APAKAH ERTINYA AIR JAMPI?
1-MACAM-MACAM AIR : TETAPI PERLUKAH AIR JAMPI?
Masa saya kecil-kecil puluhan tahun dulu, kalau saya demam, badan panas, tak larat bergerak, arwah bapa atau mak saya akan panggil bomoh kampung untuk berubat. Ada seorang bomoh bernama Tok Hasan yang seingat saya merupakan satu-satunya bomoh kampung kami yang terkenal. Dia lah yang selalu berubat orang kampung.
Ketika saya atau adik beradik saya demam, panas badan, dia akan dipanggil datang. Biasanya dia datang lepas isyak, ketika suasana malam amat sunyi, keadaan di dalam rumah pun samar-samar, kegelapan saja, kerana cahaya yang ada hanyalah dari pelita minyak dua tiga yang di pasang di beberapa penjuru ruang rumah.
Dia datang berkupiah puteh. Duduk sembang-sembang sekejap. Lepas itu dia mulai berubat. Ketika semua orang senyap sunyi, dia mulai istiadat dengan membaca sesuatu, mulutnya terkumat kamit, terus membaca jampi dengan suara yang tidak jelas kedengaran, kemudian dia bertempik "piau-piau" mengejutkan semua orang, sambil membuka kupiah putehnya dan meletakkannya di atas lantai, dan dalam masa yang sama dia mengeluarkan bermacam-macam suara, yang bunyinya amat menggerunkan, kerana terdengar juga suara harimau mengaum, dan diselangi dengan percakapan dalam bahasa Siam!
Masa ini dia sebenarnya telah "lupa",istilah bomoh dan dukun bagi orang turun nenek moyang untuk mengubat orang sakit, sebab yang menjelma itu adalah ruh datuk neneknya, dan ruh inilah yang akan membuat ubat, bukan Tok Hasan secara peribadinya. Mak saya dah siapkan sirih pinang, kerana sireh pinang itulah satu-satunya ramuan untuk digunakan sebagai ubat, dan tok bomoh akan memakan dan mengunyah sireh pinang itu, kemudian berdentum bunyi lantai papan rumah kami yang di hentaknya amat kuat dengan kakinya, sekali lagi semua orang terkejut hilang semangat, serentak dengan itu dia bangun menuju ke arah saya yang sedang berselimut kesejukan, lalu dia membuka kain selimut saya, dan menyemburnya dengan air sireh pinang dari mulutnya, basah kemerah-merahan badan saya dari kaki ke kepala, kemudian dia akan meneruskan semburan hingga ke pintu dapur, turun tangga hingga ke bawah, menghabiskan semburannya sambil bertempik lagi dengan sekuat-kuat hatinya, lepas itu baru dia naik semula ke dalam rumah..duduk kembali di atas lantai,,tunduk kepalanya....dan beberapa minit kemudian dia pun "sedar" kembali...dan mengambil kupiah putehnya, memakainya semula, tanda selesailah upaca "menurun" itu.
Malam itu lebih kurang pukul sembilan lebeh, saya digerakkan Mak saya suruh bangun nak mandi . Mandi dengan air jampi Tok Hasan juga. Saya gagahi bangun, turun ke pelantar rumah, dan duduk atas bangku yang selalu mak saya gunakan untuk potong sayur dan siang ikan. dengan membaca bismillah mak saya mulakan mandi, mula-mula dengan jurusan pertama air perigi yang telah dicampur air jampi tadi, mulai dari hujung kaki, kemudian ke lutut, pinggang dan beransur-ansur naik ke atas, akhirnya barulah jurus kepala, Aduh alangkah sejuknya air yang amat dingin meresap masuk hingga ke tulang sum-sum rasanya.
Setelah beberapa kali jurus, dilumur pula badan saya dengan asam jawa, makin sejuk menggigil, dan dibiarkan sekejap saya dalam kesejukan itu, namun Mak saya memberitahu bahawa saya akan baik demam segera, kerana pada masa itu kelihatan asap berkelun-kelun keluar dari kepala saya, dan bila saya menghembuskan mulut saya, asap turut keluar juga, tandanya badan saya tidak akan panas lagi, kerana panas dalaman itu akan keluar semuanya, dan saya akan kebah demam.

Memang betul, selepas mandi, dan setelah badan saya dikeringkan dengan kain pelikat, saya mulai merasa segar, malah mulai merasa berselera nak makan nasi pula, dan mak saya dah tahu, kerana sebelum ini dia pun dah siapkan nasi dan lauk ikan goreng untuk saya, apa lagi saya pun makanlah dengan gelojoh sekali, habis satu pinggan, dan tambah satu pinggan lagi.
Itulah nampanknya mustajab ubat Tok Hasan tadi.........mustajab air sireh pinang, dan air itulah yang kami percaya yang telah menghalau segala makhluk halus yang membawa demam dan panas badan saya tadi, sekarang makhluk halus itu telah dihalau jauh melalui pintu dapur yang dihambat oleh Tok Hasan hingga ke tanah, menempiknya suruh pergi.....Agaknya lari lintang pukanglah makhluk halus itu meninggalkan rumah kami dek herdikan tok bomoh itu...
Saya dan semua orang kampung percayakan perkara ini, kerana pada waktu itu Tok Hasan selalu juga menyebut semasa dia "lupa" bahawa siapa-siapa yang sakit demam dan sebagainya, tentulah telah "terkena" sampuk hantu jin dalam hutan, terutamanya bagi orang kampung yang tidak punya jamban dan tandas, lalu masuk ke dalam hutan untuk menunaikan hajatnya, buang air kecil atau air besar, masa itulah makhluk halus itu akan menyampuknya, dan untuk mengelakkan dari sampukan ini, siapa-siapa yang hendak masuk hutan untuk qada' hajat dan sebagainya hendaklah terlebih dahulu mengucapkan kata-kata "Minta ampun, minta maaf datuk nenek, anak cucu nak tumpang lalu ..." supaya dia tidak di sampok dan akan demam seperti ysng saya alami itu !
Tetapi cerita itu lama dulu, ketika zaman nenek moyang yang terlalu banyak mempercayai segala khurafat dan kepercayaan karut marut jahiliyyah...Namun sekarang sungguh pun perkara itu masih wujud, tetapi pada zaman perlumbaan perniagaan dan pengaruh materislistik yang amat hebat, apakah segala produk jampi dan doa itu hendak diperdagangkan dalam pasaran terbuka seperti yang dibangkitkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan baru-baru ini....?
(Akan di sambung Bahagian Kedua cerita ini...terutamanya untuk menjawab persoalan yang saya kemukakan di atas..)

Comments
Post a Comment