PERSIDANGAN: MEMERANGI KEGANASAN
RABITAH AL 'ALAM AL ISLAMI
Akhirnya Pertubuhan Lega Islam Sedunia (Al-Rabitah) yang beribu pejabat di Makkah Al Mukarramah telah mengambil keputusan untuk menganjurkan satu persidangan antarabangsa tentang memerangi keganasan.
Persidangan itu akan diadakan di ibu pejabatnya di Makkah pada 3 - 5 Jamadil Awwal ((22 - 24 Februari 2015) dengan dihadiri oleh semua wakil Lega tersebut dari seluruh dunia.
Saya menghadirinya sebagai salah seorang wakil dari Malaysia, juga atas sifat saya sebagai anggota Majlis Tertinggi Masjid Sedunia di bawah Lega ini.
Pada tahun lalu, Lega ini menganjurkan juga satu persidangan lain dalam peringkat yang sama, iaitu dengan tema yang membicarakan tajuk Kesepaduan dan Kesatuan Ummah.
Pengisian Persidangan amat baik. Ilmiah, berhikmah dan luas sekali skop perbicaraannya, dengan beberapa personaliti akademik, ulamak dan pendakwah dunia Islam.
Dari segi inputnya, amat banyak bahan yang di kemukakan. Pengisian dari ajaran Al-Quran dan Hadith, semuanya memfokuskan kepada tajuk perbincangan, iaitu kesepaduan dan kesatuan Ummah.
Persidangan tahun ini juga saya menjangkakan bahawa para pembicara dan peserta akan membincangkan isu keganasan, ekstrimisme dan radikalisme secara meluas dan menyeluruh. Tentunya akan terdengar lagi hasil kajian dari sumber-sumber utama syariah, akhlak, dan tamaddun Islam akan di perkatakan dengan cara yang amat komprehensif sekali.
Pembicaraan menyerlahkan ufuk pemikiran sarwajagat atau world view dan tasawwur al-Islami yang holistik, dan yang konkrit mempersembahkan idea pembicaraan yang bersifat Islamik dan bersandarkan kepada asas-asas tamaddun dan peradaban Islam yang amat mendalam.
Saya menjangkakan bahawa dalam Persidangan kali ini banyak isu semasa yang akan dibicarakan termasuk isu perpecahan umat Islam di negara-negara Islam sendiri, pertumpahan darah yang amat sangat, peperangan saudara yang mengakibatkan ribuah dan jutaan pelarian perang, kemusnahan infra struktur negara yang terlibat dan ketidak setabilan ummah serta ekonomi dan sosial negara dan dunia Islam sendiri.
Hal ini tentunya akan berlarutan kepada pembicaraan tentang kelahiran kelompok dan golongan ekstremis dan ganas, ISIS, Boko Haram, Jihadis dan sebagainya yang telah menyebabkan kemusnahan dan kerosakan nilai-nilai kemanusiaan, keruntuhan tamadun dan akhlak, pembunuhan dan pertumpahan darah yang begitu banyak sekali, di tambah pula dengan keganasan Israel sendiri yang amat banyak sekali mengorbankan nyawa ummah yang tidak berdosa serta berusaha menjatuhkan imej dan nama baik Islam itu sendiri.
Seorang "tokoh" yang akan disentuh tentunya Abu Bakar al-Baghdadi yang memahkotakan dirinya sebagai Ketua negara Islam Iraq dan Lebanon yang menjadi simbol dan perjuangan jihadis di kawasan Asia Barat sejak 2013 lagi.
Membicarakn gerakan radikal dan militan amat menarik dan semua peserta mungkin mempunyai pentafsiran dan analisisnya sendiri. Kupasan dan komen amat banyak, dan segala persoalan tentang "Apa" dan "Siapa" mungkin terjawab dengan baik, tetapi isu penyelesaian dan "problem solving" mungkin agak sukar di perolehi jawapannya. Malah untuk mengetahui dan mendapatkan maklumat tentang tajuk perbincangan mungkin amat mudah, sehingga semua orang akan tahu dan maklum, namun masalah perlaksanaan dan penyelesaian masalahnya itu lah yang agak sukar sekali di bicarakan.
Kita, umat Islam, banyak mengetahui dan sedar akan ajaran dan pengisian Islam, akidah, syariah dan akhlaknya, Iman, Islam dan ihsannya, mengetahui perintah dan larangan Allah dan Rasul-Nya, menghafal ayat-ayat dan teks hadis yang banyak tentang dosa pahala, jihad dan perang, keamanan dan perdamaian, kesatuan dan kekuatan ummah, tetapi mengetahui dan mendalami ilmu itu adalah satu perkara, namun melaksanakan dan mempraktiknya itulah yang sukar.
Orang Islam mudah mengetahui dan mendapatkan ilmu atas kertas dan teorinya, tetapi ramai umat Islam yang mengetahui dan mendalami ajaran Islam, namun tidak mahu mengamalkannya.
Sebab itulah Allah berfirman "
"Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu berkata-kata sesuatu yang tidak kamu lakukan, amat besarlah dosanya di sisi Allahg, bahawa kamu berkata sesuatu yang tidak kamu lakukan.....
"Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu berkata-kata sesuatu yang tidak kamu lakukan, amat besarlah dosanya di sisi Allahg, bahawa kamu berkata sesuatu yang tidak kamu lakukan.....
Apa-apa pun, saya amat memandang ke hadapan dengan penuh harapan untuk menimba ilmu dari Persidangan yang tersebut...insya' Allah.
Comments
Post a Comment