PhD Ketika Berusian Enam Puluhan



ORANG TUA ZAMAN INI....

Jangan hairan, orang tua zaman ini tidak seperti orang tua zaman dulu lagi.
Kini orang tua berumur enam puluhan mulai menjejaki kaki ke dalam dewan Konvo menerima ijazah, bukan ijazah pertama, tetapi ijazah Sarjana lengkap dan ijazah kedoktoran, PhD, bergelar Doktor Falsafah....

Itu yang berlaku di dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-16, dan di dalam Majlis Konvokesyen UiTM kali ke-81 sehari dua ini di Kota Kinabalu, Sabah dan Shah Alam, Selangor.

Ketika saya menerima ijazah PhD dalam tahun 1975 dulu, saya merasakan umur saya telah agak lanjut, iaitu berumur 38 tahun baru menerima ijazah PhD, tetapi apabila membaca bahawa Yussof Ladi, yang kini bergelar Dr Yussof Ladi menerima PhD di UMS ketika berusis 61 tahun, dan Datuk Ir. Abdul Latif Mohd. Som, yang kini bergelar Datuk Dr Ir. Abdul Latif menerima PhD ketika berumur 59 tahun, maka saya segera menyedari bahawa orang-orang "senior" warga emas sekarang ini jangan di pandang enteng lagi.....

Mereka sesungguhnya lahir sebagai manusia yang penuh semangat dan penuh hemah untuk menerokai ilmu pengetahuan dalam usia sepanjang itu, ketika orang tua tradisional kita  akan mengungkapkan kata-kata "apa lagi nak dikejarkan, hari telah senja, rumah kata pergi, kubur kata mari"  duduklah sahaja di rumah berwirid dan mengingati mati.....yang kata-kata itu seolah-olah menunjukkan bahawa apa-apa yang dianggap berunsur "keduniaan" ini tak perlulah dikejarkan........termasuklah meneruskan pengajian ke peringkat tinggi....

Memang benar kata-kata yang dikeluarkan oleh Dr Yussof Ladi bahawa tekad beliau meneruskan pengajian pada usia yang semakin lanjut adalah kerana percaya pada prinsip proses pembelajaran seumur hidup. Prinsip inilah sebenarnya yang dicetuskan oleh ajaran Islam iaitu dasar "menuntut ilmu dari dalam buaian sehingga ke liang lahad" 

Saya percaya bahawa Datuk Dr Ir. Abdul Latif Mohd. Som juga memahami falsafah pembelajaran seumur hidup ini, dan lebih manis lagi apabila beliau mengatakan bahawa "minat mendalam di dalam pelajaran didorong oleh isteri yang juga seorang ahli akademik......" dan lebih menarik lagi ialah pandangan beliau yang mengatakan ..."Saya merasakan dengan banyak berfikir, risiko penyakit alzheimer dapat dikurangkan"...... 

Kesimpulannya bahawa mempelajari ilmu itu tidak punya had sempadan umur dan masanya. Ilmu Allah ini amat luas dan banyak sekali, sebab itulah ketika kita membaca surah Al-Kahfi, maka di akhirnya kita akan menemui ungkapan ajaib kitab suci Al-Quran yang menyebut bahawa "Sekiranya seluruh air lautan itu menjadi dakwat untuk menulis kalimat-kalimat (ilmu) Allah, maka air lautan itu akan kekeringan sebelum lagi ilmu Allah itu selesai di tuliskan, (bahkan) demikian juga halnya sekiranya ditambah sekali ganda lagi air lautan itu.....

Kerana hakikat inilah Islam merupakan wadah pertama yang mengungkap dan mengkonsepsikan "pembelajaran seumur hidup" (Life long education) sebelum lagi UNESCO menekankan tentang falsafah ini...

Satu hakikat yang amat terserlah dari realiti ini, bahawa kegigihan warga mas ini, seharusnya di perkatakan dengan seluas-luasnya di merata-merata, agar kejayaan ini menjadi dorongan untuk generasi muda dan baru, generasi X, Y, Z dan seterusnya untuk menuntut ilmu, menjadi pemikir dan produk yang berkualiti, dunia dan akhirat.

Orang-orang yang berhemah sekarang ini akan mencari bukan hanya satu ijazah PhD, malah mungkin dua atau tiga PhD kerana kelazatan menuntut ilmu dan menerokai bidang baru dalam kehidupan manusia yang semakin canggih sekarang ini...,,




Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....