TPM MEMOHON MAAF




DENGARLAH UCAPAN HATI NURANI SESAMA INSAN


Seringkali kita mendengar bisikan perasaan dan hati nurani yang ikhlas dari seorang terhadap seorang yang lain. Banyak kali kita membaca pengucapan yang menyentuh perasaan dan hati kecil kita di dalam akhbar, walau pun kata-kata itu hanya kita dengar dari orang yang tidak kita kenali.

SMS seorang suami yang dihantar kepada isterinya memesan supaya memakan ubat sebelum si suami menemui maut akibat dari kemalangan jalan raya, amat mengusik perasaan kita. SMS itu juga memesan supaya isterinya makanlah dulu kerana dia lambat balik. Rupa-rupanya memang dia tidak kembali lagi sebagai seorang yang bernyawa.

Sebelum ini seorang wanita yang menjadi mangsa tembakan ngeri dari seorang pengawal keselamatan di dalam bank, juga telah menelefon suaminya bertanyakan apakah suaminya menyangi dia? Suaminya tidak menyangka bahawa pertanyaan itu adalah merupakan pertanyaan terakhir dari isterinya, yang masih boleh disuarakan, kerana kemudiannya suara dan perasaannya itu telah lenyap dari dunia ini, kerana dia menjadi korban peluru dari seorang pengganas yang tidak berperi kemanusiaan itu.

Allah SWT sahaja yang mengetahui apakah perasaan dan bisikan hati dari orang yang menelefon atau menghantar sms di dalam episod hidup dari dua contoh di atas. Allah SWT juga yang mengetahui apakah perasaan orang yang menerima panggilan dan pesanan ringkas itu. Ini semua adalah kekuasaan Allah, kerana hati dan perasaan manusia sentiasa di kawal oleh Allah Maha Pencipta.

Suami yang saban pagi membawa beg isteri dan menghantarnya ke kereta, mengiringinya sehingga dia berlalu ke sekolah dan hilang dari penglihatannya (dalam bayangan saya) tetapi pada hari kematiannya itu dia hanya meletakkan beg isterinya ke dalam kereta, kemudian meninggalkan rutinnya mengiringinya hingga ke kereta, sebaliknya berpaling dan pergi mengadap peti tv menonton rancangan agama kegemarannya.

Suami yang kehilangan isterinya di bank, tidak menjawab pertanyaan isterinya, apakah dia menyanginya, sebaliknya berdiam diri sahaja mengikut berita akhbar. Namun berdiam diri, mungkin di dalam hatinya meluap-luap perasaan sayang dan cintanya kepada isterinya, tetapi tidak diucapkannya.

Pertanyaan yang tidak berjawab itulah yang mengiringi pemergian isterinya untuk selama-lamanya.....

Namun itulah jalinan hati dan ruh manusia sesama manusia. Penuh berwarna warni dengan berbagai-bagai rasa dan bisikkan kerohanian yang tidak dapat diduga. 

Saya teringat dalam konteks ini bagaimana Timbalan Perdana Menteri kita yang memohon maaf kepada ahli keluarga Allah Yarham Tan Sri Azizan, arwah Menteri Besar Kedah, sekiranya ucapan nya yang disampaikannya dua tiga hari yang lalu telah menyentuh perasaan ahli keluarga Allah Yarham.

Harap orang yang menerima ucapan itu tidaklah memandang sepi sahaja, sebaliknya terimalah permohonan maaf itu dengan ikhlas dan suci hati.

Kita sendiri kadang-kadang tidak mempunyai sebarang niat untuk menyentuh perasaan orang, tetapi ada kalanya sesuatu yang tidak kita niatkan itu, telah disalah ambil dan disalah terima, atau tidak kita sedari kesilapan kita. Oleh itu kedua-dua belah pihak haruslah kembali kepada kekuasaan Allah dan kudrat iradat-Nya yang mengawal segala perasaan dan perbuatan kita, mengikut kehendak-Nya sekali pun kita kelihatan pada lahirnya amat menguasai perkataan dan perilaku kita.

Inilah keindahannya aturan Allah SWT terhadap manusia. Sesuatu yang tidak pernah dibayangkan, tetapi boleh dilakukan oleh Allah tanpa amaran dan alamatnya...

Kehidupan orang Islam akan menjadi lebih sejahtera dan bahagia dengan menyedari kekuasaan Allah yang tidak terbatas ini... Inilah keindahan kehidupan kita umat Islam sekiranya kita kembalikan segala-galanya kepada Allah SWT...

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....