ULANG TAHUN TSUNAMI DAN BANJIR BESAR DI NEGARA KITA



TANDA-TANDA KEKUASAAN ALLAH

Tanggal 26 Disember 10 tahun yang lalu, iaitu pada tahun 2004, satu peristiwa bencana alam yang pada umumnya tidak pernah kita alami dalam umur kita, telah berlaku, iaitu bencana alam yang bernama Tsunami, ketika lautan memuntahkan airnya setinggi gunung melanda segala bangunan dan mercu tanda bumi, pokok-pokok besar, hutan belantara, termasuk kenderaan dan pengangkutan laut dan darat, yang besar dan kecil, mengalami kemusnahan yang besar, dihanyutkan puluhan kilometre ke darat.
 
Ombak raksaksa menyapu bersih segala bangunan dan objek yang dilandanya menjadi padang jarak pedang tekukur puluhan kilometer, kecuali beberapa buah bangunan seperti Masjid Al-Rahman di Acheh, yang bangunan dasarnya masih dapat bertahan pukulan badai besar itu, kekal tegak di tengah-tengah tanah lapang...............dengan kudrat Maha Pencipta, Allah Subhanahu Wata'ala.
 
Kini, menjelang penghujung Disember 2014, ketika dunia menyambut 10 tahun peristiwa Tsunami, banyak negara dunia sekali lagi diancam bahana limpahan air dari bumi dan langit, iaitu banjir besar yang mengancam puluhan ribu manusia, termasuk di negara kita, yang sedang bergelut dengan bahaya yang tidak dapat di tahan dan tidak mungkin di lawan itu. 
 
Dunia moden yang telah berkembang pesat dengan kemajuan pertanian dan perindustrian sehingga dapat menguasai bidang-bidang itu dengan rekaciptanya yang tinggi, disusuli pula dengan kemahiran dan penguasaan ilmu paling tinggi dalam era teknologi yang canggih dan maju, sehingga menjadikan sesuatu yang mustahil pada masa lampau itu sebagai sesuatu yang dapat dikuasainya dengan mudah dalam zaman ICT, akhirnya tidak dapat melakukan sesuatu ketika berhadapan dengan peristiwa tsunami dan bencana alam yang hebat ini.
 
Tsunami dan banjir, tanah runtuh dan ribut salji yang besar, gunung merapi dan muntahan labanya yang amat panas, ribut pasir dan gelombang besar puting beliung yang memutarkan muka bumi dan udara, tidak dapat ditahan dan di lawan oleh sebarang ciptaan manusia dengan ilmu sains dan teknologinya.
 
Negara maju dan negara mundur, kaya dan miskin, di Timur dan di Barat, yang dilanda oleh ancaman dan bala ini, akan mengalami nasib yang sama, kemusnahan dan kehancuran, kehilangan nyawa dan harta benda, menjadi manusia yang kerdil yang hanya dapat menonton dan menerima akibatnya yang amat padah dari bencana alam ini.
 
Kita membaca di dalam kitab suci Al-Quran bagaimana umat-umat terdahulu, yang degil dan sombong, yang menentang para Rasul dan Nabi, menentang seruan tauhid dan penyerahan diri kepada Allah yang maha berkuasa, akhirnya menerima nasib yang sama, kemusnahan dan kehancuran, kebanyakannya kerana bencana banjir dan air dari bumi dan langit, yang mengepung dan menenggelam mereka yang degil, hilang lesap dari permukaan bumi, kecuali orang-orang yang beriman.
 
Inilah sebenarnya tanda-tanda kebesaran Allah dan kekuasaan-Nya yang di sebut sebagai "Ayat-ayat" Allah untuk menusia berfikir dan menggunakan segala kebijaksanaan dan hikmahnya, untuk memahami kekuasaan Tuhan yang maha esa dan berkuasa, yang pada orang Barat di istilahkan sebagai "Mother Nature" iaitu kejadian alam secara tabi'e tanpa sebarang kuasa lain, iaitu Allah SWT.
 
Falsafah orang yang tidak percayakan kuasa ghaib iaitu Allah SWT, tetap mengingkari kewujudan Tuhan Yang Maha Esa, tetapi falsafah keagamaan kita orang yang beriman, ialah pengakuan kewujudan Allah SWT yang maha esa.
 
Semoga ketika kita mengingati segala peristiwa duka berlakunya Tsunami 10 tahun yang lalu, dan peristiwa kecil setengah Tsunami yang sedang melanda diri kita sekarang, akan menambahkan iman kita dan memperkuatkan akidah kita tentang kewujudan Allah dan kekuasaan-Nya, yang menguasai langit an bumi, serta seluruh alam ini.
 
Allah SWT mengingatkan kita di dalam surah Al-Sajdah bahawa kita dirasakan-Nya dengan musibah dan azab yang kecil di dunia ini, supaya kita akan lebih menginsafi akan balasan Allah yang lebih besar lagi di akhirat nanti...mudah-mudahan kita kembali yakin kepada Allah....(Ayat 21)
 
Tsunami dan banjir serta bencana alam lain di bumi ini adalah amat kecil musibahnya dan azabnya, jika dibandingkan dengan azab Allah SWT di hari akhirat nanti bagi orang yang mendurhakai-Nya. 
 
 
 
 





Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....