APA YANG NAK DIHARAPKAN DARI DUNIA ISLAM?



Dunia Islam Bergolak.

Ribuan pelajar kita yang sedang melanjutkan pelajaran di Mesir, sedang terkapai-kapai untuk menentukan kesinambungan pelajaran mereka di sana yang amat tidak menentu. Mungkin ramai yang terpaksa mengurbankan masa belajar, turun ke peringkat yang lebih rendah dalam tahun pengajiannya sekiranya bertukar universiti, balik meneruskan pengajian di negara kita, atau meneruskan pengajian di negara lain..

Malah ramai pula yang hanya akan kembali ke Mesir dan akan menunggu bilakah sebenarnya pengajian mereka akan dimulai secara teratur semula.

Bagaimana pun pelajar-pelajar kita bernasib baik kerana telah diberikan perhatian serius tentang nasib mereka oleh kerajaan kita, iaitu untuk menjamin tempat pengajian mereka seterusnya sekiranya mahu kembali ke negara sendiri.

Namun kanak-kanak sekolah dan para pelajar universiti yang tinggal di dalam negara masing-masing yang sedang bergolak, seperti Mesir, Syria, Iraq, Libya, Afghanistan, Somalia, Nigeria dan lain-lain, tentulah sedang menghadapi masalah dalam meneruskan pelajaran mereka, kerana sekolah tidak dibuka dengan teratur, kehadiran para guru dan pengendali sekolah menjadi masalah, bangunan sekolah dan pusat-pusat pengajian juga mungkin banyak yang terkena bedilan peluru, roket dan bom, musnah dan runtuh, atau tidak layak lagi bernama sekolah atau universiti.

Manakala kanak-kanak yang seharusnya bersekolah, tetapi terlibat dalam penghijrahan dan pelarian perang dalam mencari perlindungan di negara asing, tentulah juga akan tertinggal pelajaran dan pendidikan mereka yang selama ini mereka dapati di dalam negara sendiri, di dalam sekolah dan pusat pengajian sendiri, mengikut sistem pendidikan mereka sendiri juga.

Generasi ini, yang mungkin akan mencapai angka ratusan ribu, tentulah akan ketinggalan dalam pengajian mereka, dan pendidikan ilmu yang selama ini mereka perolehi di tempat-tempat pengajian mereka sendiri.

Malah generasi muda yang akan mendarat di negara asing dalam usaha melarikan diri dari negara sendiri ini akan mengalami kepayahan yang amat sangat untuk mendapatkan tempat bersekolah dan dalam berusaha untuk menyambung pelajaran mereka di negara yang tentunya asing itu juga.

Syria umpamanya yang telah mengalami kerisis peperangan saudara bertahun-tahun lamanya, menghasilkan jumlah pelarian perang yang kabarnya kini berjumlah dua juta orang. Jumlah kanak-kanak sekolah dan para penuntut pengajian tinggi tentulah besar yang terlibat dalam pelarian perang ini, yang telah sekian lama, iaitu beberapa tahun berlaku di negara mereka, maka kita boleh bayangkan berapa ramaikah anak-anak sekolah dan para belia yang terlibat dalam kerisis pendidikan ini.

Kerisis politik dan ekonomi negara-negara Islam ini sebenarnya akan meletakkan para pelajar sekolah dan universiti dalam negara-negara tersebut dalam bahaya. Malah akan metakkan keseluruhan generasi ini dalam kerisis kemanusiaan dan keilmuan yang serius, iaitu terputusnya proses pendidikan yang seharusnya dapat memainkan peranan besar dalam membentuk generasi pewaris bagi membangunkan peradaban dan tamadun umat kita pada masa yang akan datang.

Kita di negara ini yang masih dapat menikmati perdamaian dan keamanan, termasuk kemakmuran yang membolehkan kita menumpukan perhatian dan usaha kepada agenda pembinaan gegerasi akan datang dalam pengajian dan pendidikan, haruslah mengambil iktibar dari kerisis yang melanda umat kita di negara-negara yang sedang bergolak di sekeliling kita itu.

Untuk merosakkan akidah dan syariah serta moral ummah itu, tidak semestinya dilakukan oleh musuh secara langsung dengan menghancurkan satu negara dan umat itu, malah usaha menghancurkan generasi dan keturunan yang akan datang, adalah merupakan agenda kemusnahan yang boleh dilakukan dalam jangka panjang, dan usaha ini amat berkesan untuk meruntuhkan peradaban sesuatu umat itu. Usha itu ialah dengan meletakkan negara-negara itu dalam kerisis dan perselisihan sesama sendiri, menjadikan negara itu papa kedana dan hancur ekonominya.

Mungkin umat Islam sedang menghadapi cabaran ini, pada masa kini, dan mungkinkah kita juga akan terjebak di dalam perangkap ini? terutamanya apabila terdapa segelintir di antara kita yang sering mengagung-agungkan "perjuangan" yang dinamakan sebagai "Arab Spring" itu!

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....