MENITI USIA TUA....
Hakikat yang semestinya di hayati dan di rasai oleh setiap insan ialah bagaimana ia meniti usia. Hari demi hari, bulan dan tahun, dia akan di bawa oleh usia, melintasi masa berlalu, ketika usianya bertambah..Kita yang merasai usia telah meningkat panjang, banyak perubahan pada fizikal, spiritual, emosi dan perasaan yang kita alami.
Ibunda saya ketika melintasi usia enam puluhan dan tahun-tahun berikutnya ketika saya masih kecil dulu, sering memberitahu saya..."Tuhan telah mengambil balik banyak perkara yang di kurniakan-Nya kepada Mak" iaitu ketika merujuk kepada kekuatan badannya yang semakin berkurangan, mata dan telinga yang mulai tumpul, malah selera makan serta masa tidur yang entah kenapa, tiba-tiba terasa sangat berkurangan...Saya pada ketika itu tidak sangat memahami maksud sebenar kata-kata Ibunda saya itu..
Ayahanda saya mungkin hanya merasakan usianya meningkat jauh di sudut hatinya, kerana dia tidak mahu sangat mengingati orang lain tentang usianya. Arwah ayahanda saya itu lebih suka memendam perasaannya tentang umur dan usia yang tua, kerana tidak pernah dia merungut tentang kelemahan badan dan kekurangan tidur atau selera makannya, malah dari sudut lahirnbya, dia tidak mahu sangat bercakap seolah-olah berputus asa tentang umur dan usianya...
Dia masih cergas berjalan-jalan di kampung dan mukim melihat keadaan orang kampung di daerah yang dia menjadi penghulunya. Juga, yang dapat saya agakkan, dia merasa amat terhibur dan bersyukur kepada Allah kerana dia dapat memberi lima,sepuluh sen kepada kanak-kanak yang mengekorinya.
Setiap kali dia akan keluar rumah, dia akan memakai stokin dan kasut kainnya, berjalan di atas jalan kampung di celah-celah pokok getah dan rambutan serta pohon buah-buahan lainnya. Kanak-kanak yang melihatnya keluar berjalan, akan segera memanggil seberapa ramai kawan masing-masing, untuk menghampirinya, kerana mereka tahu ayahanda saya sering membawa duit syiling untuk mereka.
Ayahanda dan Ibunbda telah lama pergi, dan kenangannya itu rupa-rupanya menjadi kenyataan pula di dalam kehidupan kita sekarang, apa bila usia kita juga mulai meningkat tinggi, ketika tidur tidak lagi sangat nyenyak, makan sedikit telah merasa kenyang, dan badan mulai merasa sakit di sana sini tanpa di ketahui orang lain...malahan emosi dan perasaan dalaman kadang-kadang amat mudah merasa tersinggung dalam menghadapi kerenah manusia lain di sekeliling.
Hal ini merupakan "sunnah" Allah SWT, undang-undang alam yang di rencanakan Yang Maha Kuasa, atau Ayat-Ayat Allah yang sering disebutkan-Nya di dalam Al-Quran. Ayat-Ayat Allah ialah bukti dan tanda-tanda kekuasaan-Nya yang merupakan hakikat hidup dan mati, jatuh bangun manusia dan seluruh benda yang hidup, tumbuh-tumbuhan yang melata dan haiwan unggas yang memenuhi alam ini, berlarian atau berterbangan, bukit bukau yang memasak bumi agar teguh dan kuat, banjir, gempa, ribut taufan yang melanda bumi dan manusia....semuanya adalah merupakan tanda-tanda kekuasaan Allah SWT...
Hal ini semua dapat dirasakan oleh manusia, terutamanya yang telah mulai menyedari bahawa usianya telah meningkat ...ketika pertumbuhan badannya, rambut, gigi, mata, kulitnya dan seluruh perkembangan fizikal dan spiritualnya mulai mengalami perubahan seperti seorang yang sedang menuruni bukit yang tinggi, mulai merasakan bahawa dia sedang melangkah ke bawah, dan akan kembali mendarat dari mana dia bermula menyedut udara lapang alam ini, puluhan tahun dulu...
Tabiatnya juga akan mulai kembali ke zaman kanak-kanaknya. Banyak imaginasi dan khayalannya.. kadang-kadang dia merasakan bahawa dia akan jatuh dari tangga rumahnya, atau dia akan rebah ketika berdiri dalam sembahyang, atau tiba-tiba teringat peristiwa lama ketika dia sedang memanjat pokok manggis di kampungnya dulu, di hurung kerengga yang menggigit seluruh badannya....
Namun orang tua yang sihat fizikal dan mentalnya, haruslah bersyukur kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya, kerana penyakit, terutamanya penyakit moden, kencing manis, darah tinggi dan jantung tidak menunggu orang yang berusia tua untuk diserangnya, malah tanpa mengira usia penyakit-penyakit itu akan menyerang sesiapa saja.
Daun yang hijau atau kuning, kering atau segar, pada sesuatu pohon, sering jatuh silih berganti, tanpa mengira warnanya. Memang daun hijau pada adatnya akan kekal lebih lama di atas pohon itu, tetapi ada kalanya daun hijau pun akan keguguran, sedangkan daun yang telah kuning dan hampir kering, sering juga masih bergantungan di atas pohon itu...
Itulah gambaran manusia berusia muda dan tua, masing-masing akan gugur apa bila tiba masa nya. Allah SWT banyak menyebut di dalam Al-Quran bahawa ajal itu akan tiba tanpa tercepat atau terlewat barang sesaat pun apa bila tiba masanya.....
Hal ini amat mudah bermain di kepala, dan sememangnya pun patut di rasai oleh manusia pada sepanjang hayatnya, apa lagi ketika manusia sedang meniti usia tua dan senja....sekejap lagi petang dan malam akan menjelma semestinya...akan tiba pada masanya yang telah ditetapkan sejak dari azali.
Namun dalam keadaan mana sekali pun, manusia tidak lah juga seharusnya menyerah kalah kepada sesuatu yang belum di temuianya, apa lagi berputus asa dalam kehidupannya, kerana hal ini di larang oleh Allah, malah manusia akan terus menghadapi segala perkembangan dan cabaran di dalam hidupnya....rezekinya, kesihatannya, usahanya, dunia dan akhiratnya...
Inilah juga yang di ajar oleh pengalaman manusia ketika dia meniti usia tuanya....perjuangannya tidak akan berhenti dan malap sahaja, malah kehidupannya tetap akan berterusan lagi....
Comments
Post a Comment