BAJET NEGARA: ANTARA “GULA” DAN “ROHANI”

Mungkin kita semua akur bahawa terdapat sesetengah masyarakat manusia yang terlalu mewah dengan harta kekayaan akan kurang ketaqwaannya. Tetapi di sebaliknya,  mungkin juga terdapat sesetengah orang yang mewah dan kaya, mungkin akan bertambah ketaqwaannya, dan dapat melipat gandakan amal baktinya kepada Allah, yang dapat mengembalikan pahala yang banyak kepada mereka dibandingkan dengan orang miskin yang tidak berpeluang untuk menunaikan zakat atau sadaqah jariah dan berbakti kepada sesama manusia pada jalan Allah, maka golongan miskin ini tidak mendapat sebarang ganjaran dari kemiskinannya.
Adalah diharapkan bahawa bajet terbaru yang banyak menawarkan kebendaan kepada rakyat akan membuka pintu rezekinya yang agak luas, maka rakyat akan bertambah senang dan selesa dengan kehidupannya. Lalu mereka akan bersyukur dan akan mengerjakan amal bakti dan dapat beribadat dengan selesa kepada Allah SWT bagi mendapatkan ganjaran-Nya.
Harta dan kekayaan itu pula bukanlah merupakan sesuatu yang dibenci agama, malah harta dan kekayaan itu merupakan sesuatu yang dituntut untuk kesejahteraan manusia, kesenangan keluarga, kemudahan pendidikan dan selain dari itu memudahkan amal ibadat dan kerja-kerja kebajikan seperti yang di tuntut agama. Mempunyai harta dan kesenangan tidak bererti yang ampunyanya akan menjadi jahat dan lupakan Allah, dan demikianlah sebaliknya kadang-kadang tanpa mempunyai harta itu maka tidak semestinya orang itu menjadi baik dan taat kepada Allah SWT. Semuanya ini terhenti kepada diri individu itu sendiri secara peribadi.
Kita tentulah amat mamahami falsafah ajaran Islam berdasarkan Al-Quran dan Hadis. “Kefakiran itu hampir-hampir membawa kepada kekufuran”, “usahakanlah apa-apa yang dikurniakan Allah kepada kamu di negeri akhirat, namun janganlah kamu lupakan nasib kamu di dunia ini” “Tuhan kami berikanlah kami kebahagiaan di dunia ini, dan berikanlah kami kebahagiaan di akhirat, dan peliharakanlah kami dari azab neraka”
"Kerohanian" pula haruslah difahami dengan makna dan konsep yang lebih luas, iaitu sifat  yang membawa manusia kepada mematuhi ajaran dan perintah Allah SWT, mulai dari amal ibadat dan akhlak mulia membawa kepada mempertingkatkan ilmu dan hikmah, dan bermula juga di surau dan masjid membawa kepada sekolah dan universiti, dari amalan membaca dan menghapal Quran membawa kepada menguasai bidang-bidang industri dan teknologi, seperti yang berlaku pada zaman kecemerlangan Islam dengan kelahiran ahli-ahli falsafah, ilmuan, ahli falak, pelayaran, sains teknologi, sehinggalah kepada para hukamak dan ulamak yang memandu umat manusia kepada jalan Allah yang betul. Para ilmuan dan pejuang Islam itu adalah bersifat dengan sifat taqwa yang menguatkan mereka dalam bidang jasmani dan rohani, fizikal dan spiritual.
Rasullah SAW telah menunjukkan contoh sebagai seorang manusia unggul dalam jalan keduniaan dan akhirat. Ketika Baginda berhijrah maka baginda telah menguruskan hal ehwal kebendaan dengan baik, orang Islam membayar Zakat, dan orang bukan Islam membayar jizyah (cukai) kepada pemerintah, orang ansar dan  muhajirin tolong menolong dan bantu membantu untuk kesejahteraan saudara-saudara seagama, dan baginda mendirikan masjid serta memberikan pengajaran kepada semua. Maka semuanya ini adalah merupakan amalan pemimpin dan rakyat bagi mendapatkan keselesaan dalam menjalankan kehidupan mereka rohani dan jasmani, dunia dan akhirat.
Saya tidak nampak bahawa bajet yang dikemukakan itu adalah merupakan kebendaan yang boleh dibandingkan dengan sogokan kaum musyrikin kepada baginda Rasulullah SAW supaya meninggalkan Islam, kerana dari sudut yang lain ransangan untuk menegakkan Islam dan ajarannya secara langsung atau tidak langsung adalah dipermudahkan dengan bantuan kepada institusi-institusi masyarakat dan keagamaan untuk memperkuatkan lagi ajaran Islam dan pendidikannya, tempat ibadah dan dakwahnya, sekolah dan universiti Islam, madrasah tahfiz dan Al-Quran, perbankan dan kewangan sistem Islam, takaful serta lain-lainnya.
Namun begitu, apa-apa komen dan analisis yang dibuatkan terhadap bajet yang baru dikemukakan itu haruslah di terima dengan hati yang terbuka, kerana bagi saya yang pentingnya bukanlah sesuatu yang dikemukakan di dalam bajet itu yang mengandungi segala keburukan atau kebaikannya, malahan kumpulan sasar yang diberikan bajet itulah yang sebenarnya dapat menguruskan segala kebaikan yang diberikan di dalam bajet itu, sama ada kebendaan, perumahan, pendidikan dan sebagainya, kerana orang yang menerima itulah akhirnya yang merasakan kesannya dan mengetahui bagaimanakah mengambil kesempatan dari kebaikan bajet itu untuk kepentingan agama, bangsa dan negaranya.
Hal ini saya rasa amat penting difahami dan dihayati oleh masyarakat umum, kerana sebarang salah faham yang dibangkitkan untuk mencarikan keburukan bajet ini hanya akan mengelirukan pandangan umum masyarakat kita, terutamanya apa bila isu ini dibangkitkan atas nama agama dan ajarannya yang suci.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....