MORAL DAN DIALOG KETIKA PRU
SELESAIKAN ISU PRU DENGAN PERUNDANGAN DAN MORAL
PRU 13 telah berlalu sebulan setengah, dan nampaknya persepsi yang tersibar di kalangan banyak pihak adalah amat negatif tentang SPR dan BN. Persepsi dan mungkin juga beberapa ciri PRU 13 yang mungkin agak samar-samar, masih melanda masyarakat kita, sehingga penyelesaian yang sepatutnya dilaksanakan dengan tenang dan rasional, menjadi isu yang menyimpang dari perundingan dan moral. Tindakan tuduh menuduh, yang amat sering menjadikannya fitnah memfitnah, umpatan dan nista, amat berleluasa di dalam masyarakat kita, yang sekali gus mencemarkan adat tradisi, sopan santun dan tatasusila orang Melayu dan agama Islam sendiri.
Sebelum PRU 13, telah timbul bibit-bibit negatif dari beberapa kalangan parti politik, seperti yang pernah saya tuliskan di dalam ruangan ini, iaitu ugutan dan kenyataan negatif oleh pihak yang membangkang Kerajaan ketika itu, seperti ugutan untuk menutup lapangan terbang pada malam keputusan PRU 13 diumumkan supaya tidak berkesempatan bagi orang-orang tertentu untuk meninggalkan negara, atau ugutan untuk menahan dan menagkap musuh-musuh politik yang telah melakukan "kesalahan" kepada rakyat menurut pandangan dan tanggapan "pembangkang" dan sebagainya.
Saya merasakan bahawa ugutan dan kempen negatif ini akan selesai apabila PRU 13 selamat tiba, dan keputusannya telah dibuat oleh rakyat umum. Tetapi rupa-rupanya keputusan rakyat itu tidak dapat diterima dengan baik, dan keputusan itu sebaliknya menjadi pencetus kepada banyak pihak untuk mencipta banyak teori yang tidak demokratik dan terkeluar dari lunas-lunas moral akhlak kita, sehingga mengelirukan pandangan umum masyarakat kita sendiri dan masyarakat luar juga, terutamanya kuasa-kuasa Barat yang sering mengintai-intai peluang untuk mencemarkan nama baik agama kita dan bangsa kita sendiri.
Kini setelah pintu perundangan dan demokrasi telah dibuka, iaitu untuk semua pihak membawa kes-kes PRU ini kemuka pengadilan mengikut peruntukan undang-undang negara, maka sudah sepatutnya segala perilaku yang lebeh banyak menyerlahkan pemikiran dan mentaliti cetek dan penuh prasangka itu dihentikan, dan mulailah hendaknya mengambil langkah-langkah rasional dan lebeh beradab dengan mengikuti saluran moral dan undang-undang untuk membawa kes-kes yang dirasakan bertentangan dengan lunas-lunas demokrasi dan adab sopan itu melalui proses perundangan negara kita.
Masyarakat Malaysia yang selama ini merupakan diantara masyarakat dunia yang bersopan dan bertatasusila, menghormati undang-undang dan dasar demokrasi, yang terkenal dengan penyelesaian konflik secara perundingan dan dialog bersama, yang juga sekali gus memaparkan contoh berkongsi kuasa dan hidup secara aman damai secara bersama, hendaklah sekali lagi memberhentikan segala tingkah laku yang tidak bertamadun, dan hidupkan semula nilai-nilai moral dan demokrasi ala Malaysia yang selama ini amat tertib dan bersopan.
Negara dan bangsa tidak akan tercemar sekiranya semua pihak menghormati adab sopan dan tatasusila, menyelesaikan masalah dan konflik menurut saluran undang-undang dan mahkamah, malah lebih dari itu tradisi dan budaya hidup bersama secara aman dan berkongsi kuasa yang amat unik di negara kita ini dapat dihayati dan dihidupkan semual dengan suburnya seperti yang telah berlaku di dalam negara dan masyarakat kita selama ini.
Saya amat mengharapkan bahawa para ketua dan pemimpin politik dalam negara kita ini akan memimpin rakyat dan orang ramai, terutamanya para pengikut parti masing-masing kembali semula kepada kehidupan bermoral dan bertamadun, kerana merekalah yang amat berpengaruh kepada para pengikut masing-masing. Para pemimpin politiklah yang selama ini, iaitu semenjak kita mencapai kemerdekaan, secara rasional memimpin rakyat dan negara, dan kini para pemimpin politik itulah juga yang sebenarnya mempunyai peranan untuk membetulkan keadaan dan membawa semua rakyat kepada kehidupan bermoral dan berakhlak yang baik. "Rakyat itu adalah sentiasa berada dalam cara hidup para pemimpinnya" menurut kata hikmah yang saya rasa semua kita mengetahuinya.
Comments
Post a Comment