MENCIPTA UMAT ISLAM GLOBAL
Globalisasi di jelmakan oleh Islam dari sudut kesatuan
masyarakat manusia yang dimaksudkan oleh
Allah SWT dalam firman-Nya dalam Surah Al-Hujurat ayat 13, yang menegaskan
“Wahai manusia,
sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu
dari (sepasang manusia) lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu
berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali.”
Rasulullah SAW di utuskan oleh Allah SWT untuk seluruh umat
manusia dengan membawa rahmat untuk semua, dan hal ini dengan sendirinya
menunjukkan bahawa Islam adalah agama global. Malah tindakan baginda membawa
perutusan damai dan kesatuan umat dengan dimulai di kalangan keluarga dan
sahabat handai terdekat juga menggambarkan proses globalisasi, yang dari
kalangan masyarakat kecil itu, kemudiannya berkembang di kalangan komuniti di
Makkah, iaitu masyarakat tempatan sendiri.
Inilah proses globalisasi, dan inilah sebenarnya ajaran dan
panduan Islam yang seharusnya terus menerus berkembang ke seluruh dunia hingga
ke hari ini, iaitu pada ketika proses globalisasi telah diambil aleh oleh
Barat, dan telah diselewengkan begitu rupa, sehingga tujuan murni globalisasi
Islam untuk mencipta masyarakat manusia yang aman dan harmoni, mewah dan makmur
bersama, akhirnya menjadi proses yang mencipta banyak gelombang kezaliman,
diskriminasi, pembolotan kekayaan dunia dan penjajahan yang bertujuan menekan
dan mengikis kekayaan harta benda dan hati budi manusia lain, berbeza sama
sekali dari proses globalisasi seperti yang dikehendaki oleh Islam.
Lihat sajalah kepada keadaan pendidikan ilmu pengetahuan umat
Islam, malah kepada kemahiran membaca dan menulis pun, dunia Islam mengalami
kemunduran yang ketara dengan meningkatnya peratusan buta huruf di sana sini
dalam dunia Islam, berleluasanya umat Islam yang tidak berpendidikan, jauh
sekali dari menguasai ilmu pengetahuan tinggi, sedangkan proses menghargai dan
menguasi ilmu merupakan ajaran pertama Islam ketika turunnya surah yang
mengandungi ayat tentang falsafah Iqra’
supaya kita membaca dengan nama Tuhan, yang selalu kita slogankan sebagai satu
seruan retorika yang tidak kita fahami mesej dan amanahnya
Kosep persaudaraan Islam yang dibawakan oleh baginda
Rasulullah SAW sebenarnya melibatkan pembangunan ekonomi dan sistem politik
yang sihat dan dinamik, yang mengandungi ciri-ciri globalisasi sekarang ini.
Menurut sumber-sumber sejarah pada zaman permulaan Islam itu orang-orang Islam
di Makkah mempunyai kepakaran dalam bidang perniagaan dan perdagangan,
sedangkan orang-orang Islam di Madinah mempunyai kepakaran dalam bidang
pertanian dan kerja tangan.
Kedua-dua bidang inilah yang sebenarnya menguasai dan
membentuk ekonomi dunia pada masa kini, yang telah diperkembangkan dengan
teknologi dan ilmu moden, tetapi tentulah bermula secara primitif seperti yang
telah wujud di kalangan umat Islam pada zaman itu.
Orang Barat tidak hanya berhenti sekadar permulaan dan
langkah pertama, tetapi mereka melangkah lebeh jauh dengan lebeh maju lagi ke
hadapan berasaskan permulaan yang amat sederhana.Tetapi orang Islam sering
berpada dengan permulaan yang kecil, tanpa melangkah ke arah yang lebeh maju
dan tinggi, satu hakikat yang dapat kita saksikan sepanjang sejarah pembangunan
bangsa dan umat Islam sehinggalah ke hari ini.
Di manakah kerjasama dan sifat tolong menolong antara
masyarakat Islam pada hari ini dalam membangunkan ekonomi dan pendidikan umat,
persaudaraan Islam yang sejati, tanpa hasad dengki dan permusuhan? Malah apakah
peranan umat Islam sebagai satu ummah dalam membangunkan Islam secara
menyeluruh sebagi sistem hidup dunia akhirat?
Comments
Post a Comment