WAJAH-WAJAH "PARA ULAMAK"?



2-MANY FACES OF ULAMAKS AND USTAZS...


Ungkapan ini bukan saya yang kata, tetapi inilah satu dua komen balas yang saya terima hasil dari entri saya tentang Ulamak dan Pru-13. Saya tidak setuju dengan pandangan yang mengatakan bahawa banyak ulamak dan ustaz yang hendak masuk PRU ini hanya untuk mencari glamor dan berharap akan mendapat jawatan dalam Kerajaan, sama ada menjadi pembangkang atau pemerintah. Tetapi itulah yang dikatakan oleh sebahagian kecil orang yang memberi komen itu.

Bagi saya ulamak atau ustaz, teknokrat atau profesional, dan yang lain-lain juga, sememangnya bebas untuk memasuki politik, tetapi mereka itu hendaklah benar-benar asli dan "ori" bukan orang celupan atau saduran saja, kerana dalam zaman yang terlalu banyak persaingan dan perlumbaan mencari "branding" ini, maka banyaklah pula yang akan lahir sebagai ulamak, atau profesional, malah ada yang menjadi selebereti pun nak masuk politik kepartian sedangkan politik itu adalah merupakan satu perkara yang serius dan kredibel, bukan main-main atau kerana publisiti sahaja.

Masalah di negara kita ini, politik menjadi medan pertarungan, pertelegahan dan permusuhan, Masuk parti maknanya masuk ideologi yang tidak akan berkompromi dengan ideologi politik musuh. Parti-parti merupakan beberapa pasukan tentera yang berhadapan sesama sendiri, dengan senjata yang siap terhunus dan senapang yang telah berissi peluru, menunggu masa sahaja untuk bertempur.

Isu agama pula memainkan peranan yang amat besar dalam peperangan ini di dalam masyrakat Islam, dan tentulah melibatkan masyarakat Melayu di negara kita ini. Ustaz celup atasu ulamak "branding" ini tentulah akan membuka langkah dengan silat gayung dan cekaknya yang menggegarkan dunia dengan sepak terajang, perang mulutnya yang hebat, orang itu tidak Islamik, sekular, tidak ikhlas, tidak faham Islam dan sebagainya.

Memerintah dan memagang kuasa politik tidak semestinya khusus untuk sesiapa saja, ulamak, ustaz, profesional, teknokrat dan sebagainya. Semuanya harus diberi peluang untuk berkongsi kuasa politik, kerana satu dasar pemerintahan yang disebut oleh agama kita ialah prinsip musyawarah, syura dan berbincang serta berdialog sesama sendiri untuk menyusun agenda pergerakan bersama. 

Ulamak atau profesional tidak seharusnya membolot perjuangan politik, kepimpinan hanyalah pangkat yang diberikan dalam pemerintahan, tidak semestinya pimpinan harus mengamalkan kuasa sendiri, malah pemimpin haruslah bermesyuarat dengan jentera pemerintahannya, tidak ada kuasa yang dinamakan kuasa ulamak atau profesional, kepimpinan ulamak atau tidak ulamak, kerana sebagai pemimpin maka dia tidak semestinya dapat menguasai semua ilmu dan bidang kepimpinan, malah yang diperlukan ialah pemimpin yang bijaksana dan tahu berfikir dengan baik, tetapi dalam menjalankan pemerintahan dia seharusnya tidak merupakan diktator, mengamalkan politik "dinasti" dan sebagainya.

Oleh itu ulamak atau bukan ulamak, bukanlah menjadi syarat untuk menentukan sama ada dia sahaja yang seharusnya memimpin, sama juga seperti suatu ketika dulu, pakar undang-undang saja yang seharusnya memimpin, tetapi sekarang ini, kalau orang itu layak menjadi pemimpin yang berkualiti dan mempunyai ketajaman pemikiran, tidak kiralah sama ada dari kampung atau bandar, dialah yang seharusnya memimpin, dan dalam proses memimpin itu dia tidaklah pula menjadi seperti Nabi yang maksum.

Isunya sekarang bukanlah isu mengungkap persepsi siapa yang mahu Islam dan siapa yang tidak mahu Islam. Orang Melayu sejak lama dalam budaya beragamanya mengambil berat tentang ajaran agama dan berkekalan hingga sekarang, semuanya mahukan Islam berdaulat dan berkuasa. Isunya ialah agenda Islam dan perlaksanaan Islam itu yang seharusnya dikaji dan dihalusi. Bangsa kita Melayu dan beragama Islam yang agak jelas dan terang, tetap memperjuangkan Islam sehingga Islam merupakan wadah pemerintahan dalam semua pembangunan negara kita. Oleh itu ulamak atau ustaz yang tulin dan ikhlas seharusnya ketika berada di dalam parti politik mana sekali pun haruslah bertindak untuk lengkap melengkapi, nasihat menasihati dengan hikmah dan berilmu, tegur menegur dengan adab dan etika, mendengar dan mengeluarkan pandangan, malah bersedia mendengar pandangan orang lain, bukan selalunya bertindak menjadi hakim dan qadi yang hanya pandai menghukum dan mempersalahkan orang lain. Imam Al-Ghazali menyuruh kita melihat ke dalam diri kita untuk dibetulkan sebelum menyalahkan orang lain. Mazhab Shafie banyak mengambil jalan tengah dan tidak melampaui. Inilah the true faces of Ulamak dan Ustaz, profesional dan cendekiawan...

Demikianlah kesimpulan yang telah saya dapat dari komen dan maklum balas dari para pemimpin kecil kampung dan bandar, lulusan universiti atau sekolah atap, yang diberikan kepada saya, kerana mereka tak mampu mengemukakan idea ini kepada media perdana, iaitu sama ada akan dikecam atau tidak di layan sama sekali.   

Inilah faces atau wajah-wajah orang yang dikatakan itu dan ini, si anu dan siapa-siapa saja, dan saya mahu menambah bahawa inilah juga faces atau wajah-wajah orang-orang yang merasakan diri mereka saja yang boleh memerintah, dan orang lain tidak boleh...mereka saja yang benar, orang lain semuanya salah, sedangkan mereka semua adalah manusia yang punya kelemahan dan kekurangan......

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....