MENJELANG 2015

SEMOGA SEJARAH BURUK UMAT ISLAM AKAN BERAKHIR

Tahun 2014 menyaksikan perpecahan ummah Islam seluruh dunia.  Tanpa mencuba untuk menuding jari kepada pihak lain, umat Islam sendiri sebenarnya yang menyebabkan perpecahan dan kerisis sesama mereka sendiri.
 
Kerisis sesama umat Islam berlaku dalam satu keadaan yang amat parah dan serius, iaitu dengan berlakunya sejarah baru yang berlarutan dengan pertarungan kuasa dan pengaruh, perpecahan kerana aliran mazhab, aliran puak, etnik dan sebagainya, yang membawa kepada pertumpuhan darah, pembunuhan, penculikan dan seribu satu macam keganasan yang amat mencabar nilai-nilai kemanusiaan dan akhlak Islamiah itu sendiri.
 
Dunia Islam tidak setabil. Ekonominya tercabar. Peperangan antara rakyat dan pemerintah, malah rakyat sesama rakyat, menutup sama sekali arena politik yang sihat, pembangunan ilmu dan pendidikan, semuanya hancur dalam kehancuran gedung ilmu, sekolah dan universiti, bangunan dan industri, pertanian dan perniagaan, malah mecipta sejarah buruk dalam ribuan pelarian perang, dan kelahiran kumpulan-kumpulan ekstrem dan radikal atas nama Islam....
 
Hal ini amat mengelirukan persepsi dan gambaran sebenar tentang Islam, tentang jihad, syahid, perang pada jalan Allah atau jalan syaitan, semuanya menghancurkan pemahaman umat Islam tentang agamanya yang sebenar, erti perang, jihad, berkorban kerana agama dan nafsu, semuanya menjadi kucar kacir dan haru hara dalam pemikiran umat Islam, tua dan muda....
 
Kita amat berharap bahawa menjelang tahun baru 2015, malah menjelang hari keputraan Rasulullah SAW pada 12 Rabiul Awwal sehari dua ini, umat Islam seharunya telah mempelajari banyak perkara dari sejarah hitam mereka .
 
Malah umat Islam di negara kita sendiri pun akan banyak mempelajari dari kesilapan dan kepincangan negara dan umat di negara yang lain. Kehakisan ilmu dan nilai akhlak Islam di mana-mana saja haruslah diambil iktibar oleh segala peringkat rakyat Malaysia.
 
Tanpa peperangan dan pertumpahan darah yang serius di negara kita ini pun, maka bencana alam dalam banjir dan tsunami kecil yang melanda negara kita ini agak cukup untuk mengingatkan kita tentang pengurusan alam dan pencerobohannya yang agak banyak dilakukan oleh tangan kita sendiri.
 
Ketamakan nafsu dan kebendaan manusia yang hilang pertimbangan nilai moral dan kerohaniannya, telah banyak sekali merosakkan tabiat alam, cuaca, sungai, tasik dan lautan negara kita, merossakkan gunung ganang dan bukit bukau, serta hutan belantara kita yang sepatutnya selama ini terpelihara dengan baik....
 
Allah tidak akan mengubah nasib kita, sekiranya kita tidak berusaha untuk mengubahnya sendiri ...Maka Allah tidak akan mengubah sejarah kita sekiranya kita sendiri tidak berusaha mengubahkannya, mengubah nilai luaran dan dalaman, material dan kerohanian, jiwa dan jasad kita....
 
Demikianlah harapan kita semua. Harapan dan doa kita menjelang tahun baru hari ini........tahun 2015...

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....