SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?




MEMPERGUNAKAN GENERASI Y !

Mengikut kajian yang pernah dilakukan oleh banyak pihak, Generasi yang dikenali dengan  nama Generasi Y itu, ialah golongan anak-anak muda yang lahir diantara tahun 1977 hingga 1997 (berumur 16 - 36 tahun sekarang). Generasi Z ialah generasi yang lahir dari tahun 1998 hingga kini (berumur 15 tahun ke bawah).

Pihak Jabatan Perangkaan Malaysia pernah menjalankan kajian tentang jumlah penduduk Malaysia dalam kalangan Generasi Y ini, iaitu kira-kira 21% dari keseluruhan penduduk Malaysia, berbanding dengan Generasi Z, yang menjangkau 38%.

Ertinya peratusan kumpulan generasi Y agak tinggi, sama dengan generasi X (lahir antara 1965 - 1976) iaitu 21% juga, manakala Generasi Pre Baby Boom (lahir pada 1945 dan sebelumnya) 4%, Generasi The Baby Boom (lahir 1946 - 1964) 16%.

Generasi X dan Y iaitu yang berumur diantara 13 hingga 46 tahun merupakan jumlah terbesar penduduk kita (42%) dan kumpulan inilah yang amat aktif dalam masyarakat kita dari segi fizikal, mental dan sebagainya.

Saya bukanlah ahli untuk menganalisa keadaan mental dan fizikal, emosi atau sentimen golongan terbesar ini, tetapi saya melihat fenomena dalam masyarakat kita sekarang ini nampaknya Generasi Y seringkali diberikan fokus yang berat di dalam negara kita ini, terutamanya ketika didapati bahawa mungkin generasi inilah yang kini banyak terlibat di dalam penyelewengan sosial, kemalangan jalan raya, keganasan, penyakit mental dan sebagainya, yang walau bagaimana pun saya percaya banyak kajian yang perlu dilakukan lagi, tanpa hanya menuding jari kepada golongan ini tanpa fakta dan data, dan saya sendiri hanya menyebutkan tentang kemungkinan sahaja perkara-perkara tersebut melibatkan Generasi X (yang juga dikenali dengan nama Generasi Baby Bust) dan Generasi Y (Echo of Baby Boom) itu. 

Kajian juga perlulah dilakukan dalam konteks Generasi muda ini dalam hubungan nya dengan institusi kekeluargaan, pendidikan, sosial, politik, dan berbagai-bagai perkembangan persekitaran, emosi, kerohanian, agama, media, ICT dan pengaruh lain yang sering mempengaruhi pemikiran, persepsi, pandangan hidup dan pegangan agama mereka ketika dalam lingkungan umur yang tersebut.

Sebarang kesilapan dalam mendidik mereka, mengenal pasti kelakuan dan perilaku mereka atau minat dan sentimen, serta elemen-elemen yang lain lagi dari segi fizikal dan mental mereka, akan membawa padah kepada masyarakat dan negara dalam jangka pendek dan jangka panjangnya.

Kecenderungan mereka untuk berdikari, menonjolkan kemampuan dan kelebihan yang mereka rasakan sedang mereka miliki, ke egoan mereka, dan kehilangan jati diri mereka sering membawa kepada kemarahan dan kebencian yang tidak terurus, kadang-kadang membawa kepada pemberontakan kepada segala-segalanya di sekeliling mereka dan menyalahkan pihak lain secara semberono tanpa usul periksa, malah amat gemar sekali melakukan kerosakan, terutamanya apabila kerisis kemarahan dan konflik mereka itu membawa kepada gejala yang lebih serius dan melibatkan kesetabilan mental mereka.

Keadaan ini menjadi lebeh serius dengan kemajuan teknologi maklumat, dengan media sosial, pengaruh Barat,  gejala permisif, serba boleh yang dibawa oleh nilai negatif global yang tidak mampu dikawal lagi oleh budaya dan tradisi yang menjadi pegangan Generasi Pre Baby Boom dan Generasi Baby Boom, nilai moral dan akhlak, maka "penyakit" ini amat sukar untuk di kawal. Kalau dulu kita tidak mengalami kejadian penyakit jiwa yang agak serius sehingga anak boleh mencederakan ayah ibunya, malah kadang-kadang sehingga boleh membunuh mereka, tetapi sekarang hal itu boleh berlaku. 

Maka penemuan fakta-fakta ini amatlah penting dalam dunia yang serba mencabar ini, termasuk di dalam dunia Islam yang segala-galanya dapat dilakukan, termasuk membunuh saudara seagama, sunni dan syi'i, pemberontak dan askar Kerajaan, dua golongan yang bertentangan dalam ideologi politik dan sebagainya, maka hal ini menjadi semakin berleluasa ke seluruh dunia.

Gejala yang tidak sihat ini memang berlaku, tetapi di samping itu kedinamikan generasi ini agak terserlah juga dengan amat positif sekali, walau pun nampaknya gejala "angry young men" lebih mendominasikan masyarakat dunia pada masa kini.

Oleh itu saya rasa sebagai manusia yang bertanggung jawab dan menanggung amanah ilmu dari Allah SWT, para pemimpin politik terutamanya, yang mempertahankan kuasa atau yang berusaha  untuk merebutkan kuasa, jauhilah dari melaksanakan agenda politik untuk menggunakan generasi Y dan Z ini untuk kepentingan politik masing-masing. Keghairahan untuk menggunakan mereka bagi mencari pengaruh dan simpati masyarakat terhadap ideologi politik kepartian masing-masing, atau mempenaruhi pandangan umum masyarakat, mencuba untuk mengelirukan orang muda dengan persepsi yang salah, malah mendapat undi mereka dalam konteks PRU ke 13 umpamanya, adalah  merupakan usaha yang akan merosakkan generasi muda itu sendiri, dan seterusnya meeruntuhkan kesejahteraan bangsa dan negara keseluruhannya.

Saya melihat apabila pemimpin politik A menyalahkan seorang anak muda kerana sesuatu isu yang tertentu, maka pemimpin politik B akan segera mempertahankannya. Seorang anak muda yang melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang umpamanya, maka sebelum lagi di adili, seorang pemimpin politik atau keseluruhan jentera parti politik itu akan mempertahankannya, memberikan semangat dan dorongan kepadanya supaya hal itu dilakukan lagi, lalu tampillah golonag politik "musuh" mereka yang akan memanggil persidangan akhbar umpamanya untuk mencela pelaku dan penyokong nya itu, maka beergolaklah keadaan masyarakat .

Oleh itu saya rasa semua orang yang rasional pemikirannya, tentulah akan berfikiran, bahawa kita sebagai generasi lama dan berpengalaman, janganlah sewenang-wenangnya mengeksploitasikan generasi Y dan Z itu untuk kepentingan kita, terutamanya apabila kita sendiri , Generasi Baby Boom dan Pre Baby Boom, mengetahui bahawa  perilaku mereka yang kita pertahankan itu adalah salah dari segi agama dan budaya serta tradisi kita, tetapi kita sengaja melakukannya untuk kepentingan nafsu sendiri.

Semoga Allah SWT memberikan hidayah-Nya kepada kita semua.

Wallah a'alam.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

MENITI USIA TUA....