bersetuju dengan cara hidup bersama dalam aman damai, bermesra
dalam masyarakat, bertolongan, berpadu dalam kelainan dan segala sifat dan
nilai universal yang baik.
Disamping itu, IKIM juga sering mengadakan sesi perbincangan
dan konggeres antara agama dan tamadun dengan pertubuhan dan para intelektual
dari Amerika Syarikat, United Kingdom, German, Korea, Jepun dan pertubuhan
antarabangsa dan kedutaan asing di Kuala Lumpur, bagi tujuan pertukaran
maklumat dan penyelidikan serta penerbitannya.
Malah Parliament of the
World’s Religions sering mengundang IKIM untuk berkongsi maklumat dan
pemikiran dengan pertubuhan yang mengumpulkan semua agama dan kepercayaan di
dunia ini.
Dengan kembalinya Tun Mahathir Mohamed sebagai peneraju negara
kita, maka amatlah diharapkan bahawa sekali lagi maruah dan nama baik Islam
akan dapat dipancarkan ke seluruh persada dunia dan mengangkat tahap negara
Malaysia sekali lagi sebagai negara Islam contoh yang aman damai, dan menjadi
pelindung rakyat berbilang kaum dan agama, yang hidup dalam rukun damai dan
aman sentosa.
Comments
Post a Comment