Andainya 13 Mei Berlaku Ketika Ini, Apakah Yang Akan Terjadi?





Saya mengalami sendiri peristiwa 13 Mei 1969 ketika saya berada di Kuala Lumpur di sekitar tarikh tersebut. Ketegangan yang timbul di antara kaum pada ketika itu mengundang rusuhan berdarah di antara Melayu dan Cina di sekitar Kuala Lumpur.
Tetapi dengan kebijaksanaan Kerajaan pada kitika itu, dan langkah-langkah keselamatan yang berkesan di ambil dengan begitu pantas, maka perisitwa berdarah itu hanya berlaku dalam tempoh yang singkat sahaja, malah tidak merebak ke luar kota Kuala Lumpur. Dengan itu maka peristiwa ini tidak berlarutan menjadi tragedi di seluruh negara, atau sekurang-kurangnya di seleruh Semenanjung pada ketika itu.
Bagaimana pun ketika ini, di kala mengenangkan kembali peristiwa tersebut dalam konteks sekarang, saya merasa pasti bahawa sekiranya peristiwa berdarah seperti itu berlaku pada masa ini, maka besar kemungkinan kejadian yang mendukacitakan itu akan terus merebak ke merata pelusuk negara dan kota dalam masa yang singkat sahaja.
Pada hari 13 Mei itu kebetulan saya baru keluar dari Kelinik di Brickfields mengambil ubat untuk anak kecil saya, dan ketika itulah seorang pemuda India datang memberitahu saya tentang kekacauan yang sedang berlaku dengan ganasnya di KL dan menasihatkan saya supaya segera balik ke rumah, lalu saya pun bergegas pulang ke rumah yang terletak tidak jauh dari situ.
Pada mulanya saya tidak mengetahui bahawa keganasan yang berlaku adalah akibat dari pergeseran politik perkauman susulan keputusan pilihan raya yang baru beberapa hari berlangsung. Kemelut perkauman inilah yang membawa kepada beberapa peristiwa keganasan di beberapa daerah di sekitar Kuala Lumpur mengakibatkan kecedaraan dan kematian.
Saya membuka TV untuk mengikuti berita seterusnya tentang peristiwa pada hari itu, kerana hanya Radio dan TV Kerajaan sahaja yang menjadi sumber berita pada ketika itu, lalu saya melihat siaran yang luar biasa, iaitu kelihatan 4 orang juru acara duduk berbaris di depan kamera, dan setiap orang bangun menuju ke pembesar suara untuk mengumumkan sesuatu, mereka bergilir-gilir bangun dengan setiap seorang berbicara dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil.
Masing-masing mengumumkan secara ringkas tentang peristiwa yang berlaku dalam versi yang sama, kemudian menyampaikan arahan Kerajaan tentang perintah berkurung, apa-apa yang seharusnya di lakukan oleh orang ramai apa bila perintah berkurung di longgarkan pada waktu siang hari, dan nasihat tentang peranan orang ramai bagi menjaga keharmonian kaum dengan jiran tetangga dan di bandar serta kota.
Suara yang menyampaikan mesej ini adalah satu sahaja, iaitu dari sumber pemerintah, terutamanya tentang keselamatan negara yang telah terkawal, kemudian meminta orang ramai supaya mematuhi undang-undang, juga tempoh masa berkurung.
Ternyata bahawa media Kerajaan ini amat berkesan memberikan ketenangan kepada orang ramai, terutamanya ketika dijelaskan bahawa keganasan yang berlaku adalah merupakan kes terpencil, di kalangan kumpulan yang amat taksub dan partisan melampau, serta polarisasi perkauman yang keterlaluan, oleh itu rakyat umumnya yang cintakan keamanan dan keharmonian, haruslah bertenang dan menjauhkan sebarang provokasi yang boleh memarakkan gejala negatif di dalam negara.
Dalam konteks inilah saya merasakan bahawa seandainya peristiwa 13 Mei ini berlaku di zaman siber dan media sosial yang berleluasa pada masa  kini, maka mungkin dalam masa beberapa saat sahaja segala sampah sarap dan persepsi karut akan tersibar yang mungkin membangkitkan emosi dan kekeliruan masayarakt ramai, dan akibatnya tentulah akan tersibar berita salah serta persepsi negatif tentang punca kerisis yang sebenarnya pada pandangan masyarakat umum, dan akibatnya akan berlakulah reaksi negatif dari masyarakat umum.
Peristiwa kekeliruan dan keganasan yang berlaku akibat “Arab Spring”, dan  rentetan keganasan yang berlaku di Mesir akibat dari kejatuhan Presiden Mursi, serta keganasan lain yang merebak dengan pantas sekali di dunia moden pada hari ini, punca utamanya adalah berpunca dari media sosial yang di salah gunakan, sehingga tersibar segala maklumat dan gesaan keganasan yang tidak tepat di dalam masyarakat dunia moden pada hari ini.
Saya rasa peristiwa 13 Mei berakhir dengan pantas dan tidak merebak ke sluruh negara adalah berpunca kepada beberapa keadaan dan pengalaman orang ramai sendiri, di antaranya ialah  kerana ketiadaan media sosial pada ketika itu, dan tumpuan rakyat hanya kepada sumber berita Kerajaan yang sah, serta sebaran berita yang tidak menggalakkan tindakan ganas serta sentimen melulu.
Namun oleh kerana media sosial pada hari ini tidak dapat disekat-sekat lagi dengan kemajuan yang amat pantas berlaku, maka seandainya berlaku sekali lagi peristiwa seperti peristiwa 13 Mei itu, maka rakyat umum haruslah mendidik diri sendiri supaya lebih berfikiran matang dan bertindak secara rasional, jangan mendengar dan menyibar fitnah serta kabar angin yang negatif, malah mendidik anak-anak sendiri tentang manfaat dan mudaratnya media sosial.

Di samping itu, Kerajaan sendiri haruslah bertindak di dalam batasan-batasan yang tertentu, lebih telus dan jujur, tanpa mengenaknan sekatan dan tapisan yang ketat bagi media sosial, bertujuan untuk menambahkan kepercayaan dan keyakinan rakyat tentang segala tindakan Kerajaan yang sebenarnya. Sekiranya Kerajaan tidak berjaya menjelaskan secara ikhlas akan salah faham rakyat, maka semua yang tersibar di dalam media sosial akan mempengaruhi pemikiran dan tindakan rakyat.

Comments

Popular posts from this blog

ADAT PERMAINAN.......!

SIAPA? APAKAH SEBENARNYA GENERASI Y?

MENITI USIA TUA....