MENINJAU IPT DI UK
MENGUBAH ANGIN
Saya tidak menghilangkan diri kerana sesuatu sebab, merajuk atau sebagainya, tetapi kerana menjalankan urusan akademik di beberapa buah universiti di England, iaitu di Oxford, Kent dan London School of Oriental and African Studies.
Udara jerebu yang saya tinggalkan di negara kita, maka UK menyambut saya dengan udara sederhana, kadang-kadang sejuk sedikit, namun langitnya cerah dan terang benderang. Namun ketika UK memasuki musim panas ini perubahan siang dan malam amat menyentuh umat Islam dari segi waktu sembahyang lima waktunya.
Di UK sekarang siang menjadi panjang, subuh masuk jam 2.30 pagi, syuruq kira-kira jam 4.45. Maghrib dalam jam 9.30, isyak 11 malam!
Saya jumpa para pelajar dan warga negara kita yang bermustautin di UK, juga para pekerja di Suruhan Jaya atau Pendidikan Malaysia di sini, mereka nampaknya telah bersedia dengan penuh tabah untuk menghadapi bulan puasa yang akan datang, walau pun meraka akan berpuasa lebih lama dari masa kita berpuasa di tanah air sendiri.
Bayangkan sendiri bagaimana umat Islam di UK ini akan berpuasa mulai dari jam 2.30 pagi, dan hanya akan berbuka pada jam 9.30 malam!?? Berapa jam agaknya meraka akan berpuasa? 19 jam? Sedangkan kita hanya berpuasa kira-kira 13 jam sahaja!
Dari perbualan saya dengan rakyat kita, terutamanya yang telah tinggal di UK selama belasan atau puluhan tahun, mereka menyatakan bahawa keadaan ini telah lama mereka alami, cuma kekuatan iman saja yang menjadikan mereka amat tabah dan sabar menghadapi bulan puasa dalam musim panas ini, kerana dalam musim sejuk pula mereka hanya berpuasa dalam masa yang amat singkat, iaitu kira-kira jam 5 petang telah pun berbuka, dan imsak pula mungkin jam 6 atau 7 pagi! Allah itu kan adil?
Kurang-kurang itulah pengalaman pendek saya semasa di UK dekat-dekat bulan Ramadan al-Mubarak yang akan tiba tidak lama lagi itu.
Insya'Allah jika punya kekuatan, saya akan cuba pula pada tahun ini, dalam bulan berkat ini, akan menulis dan mencatat beberapa pengalaman dan berkongsi hikmah dengan para pembaca sekelian pada setiap hari bulan Ramadan ini seperti yang telah saya lakukan dalam bulan puasa yang lalu.
Selamat berpuasa.
Comments
Post a Comment