NASI LEMAK NESCAFE "O"
IMPIAN SEMALAM
Saya dan isteri telah sedia berada dalam barisan di sebuah restoran KLIA sebelum jam 6 pagi tadi untuk membeli sarapan. Kami berdua berbicang sedikit tentang makanan yang hendak di makan. Nasi goreng, mee mamak, atau nasi lemak. Tiba-tiba seorang wanita separuh umur Cina depan kami tersenyum menoleh kepada kami, katanya dia memang pilih nasi lemak.
Kami pun menyahut tegurannya, kalau begitu nasi lemak jugalah. Beli satu kongsi berdua. Dia minta nescafe "O" kami minta nescafe dua (bersusu tentunya). Dia berkata lagi "kurang gula"...dan kami sambut dengan ketawa kecil....
Semasa minum dan makan nasi lemak, saya beritahu isteri saya, bahawa hal beginilah yang terjadi di dalam masyarakat berbilang kaum di negara kita sekian lama. Keharmonian terjadi secara tabi'e. tanpa di ada-adakan dengan satu motif yang tertentu.
Pernah saya tinggal di kampung kami lama dulu, semasa saya masih sekolah rendah, hanya terdapat satu keluarga Cina yang tinggal di kampung itu. Satu hari si bapa dalam keluarga itu pergi memburu babi hutan dan berjaya ditangkap dan dibunuhnya, lalu di muatkan ke atas basikal untuk di bawa balik ke rumahnya.
Badan babi itu sebesar anak lembu, terbaring di atas pelantar basikal. Kami orang kampung berkumpul sambil meminta dia berhenti sekejap untuk melihat rupa dan badan binatang itu dari dekat tanpa menyentuhnya.
Lelaki Cina ini mengetahui bahawa babi ialah binatang haram kepada orang Melayu. Dia pun tunjuklah kepada kami kepala dan hidungnya yang berlubang besar, taring, kaki dan ekornya yang pendek saja, serta beberapa anggota badan binatang itu lagi.
Orang kampung berpuas hati dapat melihat binatang liar itu dari dekat, kerana selalunya binatang itu tidak akan dapat dilihat kelibatnya dari dekat, kerana babi hutan terkenal dengan kelinchannya berlari dengan amat pantas menghilangkan diri ketika berjumpa manusia. Tidak terlintas sedikit pun dalam kepala sesiapa untuk bertanya kenapakah mereka harus makan babi dan sebagainya.
Demikianlah mudahnya kehidupan zaman itu dan zaman-zaman yang terkemudian, sebelum suasana keharmonian dan keamanan itu di ganggu gugat oleh golongan-golongan yang mengeruhkan suasana, juga mengganggu gugat kesetabilan masyarakat majmuk dan menimbulkan segala macam rasa sensitiviti yang tidak berkesudahan dalam masyarakat ini.
Pada zaman-zaman terkemudian banyak istilah yang telah diciptakan untuk menggambarkan keharmonian dan persefahaman dalam masyarakat ini. Kita mengenali istilah "unity in diversity" iaitu kesepaduan dalam kepelbagaian. "Agree to disagree" bersetuju untuk berbeza dan istilah-istilah lain lagi yang menggambarkan kesepaduan dan kesatuan masyarakat kita yang beerlaku secara yang sepontan, penuh persaudaraan dan peersefahaman, tanpa perasaan fanatik dan sensitiviti melulu dalam agama, adat istiadat, kaum, etnik dan sebagainya, atau di penuhi oleh persepsi palsu yang di reka-reka oleh ramai orang yang tidak setabil pemikirannya.
Mungkin pada zaman itu masyarakat kita berada dalam sihat dan afiat dari segi jasad dan rohnya, lahir dan batinnya, emosi dan hatinya, serta amat menghayati kehidupan fitrah yang bersih dan suci.
Maka dalam konteks ini, nampaknya segala kegawatan perkauman, keagamaan, adat resam dan cara hidup yang berlaku sekarang ini merupakan manifestasi keadaan mental dan emosi yang sakit dalam jiwa dan diri banyak anggota masyarakat, perasaan dan sentimen mereka itulah yang mungkin menyebabkan kegawatan masyarakat sekarang ini, menjelang tahun-tahun yang kebelakangan di negara kita, ketika semua orang nampaknya mulai menjiwai satu kehidupan yang agak asing dari adat resam dan nilai moral yang harmoni selama ini di dalam negara kita ini.
Dulu semua orang bersembahyang dan mengadap tuhan masing-masing. Tidak terdapat sesiapa pun yang mempersoalkan tentang ibadat dan amalannya kepada Tuhannya. Ramai orang Cina yang meletakkan buah limau di to'kongnya, tanpa disentuh atau dicuri orang, dan orang India, membunyikan loceng ketika maghrib tanda ibadat mereka baru bermula, bersahutan pula dengan seruan azan orang Islam. Semuanya berlalu tanpa persoalan kenapa begitu, kenapa begini...
Saya berkata kepada isteri saya bahawa saya bermimpi akan masa yang silam, dan bercita-cita agar negara kita balik ke zaman kuno, ketika tidak banyak orang yang terlalu pandai berniaga, berternak, berpendidikan dan berpolitik, supaya masyarakat kita kembali ke sejarah lampau, hingga kehidupan kita tidak mengalami cabaran, stress, tension dan resah gelisah, yang banyak juga menyebabkan kesakitan yang dideritai oleh anggota masyarakat, yang ada kalanya membawa kematian mengejut kepada mereka.....
Tetapi terfikir juga saya bahawa roda sejarah telah berpusing ke hadapan dan tidak mungkin akan berpatah kembali ke belakang. Namun seperti biasa, sejarah gemilang dan malapnya sesuatu bangsa itu adalah terpulang kepada bangsa itu untuk menciptakannya..baik buruknya perjalanan masyarakat itu adalah merupakan ciptaan masyarakat itu sendiri....
Sepatutnya semakin banyak ilmu yang berada di dalam dada anggota masyarakat, semakin lumayannya kehidupan kebendaan bangsa itu, dan semakin membangunnya demokrasi dan politik warga negara dan pemimpin sebuah negara itu, maka semakin bertamadun dan positifnya kehidupan masyarakat negara dan bangsa itu, semakin sihat dan harmoninya manusia-manusia yang berada dalam sesebuah negara itu....malah semakin matanglah cara berfikir dan bertindak mereka, semakin positif emosi dan mentaliti mereka....
Fikiran saya terbuntu di situ sahaja, ketika terdengar hebahan di pembesar suara, bahawa jam telah melebihi enam pagi, dan sampailah ketikanya umat Islam bersembahyang subuh....satu pengumuman yang dilaungkan di KLIA itu, yang dulunya tidak pernah bergema suara ini, dan harap-harap tidak adalah sesiapa yang mempersoalkan kenapa pengumuman ini harus di suarakan dengan lantangnya di KLIA ini.....
Kami melangkah ke surau, sementara menunggu pesawat yang akan berangkat pada jam lapan nanti...isteri saya yang pergi dengan rombongan 40 orang wanita, saya ketinggalan berseorangan di belakang...
Comments
Post a Comment