SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN 1435
RAMADHAN DATANG LAGI
Buat kesekian kalinnya, Ramadhan datang lagi, kali ini bermula pada hari Ahad 29 Jun 2014.
Kedatangan awal Ramadhan 1435 pada hari Ahad merupakan satu rahmat bagi keluarga kecil dan besar, kerana pada umumnya para pegawai dan pekerja Kerajaan dan swasta bercuti, yang membolehkan keluarga berkumpul untuk bersama-sama berbuka puasa, malah sebelumnya iaitu pada dinihari awal Ramadhan telah dapat bersahur bersama, satu kenikmatan yang amat besar bagi umat Muslimin.
Anak menantu dan sanak saudara yang tinggal berjauhan akan melakukan perjalanan jauh pada petang hari Jumaat, atau pagi Sabtu untuk bersama keluarga di kampung, dan amat beruntung bagi anak-anak yang masih mempunyai ibu dan ayah,dapat melepaskan kasih sayang, bersahur dan berbuka puasa bersama-sama pada hari pertama berpuasa tahun ini.
Hal ini pun sudah cukup memberikan pengertian kepada kita bagaimana kedatangan Ramadhan telah dapat membawakan rahmat dan nikmat kepada kita, tanpa membicarakan dengan lebih lanjut dan mendalam lagi tentang ajaran serta falsafah puasa, hikmah dan rahsianya, ruh dan semangatnya, kelebihan dan keistimewaannya dalam mengukuhkan hubungan kita dengan Allah SWT dan hubungan kita sesama ahli keluarga, serta teman rakan, jemaah surau dan masjid kita, malah keseluruhan umat Islam umumnya.
Maha Suci Allah yang membawakan Ramadhan saban tahun, yang bagi kita terkadang-kadang merasakan bahawa masa dan waktu ini terlalu cepat berjalan, seolah-olah baru saja Ramadhan berlalu, dan kini, tiba-tiba Ramadhan datang lagi, berada di ambang pintu kita, dan seolah-olah Allah Yang Maha Pengasih telah mempercepatkan kedatangannya supaya bagi kita yang mahu memanfaatkan segala rahsia dan kelebihan Ramadhan, maka akan dapatlah segera kita hayatinya.....
Saya mengalami hal ini sendiri, kerana inilah kali ketiga saya menghayatinya semenjak blog saya ini dilahirkan. Ketika saya menyelesaikan catatan harian saya pada akhir Ramadhan tahun 1433, saya memohon kepada Allah SWT agar diberikan umur saya hingga ke tahun 1434, dan alhamdulillah, pada akhir Ramadhan 1434, ketika saya memohon doa yang sama selepas mencatatkan tulisan saya pada hari terakhir Ramadhan 1434, maka kini saya bersyukur kepada Allah kerana sekali lagi dapat menyambut Ramadhan 1435 dan akan mengisi ruangan ini setiap hari hingga akhir Ramadhan 1435 insya'Allah..
Marilah kita menjadi semut yang mengetahui nikmat kemanisan gula, menjadi kumbang yang mengetahui kelazatan madu bunga, sehingga kita akan berlumba-lumba menghurungi gula dan madu yang dihadangkan Allah Maha Penyayang dalam bulan Ramadhan ini untuk kita kecapi nikmat dan kemanisannya.
Kemanisan nikmat Ramadhan adalah untuk dunia dan akhirat, untuk hidup dan mati. Kenikmatan Ramadhan ini hanya di ketahui oleh orang-orang yang mahu menghayatinya. Oleh itu manfaatkanlah Ramadhan ini siang dan malam, pagi dan petang, semoga Allah SWT menerima ibadat dan permohonan ampun dari kita.
Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak.....
Comments
Post a Comment