INNA LILLAH
MALIK ABDULLAH YANG SAYA KENALI
Inna lillah Wa Inna Ilaihi Raji'un
Raja Abdullah kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat 23 Januari 2015 - 2 Rabi'ul Akhir 1436, meninggalkan negara Saudi yang menjadi pelindung dua buah Masjid suci, Al-Masjidul Haram dan Al-Masjidun-Nabawi.
Ketika saya dilantik sebagai Duta Malaysia ke negara Saudi mulai 2005 hingga 2008, telah beberapa kali saya mengadap Raja Abdullah, dan pertemuan itu amat mesra kerana bahasa perantaraan Arab yang digunakan tidak memerlukan penterjemah.
Satu perkara yang menjadi titah baginda setiap kali pertemuan ialah puji-pujian baginda terhadap urusan haji dan jemaah haji Malaysia "yang tertib, berpengetahuan serta beradab" mengikut titah baginda sendiri.
Baginda menyedari tentang urusan jemaah haji yang tidak berlaku di mana-mana sahaja dunia Islam seperti yang dilakukan di Malaysia.
Hal yang sama juga dibangkitkan oleh Menteri Haji pada setiap kali pertemuan ketika menentukan kuota haji Malaysia yang sering diadakan diantara Kerajaan Malaysia dan Menteri Haji Saudi.
Ketika saya berkhidmat di sana, Malik Abdullah, pernah menghantar rombongan baginda dari Kementerian Pendidikan untuk bertemu saya dan menyatakan hasrat baginda untuk menghantar para pelajar Saudi ke Universiti di Malaysia untuk menyambung pelajaaran dengan biasiswa baginda sendiri.
Saya telah mengatur pertemuan di antara rombongan Kementerian Pendidikan Saudi dengan para Naib Canselor IPTA di Malaysia. Pertemuan itu telah menghasilkan persefahaman yang baik untuk menerima para pelajar Saudi memasuki IPTA Malaysia, yang ijazahnya di iktiraf oleh Kerajaan Saudi.
Rombongan itu menyatakan bahawa perintah baginda itu di buat apa bila Raja Abdullah mengkaji tentang sistem pendidikan serta persekitaran dan simbol Islam yang baginda kaji di Malaysia, terutamanya ketika baginda melakukan lawatannya ke negara kita pada tahun 2005 setelah dilantik sebagai Raja Saudi menggantikan Al-Marhum Raja Fahad pada tahun 2005 itu.
Baginda melihat bahawa orientasi pendidikan serta penghayatan Islam di negara Malaysia adalah amat baik untuk mengeluarkan para pemimpin muda Saudi pada masa hadapan, setelah selama ini kebanyakan para pelajar Saudi menumpukan pengajian tingginya di Barat, khususnya di Amerika Syarikat.
Itulah diantaranya Malik Abdullah yang saya kenali. Malah amat di kenali oleh para pemimpin Malaysia sendiri yang berkunjung dan mengadap baginda, Boleh dikatakan dalam setiap pertemuan baginda dengan ketua negara dan pemimpin Malaysia, maka baginda akan menempatkan pemimpin Malaysia di sebelah baginda diantara para pembesar negara Islam yang lain.
Kini baginda telah kembali kerahmatullah. Semoga tradisi perhubungan baik di antara kedua buah negara, akan terus bertambah erat dan berkekalan dengan baik, di bawah pemerintahan Raja baru Saudi, Malik Salman....insya' Allah
Al-Fatehah....
Comments
Post a Comment