FATWA: BERJIHAD ATAU BERBUNUHAN


KITA MEMERLUKAN FATWA


Penglibatan umat Islam dari Malaysia di dalam peperangan di Asia Barat seperti di Syria, khususnya di dalam pasukan ISIS, tidaklah merupakan satu penyelewengan terhadap agama pada pandangan mereka, kerana selain dari mereka, terdapat umat Islam dari negara lain yang turut sama dalam peperangan itu.

Mereka turut berjuang di sana adalah berasaskan kefahaman mereka sendiri bahawa perjuangan itu adalah satu jihad untuk mempertahankan agama. 

Mereka membina kefahaman ini di atas keyakinan mereka bahawa perjuangan yang sedang berlaku sekarang ini adalah perjuangan menentang "musuh Islam" Amerika Syarikat dan kuncu-kuncunya yang menentang Islam, termasuk perjuangan menentang umat Islam sendiri yang menyokong "musuh Islam" itu.

Berdasarkan kefahaman ini, maka mereka beriktikad bahawa perjuangan menentang "musuh Islam" itu adalah "perang fi sabilillah" yang dituntut oleh agama, dan dalam perjuangan ini umat Islam seharusnya sedia berkorban harta dan nyawa mereka, malah sesiapa yang terkorban di dalam perjuangan ini, bererti mereka terkorban sebagai syahid yang dijaminkan syurga.

Hal inilah yang telah tergambar di dalam kefahaman umat Islam, khususnya angkatan muda Islam dari berbagai pelosok dunia pada hari ini, yang menarik mereka untuk turut sama dalam perjuangan bersenjata golongan tersebut.

Oleh itu, pihak otoriti agama di negara kita ini haruslah segera memberikan penjelasan kepada umat Islam di Malaysia, apakah "fatwa" yang tergambar di dalam kefahaman mereka bahawa perjuangan  itu sebagai perang "sabil"  benar dan sahih atau sebaliknya.

Fatwa yang sebenarnya mengenai hal ini haruslah segera di buat berdasarkan "ijmak" rasmi para Mufti di negara kita ini, dengan dalil-dalil yang nyata dari teks al-Quran dan Hadis, serta pandangan ulamak Islam terkemuka sekarang ini tentang hukum tersebut.

"Fatwa" yang dikeluarkan oleh pihak-pihak tertentu yang terlibat di dalam konflik ini atas nama agama, tentulah tidak seharusnya mempengaruhi mereka, kerana di dalam perjuangan berdarah di kawasan bergolak di Timur Tengah itu, pada umumnya lebih bermotifkan politik, kuasa, perselisihan mazhab secara sempit, dan mungkin juga berdasarkan qabilah atau tribal yang sedia wujud di dalam masyarakat Jahiliah di sana sebelum kedatangan Islam lagi.

Hal ini memerlukan penjelasan yang berpaksikan ilmu dan akhlak, contoh perjuangan Rasulullah SAW yang sahih, sejarah perjuangan dan peperangan ketika permulaan Islam, iaitu dalam proses menegakkan agama Allah SWT, dan sejauh manakah peperangan itu disyariatkan ketika dalam perjuangan menegak dan mempertahankan agama Allah.

Semuanya ini memerlukan fakta dan prinsip dari perjuangan Rasulullah SAW ketika itu, yang dapat dijadikan perbandingan pada masa kini, ketika terlalu banyak keganasan dan permbunuhan yang sedang berlaku di dalam masyarakat Islam, dan ketika terlalu banyak pandangan yang dikeluarkan tentang dasar dan perjuangan menegakkan agama Allah dan keharusan membunuh sesama manusia, termasuk sesama Islam sendiri.

Sekurang-kurangnya kita di Malaysia akan dapat melakukan "ijtihad" ini dengan cara yang amat konprehensif dan menyeluruh untuk membetulkan kefahaman anak-anak muda kita mengenai pergolakan yang berlaku di negara luar itu, yang dalam kebanyakan isunya lebih bermotifkan dorongan penjajahan terhadap agama Islam sendiri oleh musuh-musuh Islam, atau satu "permainan" kotor yang sedang di mainkan oleh para pengamal politik yang sempit dan gila kuasa, atau kerana sebab-sebab lain, yang telah mereka cipta berbagai-bagai persepsi salah atas nama agama kita yang suci.

Berdasarkan hal inilah kita di Malaysia perlu mengkaji isu ini dari segala aspek, dan memberikan pandangan yang sebenarnya sebagai fatwa agama untuk difahamai oleh umat Islam di Malaysia ini.

Kita tidak boleh mengharapkan pertubuhan negara-negara Islam (OIC) atau Majlis Fatwa mereka mengeluarkan fatwa, kerana negara-negara Islam di dunia Islam tidak mungkin dapat bersatu dalam hal ini, malah mungkin juga tidak mempunyai keupayaan umtuk duduk bersama mencari penyelesaian tentang hal ini dari segala sudutnya, termasuk dari sudut fatwanya.

Pihak berkuasa agama di negara kita mungkin mempunyai kekuatan yang lebih mantap dari OIC sendiri, khususnya untuk membicarakan hal ini untuk kepentingan umat Islam di negara kita ini sendiri, yang nampaknya turut keliru dalam isu ini. 

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....