DUNIA HARUS MEMAHAMI KES PALESTIN


 

Palestin merupakan isu rumit dan menyedihkan, bukan hanya untuk umat Islam dan Arab, malah untuk dunia umumnya, kerana penindasan yang menimpa rakyatnya pada masa kini bukan hanya atas nama agama dan suku bangsa, malah pencerobohan ke atas rakyatnya adalah merupakan pencerobohan ke atas kemanusiaan seluruhnya.

Tragidi yang menimpa kapal Marvi Marmara pada 31 Mei 2010 ketika regime Israel menyerang anggota keamanan antarabangsa yang sedang membawa bantuan kemanusiaan untuk rakyat Gaza di perairan antarabangsa yang mengorbankan 9 orang sukarelawan itu memang amat menyedihkan. Peristiwa itu tidak dapat dibayangkan akan berlaku pada abad ke-21 dan dalam zaman tamadun manusia alaf ketiga ini, tetapi ia dilakukan oleh Israel.

Bagaimana pun pengorbanan para sukarelawan itu mempunyai hikmah di sebaliknya, kerana di atas tumpahan darah mereka dan korban nyawa mereka yang amat tinggi nilainya sedikit sebanyak nya telah dapat membuka mata hati dunia tentang undang-undang rimba yang dipakai dan sifat kebinatangan yang dimiliki oleh regime yang tidak bertamadun dan tidak berperi kemanusiaan itu.

Kita di Malaysia sendiri seolah-olah telah dikejutkan oleh bunyi bising yang bergema dengan amat hebatnya di seluruh penjuru negara kita, kerana misi keamanan itu telah melibatkan sukarelawan dari rakyat kita, termasuk rombongan kedua yang menjalankan misi yang sama dalam kapal kedua MV Rachel Corrie.

Bumi Palestin amat penting dari segi fizikal dan spiritual nya kepada umat Islam. Kepentingannya juga mempunyai hubungan dengan kesucian bumi ini dan sejarahnya dalam konteks perutusan para Nabi yang diutuskan oleh Allah SWT untuk membawa rahmat dan kesejahteraan kepada manusia dan dunia ini.

Al-Quran menyatakan tentang para Nabi yang turun dan mendiami bumi suci Palestine ini dengan jelasnya iaitu seperti Nabi Ibrahim, Lut, Ismail, Ishak, Yaaqub, Yusuf, Saleh, Daud, Sulaiman, Isa dan para Nabi lain lagi.

Nabi dan Rasul terakhir, Muhammad SAW, Nabi kita, telah diberikan penghormatan yang amat mulia oleh Allah SWT dengan pengembaraannya ke bumi suci ini dan persinggahannya pada waktu malam Israknya di masjid Al-Aqsa dalam peristiwa Israk dan Mikraj baginda dalam satu peristiwa mukjizat yang besar seperti yang disebutkan di dalam al-Quran:

Maha suci Allah yang telah membawa hamba-Nya berjalan pada malam hari dari Al-Masjid Al-Haram ke Al-Masjid Al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari bukti-bukti (kekuasaan) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat. (Al-Isra' ayat 1)

Masjid Al-Aqsa yang terletak di bumi Palestin adalah merupakan kiblat pertama umat Islam, dan merupakan salah satu masjid suci, di samping masjid Al-Haram di Makkah dan masjid Al-Nabawi di Madinah. Umat Islam kini bebas melawat dan beribadah di kedua-dua buah masjid yang terletak di bumi Saudi, di Makkah dan Madinah, tetapi amat malang sekali sebuah masjid suci yang merupakan kiblat pertama iaitu masjid Al-Aqsa kini terletak di bawah kekuasaan regime Israel yang terkutuk itu selepas kekalahan Arab dalam peperangan lima hari dalam bulan Jun 1967.

Semenjak penaklukan Zionist dalam bulan Jun 1967, pihak Zionist telah melakukan berbagai-bagai-bagai aktiviti yang merosakkan masjid Al-Aqsa. Hanya beberapa hari sahaja selepas penaklukannya, pihak mereka telah merobohkan dinding Al-Magharibah di sebelah barat Masjid dan diratakan untuk menjadi tempat ibadat orang Yahudi.

Dalam usaha mereka untuk menemui bukti sejarah tentang kehadiran (Solomon's temple) di kawasan utara dan barat kota Baitul-Maqdis, mereka telah menjalankan kerja galian dan pembungkaran yang besar di kawasan itu, tetapi mereka tidak menemui bukti yang mereka cari itu, malah bukti sejarah yang mereka temui menunjukkan bahawa bandar dan kota ini adalah kota suci Islam.

Sekurang-kurang nya terdapat tiga faktor yang menjadikan Palestin amat penting kepada umat Islam, iaitu kesucian masjid al-Aqsa sebagai kiblat pertama, kedua kerana kekejaman hebat yang dilakukan oleh regime Israel dan gerakan Zionist antarabangsa yang dilakukan terhadap umat Arab dan Islam, yang ketiga ialah serangan mental dan fizikal yang dilakukan oleh regime tersebut dan gerakan Zionist antarabangsa di Amerika Syarikat dan Eropah sehingga mereka telah berjaya memecah belahkan tanah Palestine dan rakyatnya serta umat Islam seluruhnya.

Negeri Zionist ditubuhkan pada 14 Mei 1948 di atas sekeping tanah yang kecil sahaja, tetapi mereka telah merampas tanah Palestine dengan kadar 77% dan mengusir kira-kira 800.000 penduduk Palestin menjadi pelarian perang, iaitu ketika mereka memenangi peperangan dengan Arab yang lemah dan tidak punya kepimpinan itu di antara tahun 1948 hingga 1967.

Dalam peperangan dengan Arab dalam bulan Jun 1967, baki tanah Palestine telah dirampas, termasuk Tebing Barat, Timur Jerusalem, dan Genting Gaza dan regime ini juga telah menakluki Pergunungan Golan (1,150 km persegi) dari Syria, dan semenanjung Sinai (61,198 km persegi) dari Mesir, akibatnya kira-kira 300,000 lagi rakyat Palestine menjadi pelarian perang, terpaksa meninggalkan tanah air mereka. Tetapi Sinai telah dikembalikan kepada Mesir ketika Mesir memenangi peperangan dengan Israel pada tahun 1974, dengan beberapa syarat yang diletakkan kepada mereka, termasuk perjanjian damai dengan Israel dan bantuan kewangan dari sekutu Israel, Amerika Syarikat.

Ketika rakyat asal Palestin terpaksa lari merempat ke negara lain, regime Israel membuka pintu seluas-luasnya kepada orang Yahudi untuk berhijrah masuk ke Israel, dan mengikut perangkaan yang pernah dicatatkan terdapat kira-kira 2.8 juta Yahudi telah berhijrah ke Palestine di antara tahun 1949 – 2000.

Kemenangan Hamas dalam pilihan raya Palestin pada tahun 2006, telah membuka peluang kepada regime Israel untuk mengukuhkan lagi penindasan mereka terhadap Palestine dan rakyatnya, kerana mereka melabelkan Hamas sebagai golongan radikal dan jihad Islam, tambahan pula Hamas mempunyai kaedah perjuangan yang berbeza dari Fatah, dan berkonflik pula dengan Fatah, sehingga akhirnya Palestine mempunyai dua Kerajaan dengan dua Perdana Menteri, Fatah menguasai Tebing Barat dan Hamas menguasai Genting Gaza.

Pada tahun 2005, Israel sekali lagi bermain sandiwara, iaitu mengundurkan tentera dan rakyatnya dari Gaza, supaya Gaza menjadi kawasan penduduk Palestine sepenuhnya, yang kemudiannya ternyata bahawa Gaza telah menjadi penjara terbuka yang besar bagi rakyat Palestine, kerana lautan dan ruang angkasa nya dikuasai oleh Israel.

Sejak itulah Gaza diserang, dibom dengan pelbagai senjata, membunuh dan mencederakan penduduknya yang tidak berdosa, dan akhirnya dikenakan sekatan yang amat ketat sekali, menyebabkan rakyatnya menderita kelaparan, ketandusan, terputus bekalan air dan elektrik, dan hal inilah yang mendorongkan para sukarelawan dari negara kita dengan disertai oleh sebilangan sukarelawan lain untuk membantu dan menolong rakyat yang menderita itu atas nama kemanusiaan.

Menurut wartawan kita yang menyabung nyawa dalam misi keamanan terakhir ke Gaza itu, tentera regime bertanyakan tentang Malaysia dan Dr Mahathir, seolah-olah ingin mereka periksa kenapakah bekas ketua negara kita itu menyibukkan diri mencampuri urusan mereka dengan rakyat Gaza dan memperjuangkan isu Palestin?

Mungkin dengan misi keamanan ini dan keangkuhan Israel yang tidak mengenali batas-batas perundangan dan kemanusiaan itu akan benar-benar menyerlahkan wajah kejam Israel yang sebenarnya ke persada dunia, dan membuka sedikit ruang bagi dunia untuk mulai membenci tindak tanduk kotor mereka itu.


 

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....