ISLAM MEMUSUHI KEGANASAN: BAGAIMANAKAH SIKAP ORANG MUSLIM?




MUSLIM DI MALAYSIA TIDAK MERESTUI KEGANASAN

Saya percaya berita yang disebarkan media tentang penahanan dua orang rakyat Malaysia di Lebonan yang disyaki terlibat dengan keganasan pada minggu yang lalu bukanlah kerana rakyat Malaysia, terutamanya rakyat Muslim, merestui keganasan atau menyokong perbuatan ganas yang dihubungkan dengan gerakan Al-Qaeda yang dilibatkan dengan rakyat kita itu.

Sekiranya betul mereka terlibat dengan kumpulan pengganas yang di hubungkan dengan gerakan radikal Muslim itu, maka saya percaya bahawa mereka adalah merupakan dua orang anak muda kita yang terlibat dan terpengaruh dengan gerakan ini dari luar negara, lalu mereka pun melakukan gerakan yang sama seperti yang sering kita dengar dan saksikan di luar negara terutamanya di negara Islam yang tertentu.

Kewajipan kita sekarang ialah mencari jalan melalui pendidikan, pemupukan nilai, memahami ajaran agama yang sebenarnya dan beberapa agenda pendidikan lain agar tunas dan bibit keganasan yang disebarkan kepada anak2 muda kita itu tidak terus menerus berlaku, sehingga akhirnya menjadi satu wabak yang amat sukar di tentang lagi, iaitu ibarat api, semasa kecil bolehlah di kawal, tetapi apabila besar maka kita tidak akan terlawan lagi, langsung akan membinasakan kita semua.

Melalui pendidikan formal dan tidak formal di sekolah, kolej dan universiti, di surau, masjid dan ceramah serta seminar dan forum, media cetak dan letronik, agenda kefahaman Islam itu sendiri sebagai agama yang aman damai, dinamik dan merupakan sistem hidup menyeluruh yang mencipta kebahagian untuk semua, haruslah dipertingkatkan secara drastik, iaitu melalui kurikulum, latihan guru, buku teks dan sebagainya, juga melalui para pendakwah, imam, ustaz ustazah, penceramah bebas, pemimpin masyarakat dan belia, pertubuhan bukan kerajaan dan lain2 lagi, yang keseluruhannya haruslah memahami dan menghayati ajaran Islam yang sebenarnya yang kita warisi dari Rasulullah SAW, ayat2 al-Quran, dan segala pengucapan dan tindakan baginda Rasulullah sendiri.

Mungkin pada masa kini, sungguh pun pengajaran Islam yang diajar secara rasmi dan tidak rasmi di negara kita, tentunya terdapat beberapa kelemahan dan kepincangan dalam usaha mendidik anak2 kita menjadi umat yang bertamadun dan berperadaban, bagaimana pun  pendidikan Islam kita pada umumnya mengikut pandangan saya tidaklah diselewengkan sebegitu rupa sehingga  menjadi medan latihan kepada anak2 muda kita supaya melakukan keganasan dan tindakan yang tidak bertamadun dalam menghayati dan mendaulatkan ajaran agama kita. Anak2 muda kita masih dapat memahami dan menghayati falsafah agama kita sebagai agama perdamaian, bertamadun dan cintakan persaudaraan di antara umat serta penganut agama lain. Hal ini yang telah berjaya kita lakukan, sehingga negara kita ini membangun dengan baik dalam menghayati ajaran agama Islam yang sebenarnya.

Namun kita mungkin tidak mengetahui apakah hakikat ajaran Islam yang mungkin disebarkan di pusat2 pendidikan Islam rakyat di negara2 lain, atau apakah corak asuhan minda dan sikap yang dilakukan oleh segelintir pendakwah dan guru2 agama di dalam sistem pengajaran agama persendirian, yang mungkin juga mempunyai perkhemahan untuk memberikan orientasi ajaran agama yang radikal, atau melatih sikap dan minda para pelajarnya untuk menjadi "pejuang agama" dan melancarkan konsep "jihad" yang telah diselewengkan ke arah keganasan dan bersikap konfrantasi terhadap golongan yang mereka namakan "musuh Islam" dan sebagainya, terutamanya dalam mencontohi gerakan radikal yang terdiri dari anggota2 Islam sendiri, yang kebetulan amat digembar gemburkan oleh pihak Amerika Syarikat dan Barat sebagai gerakan Islam "Islamist" dan sebagainya.

Oleh itu di samping mempertingkatkan kaedah pengajaran dan pendidikan agama yang lebeh baik lagi di negara kita, maka orientasi latihan guru, penyusunan buku teks yang lebeh menekankan kepada isu2 dan perubahan baru dalam masyarakat dunia pada hari ini, juga pendedahan guru2 agama yang lebih profesional dan berhikmah,  haruslah dilakukan dengan sebaik2nya.

Pemahaman terhadap misi Islam sebagai agama sejagat dan murni haruslah ditekankan, konsep perdamaian dan silatur-rahim dengan umat bukan Islam, kaedah berdakwah dan sebagainya haruslah di pertingkatkan di kalangan para pelajar, guru, pemimpin institusi agama dan masyarakat, termasuk mendapatkan rastu dari institusi Raja sebagai pelindung agama dan adat istiadat Melayu di negara kita ini.

World view yang sebenarnya tentang konsep "jihad" "syahid" "matlamat dan cara" perjuangan menegakkan Islam, atau siapakah "musuh Islam" yang sebenarnya haruslah benar2 difahami, supaya istilah2 ini tidak sehingga menjustifikasikan "pengebom berani mati" "berperang mengangkat senjata" untuk melawan 'musuh2 Islam", dan sebagainya yang dapat disaksikan di dalam dunia Islam pada hari ini, termasuk tindakan ganas dalam menyelesaikan konflik dan persengketaan di antara umat Islam sesama sendiri.

Mungkin satu penyelidikan dan kajian yang terkini seharusnya dilakukan oleh Kerajaan kita terhadap kemungkinan anak2 muda kita terdedah kepada elemen2 yang tidak sihat dalam pendidikan, atau "pusat pengajian agama" di luar negara pada masa kini. Malah langkah segera ini haruslah dilakukan serta merta supaya sedikit sebanyak kita dapat memantau para pelajar kita yang menerima pendidikan agama di luar negara, atau pada akhirnya mungkin kita tidak seharusnya lagi menghantar para pelajar kita ke sana dengan rasmi, atas urusan pembiayaan kita.

Hal ini perlulah kita sedari, kerana dalam usaha yang mungkin dilakukan dalam gerakan melumpuhkan pembangunan Islam di negara kita ini secara matang dan bertamaddun, usaha2 luar akan bergerak ke arah itu, termasuk para arkitek asing dan musuh kita sendiri yang akan mengaturkannya secara amat halus, tanpa kita sedari, untuk menjadikan agenda peningkatan  Islam di negara kita ini dilakukan secara ganas dan tidak bertamadun, tidak berperi kemanusiaan dan sebagainya, seperti yang berlaku di daerah lain dalam dunia Islam yang amat berkecamuk sekarang ini... .

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....