BISNIS AIR JAMPI?



2-PERLU AIR JAMPI, TAPI BUKAN UNTUK BERNIAGA BESAR!

Saya baik demam masa kecil itu adalah campuran air Tok Hasan, bomoh kampung saya 5 - 6 dekad yang lalu, mandi air perigi selepas kebah demam, dan turunkan suhu badan kerana lumur asam jawa. Ada air jampi Tok Hasan, ditambah dengan ikhtiar berubat secara undang-undang alam ciptaan Allah juga, sama seperti api yang membakar, itu adalah undang-undang alam ciptaan Allah, kalau tak elak dari api, kita boleh jadi terbakar, tetapi dengan kehendak Allah, api itu tidak boleh membakar seperti yang dikehendaki Allah ketika Nabi Ibrahim dicampakkan kaumnya ke dalam api.

Saya dapat air jampi itu dari Tok Hasan, bukan beli di pasar tanpa benar-benar mengetahui sumbernya, tanpa megetahui siapakah yang sebenarnya menjampi, malah mungkin hanya air sejuk biasa yang didakwa air jampi, dengan slogannya di jamin baik semua penyakit!

Itu bukan caranya. Saya pun pernah dapatkan air jampi, tetapi dapat secara peribadi dari orang yang saya kenali dengan amat rapat, saya secara peribadi menceritakan kepadanya untuk apa, malah untuk siapa kalau tidak untuk diri sendiri pun. Orang yang menjampi adalah khusus untuk orang yang memerlukannya, bukan pakai borong dan umum saja untuk semua orang. Dia yang menjampi itu tidak dipersoalkan tentang ilmu dan akhlaknya, dikenali dengan baik semuanya itu.

Maka di sinilah perkiraannya untuk kita membuat pertimbangan bilakah kita memerlukan air jampi, dan untuk apa serta dari siapa. Dan disinilah juga seringkali orang yang berubat secara Islam itu akan memberitahu kita apakah ikhtiar yang harus kita lakukan sebagai tambahan kepada ikhtiarnya sendiri berdoa kepada Allah SWT.

Saya bawakan cerita saya demam dan sembuh setelah Tok Hasan menurun dan menyembur air sireh pinang ialah untuk menceritakan pengalaman saya bahawa dalam proses mengubat dengan jampi dan doa, kita haruslah juga berikhtiar dengan kepandaian dan ilmu yang diberikan Allah untuk kita. Mak saya tidak belajar universiti, tetapi dia mempelajari cara menurunkan suhu badan yang panas dengan mandi sir sejuk dan lumur asam jawa, bukan dia hanya membiarkan saya terlantar begitu saja atau hanya mengharapkan air tok Hasan itu saja.
Allah berfirman "Berdoalah kepada Aku, nescaya akan Aku kabulkan bagi kamu" jadi berdoalah banyak-banyak kepada Allah, dan agama kita juga melalui ayat al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW mengajar kita bahawa berusaha dan berikhtiar itu adalah satu keperluan dalam hidup kita, kerana berdoa itu termasuklah berikhtiar dan bertawakkal, malah Rasulullah SAW ketika melakukan hijrah, telah juga berikhtiar menggunakan kebijaksanaan dan strateginya yang pintar untuk mengelak diri dari bahaya orang kafir dan meluluskan diri baginda dari dijejaki musuh yang hendak membunuhnya, setelah itu berserah dan bertawakkallah kepada Allah SWT.

Orang sekarang, bomoh atau tidak, profesional atau alim, sering terperangkap dalam perangkap kebendaan dan persaingan kehidupan moden ini, bukan seperti Tok Hasan yang berubat saya itu. Itu zaman dulu, zaman sekarang berbeza. Kerana wang banyak orang yang sanggup menggadaikan segala prinsip dan maruahnya, sanggup menipu dan berbohong, dan orang ramai pula sering tertipu iaitu apa bila disebut sahaja sesuatu yang berencahkan Islam, maka tanpa usul periksa lagi akan terpengaruh untuk membelinya. Al-Quran menyebut "Tanyalah orang-orang yang berilmu sekiranya kamu tidak mengetahui".

Saya amat positif dengan doa dan permintaan kepada Allah, tetapi saya amat bimbang dengan percambahan air dalam pasaran yang terbuka yang dikatakan air jampi itu. Dunia sekarang penuh tipu daya, malah ramai yang akan memperalatkan agama untuk kepentingan peribadi dan keuntungan duniawi.

Kalau sesiapa yang memerlukan air jampi, atau namakan saja air penawar, ayat ubat dan sebagainya, pergilah sendiri kepada orang yang dikenalinya, yang diketahuinya tentang peribadi dan ilmu hikmahnya, perangai dan sikapnya, jangan hanya pakai borong apa-apa saja yang didakwa orang di pasaran....

Air yang dibacakan ayat-ayat suci Al-Quran adalah ikhtiar para alim ulamak yang benar-benar alim dan mendalami rahsia kandungan Al-Quran dan Hadis Rasulullah SAW, bukan sebarang orang boleh berubat dengan mendakwa sebagai pengamal perubatan Islam. Zaman dulu disebut sebagai air penawar untuk penyakit, iaitu berdoa kepada Allah SWT untuk menyembuhkan penyakit rohani dan jasmani yang dialami manusia yang sakit.

Oleh itu sebutan air jampi hendaklah digunakan istilah yang betul dan tepat, bukan bercampur aduk dengan pencemaran akidah dan khurafat yang bertentangan dengan ajaran agama. Radio, TV atau media yang turut mencari wang untuk mengiklankan segala macam air dan ubatan yang dikatakan berunsurkan Islam ini haruslah berhati-hati supaya tidak turut bersyubahat menjaja sesuatu yang boleh mengabui mata orang ramai dalam zaman kebangkitan Islam pada masa kini, ketika orang Islam sedang berusaha untuk kembali kepada agama dan menghayati segala ajarannya, termasuk dalam perubatan, kosmetik dan produk yang halal dan sihat (Halalan Tayyiban)

Itulah mesej saya,

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....