KEMBALINYA SEORANG TOKOH
PERGINYA TOK GURU NIK AZIZ
Saya menjadi KP IKIM dari tahun 1992 hingga 2002. Dalam tempoh yang tersebut MB Kelantan Tuan Guru Datuk Haji Nik Aziz pernah mempelawa IKIM untuk menjadi penganjur seminar kebangsaan tentang kewangan Islam di Kota Bharu dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan.
Seminar tersebut telah di adakan di ibu kota Kelantan dan di hadiri oleh ADUN dan MP yang di jemput khas oleh MB. Allah Yarham sendiri menghadiri dan mengikuti semua perbincangan di dalam Seminar tersebut.
Semenjak waktu yang tersebutlah saya dan Tok Guru menjadi teman yang agak rapat, terutamanya apa bila saya berkahwin dengan orang Kelantan dalam tahun 2008 dan sering juga bertemu beliau ketika saya berkunjung ke Kelantan, iaitu ketika menghadiri majlis perkahwinan keluarga Isteri dan perjumpaan Hari Raya dan sebagainya. Beliau masih dapat mengecam wajah saya dan mengingati segala sesuatu mengenai Seminar bersama yang kami anjurkan itu, meskipun masanya telah berlalu agak lama.
Kalau beliau duduk di dalam satu majlis, selalunya kerusi di sekeliling beliau kosong kerana tetamu yang datang agak malu, atau hormat, atau kerana sebab-sebab lain lagi yang tidak saya ketahui, enggan duduk bersebelahan dengannya. Sayalah yang sering duduk di sebelahnya. Tetapi kami tidak pernah berbicara tentang politik kepartian atau aktiviti politik beliau.
Kini sekurang-kurangnya satu peristiwa itu sahaja sudah cukup menyentuh hati dan perasaan saya ketika mendengar berita bahawa beliau telah pun kembali ka rahmatullah, menyahut panggilan Allah SWT yang maha kuasa, walau pun sebenarnya saya pernah juga melawatnya di Hospital USM akhir-akhir ini, sama sehari dengan lawatan yang dibuat oleh saudara Dato Dr Harun Din, kawan rapat saya, tetapi kami hanya berselisih jalan, hanya dapat melihat di dalam buku catatan pelawat sahaja.
Usaha arwah amat besar dalam menyebarkan ilmu agama, mengajar sehingga ke saat-saat akhir hayatnya, menasihati dan membimbing sesama Islam di mana-mana sahaja dengan penjelmaan watak dan ilmunya yang tinggi.
Namun arwah sebagai seorang ilmuan dan alim, adalah juga seorang ketua parti dan ketua Negeri, maka komen-komen dan fikiran yang dikeluarkannya sering tidak dapat dibezakan oleh orang yang mendengarnya. Bukan hanya ucapan atau kenyataannya, tetapi dalam beberapa hal terdapat juga tindakannya yang di salah ertikan oleh orang awam, sehingga ketokohannya sering di persoalkan oleh orang ramai, tanpa melihatnya dari perspektif ilmu, politik atau peribadi.
Inilah sebenarnya kenyataan yang harus di hadapi apa bila seorang alim menyertai parti politik yang kita warisi dari sistem penjajahan, iaitu politik yang terbuka, dan parti politik yang pada umumnya berlandaskan dasar dan nilai-nilai demokrasi Barat.
Hal yang sama juga berlaku ketika seorang ahli akademik menyertai politik begitu. Namanya akan tercemar sekiranya dia tidak berhati-hati mengeluarkan kenyataan dari aspek politik, malah kadang-kadang terheret juga ke dalam politik taksub dan partisan yang melampau.
Bagaimana pun Arwah Tok Guru Nik Aziz sering juga bersandarkan kepada dalil dan nas Al-Quran dan Hadis ketika beliau mengeluarkan hujah-hujah politiknya.
Namun kini beliau telah pergi buat selama-lamanya, maka kita seharusnya lebih bersikap ikhlas dan ihsan kepada ruhnya, ambillah segala-segalanya sebagai satu amal jariah Allah Yarham, dan Allah akan sentiasa memberikan ganjaran kepadanya.
Janganlah disebut atau diungkitkan lagi segala perbezaan individu beliau, ketokohanya tidak dapat ditandingi dengan mudah, dan kehilangannya sukar dicari ganti,
Inna Lillah Wa Inna Ilaihi Raji'un
Al Fatehah.
Comments
Post a Comment