MENGHORMATI NABI DI PERINTAHKAN DALAM AL-QURAN



GUNAKAN KACA MATA YANG BETUL

Berita perdana media antarabangsa yang dikuasai Barat sehingga hari ini masih memperojekkan keburukan "pengganas Islam" yang membunuh di Paris minggu lepas. Semua negara Barat telah menunjukkan rasa simpati dan bersama-sama dengan negara Perancis dalam membantah dan mmelancarkan protes besar-besaran terhadap "keganasan" Islam itu.

Alangkah baiknya kalau hal yang sama dilakukan terhadap Israel yang sering bertindak membunuh dengan penuh sistematik akan rakyat Palestin yang bertindak mempertahankan diri mereka dan mencuba sedaya mungkin dalam usaha yang sia-sia untuk mendapatkan kemerdekaan negara mereka sepenuhnya.

Kita memang boleh membuktikan bahawa Islam tidak membenarkan pembunuhan yang dilakukan tanpa asas syariah. Dan kita juga mengakui bahawa dalam tindakan segelintir umat Islam membunuh orang-orang yang tidak bersalah adalah merupakan tindakan yang melanggar perintah Allah.

Tetapi kita tidak mengakui bahawa perbuatan pihak Barat menghina dan mempermain-mainkan Nabi kita itu adalah merupakan sesuatu yang boleh kita terima. Kita melihat dari ajaran Islam sendiri yang memerintahkan supaya manusia menghormati para nabi dan rasul utusan-Nya. Sebab itulah kita umat Islam percayakan semua nabi utusan Allah, nabi Musa, Isa, Nuh, Hud, dan lain-lain lagi, sama seperti kita mempercayai kitab-kitab suci yang diturunkan Allah kepada kaum yang tertentu melalui para nabi dan rasul-Nya itu.

Tetapi mereka bukan hanya sekadar tidak mempercayai Nabi Muhammad SAW, malah lebih dari itu, telah bertindak mempersenda-sendakannya pula dengan melakukan kepelbagaian penghinaan melalui lukisan dan karekaternya, melalui filemnya, dan media lainnya, sehingga bagi mereka semuanya ini adalah merupakan kebebasan mereka yang tidak terbatas, dan berlandaskan demokrasi yang mereka amalkan.

Apakah kebebasan yang ada pada manusia itu tidak terbatas? Kebebasan bersuara dan berkarya hanya berdasarkan kaca mata dan pandangan mereka sendiri, walau pun dalam masa yang sama mereka melakukan penghinaan yang amat sangat mengikut kaca mata orang lain? Apakah demokrasi namanya apabila kita bertindak menyakitkan hati dan perasaan orang lain, apa lagi menghina Allah dan agama Allah itu sendiri?

Rukun kebebasan mutlak ini sering disalah gunakan mereka atas nama demokrasi dan hak kebebasan manusia, sedangkan tindakan mereka melakukan penjajahan ke atas negara dan umat lain, mengakibatkan penderitaan dan kelaparan orang lain tidak mereka fikirkan sebagai sesuatu yang bertentangan dengan amalan demokrasi dan keadilan terhadap hak asasi manusia?

Inilah rukun mereka, kumpulan yang amat mementingkan diri sendiri dan mementingkan perasaan mereka sahaja dengan sifat yang amat buruk iaitu merupakan umat yang terlalu "selfish" sekali. Apakah kebebasan dan demokrasi dapat dijadikan lesen untuk menghina dan menjatuhkan simbol agama dan nilai-nilai akhlak orang Islam dalam konteks yang sedang kita bicarakan ini?

Sayangnya mereka tidak mempercayai Al-Quran, kerana bagi kita umat yang mempercayai Al-Quran, kita dapat meerujuk kepada surah 49 di dalam kitab suci kita itu, iaitu Surah Al-Hujurat yang dijelaskan oleh Allah supaya umat-umat yang beriman janganlah mengangkat suara lebih dari suara Nabi ketika bercakap dengan baginda, malah janganlah menyaringkan suara melebihi suara Nabi kerana perbuatan itu boleh mengurang atau menghapuskan pahala amalan kita. Malah orang-orang yang merendahkan suaranya ketika bercakap dengan baginda, maka orang-orang begitulah yang merupakan mereka yang dibersihkan hati mereka untuk bertaqwa kepada Allah dan mendapat ganjaran pahala yang besar dari-Nya.

Ertinya ketika berbicara dan bercakap dengan baginda sekali pun manusia beriman seharusnya menjaga adab sopan dan menghormati baginda begitu rupa, maka apa lagi ketika menyatakan sifat-sifat baginda yang mulia, membicarakan tentang peribadi dan misi baginda, tentulah seharusnya dilakukan dengan penuh hati-hati dan penuh etika dan adab.

Maka perbuatan menghina dan menggambarkan Nabi dengan segala penghinaan dan menjatuhkan maruah baginda, tentulah merupakan satu perbuatan yang amat biadab dan penuh cabaran kepada umat Islam seluruhnya.....

Telah sampai masanya pihak Barat memeriksa semula norma-norma dan falsafah demokrasi dan kebebasan mereka dalam hal-hal yang melibatkan umat lain. Ukuran dan falsafah mereka bolehlah dilaksanakan sekiranya tidak melibatkan falsafah dan ajaran orang lain. Tetapi yang berlaku sekarang ini adalah sebaliknya, iaitu sesuatu yang melibatkan orang lain mereka sering menggunakan ukuran mereka seperti penjajahan akal dan mental, negara dan rakyat lain, tetapi apa bila melakukan sesuatu perkara yang melibatkan agama dan umat lain, mereka sering menggunakan ukuran dan "standard" mereka sendiri, terutamanya rukun demokrasi dan hak kebebasan manusia yang tidak terbatas....

Masanya telah tiba bagi Barat memahami hal ini, dan mengubah persepsi serta perlaksanaan amalan ini, atau lebih tegas lagi melihat sesuatu melalui kaca mata amalan, tradisi, budaya dan agama orang lain ketika bertindak terhadap orang itu.....

Sekiranya kita menghormati orang lain, maka barulah orang lain akan menghormati kita, tetapi sebaliknya jika kita tidak menghormati orang lain, maka orang lain juga tidak akan menghormati kita, sekurang-kurang nya tidak memusuhi kita....

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....