MENGAPA MENYEPI?
Saya perhatikan banyak para intelek, profesional, ahli agama dan kalangan lain yang tidak terlibat secara langsung dengan parti politik yang mahu memberikan komen tentang senario politik di dalam negara kita . Sebab pertama ialah kerana takut dianggap oleh masyarakat bahawa intelek itu telah melampaui bidangnya dengan melibatkan dirinya dalam bidang politik. Kedua, mereka takut dilebalkan sebagai penyokong kumpulan politik yang tertentu, Ketiga takut dipulaukan oleh golongan yang taksub dan fanatik politik partisan yang tertentu.
Kerana kekhuatiran inilah maka mereka tidak mahu langsung memberikan pandangan dan jauh sekali dari membincangkan isu-isu masyarakat dan bangsa serta negara yang menjadi pertelingkahan para ahli politik kita seperti yang berlaku akhir-akhir ini.
Sebenarnya ramai para intelek kita yang lebeh cenderung memberikan keutamaan untuk menjadi penonton atau bersungut dalam sepi dan sunyi sahaja melihat telatah ahli politik kita yang lebeh mementingkan ideologi sempit politik kepartian dalam memperjuangkan agenda politik mereka. Mereka merupakan golongan majoriti yang lebeh suka mengambil jalan sepi dan terselamat dari keritikan masyarakat yang pada umumnya telah bertukar menjadi masyarakat politik kepartian sempit, sehingga istilah politik itu telah ditafsirkan sebagai perjuangan dan agenda pentadbiran negara dan rakyat yang berasaskan kepada politik kepartian semata-mata.
Dalam sejarah perjuangan umat Islam yang pernah dicatatkan oleh ahli sejarah silam, dan telah saya tuliskan di dalam ruangan ini beberapa minggu yang lalu, terdapat kisah yang dicetuskan oleh satu pertanyaan tentang perpecahan umat Islam yang mungkin mengakibatkan kehancuran kepada umat Islam itu sendiri. Seorang hukamak dalam kumpulan umat Islam itu mengatakan bahawa hal itu tidaklah harus dibimbangkan kerana umat Islam keseluruhannya adalah dibaratkan sebagai sekumpulan serigala yang sering bercakaran sesama sendiri, tetapi mereka semua akan bersatu sekiranya mereka terpaksa menghadapi musuh bersama yang akan mengancam keselamatan mereka.
Namun persoalan yang timbul dalam konteks umat kita yang berpecah belah pada hari ini, apakah kiasan dan bandingan cerita sejarah silam ini akan lahir sebagai satu kenyataan dalam masyarakat kita yang berpecah belah dengan parahnya pada hari ini?
Oleh itu masanya telah tiba bagi para intelek dan alim ulamak kita yang cintakan umat ini, yang ingin melihat umat ini selamat dan sejahtera di tanah airnya sendiri, malah yang tidak mahu melihat umat ini mati kelemasan tenggelam dalam kemakmuran negara sendiri, bangun bersuara dan memberikan pandangan yang penuh ilmu dan hikmah untuk survival dan kelangsungan umat ini seterusnya dalam masyarakat dan negara sendiri, melampaui politik partisan dan taksub, malah semata-mata berdasarkan amanah dan kejujuran kepada ilmu dan hikmah kurniaan Allah kepada manusia semua.
Hapuskan sebarang perasaan takut dan malu, segan dan bebal dalam menyuarakan yang hak dan benar. adil dan saksama, berdasarkan ajaran Islam yang sebenarnya, bukan berdasarkan kefahaman sempit politik partisan.
Comments
Post a Comment