LAST PORT




SASARAN PALING PANAS...


Melihat kepada terkaman dan ancaman yang dihadapi oleh negara kita, maka nampaknya Malaysia telah menjelma menjadi sasaran yang paling panas dari segenap penjuru.

Isu agama menjadi senjata yang paling tajam sekali yang digunakan untuk menikam dan merosakkan sasaran mereka, iaitu bermula dari ancaman akidah, undang-undang dan cara hidup Islam hingga ke  isu-isu tertentu yang turut di campuri urusannya oleh kalangan luar negara, terutamanya tentang penggunaan nama Allah bagi the Herald, yang dibesar-besarkan begitu rupa seolah-olah isu itu merupakan isu hidup dan mati bagi agama lain dari Islam.

Kini di Geneva sedang berlangsung semakan berkala sejagat (Universal Periodic Review - UPR) iaitu satu proses menyemak sejauh manakah kepatuhan semua anggota PBB yang berjumlah 193 negara terhadap ketetapan majlis hak asasi manusia (UNHCR) yang dijalankan setiap empat tahun.

Malaysia diantara negara yang akan menjawab beberapa perkara yang telah dibangkitakan di dalam UPR yang telah diadakan di Geneva pada 11 Februari 2009, yang mengikut sumber berita sebanyak 62 syor telah diutarakan kepada negara kita dan seramai 90 wakil dari negara-negara ahli PBB telah memeberikan pelbagai komen terhadap negara kita.

Kita bukan hanya akan menghadapi berbagai-bagai komen dan keritikan dari negara-negara luar, malah mengikut sumber berita juga, terdapat kira-kira 54 NGO's Malaysia yang dikenali sebagai Comango telah berada di sana, bersedia untuk membuka segala kelemahan dan perlanggaran hak asasi oleh negara kita, menurut perspektif mereka.  

Terdapat 17 perkara yang akan menjadi tuntutan Comango kepada Malaysia yang akan dikemukakan dalam pusingan UPR ini, dan saya tidak mampu untuk mengulas atau membincangkan semua tuntutan itu di sini, kerana pada pandangan saya keseluruhan rakyat Malaysia haruslah mencuba untuk memahami 17 tuntutan ini dengan sebaik-baiknya, dan menilai sendiri apakah perkara-perkara yang dikemukakan ini berasas atau tidak.

Namun yang amat nyata sekali tentang campur tangan Comango dalam tuntutan mereka ialah beberapa perkara mengenai  isu agama dan tradisi, atau budaya dan nilai moral rakyat Malaysia sendiri.

Satu tuntutan yang amat menyentuh kehormatan dan cara hidup rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama ialah "hak untuk privasi, perkahwinan dan kehidupan keluarga" yang saya rasa secara langsung atau tidak langsung menceroboh pegangan agama dan tradisi rakyat Malaysia tentang kelakuan seksual, perkahwinan secara fitrah dan sebagainya, yang diamalkan selama ini oleh semua kaum di dalam masyarakat kita..

Satu tuntutan lain yang jelas ditujukan kepada amalan Islam di negara kita ialah kebebasan beragama yang amat banyak tersirat beberapa amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti isu murtad, perkahwinan Islam dan bukan Islam, dan mungkin juga termasuk banyak enekman yang melindungi orang Islam dan keluarga Islam juga.

Sebab itulah telah saya katakan di atas, Malaysia nampaknya menjadi sasaran yang paling panas dalam serangan terhadap amalan agama dan seksualiti songsang yang dilindungi oleh berbagai-bagai peruntukan undang-undang negara kita bagi menjaga amalan agama dan kehidupan keluarga yang sihat, yang juga dilindungi oleh Perlembagaan negara sendiri.

Nampaknya pihak NGO kita, termasuk segelintir NGO Islam sendiri, sedang bergerak menuju ke satu dunia yang bebas tanpa undang-undang sama sekali untuk memberikan kebebasan terhadap kehidupan bertuhan dan mangamalkan kelakuan seksual bebas tanpa terikat lagi kepada tradisi dan budaya bangsa, dan  ajaran agama, terutamanya agama Islam.

NGO sendiri sebenarnya ketika ditubuhkan, di daftar, mendapatkan ahli, melantik pimpinan, membelanjakan wang, membeli, menjual, mengurus harta benda dan sebagainya, terikat dengan banyak peraturan dan undang-undang tubuh mereka yang tidak mungkin dicerobohi. 

Tetapi bila tiba kepada pembicaraan tentang hak asasi manusia, mereka merasakan bahawa segala peraturan dan undang-undang, hanya merupakan sekatan dan kongkongan sahaja terhadap manusia ini, yang seharusnya diberikan segala kebebasan untuk bertindak dan berkelakuan.

Apakah terdapat sebarang organisasi yang tidak mempunyai perlembagaan? Yang tidak mempunyai undang-undang yang seharusnya dihormati?

Berdasarkan hal ini saya rasa bahawa negara kita sememangnya menjadi sasaran untuk dikucar kacirkan, diseleweng dan dihancurkan, terutamanya apabila tiba kepada isu agama dan budaya kita sendiri, khususnya orang Melayu dan agama Islam yang masih bertahan dengan baik di negara kita sebagai "last port" yang belum dimusnahkan.


Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....