KEUZURAN SHAHNON AHMAD MENYENTUH PERASAAN..


SELAMAT KEMBALI DATO' SHAHNON
Setelah sekian lama tidak kedengaran suaranya, maka akhirnya Shahnon kembali bersuara. Penantian sepi yang sekian lama dirasakan, tiba-tiba dikejutkan dengan kembalinya sasterawan negara yang ulung itu ke persada persuratan bangsa dan negara seminggu dua ini. Shahnon kini kembali tanpa berselindung atau bersikap apologetik menyuarakan rasa hatinya sebagai seorang budayawan dan sasterawan Melayu Islam yang bimbang melihat perkembangan pincang yang berlaku di dalam dunia politik Melayu dan Islam di negara kita pada masa kini.
Kira-kira lapan tahun yang lalu, iaitu pada  13 Jun 2004 saya pernah menulis di dalam kolum tetap saya di akhbar Mingguan Malaysia hasil cetusan pemikiran saya tentang Shahnon juga. Tulisan saya ini adalah sebagai respon kepada tulisannya  seminggu sebelum tulisan saya ini. Dalam tulisannya itu Shahnon telah  mengeluarkan rasa hampa yang dialaminya kerana tidak dapat menulis selama lima  tahun disebabkan oleh satu penyakit ganjil yang amat tenat yang menyerangnya yang bernama Myasthenia Gravis.
Diantara lainnya, Shahnon menulis ...“Bahawa keuzurannya yang memakan masa berbulan dan bertahun, asyik keluar masuk hospital, tidak mampu lagi bergerak menyebabkan “dia” akan dibiarkan begitu sahaja. Dia terus jadi kera sumbang. Tidak ada siapa lagi yang sampai hati hendak mendekatinya. Tidak ada lagi yang punya hati untuk bertanya kabar atau memberi salam, bertegur sapa jauh sekali, malah kalau boleh perlu dijauhkan, kerana orang sakit memang tak berguna lagi…”
Dunia penulisan yang dirampas oleh kesakitannya itu amat menghiris perasaan dan pemikirannya, sakitnya bukan hanya sekadar sakit fizikal, pedih dan bisa pada jasadnya dan kulit serta otot-ototnya, tetapi kepedihan rohani dan jiwanya itu yang lebeh menyiksakannya, kerana apabila sakit, lalu dia dibiarkan menderita berseorangan, tanpa salam dan kalam  terutamanya dari orang-orang yang selama ini menjadi kawan dan penyokongnya, yang sekali gus menunjukkan hati budi rakan-rakan yang mengajaknya berjuang dalam arena parti politik bersama-sama  mereka berlandaskan ajaran agamanya sendiri.
Sebab itulah di dalam tulisan yang sama dia menulis “…..Rupa-rupanya bilamana seorang wakil rakyat jatuh sakit, lama kelamaan dia akan disisih dan dilupakan oleh anggota masyarakat, kawan dan lebih-lebih lagi lawan”

Dalam satu gambaran yang lain, yang menyatakan rasa hatinya yang pilu, beliau mengungkapkan begini “….kalau boleh dijauhkan, kerana orang sakit memang tak berguna lagi dalam politik berparti, malah boleh memudaratkan parti pula”.
Tetapi sebagai seorang penulis yang halus jiwa seninya, beliau mungkin bersyukur kerana dengan penyakit yang menimpanya itu, maka dia kembali bebas  sebagai seorang manusia seni di kampungnya di Banggul Derdap, ketika beliau meneruskan tulisannya itu dengan berkata bahawa “Saya lebih bertenang di kampong, bercakap dengan bukit bukau, kerbau lembu, ayam itek, jagung, pisang, ular dan lipan bara”.
Seterusnya beliau membisikkan rasa ketenangannya bahawa hal ini telah menjadikannya seorang insan yang dapat merasakan  kehidupan yang lebih tinggi dan akrab dengan Tuhan ketika beliau menegaskan “Namun pengalaman seumpama ini mematangkan lagi makna kehidupan, kerana dalam kesepian dan keseorangan inilah saya dapat menilai diri dan jiwa saya dengan Yang Maha Esa, mengenal siapa kawan dan siapa lawan saya”.

Itulah rasa hati Dato' Shahnon yang telah saya ungkapkan kembali di dalam tulisan saya pada tahun 2004 di bawah tajuk MALANG MENYERTAI POLITIK:PENGALAMAN SHAHNON. Artikel ini merupakan salah satu artikel  yang telah diterbitkan semula dalam buku kumpulan artikel saya dalam  Oktober Yang Tidak Dinantikan oleh Institut Islam Hadhari, UKM, tahun 2012.
Kini setelah sekian lama beliau memulehkan jasad dan djiwanya, maka Dato' Shahnon kembali ke tengah-tengah gelanggang kehidupan sebagai seorang yang bebas dan mempunyai keperibadiannya sendiri, lalu beliau berbicara dengan penuh ikhlas dan terus terang supaya senario politik pincang dan merugikan umat dan bangsa haruslah segera di fahami dan dikembalikan ke pangkal jalan perjuangan yang menguntungkan umat dan agama kita sendiri.
Dalam konteks kembalinya Dato’ Shahnon ke dalam arena bangsa dan negara kita, saya merasakan bahawa ramai lagi teman dan kawan kita yang telah membebaskan diri mereka dari perangkap politik sempit dan fanatik, yang mungkin hanya bercakap dalam sepi dan sunyi, tidak seperti Shahnon yang kembali berbicara secara lantang dan berani.
Inilah sebenarnya sifat pejuang dan pahlawan, yang bukan hanya berada dalam kepumpung seni sasteranya yang sempit, tetapi dalam arena perjuangan bangsanya yang lebih besar dan lebih bermakna.
Bagi saya inilah angkatan pertengahan dari jalur tengah yang seharusnya lebih banyak lagi melahirkan diri dalam arena politik negara kita ini untuk berusaha menyelamatkan negara dan bangsa tercinta, terutamanya dalam memperkuatkan benteng pertahanan agama kita yang sering dicabar untuk dirobek-robekkan.
Selamat kembali dalam perjuangan bangsa Dato’ Shahnon.


Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....